Tuesday, February 28, 2012

crush - sebuah cerpen :)

Rasa jemu sudah melutut dalam dada saya. Lamanya menunggu urusan di bank yang satu ini. Entah mengapa, kata 'kerajaan' itu seperti kata yang membawa kesal ke dalam hati. Apa-apa sahaja yang hinggap pada kata 'kerajaan' akan cenderung menjadi lambat, memberi rasa dikhianati, dan paling tidak saya suka ia membawa hasutan-hasutan jahat ke dalam hati saya bagi memaki.

Itu yang terjadi pada hari itu, pada sebuah bank yang masih melekat bau 'kerajaan' pada namanya. Lambatnya tidak main-main. Lambat yang sejati. Lambat yang tidak kenal malu. Sudah hampir sejam saya di situ dan selama itu jugalah saya duduk dengan wajah resah dan terburu-buru.

Menunggu dan terus menunggu sehingga, saya perasan ada seseorang duduk di kerusi belakang saya. Tidak ada apa-apa sebenarnya, orang itu duduk di belakang saya, sehinggalah saya mendengar telefon bimbitnya berdering. Dering yang menyatakan itu telefon bimbit keluaran tahun 2004 ataupun 2005. Terlalu jauh ketinggalan zaman. Itu yang pertama datang dalam fikiran saya, namun pada ketika saya mendengar suaranya, saya terdiam.

“Ya, ibu. Ibu jangan risau, saya sudah ada di bank sekarang. Nanti saya masukkan duit ke akaun adik. Ibu jangan risau.”

Suara itu, suara perempuan yang taat. Itu agak-agak saya. Mahu juga saya berpaling dan melihat wajahnya tetapi saya kukuhkan hati, kerana khuatir juga saya nanti terlihat sebagai lelaki yang dikata - “Amboi, mata bukan main lagi”. Ya, sangat khuatir.

“Ibu tidak perlu masukkan duit ke akaun adik. Ibu simpan duit ibu. Jangan risaukan adik-adik, saya akan menjaga mereka semua.”

Pada kali kedua mendengarkan suara perempuan itu, datang anggapan kedua saya, dia adalah perempuan yang bertanggungjawab. Dan saya semakin menguatkan sandaran pada kerusi, biar telinga saya semakin jelas mendengar kata-katanya.

“Saya baik ibu. Ibu jangan risau. Ibu yang jaga diri. Nanti saya masukkan duit ke akaun ibu juga.”

Saya tahu mendengar curi itu bukan perbuatan terpuji, tetapi entah mengapa nada suara perempuan di belakang saya, yang tidak nampak wajah itu terlalu baik, terasa memberikan sesuatu kepada hati. Dan pada kali ketiga saya mendengarkan suaranya, saya beranggapan, dia perempuan yang berdikari penuh harga diri.

“Ibukan bercita-cita pergi Mekah. Setakat jualan tudung-tudung ibu, mana cukup. Lagipun saya sudah berjanji kepada ibu, mahu menghantar ibu ke Mekah.”

Pada kali keempat saya mendengarkan suara perempuan itu, saya tahu dia adalah perempuan yang menjaga agamanya. Hati saya pada ketika itu sudah lupa pada masalah menunggu lama di bank itu. Terdetik hati saya, biar lebih lama begini dan saya suka. Suka pada perkara yang saya tidak tahu puncanya.

“Ibu, minggu depan saya balik. Saya pun sudah rindukan ibu. Itulah, saya mahu ibu tinggal dengan saya, ibu tidak suka. Hari-hari saya asyik teringatkan ibu.”

Pada kali kelima, saya terus beranggapan, perempuan ini adalah keturunan yang baik-baik, yang dijaga dan dididik oleh ibunya dengan penuh kasih, sehinggakan kata-katanya terdengar begitu lembut dan tidak dibuat-buat.

“Ya, ibu. Saya tahu ibu sayangkan saya, saya juga sangat sayangkan ibu. Tetapi demi adik-adik, saya perlu berkorban. Doakan sahaja, semua ini tidak lama. Ibu jagalah diri baik-baik dan jangan risaukan jodoh saya. Saya akan punya keluarga juga selepas ibu tidak lagi risau dengan masa hadapan adik-adik. Namun buat masa ini, biarlah saya tanggung semua risau ibu, sekiranya tidak semua, biarlah saya berkongsi risau itu, kerana ibu sudah risau sejak hari pertama ibu tahu mengandungkan kami.”

Pada kali keenam mendengarkan suara itu, saya mula beranggapan, bukan lagi kepada perempuan itu, tetapi kepada diri saya, saya sudah jatuh hati. Hanya untuk perbualan yang tidak sampai tiga minit, saya sudah jatuh hati keada perempuan yang saya tidak nampak wajah dan duduk di belakang saya?

Lalu pada ketika saya nekad mahu berpaling, nombor giliran saya pula disebut. Bergegas saya ke kaunter sambil kepala mencari akal, atas alasan apa mahu berpaling ke belakang? Mahu berpaling dengan membuat aksi leher lenguh, itu sudah terlalu basi. Perlu suatu aksi yang lebih daripada sekadar itu bagi memberikan pandangan pertama yang baik.

Ketika urusan selesai, dan saya berpaling perempuan itu pula sudah tidak ada di tempatnya. Mata saya meliar ke sana sini mencari siapa perempuan yang saya sudah jatuh hati kepadanya. Sayang, saya cuma kenal suaranya, kenal peribadinya, kenal kisahnya tetapi tidak kenal wajahnya.

Hidup memang selalu begini, yang terbaik selalu datang pada ketika kita malu berpaling ke belakang, dan pada ketika kita sudah berani berpaling, ia hilang dan hanya meninggalkan sesuatu dalam kepala untuk difikirkan pada setiap malam.


Saturday, February 25, 2012

faham sama faham

aku tidak faham,
untuk apa aku memberi faham,
kepada kau yang tidak faham,
apa yang aku faham,
apa yang kau faham,
tidak pernah bertembung faham

aku tidak faham,
untuk apa aku faham,
apa yang kau faham,
kalau kau hanya faham,
yang aku tidak faham,

aku tidak faham,
mengapa itu yang kau faham,
sedangkan kau sangat faham,
apa yang aku faham,

aku tidak faham,
kemana hilangnya faham,
pada ketika kau dan aku mencari satu faham
dalam dunia yang berbeza faham,

aku tidak faham,
mengapa kau dan aku berbeza faham,
pada perkara yang kita faham,
faham sama faham

Friday, February 24, 2012

Anak perempuan cantik yang melihat pelangi - sebuah cerpen

Cerpen ini berdasarkan pengalaman sebenar Prof. Dr. Muhaya dalam mengendalikan pesakit mata. Namun sudah sifatnya penulisan cerpen, maka atas izin beliau yang baik hati, saya dizinkan menambahkan imaginasi saya pada pengalaman beliau. 

Tidak banyak, pasti tetap ada sebibit kebahagian untuk manusia yang menatap pelangi. Itu yang saya percaya, dan itu yang semua manusia percaya. Sehinggalah pada hari itu, menatap pelangi itu memberi makna lain kepada saya. Pelangi itu bukan berkenaan bahagia tetapi berkenaan sesuatu yang membuatkan hati saya terjatuh ke daerah gusar.

Ibu.

Saya adalah ibu yang sangat bahagia. Saya fikir itulah semua perasaan ibu-ibu di dunia yang mempunyai anak perempuan yang cantik, dan beberapa bulan sebelumnya, saya melahirkan anak yang kedua yang juga cantik. Saya berasa diangkat ke langit hanya kerana status saya sebagai seorang ibu yang punyai dua anak yang meneduhkan hati.

Segala-galanya terlihat sempurna, sehinggalah pada suatu hari, anak perempuan saya yang cantik itu datang menemui saya, berkata sesuatu yang saya sangkakan bahagia.

Pelangi.

“Ibu, mengapa saya nampak pelangi?”

“Sayang, mana ada pelangi di sini,” kata saya lembut. Rambutnya yang ikal saya belai penuh kasih.

“Betul ibu. Saya nampak pelangi,” katanya lagi dengan jarinya menunjuk-nunjuk sesuatu.

Lama saya memerhatikan ke arah yang dia tunjuk, namun tetap sahaja kosong. Pelangi apa yang dilihat anak saya?

“Mana?” Saya terus bertanya.

“Itu, merah, biru, hitam...”

Mendengarkan sahaja itu terus ketawa kecil dan berkata, “Anakku, pelangi mana ada warna hitam. Kamu main-mainkan ibu, ya?”

“Betul, ibu. Saya nampak pelangi. Saya nampak pelangi.” Suara anak saya mula terdengar hiba, dan pelupuk matanya mula berkolam minta dipercayai.

Untuk pertama kalinya, saya diam. Apabila anak sudah meminta mahu dipercayai, saya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius. Saya memandang tepat ke arah matanya. Saya meniup perlahan-lahan dan dengan senyuman madu saya berkata, “Ibu sudah tiup mata kamu. Ada lagi pelangi?”

Anak kecil yang cantik itu mengejap-ngejapkan matanya. Kemudiannya dia menambah dengan menggosok-gosoknya.

