Friday, February 17, 2012

Daun Beringin - sebuah cerpen

Saya suka membaca cerpen-cerpen Soeprijadi Tomodihardjo, penulis Indonesia yang berpangkalan di Jerman. Saya suka gaya ia bercerita. Ia anti plot, dan apa yang mahu dia sampaikan, bukan pada hujung cerita tetapi berselerak di seluruh cerpennya. Malah kadangkala ia bermula pada ayat pertamanya. Jadi, saya sentiasa perlu membaca dua tiga kali bagi mendapat maksudnya.

'Daun Beringin' adalah cerpen yang pernah terbit di Tunas Cipta. Ia adalah cubaan saya mahu mengikut cara Soeprijadi Tomodihardjo, tetapi saya fikir saya gagal. Ini kerana 'Daun Beringin' diulas, "jarang sekali penulis membawa tema harta pusaka", dan membaca ulasan itu saya rasa mahu pengsan. kahkahkah. Tema harta pusaka? Ya, itulah kegagalan saya pada ketika tema yang mahu dibawa tidak sampai, dan tema yang saya langsung tidak terfikir pula yang pembaca peroleh.

Namun saya belajar dua perkara, pertama menulis ala Soeprijadi Tomodihardjo, mungkin hanya Soeprijadi Tomodihardjo sahaja yang mampu dan kedua, saya perlu lebih gigih belajar menulis.  Ok, di di bawah adalah percubaan saya yang gagal. :)


DAUN BERINGIN
Banyak kali juga dia memandang ke sana. Di seberang jalan, yang ada seekor anjing kurap di telinga, yang seperti sedang menjaga bangunan yang seperti sudah boleh diduduki. Mungkin adalah empat lima kali di memandang, dan kali ini lebih lama. Matanya memandang cermat, seperti mata duda yang terpandang anak dara duduk di tangga. Sambil-sambil itu mulutnya tetap mengunyah-ngunyah, menjelaskan dia sedang memandang dalam keadaan yang sedang menjamu selera.

Pada saat dia berhenti mengunyah, kerana yang dikunyahnya itu sudah lumat masuk ke perut, barulah dia meluruskan lehernya, tunduk dan melihat pada mi rebus yang masih berkepul-kepul di hadapannya. Segera dia mengangkat sudu yang sarat mi kuning bergantungan sampai ke mangkuk. Bau mi rebus itu membuatkan dia tidak tahan. Namun pada saat matanya memandang ke sana, tangannya yang memegang sudu yang sarat mi berhenti, terawang-awang. Wajahnya menjuih-juih benci. Perempuan yang duduk di hadapannya yang memaparkan ciri seorang yang berakhlak baik, seperti teruji dengan ulah lelaki di hadapannya itu.

“Abang, makanlah dulu,” tegur perempuan itu. Nadanya separuh merayu dan separuh tidak berpuas hati.

Lelaki itu, yang kerinting rambutnya tetapi dipotong pendek sehingga tidak perlu apa-apa fesyen, memandang perempuan di hadapannya. Wajahnya jelas tidak suka dirayu dengan nada yang tidak puas hati.

“Mana mungkin abang boleh makan dengan tenang kalau benda itu ada di sana,” kata lelaki itu keras. Matanya terus memandang ke arah sana sebelum sudu yang sarat mi disodorkan ke mulut. Seketika wajah lelaki itu nampak tenang. Rasa mi rebus berpadu dengan lidah, dan saraf-saraf nikmat di lidah segera memberikan rasa sensasi kepada lelaki itu. Lelaki itu seperti terlupa seketika apa yang membuatkan hatinya rusuh.

Pantas fikiran lelaki itu beranjak ke belakang, pada tahun-tahun yang dia masih di bawah tanggungan bapanya. Bapanyalah yang pertama kali membawa dia itu ke situ. Ke kedai mi rebus, di bawah pokok Beringin. Sedapnya mi rebus di bawah pokok Beringin itu, tiada duanya. Katakan sahaja rasa apa yang kamu mahu, pasti ada di dalam mangkuk mi rebus itu. Rasa manis, rasa masam, rasa masin, rasa pahit, rasa daging, rasa tepung, rasa sayur, rasa panas, semuanyalah... bersatu dan menyatu lalu menjadi legenda pada lidah-lidah yang pernah merasanya.

