Thursday, February 16, 2012

Perempuan cantik di ladang teh

Kamu tahu ertinya, gadis cantik di ladang teh? Sebelum saya memberitahu kamu ertinya, biar saya ceritakan dahulu tentang diri saya. Semoga dengan itu kamu akan mengerti, bahawa saya bercerita kerana saya memang mahu kamu tahu.

Sunda.

Nama saya, Wi dan kini sudah berumur 12 tahun. Saya anak Sunda asli, dan itulah sedihnya tentang saya. Orang Sunda itu terkenal kerana putih-putih, dan pada saat kamu melihat saya, kamu tidak akan langsung meneka saya orang Sunda kerana kulit saya yang gelap. Mungkin sahaja kamu meneka saya orang Batak, Madura, dan yang paling tidak saya suka, saya digelar orang Jawa. Sudah memang begitu, orang Sunda, paling tidak suka disamakan dengan orang Jawa. Sunda adalah Sunda, dan Jawa itu bukan kami.

Itulah mula hidup saya, hidup sebagai orang Sunda yang tidak nampak ciri orang Sunda, di sebuah ladang teh di Bogor. Ladang teh yang bukan sekadar bagi mengeluarkan hasil daripada daun teh, tetapi juga hasil daripada kegilaan manusia-manusia kaya, yang mahu merasai sendiri suasana di ladang teh yang sejuk dan hijau. Tanpa mereka sedar, apa yang mereka rasai itu tidak akan pernah sama ertinya dengan mereka yang hidup matinya di ladang teh itu.

Di ladang teh itulah, ibu dan ayah saya bekerja setiap hari, sebagai pemetik teh. Bangunnya awal pagi, pada ketika kabus masih membalut bukit dan dinginnya membuatkan selimut murah saya tidak memberi apa-apa makna.

Selepas matahari sudah tergelincir, barulah kerja memetik mereka usai, dan pada setiap hujung bulan mereka memperoleh upah yang semakin membuatkan kami miskin. Itulah nasib yang saya fikir, bukan untuk saya caci dan hina. Tetapi itulah nasib yang perlu saya bela demi sebuah kata, perjuangan.

Walaupun saya tidak memilih menjadi pemetik daun teh, namun saya tetap tidak mampu lari daripada ladang teh itu. Di ladang teh itu, saya menjadi penunjuk jalan kepada pelancong-pelancong yang datang.

Saya membawa mereka ke sana sini dengan hati yang senang, kerana upah saya dikira berdasarkan kilometer. Semakin jauh saya membawa mereka berpusing-pusing, semakin tinggi upah yang saya peroleh. Dan di situlah bermulanya cerita ini.

Pemandu.

Sebagai pemandu pelancong di ladang teh, risikonya sangat tinggi. Di ladang teh, hanya ada daun teh, dan bagi membawa manusia pergi ke sana sini, bagi melihat hanya daun teh di sini dan daun teh di situ, adalah cabaran nombor satu di dunia. Lalu di situlah saya mula belajar berkenaan manusia. Manusia yang berada di situ, terutamanya perempuan cantik biasanya punya rahsia.

Rahsia yang mereka tidak akan ragu-ragu dan malu ceritakan kepada anak lelaki Sunda miskin yang berumur 12 tahun. Biasanya, rahsia mereka adalah cinta, dan daripada situlah saya lebih tahu tentang cinta berbanding lelaki yang beristeri dua.

Pada saat perempuan-perempuan cantik itu bercerita berkenaan cinta mereka yang penuh derita, saya sabar memasang wajah anak miskin yang tidak tahu apa-apa. Pada ketika cerita mereka seperti sudah hampir putus, saya akan segera berkata, “Tidak sangka ada orang sekejam itu.”

Bersemarak kembalilah cerita-cerita cinta mereka. Semakin kuatlah mereka berjalan, semakin jauh saya membawa mereka berpusing-pusing dan semakin banyak upah yang saya peroleh. Itulah untungnya saya. Walaupun saya tidak ke sekolah tetapi, saya memperoleh dua perkara dengan sekali jalan, pengalaman dan wang.

