Tuesday, February 28, 2012

crush - sebuah cerpen :)

Rasa jemu sudah melutut dalam dada saya. Lamanya menunggu urusan di bank yang satu ini. Entah mengapa, kata 'kerajaan' itu seperti kata yang membawa kesal ke dalam hati. Apa-apa sahaja yang hinggap pada kata 'kerajaan' akan cenderung menjadi lambat, memberi rasa dikhianati, dan paling tidak saya suka ia membawa hasutan-hasutan jahat ke dalam hati saya bagi memaki.

Itu yang terjadi pada hari itu, pada sebuah bank yang masih melekat bau 'kerajaan' pada namanya. Lambatnya tidak main-main. Lambat yang sejati. Lambat yang tidak kenal malu. Sudah hampir sejam saya di situ dan selama itu jugalah saya duduk dengan wajah resah dan terburu-buru.

Menunggu dan terus menunggu sehingga, saya perasan ada seseorang duduk di kerusi belakang saya. Tidak ada apa-apa sebenarnya, orang itu duduk di belakang saya, sehinggalah saya mendengar telefon bimbitnya berdering. Dering yang menyatakan itu telefon bimbit keluaran tahun 2004 ataupun 2005. Terlalu jauh ketinggalan zaman. Itu yang pertama datang dalam fikiran saya, namun pada ketika saya mendengar suaranya, saya terdiam.

“Ya, ibu. Ibu jangan risau, saya sudah ada di bank sekarang. Nanti saya masukkan duit ke akaun adik. Ibu jangan risau.”

Suara itu, suara perempuan yang taat. Itu agak-agak saya. Mahu juga saya berpaling dan melihat wajahnya tetapi saya kukuhkan hati, kerana khuatir juga saya nanti terlihat sebagai lelaki yang dikata - “Amboi, mata bukan main lagi”. Ya, sangat khuatir.

“Ibu tidak perlu masukkan duit ke akaun adik. Ibu simpan duit ibu. Jangan risaukan adik-adik, saya akan menjaga mereka semua.”

Pada kali kedua mendengarkan suara perempuan itu, datang anggapan kedua saya, dia adalah perempuan yang bertanggungjawab. Dan saya semakin menguatkan sandaran pada kerusi, biar telinga saya semakin jelas mendengar kata-katanya.

“Saya baik ibu. Ibu jangan risau. Ibu yang jaga diri. Nanti saya masukkan duit ke akaun ibu juga.”

Saya tahu mendengar curi itu bukan perbuatan terpuji, tetapi entah mengapa nada suara perempuan di belakang saya, yang tidak nampak wajah itu terlalu baik, terasa memberikan sesuatu kepada hati. Dan pada kali ketiga saya mendengarkan suaranya, saya beranggapan, dia perempuan yang berdikari penuh harga diri.

“Ibukan bercita-cita pergi Mekah. Setakat jualan tudung-tudung ibu, mana cukup. Lagipun saya sudah berjanji kepada ibu, mahu menghantar ibu ke Mekah.”

Pada kali keempat saya mendengarkan suara perempuan itu, saya tahu dia adalah perempuan yang menjaga agamanya. Hati saya pada ketika itu sudah lupa pada masalah menunggu lama di bank itu. Terdetik hati saya, biar lebih lama begini dan saya suka. Suka pada perkara yang saya tidak tahu puncanya.

“Ibu, minggu depan saya balik. Saya pun sudah rindukan ibu. Itulah, saya mahu ibu tinggal dengan saya, ibu tidak suka. Hari-hari saya asyik teringatkan ibu.”

Pada kali kelima, saya terus beranggapan, perempuan ini adalah keturunan yang baik-baik, yang dijaga dan dididik oleh ibunya dengan penuh kasih, sehinggakan kata-katanya terdengar begitu lembut dan tidak dibuat-buat.