Ingat juga lelaki itu kepada pengasas kedai mi rebus di bawah pokok Beringin itu, seorang lelaki bernama Pak Alimun. Lelaki yang seperti rentung kulitnya. Rambutnya sudah kelabu, tetapi gigi yang masih kukuh dan tidak pernah lupa mengenakan songkok hitam yang sudah rosak kain baldunya kerana kerap terkena hujan.

Kata ayahnya, Pak Alimun dahulu berasal dari Sumatera, di Daerah Jambi. Datang ke Malaysia semasa Perang Vietnam sudah berakhir. Mulanya, Pak Alimun bekerja menjadi kuli menggali longkang, sebelum menjadi kuli di ladang getah, dan akhir sekali Pak Alimun bernikah dengan gadis tempatan yang dia temui semasa mengutip getah, dan terus mendapat taraf penduduk tetap yang masih banyak lompang keistimewaannya berbanding mereka yang bertaraf warganegara.

Selepas itu, entah daripada mana motivasinya, sama ada kerana sudah berkeluarga ataupun kerana sudah bosan hidup menjadi kuli, Pak Alimun mula membuka gerai menjual mi rebus. Resipinya tidak ada seorang pun tahu asalnya daripada mana. Sama ada resipi dari Sumatera ataupun resipi daripada isterinya.

Mula-mulanya Pak Alimun menjual di sebelah kilang getah, dan ramailah pekerja kilang yang datang menjamu selera di situ semasa pagi dan tengah hari. Namun, kuasa Tuhan, kilang getah itu dipindahkan ke kawasan lain dan gerai Pak Alimun tidak laku lagi.

Akhirnya, Pak Alimun pun membuka gerai mi rebusnya di bawah pokok Beringin, dan selepas berpuluh-puluh tahun, gerai mi rebus itu masih ada, walaupun Pak Alimun sendiri sudah lama meninggal dunia kerana terkena barah paru-paru.

Legasi mi rebus di bawah pokok Beringin itu disambung oleh anak-anaknya, yang lelaki itu sudah tidak kenal seorang pun daripada mereka kerana lelaki itu juga sudah berpindah mengikut bapanya, selepas dua tahun Pak Alimun meninggal.

Hari ini, sengaja lelaki itu mengajak isterinya datang ke kampung asalnya, kerana dia ada urusan tanah pusaka . Hari ini juga, lelaki itu dengan yakin mengakui, selepas berpuluh tahun, tidak ada pun yang berubah pada rasa mi rebus itu, walaupun meja dan kerusi kayu sudah digantikan dengan meja dan kerusi plastik. Walaupun atap nipah sudah pun digantikan dengan zink warna merah, dan dinding buluh sudah digantikan dengan blok-blok simen.

Seketika, perasaan selesa lelaki itu terhempas lagi semasa dia kembali memandang ke arah sana. Wajahnya yang tadi tenang kerana rasa mi rebus itu membangkitkan nostalgia lama, kini mula beriak-riak geram. Matanya terus memandang tajam ke arah sana.

“Abang, makanlah dahulu. Asyik pandang ke sana, sampai esok tidak habis mi nya.” Isterinya yang masih menyisakan keayuan masa lalu terus memujuk lembut lelaki yang mengajaknya ke situ. Susah juga hatinya kerana dia sangat kenal lelaki di hadapannya itu. Jenis-jenis lelaki yang apabila putih katanya, putihlah jadinya. Apabila hitam katanya, hitamlah jadinya.

Pernah juga dia terfikir, lelaki yang dikahwininya itu elok hidup pada zaman Hang Tuah. Pasti lelaki itu akan menjadi orang yang terkenal seperti Hang Tuah ataupun Hang Jebat. Paling tidak pun pasti akan dikenang seperti kita-kita ini mengenang Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi.

