Thursday, May 03, 2012

dik, abang pun sayang - sebuah cerpen

Sebuah spin off's daripada cerpen saya, 'Dik, lama-lama nanti, biasalah'

Perempuan.

Orang perempuan memang tahu perkara ini. Ada waktunya, emosi tiba-tiba membuak-buak dan biasanya ia terjadi pada ketika Allah mahu memberi 'cuti'. Seperti ada sahaja yang tidak kena. Biarpun sudah berusaha menjadi sesabar mungkin, tetap jugalah meletus rasa yang ditahan-tahan dalam dada, dan untuk saya, saya tidak tahu mengapa suami saya jugalah yang menjadi mangsanya.

Betul, dengan suami sebaik itu saya tidak ada perkara mahu digantung ke lidah menjadi isu. Namun, pada ketika rasa itu sampai, apa sahaja perkara pun boleh menjadi isu, dan biasanya yang terjadi adalah kerana saya tidak puas dengan satu perkara ini. Anehnya, ia wujud pada saat dia mahu memujuk saya.

Dik.

“Sekurang-kurangnya, senyumlah, dik.”

Aduhai suami saya yang sangat saya kasihi ini, setiap kali dia mahu memujuk, hanya itulah caranya dia memujuk. 'Senyumlah, dik'. Paling berbeza pun, dia cuma berkata, 'Maniskanlah mukamu, dik'. Hanya itulah kata-katanya berdengung menambah perit rajuk dalam hati.

Malah, tidak tahu saya daripada mana datangnya panggilan 'dik' untuk saya. Jauh-jauh hari sebelum menjadi isteri, sering-sering sahaja saya terbayang kata-kata manja untuk saya. Mungkin sahaja lelaki itu memanggil saya, 'sayang', 'ayang', 'darling', dan paling saya mahu, dipanggil, 'honey'. Terpengaruh benar saya dengan drama-drama di televisyen.

Namun, pada kali pertama dia memandang wajah saya, dia tersenyum dan berkata, “Dik, kamu sudah makan?”

Sempat jugalah saya tergamam, tetapi itu tidak apa-apa lagi kerana saya fikir mungkin dia lelaki yang gugup. Jangankah dia, saya sendiri hanya tunduk memandang inai pada ibu jari kaki sendiri. Kaku dan nafas pun ditahan-tahan.

Namun, sehari, seminggu dan sehinggalah mendapat dua anak, tetap jugalah dia memanggil saya, 'dik'.

“Dik, ikan ini kamu mahu masak apa?”

“Nanti abang belikan baru. Janganlah sedih, Dik.”

“Dik, esok jangan lupa, ya.”

Untuk kebanyakkan waktu juga, saya cuma diam dan kemudiannya dengan aneh suami saya akan melakukan sesuatu yang membuat saya ketawa. Sesuatu yang saya sendiri tidak faham mengapa saya menjadi sangat mudah ketawa.

Sehinggalah pada hari itu, pada ketika rasa itu datang lagi. Sayadengan tidak tahan lagi berkata, “Abang ini, dari dahulu sampai sekarang asyik memanggil saya, dik. Dik. Dik. Tidak adakah kata-kata lain yang lebih kasih bunyinya?”

Suami saya yang saya kasihi itu terdiam lama sebelum berkata, “Maafkan abang, dik. Tidak tahu abang kata-kata apa lagi yang lebih kasih daripada itu. Maafkan juga kerana selama ini, abang hanya fikirkan dengan melengkapkan segala keperluan rumah ini, akan membuatkan kamu bahagia. Terima kasih kerana mengingatkan abang, dik, kerana apa yang diperlukan oleh hati itulah yang lebih utama.”

Saya diam. Saya berasa puas, namun tetap juga ada berasa kesal. Apalah salah suami saya ini sehingga perlu saya merajuk begini.

Lalu terjadilah detik itu apabila dia berkata, “Janganlah merajuk lagi, sayangku.”

Tidak tahu saya, terus sahaja saya ketawa sehingga keluar air mata. Entah mengapa kata-kata suami saya itu terdengar sangat lucu. Rajuk saya hilang, bertukar rasa yang bertambah sayang kepada dia.

