Bahagian satu klik di sini
http://dingin.blogspot.com/2015/02/esok-kau-bernikah-tetapi-bukan-dengan.html
http://dingin.blogspot.com/2015/02/esok-kau-bernikah-tetapi-bukan-dengan.html
LIMA BULAN SEBELUM.
Sudah tiga tahun sejak peristiwa itu.
Sejak saya tidak kenal lagi Mia sebagai seorang kekasih. Sejak saya
mula membuang apa-apa sahaja kenangan yang berkaitan dia. Gambar,
nombor telefon dan apa sahaja. Tetapi sayang, cinta itu bukan
berkehendakkan benda untuk diingat. Cinta itu sudah sedia ada dalam
hati, dan akan mengalir ke ingatan untuk menjadi kenangan dan
seterusnya menjadi luka yang mencucuk-cucuk.
Saya fikir, saya sudah melalui pedihnya
cinta yang paling agung, tetapi Tuhan ada rencana lain
untuk saya. Pedihnya cinta itu, tidak sekadar itu.
Saya akui, saya masih mencintai dia.
Tetapi saya sudah mampu menerima, bahawa dia sudah tidak ada.
Ibaratnya kita mencintai dan merindui orang yang sudah mati.
Saya pula sejak itu, selepas hampir
beberapa bulan hidup tidak menentu, dan mujur ada ibu yang sentiasa
ada di sisi untuk terus memberi dan memastikan anaknya ini terus
menjadi manusia. Alhamdulillah, kini saya sudah bekerja. Gaji
tidaklah setinggi mana, tetapi mampulah membeli kereta nasional, dan
rumah apartmen murah. Cukup untuk dibuat bangga oleh ibu.
Dari pengalaman lalu itu, tahulah saya,
bahawa hidup ini sememangnya aneh. Cinta tidak pernah ada pelajaran
khusus di sekolah-sekolah, tetapi hidup kita sehari-harian, sikit ataupun banyak, akan tetap perlu menyelesaikan masalah cinta yang datangnya bergelombang. Mungkin kerana itu ramai
yang gagal dalam cinta.
Bukan sahaja manusia kecil seperti
saya, malah pemimpin-pemimpin dunia sejak dari zaman Troy sampai
sekarang, semuanya jatuh bangun kerana cinta. Jatuh kerana tidak
mampu mengendalikan cinta yang mungkin wujud sebagai isteri ataupun cinta terlarang. Boleh sahaja pemimpin agung itu
menghalakan muncung senjata ke kepala pihak musuh, tetapi mereka
tetap akan tunduk di bawah kata muncung mulut seorang perempuan kerana cinta.
Sehingga berbalik kepada cerita saya,
yang hidupnya kini sederhana dan sudah mampu tersenyum, tetapi tetap
ada yang kurang. Saya sangat tahu kekurangan itu, dan pastinya ibu
saya pasti lebih mengerti dan hari itu, dia memanggil saya pulang ke
kampung.
Selesai segala rutin sambutan ibu yang
penuh kasih dengan masakan enak, dan pelukan mesra berserta senyuman
lembut, dia menatap tidak biasa kepada saya.
“Kamu sudah ada segala-galanya yang
diperlukan untuk menjadi ketua keluarga. Cuma kamu belum ada
keluarga.” Manis sekali kata-kata ibu, dan saya hanya tersenyum.
“Ibu mahu saya kahwin?”
“Ya. Sekiranya sudah ada calon,
beritahu ibu, dan sekiranya belum beritahu juga.”
Saya senyum sekali lagi. Comel betul
ibu saya pada ketika dia serius berkata tentang cinta.
“Belum ada ibu. Mengapa? Ibu mahu
tolong carikan?”
“Ya. Ibu sudah ada calonnya. Orangnya
cantik, agamanya bagus, sopan, lemah lembut dan pendidikannya pun
bagus. Ada sambung belajar diploma tetapi tidak habis.”
Saya kerut dahi, dan kemudian ketawa
kecil.
“Ibu ini, semua orang dikatanya
cantik.”