Wajah lelaki yang asyik memandang ke arah sana, terus ditatap dengan hati yang susah. Pada wajah lelaki itu memantul perasaan tidak enak dalam hatinya. Rasa marah, rasa tidak puas hati dan yang paling perempuan itu takuti, rasa mahu mengamuk. Kalaulah lelaki di hadapannya itu mengamuk pasti amuknya itu hanya dapat ditahan oleh 20 orang lelaki muda. Sedangkan selepas memandang ke sekeliling gerai mi rebus itu, perempuan itu membilang-bilang, hanya ada dua orang lelaki tua sedang berbual-bual tentang politik. Kemudiannya di meja hujung ada seorang anak sekolah menengah yang sedang makan mi rebus seperti orang yang pertama kali berbuka puasa. Di sebelah mejanya pula ada seorang mak cik tua, penjual kerepek pisang yang sedang duduk berehat sambil meneguk sirap ais. Pasti mak cik tua itu sudah berkeliling di sana sini. Manakala pelayan gerai itu pula seorang gadis Indonesia yang dia yakin tidak ada permit, sedang duduk di dapur dengan wajah yang kosong. Manakala pemilik gerai itu pula entah ke mana, dia tidak tahu. Mungkin ada di rumah sedang tidur berdengkur.

Hanya itulah orang yang ada di kedai mi rebus di bawah pokok Beringin itu. Pasti tidak ada seorang pun yang mampu menahan lelaki di hadapannya itu apabila lelaki itu mengamuk. Ingat lagi perempuan itu semasa kali pertama dia melihat lelaki itu mengamuk.

Waktu itu, lelaki itu masih jadi tunangnya, dan lelaki itu mengamuk di hadapan rumah ayahnya. Semuanya kerana ayahnya mahu memutuskan pertunangan mereka berdua. Ada orang, yang entah siapa berbisik kepada ayahnya mengatakan lelaki itu kaki perempuan.

Lelaki itu pula, apabila dikatakan dia seorang kaki perempuan, marahnya seperti gunung berapi yang meletus. Akhirnya selepas lebih 20 pemuda kampung menahan lelaki itu, dan selepas ayahnya memberi jaminan yang lelaki itu boleh bernikah dengan dia, amuk lelaki di hadapannya itu pun reda. Itulah juga yang menjadikan dia sangat-sangat cinta kepada lelaki di hadapannya.

“Aku betul-betul tidak puas hati!” kata lelaki di hadapannya itu keras, membuyarkan ingatannya pada masa lalu.

“Ya, saya faham. Tetapi habiskan dahulu mi rebus itu. Tidak baik marah-marah di hadapan rezeki.” Perempuan itu terus berusaha memujuk, sambil hatinya berdoa semoga lelaki di hadapannya itu tidak sampailah mengamuk.

Lelaki itu pula jelas masih menahan-nahan gelojak dalam dadanya, seperti suri rumah yang menahan air daripada paip yang rosak. Bau mi rebus di hadapannya terus menggodanya. Mujur sekali masih ada benda yang Tuhan ciptakan di dunia ini bagi membuatkan dia menahan marahnya itu.

Dengan tangan yang gagah, sesudu mi rebus lagi disumbatkan ke mulut dan terus fikirannya berkicau kepada masa lalu. Semasa dia dan ayahnya duduk-duduk di gerai mi rebus itu, berbual-bual berkenaan masa hadapan.

“Nanti apabila kamu buat sesuatu, buatlah betul-betul. Buat seperti Pak Cik Alimun ini. Dia buat mi rebus ini, dia buat betul-betul. Mana ada orang yang boleh lawan rasa mi rebus Pak Cik Alimun. Nanti-nanti, mungkin empat lima tahun lagi, kamu lihatlah di mana Pak Cik Alimun berada. Waktu itu, mungkin mi rebusnya sudah ada cawangan, gerai ini pun mungkin sudah ada 50 meja, rumah kayunya akan jadi rumah besar-besar seperti dalam cerita Hindustan. Basikalnya akan menjadi kereta. Itulah yang akan terjadi kepada orang yang membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh,” pesan ayah lelaki itu.

Tetapi, selepas beberapa tahun, tetap tidak ada juga yang berubah pada gerai mi rebus itu. Tetap mejanya 10, tetap atapnya nipah, tetap Pak Alimun berbasikal tua, dan tetap rumahnya kayu yang apabila hujan lebat bocor di bahagian dapur.

Malah selepas Pak Alimun meninggal, tetap tidak ada apa-apa yang berubah walaupun Pak Alimun sudah membuat mi rebus yang tiada duanya. Sekarang pun, selepas berpuluh tahun, walaupun atap nipah sudah berganti zink merah, dinding buluh berganti blok simen, meja kerusi kayu berganti meja kerusi plastik, dan daripada 10 meja menjadi 15 buah meja, ia tetap tiada cawangan, ia tetap tidak boleh dikatakan berkembang.