“Ada lagi. Ada lagi pelangi. Ibu, pelangi ada lagi.” Anak kecil itu mula menangis tersedu-sedu. Resah saya sudah menggunung. Pada waktu itu saya tahu seperkara, anak saya tidak main-main. Lama saya terdiam, dan terlintas juga dalam fikiran mungkin anak saya terkena makhluk halus dan perlu bantuan bomoh. Mujur, sesaat selepas fikiran itu datang, saya kembali rasional, dan pada waktu itulah saya berjumpa dengan doktor mata itu.

Mata.

Untuk saya, semua doktor adalah sama. Mereka adalah orang yang mengubati, dan mereka adalah orang yang mengubati bukan sekadar dengan peralatan dan ubat mereka, malah dengan kata-kata, dan pada hari itu saya bertambah yakin dengan apa yang saya percaya.

“Puan, mata anak puan normal, tidak ada apa-apa masalah,” kata doktor itu sebaik mata anak saya diperiksa dengan alat yang tidak saya tahu namanya.

Saya memandang anak perempuan saya yang duduk di sebelah kiri. Rambutnya saya usap sebelum berkata, “Matamu bagaimana sayang?”

“Masih nampak pelangi,” kata anak saya dengan wajah hiba.

“Dia masih nampak pelangi, doktor. Doktor pasti mata anak saya normal?” soal saya dengan wajah khuatir.

“Ya, normal.” Jawapan dan senyum doktor itu masih belum meyakinkan saya, dan saya kembali bertanya, “Jadi bagaimana dia boleh nampak pelangi.”

Untuk soalan itu, doktor itu diam seketika. Sempat kembali fikiran saya membenarkan, yang anak saya itu mungkin diganggu makhluk halus.

“Berapa bulan umur bayi Puan?” soal doktor itu lembut.

Berkerut juga dahi saya mendengarkan soalan itu. Apa kaitan bayi saya dengan pelangi yang dilihat oleh anak perempuan saya?

“Lapan bulan,” jawab saya tanpa meluahkan rasa sebenar hati.

Doktor itu mengangguk-angguk. Dan saya pula bertambah bingung. Saya kenal angguk itu, itu angguk yang punya jawapan, tetapi apa?

“Puan, memang mata anak Puan normal. Apa yang tidak normal adalah pada perasaannya,” kata doktor itu dan membuatkan saya terkejut.

“Maksud doktor?” Kuat hati saya mengatakan doktor itu juga percaya yang anak saya diganggu makhluk halus. Sekiranya tidak, mengapa dia berkata perasaan anak saya tidak normal?

“Selama ini, anak Puan rapat dengan Puan. Saya percaya, ke mana-mana sahaja Puan pergi pasti anak ini mengikut ataupun Puan sendiri yang membawanya bersama. Itulah yang ada dalam perasaan anak ini, dia percaya yang dia akan sentiasa punya masa dengan ibunya. Masa yang tidak pernah terhad. Tetapi pada ketika Puan melahirkan anak kedua, anak ini mula berasa ada sesuatu yang tidak kena. Masa Puan yang sebelum ini bersama dia, sudah dibahagikan. Tetapi untuk anak kecil ini, itu bermaksud Puan sudah tidak punya masa dengan dia.”

“Jadi?” sampuk saya segera. Entah mengapa saya berasa khuatir mendengarkan penerangan doktor itu.

“Maksud saya, anak Puan merasakan, Puan sudah tidak ada masa dengannya. Sayangnya, dia masih kecil dan anak kecil tidak tahu bagi meluahkan perasaannya. Dia cuma mengerti sesuatu perlu dilakukan bagi menarik perhatian Puan, dan dia pun mula terlihat pelangi. Dia tahu, ibunya sayangkan dia tetapi dia berasa sering dilupakan. Melihat pelangi adalah jalan bagi diingat kembali dan ia adalah jalan bagi mendapatkan perhatian,” terang doktor itu, jelas dan bersungguh-sungguh.

Saya terpempan. Kata-kata doktor itu meresap ke hati. Aduhai anakku, kasihannya kamu. Hanya dengan melihat pelangi, kamu fikir dapat mendapatkan kasih sayang ibu. Anakku, kamu tidak perlu nampak apa-apa sayang, ibu sayangkan kamu. Cuma ibu yang terlupa ada kamu untuk selalu diberi masa, untuk selalu diberi perhatian.

Dan pada ketika itu jugalah saya peluk anak saya. Peluk dia kuat-kuat dengan air mata saya menitik.

“Maafkan ibu, sayang. Maafkan ibu. Ibu sayangkan kamu.”

"Saya juga sayangkan ibu," balas anak saya, dan air mata saya semakin tumpah ruah.

Tuesday, February 21, 2012

dan lelaki yang ikhlas - sebuah cerpen

Saya tinggal di kawasan perumahan yang sangat sedikit orang Islam. Akibat daripada itu, saya menyedari sesungguhnya, tidak ada kedai orang Islam di kawasan itu selain sebuah kedai runcit bukan Islam. Tidak ada apa-apa sebenarnya pada kedai itu, tetapi di kedai itulah keikhlasan hati saya teruji. Walaupun sudah kuat saya melindungi ikhlas saya, akhirnya hari itu tumpah ruah jugalah hakikat sebenar. Semuanya kerana perempuan Islam Melayu yang manis cantik, yang bekerja di situ.

Air.

Seperti hari-hari biasa, tidak ada apa-apa luar biasa yang terjadi. Sekiranya terjadi yang luar biasa, saya berharap ia tidak terjadi pada hari itu. Semuanya kerana saya sudah terlalu lelah bagi menghadapi keluarbiasaan itu.

Apa yang saya tidak jangka itu jugalah yang terjadi, pada ketika saya melangkah masuk ke kedai runcit milik bukan orang Islam itu.

Kedai runcit itu sebenarnya lebih tepat digelar pasaraya mini, kerana berjenis-jenis barang yang dijual, dan ada dua kaunter bayaran. Mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan gelar kedai runcit, maka semua kedai saya gelarkan kedai runcit walaupun ia tidaklah tepat.

Saya haus ketika itu, dan airlah ubatnya. Semasa melangkah masuk, sesuatu yang luar biasa terlihat di hadapan saya. Di kaunter sebelah kiri, ada seorang cashier baru. Bertudung dan cantik. Ya, sangat luar biasa kerana yang biasanya, cashier di situ adalah orang India ataupun Cina, dan pada hari ini, cashier itu adalah perempuan Melayu cantik yang bertudung.

Ada lagi perkara yang luar biasa sebenarnya, namun untuk kali pertama itu saya belum mengerti sehinggalah saya datang kepada cashier itu bagi membayar air yang dibeli.

Itulah perkara yang mencucuk hati saya. Selama ini memang saya tahu di belakang kaunter itu ada rak cermin yang bagus letaknya. Di dalam rak cermin yang bagus itu, tersusun rapi botol-botol arak. Itulah membuatkan hati saya berdebar meninggi, kerana di hadapan botol arak itulah perempuan Islam Melayu cantik itu bekerja.

Dapat saya bayangkan pada ketika ada manusia yang mahu membeli arak dan pasti perempuan Islam Melayu cantik tadilah yang mengambil dan menjualnya. Itu sesuatu yang sangat tidak menyenangkan hati.

Teringat-ingat kata ustaz berkenaan arak, Rasulullah melaknat 10 golongan orang yang berkaitan arak, orang yang minum, menjual, membuat dan ada lagi yang saya lupa. Dan pastinyalah perempuan Islam Melayu tadi termasuk dalam golongan yang 10 tadi.

Seketika, saya menjadi kasihan. Namun bodohnya saya, ada sesuatu yang membuatkan saya terhalang bagi mengkhabarkan hal itu kepadanya. Bodoh yang sangat saya sesali sehingga sekarang.

Cinta.

Waktu itu, saya masih belum pernah bercinta dengan yang namanya perempuan, dan apa sahaja yang berkenaan cinta saya cuma tahu daripada luar, dan tidak hidup sendiri di dalamnya. Jadi, pada ketika mahu membuka mulut berkenaan perkara itu, datang kata-kata dalam hati, yang akhirnya saya yakini sebagai bisikan iblis.

“Ikhlaskah kamu mahu menolong dia, ataupun kamu menolong kerana dia perempuan cantik? Nanti kamu dikata mahu tunjuk baik dan mahu mengurat dia. Dia akan semakin liat mahu mendengar kata dan kamu dilihat sebagai seorang yang mengambil kesempatan. Sabar dulu, jangan terburu-buru, tunggu masa kamu ikhlas. ”

Dengan kata yang terlintas dalam hati itu, saya segera menjadi malu. Yalah, orang belum pernah bercinta, egonya sedikit berbeza. Saya akui juga, sebetulnya kerana cantiknya perempuan itu membuat saya berasa jatuh hati, namun tetap juga ego ada bersama. Ego itulah yang menjadi jalan iblis, sehingga saya terlupa tugas saya.

Sehinggalah petang itu, saya bertemu rakan saya dan dengan wajah yang tersenyum ceria saya menceritakan tentang perempuan Islam cantik yang bekerja di situ.

“Saya tidak mahu bertanya, di mana kamu letakkan otak kamu, tetapi saya mahu bertanya di mana kamu letakkan iman kamu?” soal rakan saya itu serius, dan langsung tidak menyambung keceriaan saya.

Saya diam mendengarkan pertanyaan rakan saya itu. Ya, Allah susahnya soalan itu. Mahu juga saya menjawabnya main-main, tetapi rakan saya itu jenis lelaki yang cukup serius apabila berbicara berkenaan agama, cukup serius apabila dia menunjukkan wajah yang serius.