“Ya, ibu. Saya tahu ibu sayangkan saya, saya juga sangat sayangkan ibu. Tetapi demi adik-adik, saya perlu berkorban. Doakan sahaja, semua ini tidak lama. Ibu jagalah diri baik-baik dan jangan risaukan jodoh saya. Saya akan punya keluarga juga selepas ibu tidak lagi risau dengan masa hadapan adik-adik. Namun buat masa ini, biarlah saya tanggung semua risau ibu, sekiranya tidak semua, biarlah saya berkongsi risau itu, kerana ibu sudah risau sejak hari pertama ibu tahu mengandungkan kami.”

Pada kali keenam mendengarkan suara itu, saya mula beranggapan, bukan lagi kepada perempuan itu, tetapi kepada diri saya, saya sudah jatuh hati. Hanya untuk perbualan yang tidak sampai tiga minit, saya sudah jatuh hati keada perempuan yang saya tidak nampak wajah dan duduk di belakang saya?

Lalu pada ketika saya nekad mahu berpaling, nombor giliran saya pula disebut. Bergegas saya ke kaunter sambil kepala mencari akal, atas alasan apa mahu berpaling ke belakang? Mahu berpaling dengan membuat aksi leher lenguh, itu sudah terlalu basi. Perlu suatu aksi yang lebih daripada sekadar itu bagi memberikan pandangan pertama yang baik.

Ketika urusan selesai, dan saya berpaling perempuan itu pula sudah tidak ada di tempatnya. Mata saya meliar ke sana sini mencari siapa perempuan yang saya sudah jatuh hati kepadanya. Sayang, saya cuma kenal suaranya, kenal peribadinya, kenal kisahnya tetapi tidak kenal wajahnya.

Hidup memang selalu begini, yang terbaik selalu datang pada ketika kita malu berpaling ke belakang, dan pada ketika kita sudah berani berpaling, ia hilang dan hanya meninggalkan sesuatu dalam kepala untuk difikirkan pada setiap malam.


7 comments:

Unknown said...

aduhhh... terlepas sudah...

indah sungguh baris kata-katanya... almaklumlah penulis tersohor bukan...

mudah-mudahan dapat lagi dan lagi peluang seperti ini... lain kali jangan lepaskan...

http://thetimelines2u.blogspot.com/2011/11/cerita-zaman-kecil-pesan-atuk-bahagian.html (mungkin boleh bacakan ini sebagai pengenalan dan perkenalan...)

teringin menulis seperti tuan, tapi tak punyai masa dan idea... selamat maju jaya..

yaqut hulaif said...

assalamualaikum.

mantep, cerpen yang indah. selalu saya malas nak baca cerpen sebab selalunya panjang2.

moga diberi kekuatan ya saudara, terus menulis memberi ibrah kepada semua.

-yaqut hulaif

aNa QaRiMaH_PuSPa ^_^ said...

cerpen yang ringkas.... dan terus terang bahagian akhir ayat 2 buat ana pula yang tertinggal soalan dalam kepala.... sipakah muslimah tersebut? sungguh beruntung ibunya punya anak yang taat.... semoga tuan d beri kekuatan untuk terus berkarya...

yangsedangbercinta said...

aduh..! masih bicara tentang cinta ya, tuan?

baru saya tahu, rupanya lelakipun sama juga ya dengan perempuan yang mudah jatuh cinta?

lucu banget!

a i m z said...

kalau ada jodoh, mesti jumpa jugak lepas ni. huhu

Kurma said...

Saya terfikir wanita itu adalah seorang kakak 50an yang nombor gilirannya telah pun dipanggil.

adila_alim said...

saya pula aneh, sudah ada dihadapan pun masih malu untuk melangkah kerana rasa perlu untuk menoleh kebelakang sangat kuat berbanding melangkah kehadapan, makanya saya yang paling ketinggalan jika dibandingkan dengan teman-teman saya, lucukan!

adila_alim