Fikir lelaki itu, sepatutnya selepas berpuluh-puluh tahun, gerai mi rebus itu walaupun masih di tapak asal dan tiada cawangan, sekurang-kurangnya ia sudah ada 50 meja seperti kata ayahnya. Mungkin lebih lagi, gerai itu bertukar menjadi restoran tiga tingkat. Paling tidak, mi rebus itu menjadi sebutan seperti pau di Tanjung Malim, ataupun nasi lemak di Kampung Baru. Namun, mi rebus itu seperti tidak ada seorang pun yang kenal.

Lelaki itu kembali memandang ke arah sana dengan mulut yang masih terus mengunyah. Wajahnya geram, geram betul sehingga nampak merah. Matanya terus bulat-bulat memandang ke arah situ, marah dan tidak puas hati.

“Abang....” Perempuan di hadapannya terus menegur lembut.

“Apa?” Lelaki itu membengis.

Perempuan itu terus menikus. Ngilu betul hati perempuan itu mendengar nada suara lelaki di hadapannya itu. Bukanlah dia tidak biasa, dan biasanya dalam seminggu ada juga dua tiga kali lelaki itu membengis begitu, tetapi setiap kali lelaki itu membengis, dia tetap berasa takut, tetap berasa itulah pertama kali dia dibengisi.

Terus perempuan itu sekali lagi memandang sekelilingnya, memandang di dalam gerai mi rebus yang menjadi kebanggaan lelaki di hadapannya. Terkenang lagi perempuan itu semasa pertama kali lelaki itu memberitahu berkenaan mi rebus yang paling enak di dunia, iaitu mi rebus yang ada di kampung lahir lelaki itu. Namun, selepas hampir 20 tahun bernikah, itulah pertama kali dia sampai ke situ dan itulah pertama kali merasa mi rebus yang saban tahun, pasti ada dua tiga kali disebut oleh lelaki di hadapannya.

Untuk dia, mi rebus itu memang sedap tetapi ia tetaplah sama dengan rasa mi rebus di gerai di hadapan pejabatnya. Entah apalah yang membuatkan lelaki di hadapannya itu yakin dan bersungguh-sungguh mengatakan itu adalah mi rebus yang tiada duanya di dunia. Mungkin ia ada kaitan dengan masa kecilnya, mungkin juga ia ada kaitan dengan kenangan bersama ayahnya. Mungkin itulah yang menjadikan mi rebus itu paling sedap di dunia.

Tidak tahu juga dia, atas sebab apa lelaki di hadapannya itu tidak pernah membawa dia balik ke situ, ke kampung asal dan ke gerai mi rebus. Bertambah hairan, entah apa mimpi lelaki di hadapannya itu, hari ini pula tiba-tiba lelaki itu mengajaknya ke sini.

Bertanya juga dia tadi dan lelaki itu berkata ia berkenaan tanah pusaka. Selepas mendengarkan jawapan itu, dia diam sahaja dan kemudiannya hanya bercerita berkenaan anak lelakinya yang akan menghadapi SPM dan anak perempuannya yang sudah mendapat panggilan telefon daripada lelaki.

Lelaki di hadapannya itu membawanya ke pejabat daerah, kemudiannya ke beberapa buah rumah. Selepas itu, barulah lelaki di hadapannya itu membawanya ke gerai mi rebus yang saban tahun diceritakan oleh lelaki itu.

Dia tidak tahu apa yang terjadi di pejabat tanah dan di beberapa rumah yang lelaki itu pergi, kerana lelaki itu menyuruhnya tinggal di dalam kereta. Namun hairannya, wajah lelaki itu mula hilang tenang, tetapi tetap mampu berbual berkenaan bola sepak Sepanyol, yang kemudiannya nampak beria-ia apabila singgah ke gerai mi rebus di bawah pokok Beringin, dan terus memandang ke arah sana, ke seberang jalan berhadapan dengan gerai mi rebus. Dia ikut memandang ke situ dengan hati yang terhairan-hairan. Di situ hanya ada anjing yang kurap telinga sedang menjilat-jilat bulu, seperti tidak menghiraukan buruh yang sedang sibuk keluar masuk dari bangunan yang mungkin sedang dikemaskan bahagian dalamnya.