Namun, hari itu sangat berbeza. Seorang perempuan cantik yang datang dari negara tetangga, datang kepada saya dengan senyumannya yang membuatkan saya, anak lelaki 12 tahun jadi malu-malu. Namanya, biarlah saya gelar dia, Reena. Sama ada di bertudung, berkaca mata, tinggi, putih, berdarah campuran, Inggeris, Aras, Pakistan ataupun Cina, biarlah saya rahsiakan daripada kamu. Cukup sekadar saya menyatakan, dia sangat cantik. Cantiknya sehingga saya merasakan, itulah cinta pertama saya kepada seorang perempuan.

Pada saat di berada di sebelah saya, bau harumnya menyeruak sehingga menghilangkan bau baju dan seluar saya yang sudah tiga hari tidak ketemu air. Itu bukan bau minyak wangi mawar yang kerap digunakan perempuan Arab, dan juga bukan minyak wangi Perancis yang menjadi kegilaan perempuan Melayu. Itu adalah bau harum pertama yang paling menyenangkan yang pernah saya cium. Bau harum seorang yang bersih, baik dan tidak menggunakan minyak wangi.

Atas desakan wang jugalah, saya cuba menggunakan taktik saya. Saya mahu mengumpannya supaya dia bercerita berkenaan cinta, bercerita sehingga dia tidak sedar yang dia sudah berjalan 10 kilometer, dan pasti saya punya pembuka katanya.

Ayat pertama.

“Perempuan secantik kakak, mengapa datang ke sini seorang diri?” Itu soalan pertama saya, walaupun saya sangat sedar, dia tidaklah datang seorang diri kerana dia datang bersama rombongan. Tetapi itu adalah umpan dan kamu akan tahu maksud saya nanti.

“Cuba lihat di belakang. Saya datang bersama rombongan,” jawab Reena. Itu suara dia yang pertama saya dengar, dan nadanya cukup tenang dan terkesan manis di hati.

Lalu terus sahaja saya berkata, “Benar, kakak ini datang bersama rombongan, tetapi mengapa jalan seorang diri? Suami tidak ikut, ataupun buah hati masih ada kerja di kota?”

Waktu itu, Reena tersenyum dan pada ketika dia tersenyum, saya cukup yakin, dia akan perlahan-lahan membuka cerita berkenaan masa lalunya. Namun terkejutnya saya pada ketika dia berkata, “Saya belum bernikah. Lalu berkenaan teman lelaki, itu biarlah menjadi rahsia. Jadi teruskan sahaja berjalan.”

Reena langsung tidak termakan umpan saya, dan malah pada ayat akhirnya, dia seperti tidak suka saya bertanya, dan adakah ia juga bermaksud dia juga tidak suka kepada saya yang hitam dan tidak sekolah ini?

Pada ketika saya melihat rezeki saya akan berkurang, saya gembira kerana Reena rupanya yang mahu bertanya, dan dia tidak mahu saya yang bertanya. Saya ditanyakan bermacam-macam. Bermula dari nama saya, kerja ayah ibu saya, sehingga kepada sistem kerja di ladang teh. Semua dia tanya, dan kini saya pula yang seperti termasuk umpan. Saya menjadi sangat penurut, mendengar kata dan bersungguh-sungguh bercerita tanpa malu-malu. Mungkin inilah dinamakan cinta. Entah.

Kerana umur saya baru 12 tahu, cerita saya tidak panjang, dan pada ketika Reena berhenti bertanya, kami baru sahaja berjalan dua kilometer, dan saya melihat kerut pada dahi Reena, gayanya seperti mahu berpatah balik. Bayaran untuk dua kilometer adalah sangat tidak patut untuk saya, dan dengan semangat, saya tebalkan muka bagi terus bertanya berkenaan cinta. Hanya cinta yang mampu membuatkan manusia bertambah tenaga, tidak lelah, yang jauh seperti dekat, yang panas terasa dingin dan yang lama terasa sekejap. Hanya itu, dan itu juga yang saya tanya. Soalan yang belum pernah saya tanyakan kepada sesiapapun.