“Ini memang cantik betul,” tegas
ibu dan terus memberikan saya sekeping gambar pasport. Pada saat saya
menerimanya, saya akui, ibu tidak berlebih-lebih. Biasanya, gambar
pasport adalah gambar yang paling jujur. Gambar yang tidak akan
menipu, dan melihat gambar itu, memang perempuan yang ibu kata ini,
cantik.
“Namanya, Syafiqah. Kalau kamu suka,
esok juga ibu masuk meminang.”
“Eh, ibu saya belum kata apa-apa
lagi. Belum kenal pun lagi dia, tiba-tiba terus masuk meminang.
Jangan-jangan dia sudah ada kekasih. Orang cantik begini, tidak
mungkinlah tidak ada cinta hati. Saya tidak mahu apa yang terjadi
kepada saya dahulu, terjadi juga kepada orang lain.” Saya bertegas.
“Ibu sudah risik semuanya. Syafiqah
ini anak yatim piatu, dan dia anak sulung daripada 6 beradik.
Kini dia menumpang di rumah mak ciknya, yang juga kawan ibu. Mak
ciknya itu ibu tunggal dan juga orang miskin, dan sebab itulah
Syafiqah belajar tidak habis. Mak ciknya sudah tanya betul Syafiqah
dan Syafiqah kata, bagaimana mahu bercinta kalau adik-adiknya masih
perlu belanja. Sebab itulah ibu cadangkan kamu jadi suaminya. Dapat
kurangkan beban dia, dan boleh juga kamu tolong dia sambung belajar.”
Saya garu-garu lengan. Sepertinya ada
yang tidak kena dan saya terus berkata, “Maknanya, saya ini hanya
sebagai penyelamat ekonomi dia?”
“Bukan itu sahaja. Syafiqah itu muda
lagi. Mak cik dia risau kalau Syafiqah mahu bekerja ke bandar, dan di
sana bukan ada orang boleh dipercaya. Pengalaman hidupnya yang
sedikit akan membuatkan dia mudah jatuh di mana-mana. Lalu, kamu juga
adalah penyelamat seorang perempuan yang baik, dan pastinya dengan
rupa kamu yang tidak kurang kacaknya ini, dia tidak ada masalah untuk
jatuh cinta.”
Saya ketawa keras dan berkata, “Ibu sahaja yang kata saya kacak.”
“Tetapi betul, ibu memang suka kamu
jadi suami Syafiqah. Senang hati ibu lihat wajahnya. Tenang jadinya
jiwa apabila dengar dia berkata-kata. Lembut dan sangat hormat orang
tua. Ibu yakin, dia akan jadi madu hidup kamu. Penyembuh segala luka dan pemberi kasih yang tidak putus. Jadi, bagaimana?”
Saya sebenarnya masih ragu-ragu dengan
rancangan ibu. Teringat benar saya dengan rancangan orang tua Mia.
Jangan-jangan memang Syafiqah sudah ada kekasih.
“Tetapi saya mahu jumpa Syafiqah
dahulu. Boleh?”
“Esok kita ke sana.”
Esoknya seperti dikata, saya dan ibu
sampai ke rumah mak cik Syafiqah. Rumah yang sudah uzur, dan
kelihatan seorang perempuan tua yang berwajah lembut mengajak kami
naik. Itulah mak cik Syafiqah. Ibu pun berbisik-bisik dengannya dan
kemudian terlihat mak cik Syafiqah tersenyum baik.
“Syafiqah!” laung mak ciknya, dan
saya mula berdebar-debar.
“Ya, mak cik!” Saya mendengar suara
yang halus lembut dari bilik bertentangan ruang tamu. Debar saya
semakin naik.
“Mari sini sekejap. Pakai tudung. Ada
orang datang.”
Seketika, pintu bilik terbuka dan
keluarlah seorang perempuan yang lembut sopan langkahnya, dan
ternyata, 10 kali lebih bagus dilihat daripada gambar pasportnya.
Debar saya menaik lagi.
“Duduk sini,” kata mak ciknya dan
Syafiqah melabuh sopan.
Ibu pula terus menyiku saya dan
berkata, “Syafiqah sudah ada di depan kamu. Tanyalah dia apa-apa.”