“Siaplah kau!” kata lelaki itu dengan keras lalu dia berdiri dengan wajah yang keras, dengan tiba-tiba. Matanya semakin galak memandang ke seberang jalan. Di situ anjing kurap semakin asyik menjilat bulunya, dan buruh-buruh semakin banyak yang keluar dari bangunan.

Perempuan di hadapannya semakin kecut hatinya. Dia ikut bangun dan kedua-dua tangannya terus memegang tangan lelaki itu. Namun lelaki itu sudah seperti nekad. Mi rebus di hadapannya sudah habis dan dia sudah tidak ada sesiapa lagi yang mampu menghalang. Dengan kasar dia merenggut tangan kanannya yang dipegang kejap oleh perempuan di hadapannya.

“Abang....” jerit perempuan itu kecil, namun lelaki itu sudah melangkah ke seberang jalan dengan wajah yang memerah.


Sebulan kemudian.
Gerai mi rebus di bawah pokok Beringin sudah hilang, dan hanya tinggal tapaknya sahaja yang bersimen. Pokok Beringin itu juga sudah nampak ketuaannya. Batangnya besar menjulang dan daun-daunnya jatuh sampai ke seberang jalan, dan di seberang jalan sana, sebuah kereta berhenti.

Seorang perempuan keluar dari kereta, diikuti oleh seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan, yang pasti adalah anaknya. Perempuan itu memandang bangunan tiga tingkat di hadapannya.

“Inilah restoran mi rebus yang ayah kamu selalu ceritakan,” kata perempuan itu dengan wajah yang tersenyum pahit.

“Tetapi ayah kata, gerainya di bawah pokok Beringin,” kata anak lelaki itu lalu rapat dengan ibunya.

“Mereka sudah pindah ke sini. Bangunan pun sudah tiga tingkat,” jawab perempuan itu lalu dengan langkah yang teratur dia melangkah masuk ke restoran, dan matanya awas memandang ke dalam restoran yang sesak dengan manusia.

Seketika, mata perempuan itu terhenti pada seseorang, dan dengan segera dia mengemaskan raut wajahnya supaya terlihat tenang namun tetap terbenam dalam daerah simpati. Dia memberi isyarat kepada kedua-dua anaknya supaya mengikutnya.

Selepas beberapa langkah, dia sudah berdiri di hadapan seorang lelaki yang berbalut kepalanya. Wajah perempuan itu semakin memperlihatkan rona simpati yang tidak palsu. Dengan suara yang penuh tekanan dia berkata, “Maafkanlah suami saya. Saya mohon, batalkan pertuduhan ke atasnya.”

Lelaki yang berbalut kepalanya itu memegang kepalanya. Wajahnya ada terlihat geram, namun pada saat dia melihat wajah perempuan itu, dan kemudian melihat pula dua orang anak remaja di belakangnya, simpati dan kasihan muncul pula dalam hatinya.

“Saya tidak tahu berkenaan perkara itu, tetapi saya boleh usahakan. Tetapi kalau berkaitan dengan tanah pusaka, memang saya tidak boleh berbuat apa-apa. Ayah suami kamu sendiri yang memajakkannya kepada ayah saya, dan ia sah di sisi undang-undang. Lalu apabila sudah tidak dibayar, maka tanah itu jatuh kepada saya. Bukan salah saya juga kalau ayah suami kamu tidak memberitahu dia,” kata lelaki yang berbalut kepalanya itu.

Perempuan itu mengangguk-angguk. Terbit harapan dalam hatinya. Kemudiannya, sehelai daun pokok Beringin yang sudah kering, singgah ke pipinya, ditiup angin tengah hari yang buas. Perempuan itu diam lalu menyentuh daun Beringin di pipinya, tersenyum penuh hormat dan fikirannya terus melayang kepada anjing yang kurap di telinga, mi rebus dan daun Beringin yang sudah ada di tangannya.




2 comments:

pintudung said...

Terlebih dahulu sy mohon maaf kerna komen sy adalah komen seorang yg sgt mentah & naif dlm dunia penulisan:
- gaya penulisan teliti, boleh merasai susana & emosi cerita
- agak meleret pd 1 tahap hingga sy agak kebosanan
- sy 'lost' pd akhir cerita :)
- ap pun sy tetap suka gaya penulisan saudara

pintudung said...
This comment has been removed by the author.