Ketika itu saya sudah mampu membaca sarikata pada rancangan tv, namun pada ketika itu, apabila saya melihat wajah ayah, tidak ada apa-apa tanda yang boleh saya baca. Saya hanya tahu, wajah itu adalah wajah yang perlu saya hormati dengan berdiam diri, tidak berlari-lari, tidak berbuat bising hatta menguatkan bunyi televisyen, dan apa sahajalah perkara yang bermula dengan kata, 'tidak'.
Mungkin sekiranya kata 'tidak' itu terzahir dalam bentuk manusia, mungkin ia terzahir sebagai seorang 'ayah'. Tidak saya tahu, di sebalik apa yang saya rasa itu tersembunyi perkara yang saya hanya mampu fahami sedikit-sedikit, pada ketika kepala umur saya sudah mencecah angka tiga.
Hari itu, pada ketika ayah berada di hadapan saya, wajah yang sama masih juga saya lihat. Cuma kerut dan kendur kulitnya yang memberikan kesan perit masa lalu mula ketara. Rambutnya juga sudah terlihat putih. Segera saya memperlahankan suara tv, dan saya bangun daripada sofa yang berkedudukan terbaik bagi memberinya duduk.
Dia cuma tersenyum baik, sebelum suasana kembali menjadi sepi. Itulah yang saya fahami. Seseorang yang bernama ayah itu selain daripada kata 'tidak', mereka juga cenderung untuk menjadi 'sepi'.
"Anak kamu bagaimana?" soal ayah selepas beberapa ketika.
"Sihat, ayah."
Dia kembali tersenyum sebelum berkata, "Didiklah anak kamu dengan sebaik-baiknya. Ya, sebaik-baiknya. Jangan mendidik mereka kerana berharap dianggap sebagai orang baik, mahu membuat mereka terhutang budi, jangan kerana mahu mereka membalas jasa, bukan juga kerana niat mahu menanam simpati. Takut-takut nanti, pada suatu saat Allah mahu menguji dengan mendatangkan anak yang tidak memenuhi segala yang kita harap, lalu bagaimana hati kita? Jadi, cukuplah bersyukur kerana Allah memberikan kita peluang bagi mendidik mereka menjadi manusia yang baik. Cukuplah redha Allah yang kita harapkan. Itu yang akan memberikan kita rasa bahagia, rasa tenang, rasa nikmat, dan rasa sebenar sebagai seorang bapa. Itulah ikhlas, anakku."
Mendengarkan itu saya cuma mengangguk pelan. Segala apa yang saya lihat pada wajah ayah dahulu kita mampu saya baca dengan satu perkataan, 'ikhlas'.
1 comment:
nice...
Post a Comment