Monday, February 23, 2015

esok kau bernikah, tetapi bukan dengan aku

LIMA BULAN SEBELUM

Saya bekerja di sebuah restoran makanan segera.

“Nak makan sini atau bungkus?”

“Makan sini.”

Itu dialog sehari-hari saya. Kerja yang perlu untuk saya tersenyum sepanjang lapan jam, dan terkadang 12 jam sehari. Penat, memang penat. Tetapi itu cuma untuk seminggu semasa saya mula-mula kerja, kerana pada minggu kedua, saya mula berasa mahu tiap-tiap hari bekerja. Biar tidak ada cuti.

Semuanya kerana Mia. Dia perempuan yang membuatkan jantung saya berdegup kencang. Sekiranya kamu menyangka saya jadi begitu kerana dia cantik, kamu salah. Dia biasa-biasa sahaja. Cuma tetaplah wajahnya terlihat lembut. Pada ketika dia senyum kepada pelanggan, masih ada sisa senyumnya ketika dia menoleh kepada saya. Dan cukuplah itu untuk saya.

Lalu bermula dengan itu saya mula menyimpan hasrat, mahu dia jadi suri dalam hidup. Saya sendiri bukannya remaja lagi. Sudah 24 tahun selepas 3 tahun diploma, dan 2 tahun setengah ijazah kerana saya salah susun jadual. Subjek wajib yang ditawarkan hanya ada pada semester pertama, dan saya perlu tambah satu semester. Kemudiannya, cari-cari kerja belum ada rezeki. Daripada habiskan duit ayah ibu, saya bekerja di restoran makanan segera ini. Katanya jenama tempatan, tetapi sistemnya antarabangsa. Ayam Goreng KL.

Semuanya berjalan manis, dan pada bulan kedua, hubungan kami semakin manis tetapi ia masih samar-samar dan pada hari itu, saya beranikan diri untuk berterus-terang kepada dia, semasa kami di kaunter, pada ketika pelanggan tiada.

“Mia, kalau saya ajak awak kahwin. Mahu?” Sambil ekor mata saya melirik.

“Kahwin?” Dia ketawa senang, dan terlihat gigi putihnya yang tersusun cantik. “Mengapa tiba-tiba?”

“Sebab saya suka awak.”

Mia terus ketawa sopan. Sepertinya, minta saya itu terlalu lucu. Atau dia fikir saya tidak serius. Yalah, selama dia di sini, saya tidak pernah berbicara soal cinta, tidak pernah ada istilah declare, tidak ada dating-dating, dan malah saya tidak pernah telefon ataupun SMS memujuk rayu.

“Mia, saya serius. Saya memang suka kepada awak.” Saya terpaksa tegaskan kata-kata saya, supaya Mia tahu yang saya tidak bergurau, dan ketawa sopan Mia berhenti, diganti dengan kening terangkat ke arah saya.

“Awak serius?”

“Ya, saya serius. Awak sudi?”

Jelas pipi Mia merah dan dia mula malu-malu.

“Awak sudi?”

“Jumpa ayah saya.”

Itulah mulanya, dan saya berjumpa dengan ayah Mia, seorang pegawai kerajaan yang sentiasa rapi penampilannya. Lalu seperti kisah-kisah biasa, pada ketika seorang ayah yang kaya, yang sudah biasa memberikan kesenangan untuk anak perempuannya, yang bermati-matian mahu melihat anaknya bahagia, pasti akan berasa sangat ragu-ragu apabila lelaki seperti saya, yang kerjanya hanya lima ringgit sejam datang meminta anaknya untuk dibahagiakan.

Waktu itu malam, dan saya bertemu dengan ayah Mia dengan Mia sekali di sebuah restoran mewah, selepas saya dapat gaji. Saya perlahan-lahan dan penuh sopan memberitahu ayah Mia hajat saya dan penuh harap dia menerimanya.