Itulah yang sering-sering berlaku dalam hidup saya. Pada ketika saya merajuk, dan mengharapkan dia memujuk, dia seringkali gagal memujuk dengan cara yang saya fikirkan tetapi akhirnya tetap juga saya ketawa dan rajuk pun hilang.

Lalu pada hari itu, saya ceritakan perkara itu kepada ibu dan ibu segera memarahi saya, “Hal rumahtangga kamu, jangan ceritakan kepada orang lain, walaupun dengan ibu sendiri. Kamu sekarang adalah milik suami kamu.”

Tersentak dengan itu saya berkata, “Ibu, saya bukan mahu ceritakan hal rumahtangga saya. Saya cuma mahu minta pandangan ibu, mengapa saya begitu? Adakah normal?”

Ibu tersenyum.

“Anakku, suatu hari ada sorang lelaki mahu mengadu kepada Saidinar Umar R.A berkenaan isterinya yang suka membebel padanya, tetapi sebaik sahaja melihat Khalifah Islam yang paling garang dan digeruni musuh itu, lelaki itu membatalkan hasratnya dan terus pulang.

Ini kerana, semasa beliau hendak masuk berjumpa Saidina Umar, beliau terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel kepada Khalifah Islam itu. Sedangngkan khalifah pun sedang dibebel isterinya, apalah yang dia mampu tolong lagi?

Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?”

Lelaki tadi menjawab, “Aku datang hendak mengadu hal isteri aku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu.”

Saidina Umar tersenyum lalu berkata, “Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”

Jadi, adalah normal kita perempuan ini terkadang membebel, tetapi bukanlah bermakna hari-hari begitu. Sekiranya hari-hari, itu namanya perempuan sakit. Iyalah, kepada siapa lagi kita mahu mengadu selain kepada suami sendiri. Lagipula, kita perempuan ini, semarah mana pun kita, tetap sahaja kita sayang kepada suami.

“Jadi, adakah suami saya itu sebenarnya sedang mencontohi Saidina Umar?” soal saya segera, kerana hati saya menjadi sangat lapang mendengarnya.

“Ibu tidak tahu. Tetapi ibu tahu seperkara. Memang benar, Allah tidak memberikan kamu suami yang kaya, yang tinggi sekolahnya, yang kacak rupanya, tetapi Allah kurniakan kamu suami yang taat kepada-Nya dan ikhlas mengasihi kamu. Kerana taat dan ikhlasnya itu, Allah mudahkan dia dengan memudahkan hati kamu lembut dan hilang rajuk. Lembut hati kamu untuk ketawa dan lembut hati kamu untuk kembali ceria. Kamu sangat beruntung, kerana kamu juga mendapat tempiasnya. Ingatlah, keluarga yang gembira bermula dengan isteri yang gembira, dan kamu sudah memperolehnya.”

Hati saya semakin berbunga-bunga, sepertinya cinta saya kepada suami kembali basah, dan tidak sabar mahu sampai ke rumah, menunggu pulangnya suami saya. Sampai sahaja suami saya di depan pintu terus dia berkata, “Dik, kamu sudah makan?”

Saya tidak menjawab soalannya, sebaliknya terus meluru memeluk dia dengan erat-erat, dan saya tidak mahu lepas. Terima kasih Tuhan, kerana memberikan suami ini.

"Dik, kamu mengapa, dik?"

"Saya sayang...." Tidak mampu saya meneruskan kata-kata saya, kerana sudah ada air mata bening yang tumpah ruah daripada mata.

"Dik, abang pun sayang. Jangan menangis, dik."






3 comments:

Najwa Najihah said...

*senyum sendiri*

#BigClap#

Anonymous said...

Rindu dengan bapa saya, dia pun memanggil ibu saya adik, mungkin ini perasaannya bila memanggil ibu begitu.
Terima kasih tuan, karya anda selalu dekat di hati saya.
adila_alim

eira farid said...

saya taktahu kenapa saya pun nak nangis.
teruskan menulis :)