Tidak mampu tidak, terpaksa jugalah
saya mengaku, saya adalah perempuan yang akan memberikan
lelaki-lelaki itu berita, sama ada berita duka ataupun berita
bahagia. Namun itu hanya separuh daripada tugas saya, separuh lagi
adalah menyimpan rahsia yang saya peroleh sampai mati. Mahu saya
ceritakan tugas saya ini?
Cinta.
Terlalu banyak perkara di dunia ini
dimulakan daripada sesalan. Taubat juga bermula daripada sesalan,
kebaikkan bermula daripada sesalan, dan malah dendam juga bermula
daripada sesalan. Tugas saya ini juga bermula daripada suatu sesalan
atas apa yang berlaku.
Dahulu lagi saya adalah perempuan yang
mampu menarik minat para lelaki. Entah di mana silapnya, walaupun
saya sudah bertudung dan memakai niqab tetap jugalah lelaki melirik.
Kata teman saya, mata saya ini sangat sakti. Memandangnya sahaja
orang sudah tahu di sebalik niqab itu ada wajah yang serinya bak
cahaya rembulan 14.
Mungkin kerana itulah saya sering
menerima surat-surat cinta daripada entah siapa-siapa. Untuk surat
itu banyaknya saya tidak buka, dan hanya terus lempar ke tong sampah.
Saya juga menerima banyak SMS dan untuk SMS itu banyaknya saya terus
'delete'. Itu belum lagi panggilan telefon yang akhirnya saya
terpaksa beberapa kali menukar nombor telefon.
Tidak saya sedar, kesemua itu
memberikan saya satu penyakit yang perlahan-lahan membalut hati saya.
Penyakit yang membuatkan saya, tanpa saya sedar jauh daripada Tuhan
dan kemuncaknya adalah pada hari itu.
Merisik.
Hari itu adalah seperi hari-hari biasa.
Saya yang sudah berada pada tahun ketiga, belajar sendiri di
perpustakaan. Ada beban besar yang perlu saya galas, beban yang saya
cipta sendiri daripada harapan ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa
mendoakan saya.
Dalam sunyi itulah, seorang perempuan
yang berwajah baik datang kepada saya lalu dengan nada berbisik dia
berkata, “Saya datang dengan hajat besar.”
“Ceritakan sahaja,” kata saya
dengan wajah yang dipaksa manis.
“Begini sahaja. Pendek cerita, kamu
kenal Ahmad, ketua pasukan bola sepak universiti kita?” soal dia
juga dengan nada masih berbisik.
Saya berfikir sejenak sebelum saya
teringat berita bola sepak pada buletin univeristi. Sempat juga saya
membaca kejayaan mereka, dan di situ ada gambar lelaki yang bernama
Ahmad.
“Ya, saya kenal.”
Saya dengan sedikit ragu-ragu, kerana
saya sepertinya sudah dapat meneka ke mana hujung bicara itu
akhirnya.
“Dia, mewakilkan saya merisik kamu.
Sekiranya kamu setuju, minggu hadapan juga dia menghantar rombongan
meminang ke rumah orang tua kamu,” beritahunya lagi, kali ini sudah
tidak ada lagi nada berbisik.
Saya benar-benar terkejut sebelum
dengan perasaan yang masih terkejut memberitahu, “Wajah dia tidak
sanggup saya tatap walaupun hanya dua saat. Jadi bagaimana saya mahu
bangun pagi dengan dia di sebelah saya?”
Tidak tahu saya mengapa saya tergamak
dan terlanjur begitu sekali mengucapkan kata-kata itu. Itu sangat
menghina, dan akhirnya berita itu sampai jugalah kepada Ahmad. Berita
akhir yang saya terima berkenaan Ahmad adalah, dia tidak mengambil
peperiksaan akhir dan dia mengembara ke Afrika. Yang membuat saya
bertambah menyesal adalah, semua orang tahu Ahmad pergi membawa hati
yang sangat luka.
Lalu meledaklah marah saya. Mahu saya
mencari perempuan yang menyampaikan khabar itu. Mahu saya marahkan
dia cukup-cukup. Mengapa dia tidak menyimpan rahsia, dan pada ketika
kaki saya sudah sedia melangkah, rakan sebilik saya yang tahu kisah
itu memegang tangan saya.
Katanya, “Tidak perlu marah kepada
perempuan itu. Kamu patut bersyukur kerana kamu sudah tahu sesuatu
berkenaan hati kamu.”
“Itu tidak penting. Sekarang maruah
yang saya jaga sudah jatuh. Semua orang sudah tahu, saya menghina
Ahmad tetapi itu bukan niat saya dan jelas, perempuan itu memang
sengaja membawa umpatan,” hujah saya geram.
“Itulah yang saya maksudkan. Kamu
mengaku kamu memang ada mengucapkan kata-kata itu walaupun kamu tidak
bermaksud begitu. Tetapi pernahkah kamu bertanya kepada diri kamu,
mengapa secara tiba-tiba sahaja kata-kata pedih itu keluar daripada
mulut kamu? Sekiranya kamu mengaku yang kamu spontan dan tidak
sengaja, jadi perhatikan orang-orang alim ulama, orang yang baik-baik
apabila mereka menjadi spontan. Kata-kata bagaimana yang keluar
daripada mulut mereka? Mungkin mereka marah tetapi adakah mereka
menghina sesama Islam?”
Penjelasan itu membuatkan saya semakin
keliru.
“Kata-kata itu daripada hati. Walau
spontan mana pun kita, sekiranya hati kita itu baik, maka yang baik
jugalah keluar daripada mulut. Mungkin sahaja ini semua adalah
pengajaran dan peringatan daripada Allah untuk kamu. Bagi menyedarkan
kamu, di sebalik pakaian kamu itu telah wujub kesombongan tanpa
sedar, wujud riak tanpa sedar, wujud perasaan diri baik, ego yang
menggunung, dan semuanya itu tanpa sedar. Semua tanpa sedar itu akan
terpacul juga tanpa sedar daripada mulut kita. Ingat, kita perempuan
ini, hatinya di mulut. Jadi, sekarang kamu mahu pula mencari
perempuan yang memberimu pahala percuma itu? Umpatan itu adalah
pahala percuma. Jangan sibukkan salah orang kepada kita, sibukkan
dahulu salah diri kita kepada orang lain.”
Itulah kata-kata yang melemahkan saya,
yang meluruhkan seluruh jiwa raga saya. Kata-kata itu jugalah yang
membuatkan saya yakin, mahu menjadi orang tengah. Biarlah saya
membantu mereka yang mahu merisik, dan sekiranya keputusannya bagus
saya segera sampaikan, dan sekiranya tidak, saya akan segera tapis,
biar kedua-dua pihak tetap tersenyum. Dan pekerjaan ini jugalah yang
membantu saya, sedaya upaya melihat kelebihan orang lain, baik yang
merisik ataupun yang dirisik dengan cuba sedaya upaya merendah diri
dan ikhlas semasa berkata, “Saya doakan semoga kamu bahagia.” Biar bagaimanapun rupa mereka.
4 comments:
bagus entri ini~suke
entri yang bagus-bagus belaka, terus terlekat dengan blog ini :)
hmm.
selalu tersentuh.
teringin nak menulis cerpen-cerpen seperti ini.
tahniah.
walaupun saya jarang komen, tapi saya akan jengah blog ni setiap kali ada entri baru :)
Post a Comment