“Marahkan saya?” soal saya.

“Ya! Kamu mungkin letakkan otak kamu di lutut tetapi jangan sesekali letakkan iman kamu di situ. Iman itu letakkan di hati. Di sini!” kata rakan saya dengan tangan yang menunjuk-nunjuk pada dadanya.

Saya sudah semakin tidak tentu arah. Aduh, sampai begitu sekali marahnya dia kepada saya.

“Kamu tidak memberitahu dia perkara sebenar hanya kerana kamu takut dia fikir kamu mahu tunjuk baik dan mengurat dia?” Rakan saya terus menyerang dengan soalannya, dan saya semakin terperosok.

Lama juga saya diam sebelum dapat akal mahu menjawab, “Saya takut saya tidak ikhlas.”

“Ikhlas?” Rakan saya menepuk dahi sebelum menyambung, “Ikhlas itu memanglah nombor dua selepas iman, tetapi ikhlas itu bukan kita yang menilai keputusannya. Kita cuma berusaha bagi ikhlas, dan antara cara berusaha adalah meneruskan membuat pekerjaan yang baik. Bagaimana kamu mahu ikhlas sekiranya kamu tidak berbuat apa-apa?”

“Tetapi tanpa ikhlas, nanti jatuh riak pula.” Saya dengan ilmu agama yang sikit, tetap mahu melawan dan akhirnya, saya jelas-jelas terlihat bodoh.

“Ikhlas itu perlu dilatih dengan banyak berbuat baik, membuat ibadah, kerana ikhlas itu hanya digunakan pada ketika itu. Kamu tidak perlu ikhlas pada ketika berbuat maksiat, tidak perlu ikhlas pada ketika berbohong dan tidak perlu ikhlas pada ketika menonton konsert Lady Gaga. Jadi, latih ikhlas kamu dengan mula berbuat baik dan beribadat, dan pada ketika kamu sudah berasa riak, cepat-cepat beristighfar. Tidak ada cara lain selain cara itu, sekiranya soal ikhlas yang jadi masalah besar kamu,” terang rakan saya dengan bersungguh-sungguh.

Tidak tahu saya apa perasaan saya pada waktu itu, tetapi terus saya berkata, “Kamu ada petua menjadi ikhlas?”

“Tidak ada petua sebenarnya melainkan kamu belajar dan terus berlatih. Namun ini cuma gambaran kasar, iaitu kamu fahami lagi maksud ikhlas itu. Kamu cari ertinya, kamu fahaminya. Kamu pelajari mengapa hidup harus ikhlas. Kemudiannya pada ketika kamu sudah faham, pertama-tama sekali, kamu jangan mengatakan yang kamu ikhlas.”

Belum habis penerangan rakan saya, terus saya memotong, “Tetapi kalau saya katakan, 'Saya memberi sedekah ikhlas', itu bagaimana?”

Rakan saya dengan kepala dan tangannya, ikut memberi isyarat 'jangan'. “Tidak usah. Kamu mahu beri sedekah, beri sahaja. Kamu mahu buat baik, kamu buat sahaja. Sekiranya mereka bertanya mengapa, katakan itu rezeki daripada Allah. Kerana pada ketika kamu berkata kamu ikhlas atau kamu mengaku kamu ikhlas, pada ketika itu sangat besar kemungkinannya, automatik kamu sudah menjadi tidak ikhlas.”

Saya terdiam lama memikirkan kata-kata rakan saya.

“Pada akhirnya, pastikan kamu bukan sahaja ikhlas pada permulaan, tetapi juga ikhlas pada pertengahan semasa kamu berbuat kebaikan atau ibadah dan ikhlas pada pengakhiran pada ketika kamu selesai membuatnya.” Teman saya terus bersemangat menerangkan.

“Maksud kamu?” Saya bertanya tidak tahu. Betul-betul tidak tahu.

“Maksudnya, pada ketika mula-mula kamu berbuat kebaikan, niatkan itu semua kerana Allah bukan kerana mahu ganjaran, pada pertengahan terus niatkan kerana Allah, dan bukan kerana berasa diri hebat berbuat baik, dan pada pengakhiran teruskan niatkan kerana Allah, dan bukan mengharapkan pujian. Dan ingat, semakin kuat iman, semakin mudah untuk kita ikhlas. Jadi kuatkan iman dan insya-Allah ikhlas itu datang sendiri.”

Saya mengangguk, namun hakikatnya pada malam itu saya asyik terkenang-kenang pada perempuan Islam cantik di kaunter itu. Lupa saya berkenaan ikhlas, dan hanya ingat berkenaan cantiknya. Ah, cinta mungkin. Sehinggalah pada esoknya, saya diuji dengan apa yang saya diajarkan oleh rakan saya.

Esok.

Hari itu semangat saya meninggi. Seperti semangat tentera Islam yang sudah mahu terbang ke syurga. Saya sudah sampai ke kedai runcit itu dengan niat mahu menebus kebodohan semalam, dan dengan niat mahu bersungguh-sungguh mahu ikhlas.

Namun, ketentuan Allah juga, pada ketika saya melangkah masuk, perempuan Islam Melayu cantik sudah tidak ada di kaunternya. Digantikan pula dengan seorang perempuan Islam, yang sangat tidak cantik pada pandangan mata saya. Mana perempuan Islam cantik itu?

Dan pada ketika saya bertanyakan soalan itulah saya tersedar, ikhlas itu benar-benar sukar. Segera saya mempersoalkan niat saya. Jelas lagi bersuluh, niat saya sangat tidak benar. Tetapi peluang itu tetap ada, peluang bagi menjadi hamba yang baik. Lalu dengan jiwa yang dipaksa-paksa, saya menghampiri juga perempuan Islam yang tidak cantik pada mata saya itu dan berkata, “Carilah kerja lain.”

Perempuan itu tersenyum manis dan lebar kepada saya. Aduh. Semoga dia tidak berfikir yang saya mahu menggoda dia. Dan aduh lagi, ternyata iman saya sangat lemah sehingga ikhlas itu menjadi sangat sukar. Ya, Allah ampunkan aku. Ampunkan.

Saturday, February 18, 2012

Status yang diangkat ke langit - sebuah cerpen

'Maryam, terima kasih belanja saya makan. Sayang sangat dengan awak XOXO'

Itu status yang saya tulis pada wall facebook Maryam. Kawan baik saya, kawan baik yang sentiasa menggembirakan dan menceriakan saya.

'Terima kasih kepada awak juga. Ada masa kita keluar shopping lagi. XOXO'

Saya tersenyum lebar membaca komen Maryam. Ya, baru petang tadi kami berdua keluar membeli-belah, menonton wayang dan menikmati Tutti Fruti. Semuanya kerana, Maryam akan keluar negara pada esoknya, bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Sesuatu yang saya hanya boleh impikan. Namun saya tetap mendoakan dia berjaya.

Berbekalkan keceriaan petang tadi, semangat saya bermain Facebook ikut meninggi. Pada ketika saya tersenyum penuh semangat itulah, saya terbaca sesuatu yang membuatkan senyuman saya hilang. 

Benar, perempuan yang menutup aurat tidak menjanjikan dirinya selamat daripada nafsu lelaki, tidak juga menjanjikan hatinya baik, dan benar ia tidak menjanjikan dirinya akan bahagia. Tetapi perempuan yang menutup aurat sudah menjanjikan dirinya bebas daripada dosa membuka aurat.

Membaca status Facebook dia, membuat hati saya tiba-tiba mengembang, seperti ekor kucing yang kembang ketika bertemu lawan.

Entah mengapa, tindakan pertama saya adalah segera membetul-betulkan rambut yang menutup mata saya. Tetapi masih juga ia lepas bebas. Getah di atas meja saya capai, ikat dirambut terus jadi 'ekor kuda'. Sepatutnya hati saya puas kerana berjaya menjinakkan rambut saya yang asyik mahu menutup mata, tetapi bukan hal rambut itu yang mengganggu, namun status facebook itu yang membuat geram saya menyala-nyala.

Bukan saya tidak kenal siapa yang menulis status itu. Selain Maryam dia juga adalah kawan baik saya, namanya Nadina. Ketika itu kami bertiga sangat rapat dan ke mana-mana sahaja bertiga. Dahulu, wah dia bukan main lagi fesyennya. Bajunya adalah seketat-ketat baju yang ada, seluarnya juga biar nampak paha. Rambutnya walaupun Melayu, tidak pernah saya lihat hitam.

Anehnya, entah bagaimana dia boleh berubah bertudung litup sampai ke pinggang. Wajahnya tidak ada lagi bedak tebal dan bibirnya cukup sekadar pelembap bibir.

Memanglah, itu bagus dan saya tidak ada apa-apa dengan perubahan dia, tetapi perlukan status-status facebooknya asyik berdakwah? Asyik menyentuh berkenaan aurat. Kalau sekali dua, tidak mengapalah, tetapi kalau sudah sehari empat lima kali? Nampak benar mahu menyindir.

Geram betul hati saya. Kalau mahu menutup aurat, tidak perlulah buat status menyindir. Lalu, dengan geram saya yang tidak tahu mahu dihala ke mana, terus saya tergoda menulis komen di bawah status itu. 

'Kalau kita dahulu ada kawan yang rambutnya merah, baju seluar ketat tiba-tiba tulis status pasal tutup aurat, apa hukumnya ustazah? Bolehkah kita kata dia riak atau munafik?'