Tetapi ayah Mia lama sekali diamnya sebelum berkata, “Pak cik berterima kasih kerana kamu mahu menjadi lelaki sejati. Pak cik kagum kepada kamu. Pak cik kagum kerana kamu ada ikhtiar hidup, tidak hanya menunggu. Kagum kerana kamu berani terus berjumpa pak cik kerana soal cinta. Jarang ada lelaki seperti kamu ini.”

Jawapan awalnya membahagiakan sebelum dia menyambung, “Tetapi, kamu perlu faham. Ayah mana-mana pun di dunia ini, akan mahu anaknya bahagia, dan pak cik sangat khuatir, kamu tidak mampu memberikan bahagia kepada anak pak cik. Memang wang tidak memberi bahagia, tetapi, tetap pak cik mahu melihat anak pak cik tersenyum sepanjang bulan. Tidak ada kerut wajah ketika tengah bulan hanya kerana wang. Bukan pak cik kata, kerja kamu tidak bagus, tetapi beginilah, anggaplah pak cik ini, sanggup berkorban apa sahaja demi anak pak cik, dan pak cik hanya mahu yang terbaik untuk dia. Lalu, dapatkan dahulu kerja yang kamu mampu yakinkan pak cik dan kemudian, kita lihat apa lagi selepas itu.”

Saya pandang Mia dan berkata, “Mia sanggup tunggu?”

Mia hanya tunduk dan ayahnya yang menyahut, “Sekiranya ada jodoh tidak ke mana. Menunggu itu juga adalah tanda, bahawa jodoh itu ada.”

Malam itu diakhiri dengan keputusan yang kurang memberi senyum, tetapi tetap ada senyuman yang boleh saya bawa balik. Senyum kerana ayah Mia merestui, cuma dia seorang ayah yang sangat bersyarat. Ah, kalau nanti saya jadi ayah, mungkin saya juga begitu.

Lalu hidup kami terus-teruskan begitu. Hanya bertemu di tempat kerja. Tidak pernah ke mana-mana berdua. Selain faktor saya serumah dengan ustaz yang banyak berceramah tentang adab-adab pergaulan lelaki perempuan, juga kerana ia menjimatkan kos.

Dua bulan kemudian, semuanya nampak sempurna, dan saya juga sudah menerima surat untuk temuduga. Sehinggalah seminggu Mia tidak turun kerja. Apabila saya SMS, dia cuma kata ada urusan keluarga, dan kemudian dia beritahu dia terpaksa berhenti kerja.

Selepas itu saya melihat pula sebuah kad kahwin cantik dan moden di atas meja pengurus, dan di situ tertulis nama Mia. Saya menahan nafas, dan saya baca berulang-ulang kali, dan saya tidak salah baca.

Waktu itu, saya mahu sekali merasakan, 'dunia terasa gelap', dan saya tidak merasakan itu. Ia lebih kepada dunia terasa sangat sepi. Dunia terasa sangat menyakitkan. Mengapa dengan tiba-tiba sahaja Mia begitu? Tidak ada angin, tidak ada ribut dan tiba-tiba. Mengapa?

Saya dengan hati yang sudah hancur, dan dengan bantuan rekod peribadi pekerja, saya pergi ke rumah Mia untuk pertama kalinya. Rumah Semi D yang cantik, dan waktu itu, Mia ada bersama dengan ibu, ayah, dan adiknya.

Ketika pertama kali Mia melihat wajah saya, dia terkejut. Mujur ayahnya mengenali saya dan dengan ramah menjemput masuk.

Perkara pertama sekali yang saya tanya selepas duduk di sofa adalah, “Awak kata akan menunggu.”

Mia seperti biasa diam dan ayahnya yang menjawab, “Bukankah pak cik sudah beritahu, kalau ada jodoh tidak ke mana. Maknanya, anak ini tidak ada jodoh dengan anak pak cik. Sekiranya ada jodoh memang akan menunggu tetapi, kerana jodoh tidak ada, istilah menunggu juga tidak terpakai.”