Saya telan liur. Apa yang saya mahu
tanya ini adalah soal yang sulit-sulit. Tetapi ibu dan mak cik
Syafiqah sudah memasang wajah yang mahu mendengar. Wajah orang yang
sangat mahu tahu. Saya pula, selepas berfikir-fikir, walaupun terasa sangat janggal, keadaan ini lebih baik daripada bedua-duan dan saya tabahkan
hati untuk bertanya.
“Syafiqah, mohon maaf untuk bertanya
terus. Syafiqah sudah ada kekasih? Beritahu betul-betul. Jangan
takut.”
Syafiqah memandang mak ciknya dahulu,
sebelum dia tunduk dan menggeleng.
“Betul?”
Dia masih tunduk dan angguk.
“Takkan tak ada orang nak?”
Kali ini dia angkat kepala dan dengan
wajah yang serius dia berkata, “Memang ada ramai yang mengirim
wakil dan surat, tetapi saya masih ada adik-adik untuk dijaga.
Lagipula sekarang saya hanya menumpang di rumah mak cik saya. Saya
serahkan segalanya kepada mak cik untuk menentukan apa yang terbaik
untuk saya.”
Mak cik Syafiqah terus mencelah, “Saya
kenal rapat dengan ibu kamu. Mak cik yakin, kamu sebaik ibu kamu, dan
pastilah sebab kamu juga ada kerja yang bagus, wajah pun boleh tahan.
Mak cik fikir, kamu yang terbaik untuk anak saudara mak cik.”
Saya pula yang tunduk dipuji-puji
begitu. Selepas kira-kira saya dapat mengawal diri, saya bertanya
lagi, “Syafiqah, awak masih muda. Pintar. Tidak rasa sayangkah awak
untuk bernikah awal? Tidak kisah untuk tidak mengejar kerjaya?”
Kali ini Syafiqah hanya memandang mak
ciknya dan mak ciknya lah yang pantas menjawab.
“Apa yang lebih tinggi daripada
kerjaya sebagai seorang isteri? Kerjaya yang sudah disebut akan mudah
masuk ke syurga, asal betul sikapnya. Syafiqah memang
mahu menyambung pelajaran lebih tinggi, tetapi saya sudah berpesan
kepada dia, sambung pelajaran kerana kamu mahu jadi orang yang
berilmu yang mengejar syurga. Sekiranya suami kamu benarkan
kamu bekerja, terima itu sebagai hadiah, tetapi sekiranya tidak,
setiap ilmu yang kamu belajar itu, tetap akan diberi pahala selagi mana kamu taat pada suami. Tidak akan sia-sia ilmu itu kerana Allah akan
berikan lebih lagi. Syafiqah pegang perkara itu, dan itu jugalah yang
mak cik pegang sehingga suami mak cik menemuinya penciptanya.
Alhamdulillah, hidup kami memang tidak kaya, tetapi kami tidak pernah
berasa kami miskin dan perlu meminta-minta. Tetapi mak cik tetap
percaya, seorang perempuan apatah lagi yang masih muda, perlukan
lelaki yang dapat membimbingnya, walau sepandai manapun perempuan
itu, kerana tetaplah, akal perempuan satu dan nafsunya sembilan.”
Saya tidak ada apa-apa lagi untuk
ditanya. Sudah jelas kepada saya, jalan hidup Syafiqah dan sebab
mengapa saya perlu untuk berani menjadi suaminya. Namun, tetap jugalah
dalam hati ini, berasa bergoncang kerana tiba-tiba sahaja wajah Mia
pula yang datang.
****
SEBULAN SEBELUM
Sudah empat bulan saya bertunang dengan
Syafiqah. Memang mahu saya terus bernikah. Biar segalanya ringkas dan
mudah, tetapi tetaplah saya perlu cukupkan belanja dahulu untuk
kenduri. Semuanya kerana duit simpanan saya hampir habis buat dibeli
rumah dan renovasi rumah ibu. Sekiranya saya tahu akan bernikah,
memang saya belum lagi membeli rumah. Biar menyewa pun tidak mengapa.
Saya pula tetap dengan aktiviti saya.
Sekiranya tidak balik kampung, saya akan bermain futsal dengan
kawan-kawan dan hari itu, entah bagaimana kaki saya terseliuh yang
sakitnya sampai keluar air mata. Saya fikir saya pitam sebentar.
