Ada satu hikayat yang ditemukan oleh Joe di dalam peti di atas loteng rumah datuknya. Ada sebuah kampung di tengah hutan, di sebuah negara di dunia ini, yang penduduknya pernah diserang nyamuk pemakan otak. Anehnya nyamuk itu, ia bukannya membunuh dengan menyuntikkan virus denggi ataupun malaria, tetapi dengan cara masuk ke telinga orang semasa mereka sedang tidur dan memakan otak mangsa. Anehnya lagi, nyamuk itu cuma mahu masuk melalui telinga walau sebesar manapun lubang hidung orang itu, atau seluas mana sekalipun mulutnya menganga semasa tidur.
Ganasnya nyamuk, masuk sahaja ia ke dalam telinga, ia teruk mengorek hingga tembus ke otak lalu memakannya, dan ramailah orang kampung yang mati. Berbagai-bagai cara juga sudah dilakukan bagi menghapuskan spesis nyamuk yang luar biasa itu.
Bermula dengan asap beracun, nyamuk itu mempan. Tidur menggunakan kelambu tebal pun boleh ditembusi, dan mahu tidur di bilik tertutup itu sangat sukar kerana rumah-rumah kampung itu dibuat daripada buluh. Manalah dapat dipastikan 100 peratus tidak ada lubang kecil, kerana nyamuk ganas itu boleh masuk daripada lubang sekecil kepala jarum.
Kemudiannya, nyamuk itu semakin ganas dan tidak lagi keluar waktu malam, malah pada siang hari juga semasa penduduk sedang membasuh baju ataupun sedang berada di atas pokok petai, nyamuk itu tidak ragu-ragu masuk ke telinga dan merodok telinga sampai ke otak. Malah pada ketika telinga disumbat dengan kapas juga, ia tetap tembus. Kuatnya nyamuk pemakan otak itu.
Lalu dari sehari ke sehari, puluhan penduduk kampung yang cuma ratusan orang itu mati ngeri. Sehinggalah ketua kampung memberi cadangan terakhir, iaitu mereka perlu berpindah, meninggalkan kampung yang sudah mereka diami sejak lapan keturunan. Itu sahaja caranya yang terfikir sebelum, ketua kampung yang penuh prihatin itu perasan, ada seorang pemuda yatim piatu yang tinggal di hujung kampung, yang malamnya tidak berkelambu namun tidak lagi mati dibunuh nyamuk. Luar biasa sekali pemuda itu kerana semua keluarga yang berada di pinggir kampung adalah antara mereka yang paling awal binasa.
Bermula dengan siasatan ketua kampung itulah kronologi lagenda ini bermula.
Telinga.
Pergilah ketua kampung itu berjumpa dengan pemuda tadi dan bertanya, “Apakah amalan kau anak muda, sehingga nyamuk ganas itu sepertinya tidak dapat membunuh kau.”
Pemuda itu mengerut dahi lalu berkata, “Tuan ketua cakap apa? Cakap kuat sikit, saya tidak dengar!”
Ketua kampung berfikir-fikir seketika, dan selepas itu dia segera memeriksa telinga pemuda itu dan terkejutlah dia, melihat banyaknya nyamuk yang mati di dalam telinga pemuda itu.
Menjeritlah ketua kampung itu dengan sekuat-kuatnya, “Sudah jumpa penawarnya!”
Lalu sejak berjumpa penawar itulah, kampung itu kembali aman dan nyamuk pemakan otak itu sedikit demi sedikit hilang dari kampung itu, dan daripada lagenda kecil itulah, muncul pula lagenda sederhana.
30 tahun.
Selepas 30 tahun dari kejadian serangan nyamuk yang memakan otak itu, kampung itu seperti dilupakan. Yalah sudahlah di tengah hutan, tidak ada telaga minyak, tidak ada kayu balak yang bernilai, yang ada cuma buah-buah hutan. Siapalah yang mahu peduli.
Mujurlah juga, Joe yang membaca hikyata nyamuk pemakan otak itu berasa teruja. Joe ini kerjanya bukanlah boleh dibuat bangga emak ayah. Kerjanya cuma tukang buat air di kedai kopi Ali & Ali. Tetapi walaupun kerja cuma tukang buat air, dia punya jiwa kembara yang kuat
Lalu dengan jiwa kembara yang kuat itulah, Joe meminta cuti daripada pemilik kedai kopi Ali & Ali iaitu Encik Ali bagi menjejaki kampung yang penuh misteri itu. Mahu benar Joe tahu apakah rahsia pemuda itu sehingga dapat menyelamatkan satu kampung.