Selepas menekan 'enter', hati saya berasa sangat puas. Melebar senyum saya, sama lebarnya dengan daun keladi.

Seketika itu juga telefon saya berbunyi dan tertera nama 'Nadina'. Selepas memberi salam dan menjawab salam, dan selepas bertanya khabar dan menjawab khabar, terus Nadina kepada niat hatinya menelefon saya. Saya tahu pasti ia ada kaitan dengan komen saya pada statusnya.

“Saya mohon kepada kamu, usahlah buka masa silam saya. Aib saya itu, sudah membuat malam-malam saya jadi perit, jadi sebagai kawan saya mohon usahlah kamu tambahkan perit malam-malam saya.”

Saya tersenyum kecil. Tetapi dalam masa yang sama, mendengarkan suaranya yang merayu membuat hati saya lembut dan serba-salah. Tetapi pada ketika mata saya menatap statusnya, hati saya kembali keras dan tajam.

“Bukan mahu buka aib kamu, tetapi saya meluat betul lihat status-status kamu yang 'macam baik'. Kamu tidak takut jadi riak?” Puas betul hati saya berkata begitu. Entah apa sebabnya, tidaklah saya tahu.

“Terima kasih kerana mengingatkan. Ternyata kamu memang sayang saya. Saya akui saya memang masih belajar, dan banyak saya tidak tahu. Saya masih jahil. Mungkin kamu benar. Tanpa saya sedar, saya menulis dengan rasa riak. Namun, perkara besarnya, walau sejahat manapun kita, walau sekeji manapun kita, selagi mana agama kita Islam, menganjurkan berbuat baik itu perlu. Itulah yang saya perbuat. Walaupuh saya tahu diri saya hina, tetapi bukan bermakna saya tidak layak untuk berkongsi pesan.”

Itu kata-kata dia. Saya senyum. Saya tahu apa yang perlu saya jawab. Saya segera menaip sesuatu pada google, dan saya terjumpa hadis ini.

“Maksud Hadis Nabi SAW: “Pada hari kiamat seorang dihadapkan dan dilempar ke neraka. Orang-orang bertanya, ‘Hai Fulan, mengapa kamu masuk neraka sedang kamu dahulu adalah orang yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah perbuatan munkar?’ Orang tersebut menjawab, ‘Ya, benar. Dahulu aku menyuruh berbuat ma’ruf, sedang aku sendiri tidak melakukannya. Aku mencegah orang lain berbuat munkar sedang aku sendiri melakukannya.” (HR Muslim)

Tanpa bertangguh, segera saya membacakan hadis itu kepada dia. Beruntung sungguh zaman sekarang ada internet, semua manusia boleh sekelip mata menjadi ustaz dan ustazah. Ada juga yang menggelarkannya ustaz dan ustazah internet, elektrik dan google.

Nadina diam. Saya tersenyum nipis. Saya kembali menyambung, “Kamu menyuruh orang berbuat baik tetapi, bagaimana dengan diri kamu sendiri? Adakah sudah baik?”

Dan pada ketika saya berfikir dia sudah mengaku kalah, dia kembali berkata,

“Maafkan saya, saya memang betul jahil berkenaan hadis itu. Terima kasih kerana mengingatkan. Mendengar hadis itu, saya memahaminya sebagai, dahulukan perbuatan baik itu sebelum bercakap berkenaannya. Itu yang saya usahakan, sedaya upaya cuba lakukan. Saya usaakan juga tidak bercakap berkenaan perkara yang saya tidak lakukan. Sekiranya kamu melihat percakapan saya mendahului perbuatan saya, tegurlah saya.”

Sekarang saya pula hilang kata-kata. Rasanya ada sesuatu dalam hati saya, mahu saya ucapkan tetapi entah mengapa saya tidak mampu menjadikan ia sebagai sesuatu yang objektif. Pada ketika itulah, Nadina menyambung dengan nada yang takut-takut,

“Berkenaan hadis itu, rasa bersalah pula pandai-pandai memahaminya begitu. Nanti saya tanyakan lagi kepada ustaz berkenaan tafsirnya. Tidak berani saya mahu mentafsirnya sendiri. Namun, saya juga sebenarnya terkesan dengan kata-kata Hassan Al Banna, sekiranya semua manusia menunggu dirinya sempurna bagi berbuat kebaikkan, maknanya tidak akan ada pendakwah.”

Jelas, Nadina khuatir kerana dia mengerti, dia kurang ilmu sehingga nada suaranya takut-takut. Dan saya pula terus mencari di Google, mahu memastikan yang Nadina tidak sekadar bercakap berkenaan Hassan al Banna dan saya menemukan petikan lengkapnya.

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bermakna aku yang terbaik dalam kalangan kamu. bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri.seandainya seseorang itu hanya akan dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan." - Hassan al Basri.

“Bukan Hassan al Banna, tetapi Hassan al Basri!” Saya tersenyum lebar dan terdengar juga gelak kecil saya.

“Maafkan saya, salah saya.” Pantas Nadina menjawab.

Itu membuatkan saya berasa semakin menang ke atas Nadina. Anehnya tetap sahaja geram dalam dada saya semakin mengembang, namun tetap juga saya tidak ada hujah sambungan. Akhirnya saya berkata, “Saya bukan tidak suka status kamu, tetapi buatlah secara berhikmah. Saya berasa disindir-sindir.”

“Maafkan saya. Selepas ini saya cuba menulis status yang lebih baik.”

Entah ke berapa kali dia meminta maaf. Hakikatnya, hati saya sedikit lembut dengan permintaan maafnya. Namun, tetap ada sesuatu yang tidak beres dalam hati saya.

“Kalau kamu tulis status biasa-biasa sahajakan boleh. Buatlah macam manusia normal,” cadang saya pula. Yalah, meluat benarlah saya membaca status-statusnya itu. Sepertinya dia adalah ustazah robot.

“Bukan apa, saya cuma terfikir, setiap kali saya menulis status, ia adalah status terakhir saya. Jadi apa yang saya mahu orang baca berkenaan diri saya sekiranya saya sudah tiada di dunia? Setidak-tidaknya status terakhir itu mampu memberi pahala kepada saya.”

Saya tergelak kecil mendengar kata-kata Nadina. Sampai begitu sekali kompleks fikirannya. Lalu saya menjawab, “Mengapa awak tidak delete sahaja akaun facebook awak? Lagi senang. Tidak perlu mahu fikir berkenaan status apa yang mahu ditulis.”

Nadina diam, dan saya berasa sudah menjadi juara. Perlahan-lahan dalam hati saya terbit kata-kata, “Padan muka kau!”

“Terima kasih atas cadangan. Saya fikir, ia adalah cadangan yang terbaik. Terima kasih sekali lagi. Nanti saya fikirkan.”

Itulah kata-kata akhir Nadina yang sempat saya dengar, sebelum dia memberi salam, dan sebelum saya berasa sangat menyesal.

Status akhir.

Esoknya, pada ketika saya membuka facebook, pertama sekali yang saya baca adalah status Nadina.

'Di tepi sebuah pantai ada banyak tapak sulaiman yang terdampar dibawa arus ombak. Seorang anak kecil berusaha mencampakkan kembali tapak sulaiman itu ke laut, bagi memastikan ia terus hidup. Seorang lelaki tua memerhatikannya lalu berkata,

“Buat apa kamu campak ke laut? Kamu tidak akan mampu mencampakkan semuanya ke laut. Ada beribu-ribu. Buat penat kamu sahaja.”

Anak kecil itu terus tekun dengan kerjanya sebelum memandang lelaki tua itu.

“Memang saya tidak mampu, tetapi setidak-tidaknya perbuatan saya ini bermakna kepada seekor tapak sulaiman ini,” kata anak kecil itu sambil mencampakkan tapak sulaiman di tangannya ke laut.

Itulah hidup kita manusia, memanglah kita tidak mampu berbuat baik kepada semua perkara, tidak mampu berbuat baik kepada semua manusia, tetapi tetapkan dalam hati bagi terus berbuat kebaikkan. Setidak-tidaknya, akan ada seseorang yang melihat tindakkan kita itu bererti kepada dirinya.”

Boleh tahan juga panjang status Nadina. Kemudian saya membuka pula PM saya dan ada PM Nadina. 

“Assalamualaikum. Semoga hari kita berada dalam reda Allah. Selepas memikirkannya, saya tidak jadi menutup facebook saya. Ini kerana, saya tidak menjadikan diri saya mudah dihubungi. Saya tidak ada blog yang bagi menulis, tidak ada pejabat, tidak ada laman web. Hanya ada facebook dan hanya itulah ruang dan peluang saya. Jadi saya mahu menjadi budak kecil yang mencampakkan tapak sulaiman ke laut. Mungkin sahaja, tindakan saya dalam facebook langsung tidak bererti kepada semua manusia, tetapi saya yakin ia sangat bererti untuk malaikat yang berada di bahu kiri kanan saya.”

Saya terdiam. Berulang-ulang kali jugalah saya membaca PM Nadina sambil tersenyum-senyum, dan hati berkata, “Ada juga orang seperti ini di dunia.”

Namun akhirnya senyuman saya pudar pada saat membaca status terbaru pada akaun facebook Nadina.

“Innalillah hiwa inna ilai hiroji’un. Baru mendapat khabar, teman baik kita Maryam binti Syukur sudah kembali kepada Penciptanya. Beliau kemalangan semasa menuju ke lapangan terbang. Al Fatihah.”