Saya waktu itu tidak melihat ayah Mia, dan hanya melihat Mia.

“Mia, setidak-tidaknya, awak beritahu sahaja saya terus.”

Ayah Mia kerut dahi dan memandang Mia lalu berkata, “Mia tak beritahu dia lagi?”

“Saya takut awak terluka.”

“Mia, awak ada dua pilihan, dan kesemua pilihan itu memang akan membuatkan saya luka. Tetapi awak masih dapat memilih, luka yang paling ringan. Sekiranya awak beritahu sendiri, ya, tetap saya terluka, tetapi lukanya lebih ringan berbanding sekiranya saya tahu melalui orang lain. Itu lukanya sangat dalam, dan awak memilih untuk melukai saya dengan lebih dalam.”

Mia hanya mampu menangis. Dia tidak berkata apa-apa lagi selepas itu, dan ayahnya pula dengan wajah tersenyum meminta saya pulang. Saya pun pulang tanpa ada jawapan untuk semua persoalan saya.

SEHARI SEBELUM

Saya masih bekerja di restoran itu untuk hari terakhir. Saya sudah tidak mampu lagi bekerja di situ kerana terlalu banyak, memori yang semuanya mencucuk-cucuk hati. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu. Pedih yang teramat sangat dan mujurlah, ustaz rakan serumah saya itu kaya dengan nasihat agama, dan membuatkan saya melihat hidup sebagai manusia yang tidak melanggar aturan Tuhan itu tetap sebagai pilihan.

Ketika pedih itulah, datang seorang lelaki tinggi, berpenampilan rapi kemas, berwajah pan Asian, kacak, ke arah kaunter.

“Makan sini ataupun bungkus?” soal saya dengan memberi senyuman palsu.

Lelaki itu memandang saya dengan tatapan penuh belas dan berkata, “Saya datang sini untuk jumpa awak.”

Saya kerut dahi.

Dia melihat jamnya dan kemudiannya menyambung, “Mia kata, waktu begini adalah waktu rehat awak.”

Mendengar dia menyebut nama Mia, terus sahaja jantung saya berdegup kencang. Akhirnya tahulah saya, lelaki itulah yang akan menikahi Mia esoknya. Lalu kami pun duduk di meja dengan suasana yang sangat janggal.

“Jangan salahkan Mia. Salahkan saya. Mia sebenarnya suruh saya beritahu awak sendiri. Suruh saya hantarkan kad kepada awak. Malangnya saya terlalu sibuk hingga terlupa.”

Dia memberikan saya kad kahwin yang sama di atas meja pengurus. Saya hanya merenung tanpa tahu, mahu berkata apa.

“Mia memang ada ceritakan saya tentang awak. Lalu pada ketika dia memilih saya, saya bertanya kepada dia, mengapa bukan awak? Jawabnya, ayah dan ibunya lebih suka sekiranya dia memilih saya. Dan yang awak mungkin sudah tahu tentang Mia, ayah dan ibunya adalah keutamaannya. Saya juga tanya, tidak takutkah sekiranya awak nanti akan balas dendam ataupun apa sahaja. Kamu tahu apa dia jawab?”

Saya tidak berkata apa-apa dan hanya memandang pelik.

“Dia kata, awak lelaki yang sangat baik. Dia yakin awak tidak akan melakukan apa-apa sahaja yang bodoh. Paling utama, Mia yakin, lelaki baik seperti awak, Tuhan akan gantikan yang lebih baik. Namun tetaplah dia menangis. Saya tahu, dia juga masih sayangkan awak. Awak jangan risau hal itu. Sebelum saya masuk meminang, dia memang cintakan awak. Dia tidak pernah berpura-pura akan hal itu.”