Kemudiannya saya berasa resah sekiranya saya bukan setakat seliuh,
tetapi patah atau retak pergelangan kaki.
Jasa baik rakan-rakanlah yang
menghantar saya ke hospital dan terus ke bahagian ortopedik.
Ketika sedang menunggu giliran, pintu bilik doktor terbuka dan keluar
dari situ seseorang yang sangat saya kenal. Seseorang yang sudah membuat jiwa saya mati.
Itu Mia, di atas kerusi roda bersama
dengan ayahnya yang tetap rapi penampilan. Mahu tidak mahu, Mia dan
ayahnya akan tetap lalu di hadapan saya, dan mahu tidak mahu saya
tidak boleh buat-buat tidak nampak, dan pada ketika kami bertemu
muka, kami sama-sama terkejut untuk sesaat, sebelum kami sama-sama
tersenyum.
“Mia, apa khabar?” soal saya.
Cepat-cepat saya sembunyikan gelisah, dan saya tidak mahu dia tahu
yang saya begitu. Saya mahu tunjukkan kepada Mia dan ayahnya, saya
juga sudah jadi manusia yang berkerjaya, sudah jadi manusia yang
melupakan kisah lalu.
Namun tetaplah, wajah Mia itu
sepertinya ada magnet. Walaupun sudah lama tidak bertemu, saya
mengakui, dahulu saya ego mengatakan dia biasa-biasa. Wajahnya
bersinar, dan cantiknya seperti sudah bertambah. Mungkin seri seorang
isteri. Lalu saya segera tunduk.
“Beginilah saya. Kalau sihat, taklah kita
jumpa di hospital,” jawab Mia tersenyum.
“Buat apa di sini?” soal ayah Mia
ramah.
“Seliuh. Tapi takut ada retak dan
patah. Pak Cik dan Mia pula buat apa sini?”
“Mia, buat pemeriksaan lanjutan.
Lututnya dahulu kena bedah.” Kemudian dia memerhati kiri kanan.
“Seorang sahaja? Mana isteri?” soal
ayah Mia.
Tajam benar soalan itu. Tidak tahu
saya, mengapa dia bertanya begitu. Apa maksudnya? Namun tetaplah saya
menjawab baik, “Saya belum beristeri lagi.”
Ayah Mia mengangguk-angguk dan berkata,
“Kami balik dahulu."
Pada ketika sudah hampir 10 langkah, tiba-tiba ayah Mia berbalik ke arah saya, meninggalkan Mia, dan berkata, "Ada nombor telefon?”
Walaupun hairan mengapa ayahnya meminta
nombor telefon tetap saya memberi, dan saya terus memerhatikan mereka
beredar sehingga hilang di sebalik pintu.
***
Alhamdulillah kaki saya tidak ada
apa-apa. Cuma terkoyak ototnya. Itu sangat saya bersyukur, dan dua
hari kemudian, saya menerima telefon daripada ayah Mia, mengajak
berjumpa di restoran yang saya pernah berjumpanya dahulu. Kini, dia
kata dia yang belanja dan saya berasa sedikit aneh.
Malam itu, saya pun memenuhi hajat,
demi membuktikan saya ini lelaki yang kuat. Lelaki yang tidak ada
apa-apa. Lelaki yang tidak terkesan dengan masa lalu. Walaupun
hakikatnya dalam hati luka itu masih berdenyut-denyut.
Selepas berbual-bual seketika hal
politik Malaysia dan dunia, dia akhirnya menatap penuh belas ke arah
saya.
“Nak, awak tahu mengapa pak cik
panggil awak ke sini?”
“Tak.” Saya menggeleng.
“Setahun lepas Mia kemalangan dan
suaminya meninggal. Dia juga cedera dilutut. Namun itu belum apa-apa
lagi. Sejak itu, Mia tidak pernah lagi tersenyum. Dia sering
menyendiri di dalam bilik. Mujur juga makan dan minum dia sudah mahu.