Berdegup kencang jantung saya dan segera saya ke akaun facebook Maryam, dan pada status terakhirnya saya membaca,

Kata-kata yang saya ambil daripada status Nadina,
'Benar, perempuan yang menutup aurat tidak menjanjikan dirinya selamat daripada nafsu lelaki, tidak juga menjanjikan hatinya baik, dan benar ia tidak menjanjikan dirinya akan bahagia. Tetapi perempuan yang menutup aurat sudah menjanjikan dirinya bebas daripada dosa membuka aurat.' 

Pada ketika itu jugalah air mata saya mengalir seperti tidak akan mahu berhenti. Itulah status terakhir Maryam, dan apa yang saya bualkan dengan Nadina, terus kembali terulang di telinga.

Friday, February 17, 2012

Daun Beringin - sebuah cerpen

Saya suka membaca cerpen-cerpen Soeprijadi Tomodihardjo, penulis Indonesia yang berpangkalan di Jerman. Saya suka gaya ia bercerita. Ia anti plot, dan apa yang mahu dia sampaikan, bukan pada hujung cerita tetapi berselerak di seluruh cerpennya. Malah kadangkala ia bermula pada ayat pertamanya. Jadi, saya sentiasa perlu membaca dua tiga kali bagi mendapat maksudnya.

'Daun Beringin' adalah cerpen yang pernah terbit di Tunas Cipta. Ia adalah cubaan saya mahu mengikut cara Soeprijadi Tomodihardjo, tetapi saya fikir saya gagal. Ini kerana 'Daun Beringin' diulas, "jarang sekali penulis membawa tema harta pusaka", dan membaca ulasan itu saya rasa mahu pengsan. kahkahkah. Tema harta pusaka? Ya, itulah kegagalan saya pada ketika tema yang mahu dibawa tidak sampai, dan tema yang saya langsung tidak terfikir pula yang pembaca peroleh.

Namun saya belajar dua perkara, pertama menulis ala Soeprijadi Tomodihardjo, mungkin hanya Soeprijadi Tomodihardjo sahaja yang mampu dan kedua, saya perlu lebih gigih belajar menulis.  Ok, di di bawah adalah percubaan saya yang gagal. :)


DAUN BERINGIN
Banyak kali juga dia memandang ke sana. Di seberang jalan, yang ada seekor anjing kurap di telinga, yang seperti sedang menjaga bangunan yang seperti sudah boleh diduduki. Mungkin adalah empat lima kali di memandang, dan kali ini lebih lama. Matanya memandang cermat, seperti mata duda yang terpandang anak dara duduk di tangga. Sambil-sambil itu mulutnya tetap mengunyah-ngunyah, menjelaskan dia sedang memandang dalam keadaan yang sedang menjamu selera.

Pada saat dia berhenti mengunyah, kerana yang dikunyahnya itu sudah lumat masuk ke perut, barulah dia meluruskan lehernya, tunduk dan melihat pada mi rebus yang masih berkepul-kepul di hadapannya. Segera dia mengangkat sudu yang sarat mi kuning bergantungan sampai ke mangkuk. Bau mi rebus itu membuatkan dia tidak tahan. Namun pada saat matanya memandang ke sana, tangannya yang memegang sudu yang sarat mi berhenti, terawang-awang. Wajahnya menjuih-juih benci. Perempuan yang duduk di hadapannya yang memaparkan ciri seorang yang berakhlak baik, seperti teruji dengan ulah lelaki di hadapannya itu.

“Abang, makanlah dulu,” tegur perempuan itu. Nadanya separuh merayu dan separuh tidak berpuas hati.

Lelaki itu, yang kerinting rambutnya tetapi dipotong pendek sehingga tidak perlu apa-apa fesyen, memandang perempuan di hadapannya. Wajahnya jelas tidak suka dirayu dengan nada yang tidak puas hati.

“Mana mungkin abang boleh makan dengan tenang kalau benda itu ada di sana,” kata lelaki itu keras. Matanya terus memandang ke arah sana sebelum sudu yang sarat mi disodorkan ke mulut. Seketika wajah lelaki itu nampak tenang. Rasa mi rebus berpadu dengan lidah, dan saraf-saraf nikmat di lidah segera memberikan rasa sensasi kepada lelaki itu. Lelaki itu seperti terlupa seketika apa yang membuatkan hatinya rusuh.

Pantas fikiran lelaki itu beranjak ke belakang, pada tahun-tahun yang dia masih di bawah tanggungan bapanya. Bapanyalah yang pertama kali membawa dia itu ke situ. Ke kedai mi rebus, di bawah pokok Beringin. Sedapnya mi rebus di bawah pokok Beringin itu, tiada duanya. Katakan sahaja rasa apa yang kamu mahu, pasti ada di dalam mangkuk mi rebus itu. Rasa manis, rasa masam, rasa masin, rasa pahit, rasa daging, rasa tepung, rasa sayur, rasa panas, semuanyalah... bersatu dan menyatu lalu menjadi legenda pada lidah-lidah yang pernah merasanya.

Ingat juga lelaki itu kepada pengasas kedai mi rebus di bawah pokok Beringin itu, seorang lelaki bernama Pak Alimun. Lelaki yang seperti rentung kulitnya. Rambutnya sudah kelabu, tetapi gigi yang masih kukuh dan tidak pernah lupa mengenakan songkok hitam yang sudah rosak kain baldunya kerana kerap terkena hujan.

Kata ayahnya, Pak Alimun dahulu berasal dari Sumatera, di Daerah Jambi. Datang ke Malaysia semasa Perang Vietnam sudah berakhir. Mulanya, Pak Alimun bekerja menjadi kuli menggali longkang, sebelum menjadi kuli di ladang getah, dan akhir sekali Pak Alimun bernikah dengan gadis tempatan yang dia temui semasa mengutip getah, dan terus mendapat taraf penduduk tetap yang masih banyak lompang keistimewaannya berbanding mereka yang bertaraf warganegara.

Selepas itu, entah daripada mana motivasinya, sama ada kerana sudah berkeluarga ataupun kerana sudah bosan hidup menjadi kuli, Pak Alimun mula membuka gerai menjual mi rebus. Resipinya tidak ada seorang pun tahu asalnya daripada mana. Sama ada resipi dari Sumatera ataupun resipi daripada isterinya.

Mula-mulanya Pak Alimun menjual di sebelah kilang getah, dan ramailah pekerja kilang yang datang menjamu selera di situ semasa pagi dan tengah hari. Namun, kuasa Tuhan, kilang getah itu dipindahkan ke kawasan lain dan gerai Pak Alimun tidak laku lagi.

Akhirnya, Pak Alimun pun membuka gerai mi rebusnya di bawah pokok Beringin, dan selepas berpuluh-puluh tahun, gerai mi rebus itu masih ada, walaupun Pak Alimun sendiri sudah lama meninggal dunia kerana terkena barah paru-paru.

Legasi mi rebus di bawah pokok Beringin itu disambung oleh anak-anaknya, yang lelaki itu sudah tidak kenal seorang pun daripada mereka kerana lelaki itu juga sudah berpindah mengikut bapanya, selepas dua tahun Pak Alimun meninggal.

Hari ini, sengaja lelaki itu mengajak isterinya datang ke kampung asalnya, kerana dia ada urusan tanah pusaka . Hari ini juga, lelaki itu dengan yakin mengakui, selepas berpuluh tahun, tidak ada pun yang berubah pada rasa mi rebus itu, walaupun meja dan kerusi kayu sudah digantikan dengan meja dan kerusi plastik. Walaupun atap nipah sudah pun digantikan dengan zink warna merah, dan dinding buluh sudah digantikan dengan blok-blok simen.

Seketika, perasaan selesa lelaki itu terhempas lagi semasa dia kembali memandang ke arah sana. Wajahnya yang tadi tenang kerana rasa mi rebus itu membangkitkan nostalgia lama, kini mula beriak-riak geram. Matanya terus memandang tajam ke arah sana.

“Abang, makanlah dahulu. Asyik pandang ke sana, sampai esok tidak habis mi nya.” Isterinya yang masih menyisakan keayuan masa lalu terus memujuk lembut lelaki yang mengajaknya ke situ. Susah juga hatinya kerana dia sangat kenal lelaki di hadapannya itu. Jenis-jenis lelaki yang apabila putih katanya, putihlah jadinya. Apabila hitam katanya, hitamlah jadinya.

Pernah juga dia terfikir, lelaki yang dikahwininya itu elok hidup pada zaman Hang Tuah. Pasti lelaki itu akan menjadi orang yang terkenal seperti Hang Tuah ataupun Hang Jebat. Paling tidak pun pasti akan dikenang seperti kita-kita ini mengenang Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi.

Wajah lelaki yang asyik memandang ke arah sana, terus ditatap dengan hati yang susah. Pada wajah lelaki itu memantul perasaan tidak enak dalam hatinya. Rasa marah, rasa tidak puas hati dan yang paling perempuan itu takuti, rasa mahu mengamuk. Kalaulah lelaki di hadapannya itu mengamuk pasti amuknya itu hanya dapat ditahan oleh 20 orang lelaki muda. Sedangkan selepas memandang ke sekeliling gerai mi rebus itu, perempuan itu membilang-bilang, hanya ada dua orang lelaki tua sedang berbual-bual tentang politik. Kemudiannya di meja hujung ada seorang anak sekolah menengah yang sedang makan mi rebus seperti orang yang pertama kali berbuka puasa. Di sebelah mejanya pula ada seorang mak cik tua, penjual kerepek pisang yang sedang duduk berehat sambil meneguk sirap ais. Pasti mak cik tua itu sudah berkeliling di sana sini. Manakala pelayan gerai itu pula seorang gadis Indonesia yang dia yakin tidak ada permit, sedang duduk di dapur dengan wajah yang kosong. Manakala pemilik gerai itu pula entah ke mana, dia tidak tahu. Mungkin ada di rumah sedang tidur berdengkur.