Dipendekkan cerita, Joe selepas beberapa minggu tersesat ke sana sini akhirnya sampai jugalah dia di kampung yang pernah diserang nyamuk pemakan otak itu. Sampai sahaja di situ, Joe terkejut besar kerana setiap penduduk kampungnya membawa pembesar suara, yang digantung pada leher masing-masing.
Joe yang masih tidak tahu di mana mahu menginap segera bertanya, “Pak cik, boleh tumpang tanya?”
Lelaki yang sedang memikul tandan pisang itu membuat mimik wajah hairan, dan dengan menggunakan pembesar suara dia berkata, “Apa kau cakap? Cakap kua sikit!”
Usai berkata dengan pembesar suara, dia menghulurkan pembesar suara itu pula kepada Joe, dan Joe terpaksa membiasakan diri berbual-bual menggunakan pembesar suara. Malah kedai-kedai pembesar suara juga ada beberapa buah di kampung itu.
Walaupun kehairanan Joe pada tabiat penduduk di situ memuncak, namun tetap tidak boleh mengalahkan rasa ingin tahu berkenaan lagenda 30 tahun lalu. Nasib Joe sekali baik dan dia bertemu dengan anak lelaki yang dikatakan penyelamat kampung itu, dan seperti adat kampung itu mereka berbicara menggunakan pembesar suara.
Selepas beberapa ketika, Joe akhirnya beroleh peluang juga bertanya soalan yang sudah lama membelenggu hatinya, “Jadi, apa yang ayah Tuan gunakan bagi membunuh nyamuk-nyamuk pemakan otak itu!”
“Ayah saya orang miskin, tidak ada orang tua dan sejak kecil lagi dia sudah tidak membersihkan telinga.”
“Maksudnya?” Joe semakin berdebar-debar.
“Rupa-rupanya, nyamuk pemakan otak itu, mati apabila terkena tahi telinga. Sejak daripada itulah, penduduk kampung menyimpan tahi telinga, dan sekiranya belum sempat, mereka ambil tahi telinga ayah saya dan dimasukkan ke dalam telinga.”
Joe terkejut besar. Tahulah dia sekarang mengapa semua penduduk di situ bercakap menggunakan pembesar suara. Namun Joe tetap ada soalan yang mahu dia tanya untuk kepastian.
“Jadi, sampai sekarang penduduk di sini masih menyimpan tahi telinga?”
“Ya. Itu sudah menjadi adat di sini.”
“Tetapi bukankah nyamuk pemakan otak itu sudah pupus, lenyap, mengapa tidak korek tahi telinga? Lagipun sekarang teknologi sudah maju, pasti nyamuk-nyamuk itu dapat dibasmi dengan mudah.”
Anak pemuda lagenda itu diam seketika sambil menggaru-garu dahi. Dia merenung Joe dan berkata, “Saya tidak tahu. Sudah itu pesan orang tua saya kepada saya, supaya menyimpan tahi telinga, jadi saya simpan sahaja. Lagipun, apa masalahnya?”
Joe tiba-tiba berang dan berkata, “Masalahnya, kau semua jadi pekak! Tidakkah seumur hidup mahu bercakap menggunakan pembesar suara?”
“Itu bukan masalah. Kami sudah biasa.”
Kecewalah dan terkejutlah Joe mendengar jawapan anak muda itu. Jawapan, 'kami sudah biasa'. Tidaklah apa yang boleh dia lakukan lagi selain akur, lagenda nyamuk pemakan otak, lagenda pemuda yang menyelamatkan kampung itu tidaklah ada apa-apa sekiranya dibanding lagenda yang paling besar, iaitu lagenda kampung yang semua penduduknya pekak.
Namun oleh kerana semasa Joe bercerita, dia menggunakan kata 'lagenda', maka tidaklah ada orang mahu percaya kepada cerita Joe melainkan mereka berkata, “Sudah mahu dekat piliharanya begini, banyaklah cerita politik yang keluar. Sudahlah Joe, siapkan sahajalah kopi lette untuk aku.”
3 comments:
ini sangat sinikal
best2. :)
Saya mula meminati penulisan encik selepas membaca Penulis yang Disayan Tuhan. Sungguh tersentuh hati saya ketika membaca novel tersebut. Penuh dengan erti dan maksud yang mendalam. Semangat untuk saya menulis kembali semula setelah membacanya. Terima kasih.
Post a Comment