Soalan.

“Bagaimana kalau kakak, jatuh cinta kepada orang yang salah?” tanya saya dengan hati yang penuh harap, semoga dia mahu bercerita.

“Maksudnya?” soal Reena dengan senyuman yang sangat manis.

Untung saya punya pengalaman berkenaan cerita cinta, dan mudah saya menjawab, “Mungkin lelaki itu sangat pemarah, tidak setia, malas bekerja, tidak berpelajaran, tidak beragama, ataupun mungkin lelaki itu tunangan orang, dan paling teruk suami orang. Bagaimana?”

Reena tidak tersenyum mendengar kata-kata saya. Wajahnya menjadi wajah perempuan cantik yang mahu bercerita, dan segera harapan saya bagi membawanya berjalan jauh terwujud. Bezanya, wajah Reena tetap cantik, dan sopan. Itulah yang membuatkan degup jantung saya sudah tidak mampu saya bezakan. Sama ada degup kerana debar menunggu jawapannya, ataupun degup kerana saya jatuh cinta.

Selepas sepuluh langkah, akhirnya Reena berkata, “Setiap perkara yang kamu sebutkan, berbeza-beza situasinya. Namun, semua itu tetap ada persamaan.”

“Persamaan? Maksud kakak?” Saya pula yang menjadi mahu mendengar ceritanya. Terlalu hebat bunyinya.

“Sekiranya sahajalah kamu perempuan, pasti kamu akui perkara ini, perkara yang kamu tidak mampu maafkan adalah, berkenaan cinta. Pada saat cinta kamu dibuang tidak endah, ia hilang bersama maaf kamu,” jawab Reena dan membuatkan saya semakin ragu-ragu.

“Saya tidak faham.” Betul, saya memang tidak faham dan untuk perkara seperti itu, saya benar-benar kalah bagi memikirkan hal sebegini. Belum pernah dalam hidup saya yang 12 tahun ini diberi persoalan sebegini.

Reena tersenyum, dan pada senyuman itu sebenarnya nampak yang lebih sigap dan kuat daripada apa yang saya nilai berkenaan diri dia.

“Wi, persamaan semua itu adalah ujian dan setiap ujian datang bersama hikmahnya. Jatuh cinta itu perkara biasa, semua orang melaluinya. Jadi ujiannya adalah bagaimana kita menghadapinya sekiranya sahaja kita jatuh cinta kepada orang yang salah. Sekiranya kita tahu perkara itu, itulah rahmat Allah yang besar kepada kita dan pasti ada hikmahnya. Cuma sahaja, bagi mendapatkan hikmah itu terlebih dahulu kita diuji, dan kita diuji pada titik kita yang paling lemah. Itulah persamaannya, cinta itu datang sebagai ujian kepada kita kerana itu antara titik terlemah manusia.”

Saya akui, saya akhirnya terjerembap pada persoalan, mengapa akal saya belum sampai kepada maksud yang perempuan itu mahu? Adakah kerana saya lelaki yang baru berumur 12 tahun? Namun tetap sahajalah saya masih punya akal bagi bertanya.

“Cinta itu datang sebagai ujian, jadi bagaimana kakak menghadapi ujian itu?” Saya bertanya sambil hati berdoa semoga Reena tidak sedar sudah jauh saya bawa dia berjalan, dan semoga saya dibayar mahal.

“Saya tidak tahu caranya dan saya berharap ia tidak terjadi kepada saya.”

“Sekiranya terjadi juga?” Pantas saya menyoal kembali, dan Reena terdiam hampir seminit. Mungkin sahaja, dia baru menyedari sesungguhnya perkara itu tidak mustahil terjadi ke atas dia.