Hanya itulah orang yang ada di kedai mi rebus di bawah pokok Beringin itu. Pasti tidak ada seorang pun yang mampu menahan lelaki di hadapannya itu apabila lelaki itu mengamuk. Ingat lagi perempuan itu semasa kali pertama dia melihat lelaki itu mengamuk.

Waktu itu, lelaki itu masih jadi tunangnya, dan lelaki itu mengamuk di hadapan rumah ayahnya. Semuanya kerana ayahnya mahu memutuskan pertunangan mereka berdua. Ada orang, yang entah siapa berbisik kepada ayahnya mengatakan lelaki itu kaki perempuan.

Lelaki itu pula, apabila dikatakan dia seorang kaki perempuan, marahnya seperti gunung berapi yang meletus. Akhirnya selepas lebih 20 pemuda kampung menahan lelaki itu, dan selepas ayahnya memberi jaminan yang lelaki itu boleh bernikah dengan dia, amuk lelaki di hadapannya itu pun reda. Itulah juga yang menjadikan dia sangat-sangat cinta kepada lelaki di hadapannya.

“Aku betul-betul tidak puas hati!” kata lelaki di hadapannya itu keras, membuyarkan ingatannya pada masa lalu.

“Ya, saya faham. Tetapi habiskan dahulu mi rebus itu. Tidak baik marah-marah di hadapan rezeki.” Perempuan itu terus berusaha memujuk, sambil hatinya berdoa semoga lelaki di hadapannya itu tidak sampailah mengamuk.

Lelaki itu pula jelas masih menahan-nahan gelojak dalam dadanya, seperti suri rumah yang menahan air daripada paip yang rosak. Bau mi rebus di hadapannya terus menggodanya. Mujur sekali masih ada benda yang Tuhan ciptakan di dunia ini bagi membuatkan dia menahan marahnya itu.

Dengan tangan yang gagah, sesudu mi rebus lagi disumbatkan ke mulut dan terus fikirannya berkicau kepada masa lalu. Semasa dia dan ayahnya duduk-duduk di gerai mi rebus itu, berbual-bual berkenaan masa hadapan.

“Nanti apabila kamu buat sesuatu, buatlah betul-betul. Buat seperti Pak Cik Alimun ini. Dia buat mi rebus ini, dia buat betul-betul. Mana ada orang yang boleh lawan rasa mi rebus Pak Cik Alimun. Nanti-nanti, mungkin empat lima tahun lagi, kamu lihatlah di mana Pak Cik Alimun berada. Waktu itu, mungkin mi rebusnya sudah ada cawangan, gerai ini pun mungkin sudah ada 50 meja, rumah kayunya akan jadi rumah besar-besar seperti dalam cerita Hindustan. Basikalnya akan menjadi kereta. Itulah yang akan terjadi kepada orang yang membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh,” pesan ayah lelaki itu.

Tetapi, selepas beberapa tahun, tetap tidak ada juga yang berubah pada gerai mi rebus itu. Tetap mejanya 10, tetap atapnya nipah, tetap Pak Alimun berbasikal tua, dan tetap rumahnya kayu yang apabila hujan lebat bocor di bahagian dapur.

Malah selepas Pak Alimun meninggal, tetap tidak ada apa-apa yang berubah walaupun Pak Alimun sudah membuat mi rebus yang tiada duanya. Sekarang pun, selepas berpuluh tahun, walaupun atap nipah sudah berganti zink merah, dinding buluh berganti blok simen, meja kerusi kayu berganti meja kerusi plastik, dan daripada 10 meja menjadi 15 buah meja, ia tetap tiada cawangan, ia tetap tidak boleh dikatakan berkembang.

Fikir lelaki itu, sepatutnya selepas berpuluh-puluh tahun, gerai mi rebus itu walaupun masih di tapak asal dan tiada cawangan, sekurang-kurangnya ia sudah ada 50 meja seperti kata ayahnya. Mungkin lebih lagi, gerai itu bertukar menjadi restoran tiga tingkat. Paling tidak, mi rebus itu menjadi sebutan seperti pau di Tanjung Malim, ataupun nasi lemak di Kampung Baru. Namun, mi rebus itu seperti tidak ada seorang pun yang kenal.

Lelaki itu kembali memandang ke arah sana dengan mulut yang masih terus mengunyah. Wajahnya geram, geram betul sehingga nampak merah. Matanya terus bulat-bulat memandang ke arah situ, marah dan tidak puas hati.

“Abang....” Perempuan di hadapannya terus menegur lembut.

“Apa?” Lelaki itu membengis.

Perempuan itu terus menikus. Ngilu betul hati perempuan itu mendengar nada suara lelaki di hadapannya itu. Bukanlah dia tidak biasa, dan biasanya dalam seminggu ada juga dua tiga kali lelaki itu membengis begitu, tetapi setiap kali lelaki itu membengis, dia tetap berasa takut, tetap berasa itulah pertama kali dia dibengisi.

Terus perempuan itu sekali lagi memandang sekelilingnya, memandang di dalam gerai mi rebus yang menjadi kebanggaan lelaki di hadapannya. Terkenang lagi perempuan itu semasa pertama kali lelaki itu memberitahu berkenaan mi rebus yang paling enak di dunia, iaitu mi rebus yang ada di kampung lahir lelaki itu. Namun, selepas hampir 20 tahun bernikah, itulah pertama kali dia sampai ke situ dan itulah pertama kali merasa mi rebus yang saban tahun, pasti ada dua tiga kali disebut oleh lelaki di hadapannya.

Untuk dia, mi rebus itu memang sedap tetapi ia tetaplah sama dengan rasa mi rebus di gerai di hadapan pejabatnya. Entah apalah yang membuatkan lelaki di hadapannya itu yakin dan bersungguh-sungguh mengatakan itu adalah mi rebus yang tiada duanya di dunia. Mungkin ia ada kaitan dengan masa kecilnya, mungkin juga ia ada kaitan dengan kenangan bersama ayahnya. Mungkin itulah yang menjadikan mi rebus itu paling sedap di dunia.

Tidak tahu juga dia, atas sebab apa lelaki di hadapannya itu tidak pernah membawa dia balik ke situ, ke kampung asal dan ke gerai mi rebus. Bertambah hairan, entah apa mimpi lelaki di hadapannya itu, hari ini pula tiba-tiba lelaki itu mengajaknya ke sini.

Bertanya juga dia tadi dan lelaki itu berkata ia berkenaan tanah pusaka. Selepas mendengarkan jawapan itu, dia diam sahaja dan kemudiannya hanya bercerita berkenaan anak lelakinya yang akan menghadapi SPM dan anak perempuannya yang sudah mendapat panggilan telefon daripada lelaki.

Lelaki di hadapannya itu membawanya ke pejabat daerah, kemudiannya ke beberapa buah rumah. Selepas itu, barulah lelaki di hadapannya itu membawanya ke gerai mi rebus yang saban tahun diceritakan oleh lelaki itu.

Dia tidak tahu apa yang terjadi di pejabat tanah dan di beberapa rumah yang lelaki itu pergi, kerana lelaki itu menyuruhnya tinggal di dalam kereta. Namun hairannya, wajah lelaki itu mula hilang tenang, tetapi tetap mampu berbual berkenaan bola sepak Sepanyol, yang kemudiannya nampak beria-ia apabila singgah ke gerai mi rebus di bawah pokok Beringin, dan terus memandang ke arah sana, ke seberang jalan berhadapan dengan gerai mi rebus. Dia ikut memandang ke situ dengan hati yang terhairan-hairan. Di situ hanya ada anjing yang kurap telinga sedang menjilat-jilat bulu, seperti tidak menghiraukan buruh yang sedang sibuk keluar masuk dari bangunan yang mungkin sedang dikemaskan bahagian dalamnya.

“Siaplah kau!” kata lelaki itu dengan keras lalu dia berdiri dengan wajah yang keras, dengan tiba-tiba. Matanya semakin galak memandang ke seberang jalan. Di situ anjing kurap semakin asyik menjilat bulunya, dan buruh-buruh semakin banyak yang keluar dari bangunan.

Perempuan di hadapannya semakin kecut hatinya. Dia ikut bangun dan kedua-dua tangannya terus memegang tangan lelaki itu. Namun lelaki itu sudah seperti nekad. Mi rebus di hadapannya sudah habis dan dia sudah tidak ada sesiapa lagi yang mampu menghalang. Dengan kasar dia merenggut tangan kanannya yang dipegang kejap oleh perempuan di hadapannya.

“Abang....” jerit perempuan itu kecil, namun lelaki itu sudah melangkah ke seberang jalan dengan wajah yang memerah.


Sebulan kemudian.
Gerai mi rebus di bawah pokok Beringin sudah hilang, dan hanya tinggal tapaknya sahaja yang bersimen. Pokok Beringin itu juga sudah nampak ketuaannya. Batangnya besar menjulang dan daun-daunnya jatuh sampai ke seberang jalan, dan di seberang jalan sana, sebuah kereta berhenti.

