Monday, May 14, 2012

semoga kamu bahagia - sebuah cerpen


Tidak mampu tidak, terpaksa jugalah saya mengaku, saya adalah perempuan yang akan memberikan lelaki-lelaki itu berita, sama ada berita duka ataupun berita bahagia. Namun itu hanya separuh daripada tugas saya, separuh lagi adalah menyimpan rahsia yang saya peroleh sampai mati. Mahu saya ceritakan tugas saya ini?

Cinta.

Terlalu banyak perkara di dunia ini dimulakan daripada sesalan. Taubat juga bermula daripada sesalan, kebaikkan bermula daripada sesalan, dan malah dendam juga bermula daripada sesalan. Tugas saya ini juga bermula daripada suatu sesalan atas apa yang berlaku.

Dahulu lagi saya adalah perempuan yang mampu menarik minat para lelaki. Entah di mana silapnya, walaupun saya sudah bertudung dan memakai niqab tetap jugalah lelaki melirik. Kata teman saya, mata saya ini sangat sakti. Memandangnya sahaja orang sudah tahu di sebalik niqab itu ada wajah yang serinya bak cahaya rembulan 14.

Mungkin kerana itulah saya sering menerima surat-surat cinta daripada entah siapa-siapa. Untuk surat itu banyaknya saya tidak buka, dan hanya terus lempar ke tong sampah. Saya juga menerima banyak SMS dan untuk SMS itu banyaknya saya terus 'delete'. Itu belum lagi panggilan telefon yang akhirnya saya terpaksa beberapa kali menukar nombor telefon.

Tidak saya sedar, kesemua itu memberikan saya satu penyakit yang perlahan-lahan membalut hati saya. Penyakit yang membuatkan saya, tanpa saya sedar jauh daripada Tuhan dan kemuncaknya adalah pada hari itu.

Merisik.

Hari itu adalah seperi hari-hari biasa. Saya yang sudah berada pada tahun ketiga, belajar sendiri di perpustakaan. Ada beban besar yang perlu saya galas, beban yang saya cipta sendiri daripada harapan ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa mendoakan saya.

Dalam sunyi itulah, seorang perempuan yang berwajah baik datang kepada saya lalu dengan nada berbisik dia berkata, “Saya datang dengan hajat besar.”

“Ceritakan sahaja,” kata saya dengan wajah yang dipaksa manis.

“Begini sahaja. Pendek cerita, kamu kenal Ahmad, ketua pasukan bola sepak universiti kita?” soal dia juga dengan nada masih berbisik.

Saya berfikir sejenak sebelum saya teringat berita bola sepak pada buletin univeristi. Sempat juga saya membaca kejayaan mereka, dan di situ ada gambar lelaki yang bernama Ahmad.

“Ya, saya kenal.”

Saya dengan sedikit ragu-ragu, kerana saya sepertinya sudah dapat meneka ke mana hujung bicara itu akhirnya.

“Dia, mewakilkan saya merisik kamu. Sekiranya kamu setuju, minggu hadapan juga dia menghantar rombongan meminang ke rumah orang tua kamu,” beritahunya lagi, kali ini sudah tidak ada lagi nada berbisik.

Saya benar-benar terkejut sebelum dengan perasaan yang masih terkejut memberitahu, “Wajah dia tidak sanggup saya tatap walaupun hanya dua saat. Jadi bagaimana saya mahu bangun pagi dengan dia di sebelah saya?”

Tidak tahu saya mengapa saya tergamak dan terlanjur begitu sekali mengucapkan kata-kata itu. Itu sangat menghina, dan akhirnya berita itu sampai jugalah kepada Ahmad. Berita akhir yang saya terima berkenaan Ahmad adalah, dia tidak mengambil peperiksaan akhir dan dia mengembara ke Afrika. Yang membuat saya bertambah menyesal adalah, semua orang tahu Ahmad pergi membawa hati yang sangat luka.

Lalu meledaklah marah saya. Mahu saya mencari perempuan yang menyampaikan khabar itu. Mahu saya marahkan dia cukup-cukup. Mengapa dia tidak menyimpan rahsia, dan pada ketika kaki saya sudah sedia melangkah, rakan sebilik saya yang tahu kisah itu memegang tangan saya.

Katanya, “Tidak perlu marah kepada perempuan itu. Kamu patut bersyukur kerana kamu sudah tahu sesuatu berkenaan hati kamu.”

“Itu tidak penting. Sekarang maruah yang saya jaga sudah jatuh. Semua orang sudah tahu, saya menghina Ahmad tetapi itu bukan niat saya dan jelas, perempuan itu memang sengaja membawa umpatan,” hujah saya geram.

“Itulah yang saya maksudkan. Kamu mengaku kamu memang ada mengucapkan kata-kata itu walaupun kamu tidak bermaksud begitu. Tetapi pernahkah kamu bertanya kepada diri kamu, mengapa secara tiba-tiba sahaja kata-kata pedih itu keluar daripada mulut kamu? Sekiranya kamu mengaku yang kamu spontan dan tidak sengaja, jadi perhatikan orang-orang alim ulama, orang yang baik-baik apabila mereka menjadi spontan. Kata-kata bagaimana yang keluar daripada mulut mereka? Mungkin mereka marah tetapi adakah mereka menghina sesama Islam?”

Penjelasan itu membuatkan saya semakin keliru.

“Kata-kata itu daripada hati. Walau spontan mana pun kita, sekiranya hati kita itu baik, maka yang baik jugalah keluar daripada mulut. Mungkin sahaja ini semua adalah pengajaran dan peringatan daripada Allah untuk kamu. Bagi menyedarkan kamu, di sebalik pakaian kamu itu telah wujub kesombongan tanpa sedar, wujud riak tanpa sedar, wujud perasaan diri baik, ego yang menggunung, dan semuanya itu tanpa sedar. Semua tanpa sedar itu akan terpacul juga tanpa sedar daripada mulut kita. Ingat, kita perempuan ini, hatinya di mulut. Jadi, sekarang kamu mahu pula mencari perempuan yang memberimu pahala percuma itu? Umpatan itu adalah pahala percuma. Jangan sibukkan salah orang kepada kita, sibukkan dahulu salah diri kita kepada orang lain.”

Itulah kata-kata yang melemahkan saya, yang meluruhkan seluruh jiwa raga saya. Kata-kata itu jugalah yang membuatkan saya yakin, mahu menjadi orang tengah. Biarlah saya membantu mereka yang mahu merisik, dan sekiranya keputusannya bagus saya segera sampaikan, dan sekiranya tidak, saya akan segera tapis, biar kedua-dua pihak tetap tersenyum. Dan pekerjaan ini jugalah yang membantu saya, sedaya upaya melihat kelebihan orang lain, baik yang merisik ataupun yang dirisik dengan cuba sedaya upaya merendah diri dan ikhlas semasa berkata, “Saya doakan semoga kamu bahagia.” Biar bagaimanapun rupa mereka.

4 comments:

rehanmuhd said...

bagus entri ini~suke

Muhd Iqbal Samsudin said...

entri yang bagus-bagus belaka, terus terlekat dengan blog ini :)

yangsedangbercinta said...

hmm.

selalu tersentuh.

teringin nak menulis cerpen-cerpen seperti ini.

tahniah.

Fira hilwa said...

walaupun saya jarang komen, tapi saya akan jengah blog ni setiap kali ada entri baru :)