Monday, June 18, 2012

# 1. pintu biru pintu merah - sebuah novel

Nama saya Hanin. Cuma Hanin dan jangan tanya 'binti' apa. Orang mengenali saya kerana rambut merah saya. Tidak ada seorang pun yang tahu yang arwah ibu saya seorang mualaf bangsa Belanda. Tidak seorang pun tahu, saya dibesarkan oleh nenek saya yang masih ateis. Tidak seorang pun tahu, ayah saya sudah entah ke mana sejak ubun-ubun saya masih lembut, dan kakak yang sangat sayangi juga sudah hilang ditelan kota Kuala Lumpur.

Rakan-rakan pula hanya mengenali saya sebagai seorang yang keras hati, dan seorang yang tidak percaya kepada lelaki. Selain itu mereka senang kerana saya seorang yang pintar dan ia memudahkan pembelajaran mereka.

Sangat sedikit yang tahu bahawa saya sangat meminati falsafah, dan itu membuatkan saya senang bekerja di sebuah kedai buku kecil, sebagai penolong pengurus. Dan saya kurang pasti, sama ada, ada yang tahu ataupun tidak, walaupun saya beragama Islam dan mengaku saya Islam, namun ada banyak perkara yang saya lihat berkenaan Islam itu, membuatkan saya ragu-ragu kepada agama itu. Ya, saya menjadi sinis kepada agama sendiri. Berkenaan Islam saya boleh katakan, saya cuma memegang dua perkara, tidak berzina dan tidak meminum arak. Solat dan ibadah lain, itu menjadi sesuatu yang jarang saya lakukan.

Ramai juga yang cuma tahu, saya tinggal di rumah flet berpintu biru, dan di hadapan saya ada rumah flet yang pintunya merah. Lebih ramai yang mahu tahu, siapa nama dua lelaki kacak yang tinggal di rumah pintu merah itu, dan jujurnya saya juga mahu tahu kerana cara mereka menjeling saya, membuatkan saya menjadi geram. Bukan jelingan menggoda, bukan juga jelingan menghina, tetapi jelingan yang saya tidak tahu apa, dan saya berharap satu hari nanti saya berani bertanya mengapa mereka menjeling begitu.

Namun, yang paling membuatkan manusia-manusia tertanya-tanya adalah, mengapa perempuan berambut merah, yang jarang solat, tinggal serumah di flet murah berpintu biru, dengan seorang perempuan yang bertudung labuh dan sangat menjaga agamanya.

Mereka bertanya, “Kau tidak kekok?” Saya cuma diam, memberikan mereka wajah biasa saya, wajah perempuan ego yang tidak tersenyum.

Ada juga yang bertanya sambil ketawa kecil, “Bila lagi kau hendak sampai 'seru'?”

Dan untuk itu, saya tetap memberikan wajah perempuan ego yang tidak tersenyum. Untuk mereka, tidak perlu saya berikan jawapan, kerana apabila soalan ditanya dengan nada 'main-main' bagaimana jawapan yang benar akan dianggap berharga? Pasti dianggap 'main-main' juga akhirnya.

Cuma, pada hari ini sedikit berbeza. Saya bertemu dengan rakan sekolah saya yang bekerja di kelab malam. Dia ke kedai buku kecil tempat saya mencari rezeki dengan wajah yang penuh harapan.

“Aku fikir, aku mahu insaf,” katanya sebaik perbualan berkenaan masa lalu yang penuh bahagia tamat, dan mula memasuki perbualan berkenaan dunia realiti.

“Jadi kau insaf di kedai buku? Aneh. Biasanya, orang insaf pergi ke masjid,” sambung saya dengan nada yang sengaja saya tekan supaya terdengar serius.

“Aku ke sini mencari buku-buku agama,” katanya.

“Untuk apa? Untuk bertaubat? Kau bertaubat dengan buku?” asak saya lagi.

“Aku tidak tahu, tetapi setidak-tidaknya aku tahu aku tidak malu mengadu kepada buku,” jawab dia, ragu-ragu sebelum menyambung, “Kau carikan sahaja buku yang bagus, tidak perlu tanya soalan-soalan lagi.”

Akhirnya saya memberikan dia sebuah buku yang nipis.

“Panduan solat?” soal dia sebaik buku sudah bertukar tangan.

“Ya. Itulah buku yang paling baik untuk kau sekiranya mahu bertaubat,” jawab saya yakin.

“Bagaimana kau tahu?” soal dia. Terdengar nadanya tidak percaya.

“Aku dengar teman rumah aku cakap begitu.”

“Apa yang dia cakap?”

“Katanya, taubat itu sering kita faham sebagai, tidak melakukan lagi perkara berdosa yang sering kita lakukan, tetapi kita lupa dan lalai, taubat itu juga ialah berkenaan melakukan perkara wajib yang sering kita tidak lakukan. Itulah yang menyebabkan ramai mengaku bertaubat hari ini, malamnya kembali melanggar apa yang dia katakan taubat. Semuanya kerana dia sibuk menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang tetapi tidak melakukan apa yang wajib dia lakukan. Perkara pertama sebagai Islam yang perlu mereka lakukan apabila mengaku bertaubat adalah, mengerjakan solat fardu kerana solat fardu adalah tiang agama, juga menjaga kita daripada dosa, dan paling utama, ia juga menjaga taubat kita,” terang saya dengan kepala yang perit cuba mengingatkan kembali kata-kata teman serumah saya itu.

Dia memandang saya, dari atas ke bawah dan dengan wajah hairan dia bertanya, “Kau sendiri bagaimana?”

Untuk soalan itu saya akhirnya tersenyum entah mengapa.

“Sebab dia bukan beritahu kepada aku. Aku cuma dengar dia cakap.”

“Dia beritahu kepada siapa?”

“Kepada kawan-kawan dia. Entah apa namanya, usrah? Aku pun tidak pasti,” jawab saya keliru.

Saya sebenarnya tidak tahu dan faham mengapa, setiap minggu, ada satu hari ataupun terkadang dua hari, ada empat lima orang perempuan bertudung labuh datang ke rumah dan duduk dalam satu bulatan. Mereka kemudiannya berbual-bual berkenaan agama, berkenaan cara memperbaiki diri dan itu mereka namakan usrah. Sedang saya ketika itu biasanya baring di sofa dengan gaya seksi sambil menonton televisyen.

Saya sering bertanya dalam hati, 'Bagaimana mahu memperbaiki diri sekiranya hanya duduk dalam bulatan sambil berbual dengan suara perlahan dan terkadang bersuara sebak?' Aneh sekali.

Dengan itu, akhirnya beralih pula cerita berkenaan rakan serumah yang bertudung labuh itu. Cerita berkenaan betapa taatnya dia menjaga solat, berbeza dengan saya, dan betapa tidak jemunya dia menghadiahkan pakaian-pakaian yang menutup aurat sehingga saya bosan, dan keluarlah soalan, “Jadi mengapa kau masih mahu serumah dengan dia?”

Saya mahu ceritakan kepada dia, tetapi entah mengapa saya tiba-tiba hilang semangat, dan cuma berkata, “Lain hari aku ceritakan.”

3 comments:

a i m z said...

nice story!
cepat sambung. hehe ^^

...miSS fAi... said...

xsabarnye nak tunggu sambungannyaa.... =)

Cam said...

Cepat3! Sambung!