Seorang perempuan keluar dari kereta, diikuti oleh seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan, yang pasti adalah anaknya. Perempuan itu memandang bangunan tiga tingkat di hadapannya.

“Inilah restoran mi rebus yang ayah kamu selalu ceritakan,” kata perempuan itu dengan wajah yang tersenyum pahit.

“Tetapi ayah kata, gerainya di bawah pokok Beringin,” kata anak lelaki itu lalu rapat dengan ibunya.

“Mereka sudah pindah ke sini. Bangunan pun sudah tiga tingkat,” jawab perempuan itu lalu dengan langkah yang teratur dia melangkah masuk ke restoran, dan matanya awas memandang ke dalam restoran yang sesak dengan manusia.

Seketika, mata perempuan itu terhenti pada seseorang, dan dengan segera dia mengemaskan raut wajahnya supaya terlihat tenang namun tetap terbenam dalam daerah simpati. Dia memberi isyarat kepada kedua-dua anaknya supaya mengikutnya.

Selepas beberapa langkah, dia sudah berdiri di hadapan seorang lelaki yang berbalut kepalanya. Wajah perempuan itu semakin memperlihatkan rona simpati yang tidak palsu. Dengan suara yang penuh tekanan dia berkata, “Maafkanlah suami saya. Saya mohon, batalkan pertuduhan ke atasnya.”

Lelaki yang berbalut kepalanya itu memegang kepalanya. Wajahnya ada terlihat geram, namun pada saat dia melihat wajah perempuan itu, dan kemudian melihat pula dua orang anak remaja di belakangnya, simpati dan kasihan muncul pula dalam hatinya.

“Saya tidak tahu berkenaan perkara itu, tetapi saya boleh usahakan. Tetapi kalau berkaitan dengan tanah pusaka, memang saya tidak boleh berbuat apa-apa. Ayah suami kamu sendiri yang memajakkannya kepada ayah saya, dan ia sah di sisi undang-undang. Lalu apabila sudah tidak dibayar, maka tanah itu jatuh kepada saya. Bukan salah saya juga kalau ayah suami kamu tidak memberitahu dia,” kata lelaki yang berbalut kepalanya itu.

Perempuan itu mengangguk-angguk. Terbit harapan dalam hatinya. Kemudiannya, sehelai daun pokok Beringin yang sudah kering, singgah ke pipinya, ditiup angin tengah hari yang buas. Perempuan itu diam lalu menyentuh daun Beringin di pipinya, tersenyum penuh hormat dan fikirannya terus melayang kepada anjing yang kurap di telinga, mi rebus dan daun Beringin yang sudah ada di tangannya.




Thursday, February 16, 2012

Perempuan cantik di ladang teh

Kamu tahu ertinya, gadis cantik di ladang teh? Sebelum saya memberitahu kamu ertinya, biar saya ceritakan dahulu tentang diri saya. Semoga dengan itu kamu akan mengerti, bahawa saya bercerita kerana saya memang mahu kamu tahu.

Sunda.

Nama saya, Wi dan kini sudah berumur 12 tahun. Saya anak Sunda asli, dan itulah sedihnya tentang saya. Orang Sunda itu terkenal kerana putih-putih, dan pada saat kamu melihat saya, kamu tidak akan langsung meneka saya orang Sunda kerana kulit saya yang gelap. Mungkin sahaja kamu meneka saya orang Batak, Madura, dan yang paling tidak saya suka, saya digelar orang Jawa. Sudah memang begitu, orang Sunda, paling tidak suka disamakan dengan orang Jawa. Sunda adalah Sunda, dan Jawa itu bukan kami.

Itulah mula hidup saya, hidup sebagai orang Sunda yang tidak nampak ciri orang Sunda, di sebuah ladang teh di Bogor. Ladang teh yang bukan sekadar bagi mengeluarkan hasil daripada daun teh, tetapi juga hasil daripada kegilaan manusia-manusia kaya, yang mahu merasai sendiri suasana di ladang teh yang sejuk dan hijau. Tanpa mereka sedar, apa yang mereka rasai itu tidak akan pernah sama ertinya dengan mereka yang hidup matinya di ladang teh itu.

Di ladang teh itulah, ibu dan ayah saya bekerja setiap hari, sebagai pemetik teh. Bangunnya awal pagi, pada ketika kabus masih membalut bukit dan dinginnya membuatkan selimut murah saya tidak memberi apa-apa makna.

Selepas matahari sudah tergelincir, barulah kerja memetik mereka usai, dan pada setiap hujung bulan mereka memperoleh upah yang semakin membuatkan kami miskin. Itulah nasib yang saya fikir, bukan untuk saya caci dan hina. Tetapi itulah nasib yang perlu saya bela demi sebuah kata, perjuangan.

Walaupun saya tidak memilih menjadi pemetik daun teh, namun saya tetap tidak mampu lari daripada ladang teh itu. Di ladang teh itu, saya menjadi penunjuk jalan kepada pelancong-pelancong yang datang.

Saya membawa mereka ke sana sini dengan hati yang senang, kerana upah saya dikira berdasarkan kilometer. Semakin jauh saya membawa mereka berpusing-pusing, semakin tinggi upah yang saya peroleh. Dan di situlah bermulanya cerita ini.

Pemandu.

Sebagai pemandu pelancong di ladang teh, risikonya sangat tinggi. Di ladang teh, hanya ada daun teh, dan bagi membawa manusia pergi ke sana sini, bagi melihat hanya daun teh di sini dan daun teh di situ, adalah cabaran nombor satu di dunia. Lalu di situlah saya mula belajar berkenaan manusia. Manusia yang berada di situ, terutamanya perempuan cantik biasanya punya rahsia.

Rahsia yang mereka tidak akan ragu-ragu dan malu ceritakan kepada anak lelaki Sunda miskin yang berumur 12 tahun. Biasanya, rahsia mereka adalah cinta, dan daripada situlah saya lebih tahu tentang cinta berbanding lelaki yang beristeri dua.

Pada saat perempuan-perempuan cantik itu bercerita berkenaan cinta mereka yang penuh derita, saya sabar memasang wajah anak miskin yang tidak tahu apa-apa. Pada ketika cerita mereka seperti sudah hampir putus, saya akan segera berkata, “Tidak sangka ada orang sekejam itu.”

Bersemarak kembalilah cerita-cerita cinta mereka. Semakin kuatlah mereka berjalan, semakin jauh saya membawa mereka berpusing-pusing dan semakin banyak upah yang saya peroleh. Itulah untungnya saya. Walaupun saya tidak ke sekolah tetapi, saya memperoleh dua perkara dengan sekali jalan, pengalaman dan wang.

Namun, hari itu sangat berbeza. Seorang perempuan cantik yang datang dari negara tetangga, datang kepada saya dengan senyumannya yang membuatkan saya, anak lelaki 12 tahun jadi malu-malu. Namanya, biarlah saya gelar dia, Reena. Sama ada di bertudung, berkaca mata, tinggi, putih, berdarah campuran, Inggeris, Aras, Pakistan ataupun Cina, biarlah saya rahsiakan daripada kamu. Cukup sekadar saya menyatakan, dia sangat cantik. Cantiknya sehingga saya merasakan, itulah cinta pertama saya kepada seorang perempuan.

Pada saat di berada di sebelah saya, bau harumnya menyeruak sehingga menghilangkan bau baju dan seluar saya yang sudah tiga hari tidak ketemu air. Itu bukan bau minyak wangi mawar yang kerap digunakan perempuan Arab, dan juga bukan minyak wangi Perancis yang menjadi kegilaan perempuan Melayu. Itu adalah bau harum pertama yang paling menyenangkan yang pernah saya cium. Bau harum seorang yang bersih, baik dan tidak menggunakan minyak wangi.

Atas desakan wang jugalah, saya cuba menggunakan taktik saya. Saya mahu mengumpannya supaya dia bercerita berkenaan cinta, bercerita sehingga dia tidak sedar yang dia sudah berjalan 10 kilometer, dan pasti saya punya pembuka katanya.

Ayat pertama.

“Perempuan secantik kakak, mengapa datang ke sini seorang diri?” Itu soalan pertama saya, walaupun saya sangat sedar, dia tidaklah datang seorang diri kerana dia datang bersama rombongan. Tetapi itu adalah umpan dan kamu akan tahu maksud saya nanti.

“Cuba lihat di belakang. Saya datang bersama rombongan,” jawab Reena. Itu suara dia yang pertama saya dengar, dan nadanya cukup tenang dan terkesan manis di hati.

Lalu terus sahaja saya berkata, “Benar, kakak ini datang bersama rombongan, tetapi mengapa jalan seorang diri? Suami tidak ikut, ataupun buah hati masih ada kerja di kota?”

Waktu itu, Reena tersenyum dan pada ketika dia tersenyum, saya cukup yakin, dia akan perlahan-lahan membuka cerita berkenaan masa lalunya. Namun terkejutnya saya pada ketika dia berkata, “Saya belum bernikah. Lalu berkenaan teman lelaki, itu biarlah menjadi rahsia. Jadi teruskan sahaja berjalan.”

Reena langsung tidak termakan umpan saya, dan malah pada ayat akhirnya, dia seperti tidak suka saya bertanya, dan adakah ia juga bermaksud dia juga tidak suka kepada saya yang hitam dan tidak sekolah ini?