Renungan saya tiba-tiba jadi tajam dan terus saya menyoal dengan keras, “Sekiranya awak tahu yang Mia sudah ada kekasih, mengapa awak masuk meminang juga?”

Dia tersenyum pahit dan berkata perlahan, “Sekiranya saya tahu awal, memang saya tidak akan masuk meminang dia. Saya hanya tahu selepas itu. Saya juga seperti Mia, pentingkan ibu bapa saya. Awak pun pasti faham hakikat itu sebab awak pun seorang anak. Ayah saya dan ayah Mia kawan rapat. Mereka yang mengatur semua ini, dan saya hanya menurut. Memang saya pernah mahu putuskan sahaja, tetapi ayah dan ibu saya sangat melarang keras. Dan saya tidak ada pilihan.”

“Jadi, awak fikir, awak dan Mia akan hidup bahagia?”

“Saya dan Mia sama sahaja. Sekiranya ibu bapa kami gembira, insyaAllah kami berdua akan bahagia. Pasangan yang bahagia, bukan sahaja menjaga hati masing-masing, tetapi juga menjaga hati ayah dan ibu mereka. Apabila itu mereka dahulukan, mereka akan faham, rumahtangga adalah proses untuk menjadi suami isteri dan ibu bapa yang terbaik. Rumahtangga bukan end result. End result nya nanti di akhirat sana. Di sini kita berusaha, dan cuba mencari apa sahaja jalan bagi mendapatkan end result yang terbaik di akhirat. Termasuklah berkorban soal cinta, dan cuba membina cinta di atas luka.”

“Awak tidak fikir, awak sudah buatkan saya sakit hati? Teraniaya? Macam mana end result awak nanti?”

“Itulah sebab saya datang ke sini. Saya mahu minta maaf kepada awak. Maafkan saya dan Mia. Juga, saya mahu beritahu, saya juga sama seperti awak dahulu. Saya pernah bercinta dengan seorang gadis yang cantik dan baik, tetapi seperti awak, saya tidak ada kerja. Lalu cinta saya tidak ke mana-mana kerana akhirnya gadis itu bernikah dengan seorang lelaki yang kaya. Saya sempat merana dan keadaan awak jauh lebih baik daripada saya. Jadi, lihat ini sebagai satu putaran kehidupan. Beberapa tahun nanti, selepas awak bekerja dan ekonomi awak stabil, awak akan bernikah dengan perempuan yang ada peminatnya, ada lelaki yang sudah memasang angan mahu menjadi suaminya, dan waktu itu awak juga sudah melukai hati lelaki itu. Hidup ini satu kitaran. Hari ini, kita mungkin tidak dapat menikahi orang yang kita cintai, dan pada suatu hari nanti, ada orang yang tidak dapat menikahi orang yang mereka cintai kerana kita menikahi pula orang itu. Jadi, untuk selamat, cuba-cubalah simpan 90% cinta kamu sebelum bernikah. Dengan 90% cinta itu, ia masih boleh dikategorikan cinta selepas nikah.”

Itulah kata-kata terakhir yang saya ingat daripada lelaki itu sebelum saya terus lupa pada dunia akibat pedihnya hati. Pada hari pernikahan Mia, saya hanya terbaring di dalam bilik, dengan lengan di atas dahi. Mata berkaca dan hati meremuk. Cinta, walau apa sahaja nasihat baik-baik lagi indah yang datang untuk menyapu lukanya, tetap pedihnya akan membuatkan manusia remuk tidak berdaya. Bezanya, sama ada mereka semakin ingat Tuhan ataupun semakin lupa kepada-Nya.



1 comment:

en.sani said...

Pepatah arab juga mengatakan, 'Cuba campakkan orang yg penuh cinta ke dalam lautan dalam, dia akan timbul dengan seekor ikan yg besar, jika campakkan orang yg kecewa dgn cinta di dalam gudang roti, dia akan mati kelaparan...'