Sehinggalah dua hari lepas, apabila dia bertemu dengan awak, itulah pertama
kali pak cik melihat dia tersenyum. Pertama kali lihat matanya
kembali bersinar-sinar dan pipinya penuh darah. Sepertinya dia
menemukan kembali hidupnya.”
Saya sedikit terkejut. Saya seperti
sudah ada bayangan ke mana hala tuju pertemuan ini, tetapi saya tidak
berani menyebutnya.
“Selepas bertemu dengan awak, dan
selepas tahu yang awak belum bernikah, dia selalu menyebut tentang
awak. Dia bercerita dengan riang tentang semasa dia bekerja dengan
awak. Pak cik melihat dia sangat gembira. Lalu....” Ayah Mia
terhenti seketika. Pada wajahnya, saya melihat hiba seorang ayah.
Saya menahan diri daripada berkata apa-apa.
“Lalu... seperti yang pak cik
beritahu awak dahulu, pak cik adalah ayah yang sanggup bermati-matian
mahu melihat anaknya bahagia. Pak cik mahu Mia kembali seperti dahulu
lagi, dan sekiranya dahulu pak cik menolak awak, sekarang pak cik
dengan tidak malu dan sanggup membuang ego, merayu awak sekiranya
masih ada cinta dalam hati awak, maafkanlah pak cik dan Mia.
Jadikanlah Mia sebagai isteri awak. Pak cik sanggup keluarkan
belanja. Pak cik merayu.”
Ketika itu, saya melihat mata ayah Mia
mula berkolam. Ternyata dia seorang ayah yang sanggup berbuat apa
sahaja untuk anaknya bahagia. Walaupun dengan cara begini. Saya pula
terus terdiam. Fikiran saya mula terbayang Syafiqah.
“Nak, pak cik merayu. Demi anak pak
cik.”
Dengan nada berat, saya menarik nafas
dalam-dalam dan berkata perlahan, “Pak cik, memang saya belum
bernikah tetapi saya sudah bertunang.”
Serta-merta wajah ayah Mia berubah.
Bukan berubah marah, tetapi kecewa yang sangat dalam. Terus dengan
kedua-dua tangannya dia memegang tangan kanan saya. Sambil tunduk dia
berkata, “Nak, pak cik tahu daripada mata awak, awak masih
sayangkan Mia. Masih ada cinta kepada Mia. Jadi pak cik mohon,
pilihlah Mia, lebih daripada tunangan awak. Tanya hati awak, cinta
awak lebih berat kepada siapa. Pak cik merayu.”
Dapat saya rasakan ada air mata yang
menitik pada tangan saya. Air mata seorang ayah, yang sanggup
berkorban apa sahaja untuk kebahagian anaknya dan itu membuatkan saya
tersudut kepada permasalahan yang tidak pernah sangka-sangka akan
terjadi.
“Jangan buat keputusan sekarang.
Balik dan fikirkan lagi dan selepas awak ada keputusannya,
beritahulah pak cik. Tetapi pak cik sangat berharap, anak ini akan
bahagiakan anak pak cik. Ini surat yang Mia tulis, surat yang kemudiannya dia renyuk, dan pak cik ketemu, sehingga pak cik berani bertemu dengan anak di sini.”
Saya menerima kertas yang sudah renyuk itu, dan membukanya perlahan-lahan. Di situ ada tulisan tangan yang cantik.
Saya menerima kertas yang sudah renyuk itu, dan membukanya perlahan-lahan. Di situ ada tulisan tangan yang cantik.
Awak!
Ini suara hati saya. Saya masih cintakan awak. Masih sayangkan awak. Saya tidak tahu mahu luah kepada sesiapa. Saya cuma berani luahkan pada kertas ini. Saya berharap sangat awak baca luahan ini.
Maafkan saya atas semua salah silap saya. Maafkan semuanya. Saya masih rindukan awak, dan saya tahu, jauh dalam hati, awak juga begitu.
Tapi sayang, saya tahu awak takkan dapat baca luahan ini, kerana saya malu berikan kepada awak. Saya akan renyuk dan buangnya. Tetapi saya akan berasa lega, kerana setidak-tidaknya, saya sudah meluahkan isi hati saya, walaupun hanya pada sekeping kertas yang bisu.
Yang mencintai awak.