“Sekiranya terjadi juga, saya akan berdoa kepada Allah supaya berikan jalan keluar, dan semoga menguatkan hati saya bagi mengawalnya. Kamu pasti tahu, Allah punya jalan keluar yang tidak terbatas dan hanya akal manusia sendiri yang membataskannya. Kemudiannya, saya akan sedaya upaya membuat perkara yang paling sukar ini.” Reena diam lagi, dan saya pula menjadi sudah tidak tentu arah. Apakah perkara yang paling sukar kepada seorang perempuan cantik?

“Apa?” Saya mendesak.

“Terus berbaik sangka kepada Allah. Dan ia sangat sukar pada ketika hati kecewa. Memanglah pada ketika sekarang kata itu mudah, namun pada saat hati kecewa, mudah sahaja hati tanpa sedar menyangka yang bukan-bukan. Padahal,ada hikmah yang Allah mahu berikan.”

“Apa hikmah yang Allah mahu berikan?”

“Hikmah Allah itu sangat banyak dan sangat besar. Tidak terfikir kita, Wi. Memperolehnya sangat sukar. Jadi bagaimana mahu memperoleh hikmah sekiranya kita belum diuji? Lalu ujian begini datang. Semakin perit ujiannya, semakin besar hikmahnya dan memberi maaf adalah antara cara bagi memperolehnya. Memberi maaf kepada diri sendiri, memberi maaf kepada lelaki itu dan memberi 'maaf' kepada takdir Tuhan. Pada ketika kamu mampu memberi maaf, pada ketika itulah hikmah daripada Allah itu semakin hampir dapat ke dalam hati. Pada perkiraan saya yang kurang ilmu ini, antara hikmahnya adalah berkenaan sabar pada ujian, redha pada ujian, dan paling utama, ikhlas pada ujian. Semua itu, kata kuncinya adalah memberi maaf. Namun, terus terang sahaja, saya sangat takut kepada ujian itu kerana saya takut gagal memaafkan. Saya sentiasa berdoa semoga Tuhan terus memberikan saya cinta kepada lelaki yang tepat supaya saya tidak perlu memberi maaf kepada lelaki yang salah.”

Saya tersenyum lebar, bukan kerana mendengar ceritanya tetapi kerana sudah berjaya membawa dia berjalan jauh. Sudah terbayang wang yang akan saya peroleh, dan sekarang cuma perlu satu soalan akhir.

“Sudah bertemu cinta lelaki yang tepat?” soal saya tersenyum.

Dia ikut tersenyum lalu menjawab, “Belum, jadi doakan saya berjaya menemuinya.”

Saya terus mendoakan dia, semoga perempuan cantik itu menemuinya cinta yang tepat. Dan saya tidak sedar, diam-diam saya berharap saya adalah lelaki itu, namun seketika kemudiannya saya tahu doa saya kepadanya termakbul, kerana saya kembali sedar, saya bukanlah lelaki yang tepat untuk perempuan secantik dan sebaik itu. Saya cuma anak lelaki berumur 12 tahun, gelap, tidak bersekolah dan tidak punya apa-apa, selain Tuhan. Seketika juga, saya seperti tersedar, saya baru sahaja diuji dengan nama cinta itu sendiri.

PENGUMUMAN:

Dengan rendah hati, boleh juga dapatkan buku terbaru Bahruddin Bekri di pasaran. Hidup Penuh Cinta. Ini adalah kompilasi cerpen-cerpen cinta berkenaan hidup, keluarga, rakan-rakan dan Tuhan :) Boleh klik link di bawah bagi pembelian online ataupun terus menempahnya di kedai. :)

http://www.bookcafe.com.my/en/remaja/hidup-penuh-cinta-en.html









2 comments:

Cik Beah said...

bismilLah.

sejujurnya, saya hilang kata-kata bila berdepan dengan karya sebagus ini, apalagi, mahu meninggalkan jejak di sini.

apapun, tahniah kepada tuan BB.

teruslah menghargai bakat menulis yang Allah beri. jangan sia-siakan.

teruslah menyampaikan ayat-ayat cintaNya melalui cara tuan yang tersendiri ini.

semoga Allah redha. amin.

FreeMen said...

tuan, saya org sunda. =)