Mia.
"Seperti yang pak cik beritahu awak dahulu, sekiranya ada jodoh, tidak ke mana. Menunggu juga tandanya jodoh itu ada. Tetapi Allah berikan kita, pelbagai bentuk situasi 'menunggu'. Cuma sahaja, adakah kita berada dalam posisi sabar untuk sampai ke sana, ataupun dalam posisis sabar untuk tetap menunggu di sana."
Itulah kata-kata yang menutup pertemuan kami malam itu.
***
Malam itu saya tidak terus pulang. Saya
sangat buntu dan mujur saya teringat kepada bekas rakan serumah,
seorang ustaz yang banyak sekali memberi kata-kata nasihat baik kepada saya. Saya akui, soal cinta, Mia memang berhak mengatasi Syafiqah, tetapi soal aturan, Syafiqah jauh lebih berhak berbanding Mia.
Saya fikir, ustaz itu akan dapat
memberikan sesuatu dan pada ketika saya memberitahu masalah saya
kepada dia, di sebuah restoran 24 jam, dalam riuh pengunjung menonton
bola, dia hanya ketawa.
"Itu memang ujian orang bertunang. Mereka akan bertemu orang yang lebih baik daripada tunangnya."
Saya renung ustaz itu, dan berkata lagi, "Jadi apa perlu saya buat?"
"Itu memang ujian orang bertunang. Mereka akan bertemu orang yang lebih baik daripada tunangnya."
Saya renung ustaz itu, dan berkata lagi, "Jadi apa perlu saya buat?"
“Apa susah, kamu poligami sahaja.”
“Ustaz, saya serius.”
“Ya, saya pun serius.”
Saya terdiam. Poligami? Rasa-rasanya
saya belum mampu berlaku adil, dan terus berkata, “Ok, katakan
poligami jalan akhir. Ada apa jalan lagi?”
Sambil masih tersenyum dia menjawab,
“Mengapa tanya saya? Orang yang pertama sekali kamu perlu tanya dan
beritahu adalah ibu kamu. Ingat, kamu lelaki. Walaupun setinggi apa
pangkatmu di dunia, kamu tetap tunduk pada manusia yang bernama ibu. Walau
kamu suami yang menjadi ketua keluarga, yang memberi katas putus, kamu tetap perlu patuh pada
manusia yang bernama ibu. Tanya dia, kerana bahagianya kamu nanti
adalah bergantung pada redhanya dia kepada kamu. Jangan tanya saya.”
Itu nasihat dia dan esoknya saya
mengambil cuti lalu pulang ke kampung, hanya kerana itu dan apabila
sampai, saya terus memberitahu ibu apa yang terjadi. Ibu pula
walaupun nampak sangat terkejut, dia tetap cuba terlihat tenang.
“Ibu, bagaimana sekarang?”
“Ibu tahu, kamu masih sayangkan Mia.
Sekiranya tidak, pasti kamu mudah membuat keputusan. Pasti kamu tidak
perlu datang berjumpa ibu. Ibu juga tahu, kamu mahu ibu memilih Mia
daripada Syafiqah. Itu mahu kamu. Betul?”
Saya tersentak. Memang itulah yang ada
jauh dalam hati saya. Seorang ibu memang tidak pernah gagal untuk
membaca hati anaknya. Ya, saya memang masih cintakan Mia. Cinta
sepenuh hati.
“Tetapi ibu lebih suka kepada
Syafiqah. Ingat, Mia yang membuatkan kamu seperti hilang ingatan
untuk menjadi manusia. Berbulan-bulan ibu menjaga kamu kerana perkara
itu. Sakitnya hati ibu.”
“Tetapi ibu, itu bukan salah Mia.
Malah ayah Mia juga sudah menyatakan kesalnya kepada saya.”
“Memang betul. Tetapi bagaimana
dengan Syafiqah? Dia gadis kampung yang sangat baik. Gadis yang baru
mahu mengenal dunia, dan pada ketika dia mahu kenal dunia, kamu
perkenalkan dia kepada erti duka? Mia itu setidak-tidaknya ada
seorang ayah yang sanggup berkorban apa sahaja untuk dia. Tetapi
Syafiqah tidak ada sesiapa lagi di dunia untuk dia bergantung harap.
Hanya kamu nanti yang mampu menjadi tempat dia berteduh. Lagipula,
bagaimana ibu mahu jaga air muka ibu kepada mak cik Syafiqah,
sekiranya kamu putus? Malah, ibu sudah anggap Syaqfiqah anak
perempuan ibu yang tidak ada. Ibu sayangkan dia, dan ibu tidak mahu
kamu lukakan dia.”
Saya diam, dan terasa terbakar dada ini
mendengar kata-kata ibu. Sakit. Dalam sakit itu, ibu menyambung, “Ibu
muktamad. Ibu pilih Syafiqah. Esok kamu beritahu ayah Mia keputusan
ini. Beritahu elok-elok, dan berikan sekali kad kahwin kamu, supaya
Mia sudah tidak memberi harap dan dia dapat terus meneruskan hidup.”
Saya mula teringat kembali kata-kata aruah suami Mia kepada saya. Kata-kata yang saya tidak menyangka, akan saya
sendiri hadapi.
“Saya dan Mia sama sahaja. Sekiranya ibu bapa kami gembira, insyaAllah kami berdua akan bahagia. Pasangan yang bahagia, bukan sahaja menjaga hati masing-masing, tetapi juga menjaga hati ayah dan ibu mereka. Apabila itu mereka dahulukan, mereka akan faham, rumahtangga adalah proses untuk menjadi suami isteri dan ibu bapa yang terbaik. Rumahtangga bukan end result. End result nya nanti di akhirat sana. Di sini kita berusaha, dan cuba mencari apa sahaja jalan bagi mendapatkan end result yang terbaik di akhirat. Termasuklah berkorban soal cinta, dan cuba membina cinta di atas luka.”
Akhirnya, sudah
putus kata. Esoknya dengan hati yang berat dan
langkah yang rasa mahu jatuh, saya berikan kad kahwin saya kepada
ayah Mia. Saya perlu berkorban soal cinta, dan cuba membina cinta di
atas luka.
PADA HARI PERSANDINGAN.
Hari itu, hari
bersejarah saya. Saya sudah ijab dan kabul dan saya sudah menjadi
suami. Kami ada pelamin tetapi hanya hiasan. Saya dan Syafiqah hanya
mahu pelamin itu jadi tempat bergambar. Namun tetaplah kami
berpakaian raja sehari. Indah dan cantik, sambil kami berjalan dari
satu meja ke satu meja bertemu dengan para tetamu. Berkenal rapat
dengan para keluarga.
Kami berjalan
berpimpinan tangan, dan untuk pertama kalinya, saya berasa sangat
berbeza. Saya adalah orang baru. Pada ketika mahu berpindah ke meja
satu lagi, saya menahan nafas. Senyum saya tadi hilang.
Di meja itu saya
melihat ayah Mia, dan Mia sendiri. Saya benar-benar tidak sangka
mereka akan datang. Kad jemputan itu bukan sebenar-benarnya maksud
menjemput, cuma sebagai bukti yang saya sudah boleh dilupakan dan
hidup perlu diteruskan lagi.
Di meja itu, saya
melihat ayah Mia tersenyum sangat pahit, dan Mia sendiri sudah
berkaca matanya. Saya tahu pedihnya apabila berada di pihak Mia, tetapi hari itu, pertama kalinya saya merasai pedih yang lebih pedih
daripada itu. Dan mata saya juga mula berkaca.
3 comments:
Sedih. :(
Adakah anda sangat tertanya-tanya, "Bagaimana untuk mendapatkan kembali suami saya?" selepas banyak masa berlalu tanpa suami anda kembali kepada anda? Sekarang anda terjebak dalam keadaan yang sangat terdesak, kerana minda anda terasa lelah, sementara tubuh anda sanggup pergi sejauh mana untuk mendapatkan kembali suami anda mengapa tidak menghubungi ejaan Dr.Yakaya yang e-melnya: Yakayatemple@gmail.com atau tambah dia di WhatsApp +2347050270227 dan dapatkan suami anda kembali dalam masa 24 jam
Singah dan koment
visit back
Post a Comment