Pada ketika saya melihat rezeki saya akan berkurang, saya gembira kerana Reena rupanya yang mahu bertanya, dan dia tidak mahu saya yang bertanya. Saya ditanyakan bermacam-macam. Bermula dari nama saya, kerja ayah ibu saya, sehingga kepada sistem kerja di ladang teh. Semua dia tanya, dan kini saya pula yang seperti termasuk umpan. Saya menjadi sangat penurut, mendengar kata dan bersungguh-sungguh bercerita tanpa malu-malu. Mungkin inilah dinamakan cinta. Entah.

Kerana umur saya baru 12 tahu, cerita saya tidak panjang, dan pada ketika Reena berhenti bertanya, kami baru sahaja berjalan dua kilometer, dan saya melihat kerut pada dahi Reena, gayanya seperti mahu berpatah balik. Bayaran untuk dua kilometer adalah sangat tidak patut untuk saya, dan dengan semangat, saya tebalkan muka bagi terus bertanya berkenaan cinta. Hanya cinta yang mampu membuatkan manusia bertambah tenaga, tidak lelah, yang jauh seperti dekat, yang panas terasa dingin dan yang lama terasa sekejap. Hanya itu, dan itu juga yang saya tanya. Soalan yang belum pernah saya tanyakan kepada sesiapapun.

Soalan.

“Bagaimana kalau kakak, jatuh cinta kepada orang yang salah?” tanya saya dengan hati yang penuh harap, semoga dia mahu bercerita.

“Maksudnya?” soal Reena dengan senyuman yang sangat manis.

Untung saya punya pengalaman berkenaan cerita cinta, dan mudah saya menjawab, “Mungkin lelaki itu sangat pemarah, tidak setia, malas bekerja, tidak berpelajaran, tidak beragama, ataupun mungkin lelaki itu tunangan orang, dan paling teruk suami orang. Bagaimana?”

Reena tidak tersenyum mendengar kata-kata saya. Wajahnya menjadi wajah perempuan cantik yang mahu bercerita, dan segera harapan saya bagi membawanya berjalan jauh terwujud. Bezanya, wajah Reena tetap cantik, dan sopan. Itulah yang membuatkan degup jantung saya sudah tidak mampu saya bezakan. Sama ada degup kerana debar menunggu jawapannya, ataupun degup kerana saya jatuh cinta.

Selepas sepuluh langkah, akhirnya Reena berkata, “Setiap perkara yang kamu sebutkan, berbeza-beza situasinya. Namun, semua itu tetap ada persamaan.”

“Persamaan? Maksud kakak?” Saya pula yang menjadi mahu mendengar ceritanya. Terlalu hebat bunyinya.

“Sekiranya sahajalah kamu perempuan, pasti kamu akui perkara ini, perkara yang kamu tidak mampu maafkan adalah, berkenaan cinta. Pada saat cinta kamu dibuang tidak endah, ia hilang bersama maaf kamu,” jawab Reena dan membuatkan saya semakin ragu-ragu.

“Saya tidak faham.” Betul, saya memang tidak faham dan untuk perkara seperti itu, saya benar-benar kalah bagi memikirkan hal sebegini. Belum pernah dalam hidup saya yang 12 tahun ini diberi persoalan sebegini.

Reena tersenyum, dan pada senyuman itu sebenarnya nampak yang lebih sigap dan kuat daripada apa yang saya nilai berkenaan diri dia.

“Wi, persamaan semua itu adalah ujian dan setiap ujian datang bersama hikmahnya. Jatuh cinta itu perkara biasa, semua orang melaluinya. Jadi ujiannya adalah bagaimana kita menghadapinya sekiranya sahaja kita jatuh cinta kepada orang yang salah. Sekiranya kita tahu perkara itu, itulah rahmat Allah yang besar kepada kita dan pasti ada hikmahnya. Cuma sahaja, bagi mendapatkan hikmah itu terlebih dahulu kita diuji, dan kita diuji pada titik kita yang paling lemah. Itulah persamaannya, cinta itu datang sebagai ujian kepada kita kerana itu antara titik terlemah manusia.”

Saya akui, saya akhirnya terjerembap pada persoalan, mengapa akal saya belum sampai kepada maksud yang perempuan itu mahu? Adakah kerana saya lelaki yang baru berumur 12 tahun? Namun tetap sahajalah saya masih punya akal bagi bertanya.

“Cinta itu datang sebagai ujian, jadi bagaimana kakak menghadapi ujian itu?” Saya bertanya sambil hati berdoa semoga Reena tidak sedar sudah jauh saya bawa dia berjalan, dan semoga saya dibayar mahal.

“Saya tidak tahu caranya dan saya berharap ia tidak terjadi kepada saya.”

“Sekiranya terjadi juga?” Pantas saya menyoal kembali, dan Reena terdiam hampir seminit. Mungkin sahaja, dia baru menyedari sesungguhnya perkara itu tidak mustahil terjadi ke atas dia.

“Sekiranya terjadi juga, saya akan berdoa kepada Allah supaya berikan jalan keluar, dan semoga menguatkan hati saya bagi mengawalnya. Kamu pasti tahu, Allah punya jalan keluar yang tidak terbatas dan hanya akal manusia sendiri yang membataskannya. Kemudiannya, saya akan sedaya upaya membuat perkara yang paling sukar ini.” Reena diam lagi, dan saya pula menjadi sudah tidak tentu arah. Apakah perkara yang paling sukar kepada seorang perempuan cantik?

“Apa?” Saya mendesak.

“Terus berbaik sangka kepada Allah. Dan ia sangat sukar pada ketika hati kecewa. Memanglah pada ketika sekarang kata itu mudah, namun pada saat hati kecewa, mudah sahaja hati tanpa sedar menyangka yang bukan-bukan. Padahal,ada hikmah yang Allah mahu berikan.”

“Apa hikmah yang Allah mahu berikan?”

“Hikmah Allah itu sangat banyak dan sangat besar. Tidak terfikir kita, Wi. Memperolehnya sangat sukar. Jadi bagaimana mahu memperoleh hikmah sekiranya kita belum diuji? Lalu ujian begini datang. Semakin perit ujiannya, semakin besar hikmahnya dan memberi maaf adalah antara cara bagi memperolehnya. Memberi maaf kepada diri sendiri, memberi maaf kepada lelaki itu dan memberi 'maaf' kepada takdir Tuhan. Pada ketika kamu mampu memberi maaf, pada ketika itulah hikmah daripada Allah itu semakin hampir dapat ke dalam hati. Pada perkiraan saya yang kurang ilmu ini, antara hikmahnya adalah berkenaan sabar pada ujian, redha pada ujian, dan paling utama, ikhlas pada ujian. Semua itu, kata kuncinya adalah memberi maaf. Namun, terus terang sahaja, saya sangat takut kepada ujian itu kerana saya takut gagal memaafkan. Saya sentiasa berdoa semoga Tuhan terus memberikan saya cinta kepada lelaki yang tepat supaya saya tidak perlu memberi maaf kepada lelaki yang salah.”

Saya tersenyum lebar, bukan kerana mendengar ceritanya tetapi kerana sudah berjaya membawa dia berjalan jauh. Sudah terbayang wang yang akan saya peroleh, dan sekarang cuma perlu satu soalan akhir.

“Sudah bertemu cinta lelaki yang tepat?” soal saya tersenyum.

Dia ikut tersenyum lalu menjawab, “Belum, jadi doakan saya berjaya menemuinya.”

Saya terus mendoakan dia, semoga perempuan cantik itu menemuinya cinta yang tepat. Dan saya tidak sedar, diam-diam saya berharap saya adalah lelaki itu, namun seketika kemudiannya saya tahu doa saya kepadanya termakbul, kerana saya kembali sedar, saya bukanlah lelaki yang tepat untuk perempuan secantik dan sebaik itu. Saya cuma anak lelaki berumur 12 tahun, gelap, tidak bersekolah dan tidak punya apa-apa, selain Tuhan. Seketika juga, saya seperti tersedar, saya baru sahaja diuji dengan nama cinta itu sendiri.

PENGUMUMAN:

Dengan rendah hati, boleh juga dapatkan buku terbaru Bahruddin Bekri di pasaran. Hidup Penuh Cinta. Ini adalah kompilasi cerpen-cerpen cinta berkenaan hidup, keluarga, rakan-rakan dan Tuhan :) Boleh klik link di bawah bagi pembelian online ataupun terus menempahnya di kedai. :)

http://www.bookcafe.com.my/en/remaja/hidup-penuh-cinta-en.html









Wednesday, February 15, 2012

Jangan pernah lupa doakan ibu

Bunyi senapang sudah menggila. Sesekali ada peluru yang menembusi daun tingkap, membuat lubang pada dinding rumah. Sesekali bumi bergegar, dan debu-debu menyeruak ke ruangan rumah yang kecil.

Salwa, anak perempuan yang baru berumur enam tahun semakin kuat memeluk ibunya, dan ibunya semakin kuat memeluk Salwa.

“Ibu, Salwa takut,” rintih Salwa. Yang tersudut di penjuru rumah kecil, berdinding tanah liat keras dan berbumbung genting nipis.

Ibunya terus memeluk erat sambil mengusap-usap kepalanya.

“Tenang sayang. Jangan takut.” Hanya itulah kata-kata yang mampu ibunya berikan kepada Salwa. Selain itu, semua kata-katanya sudah hilang daripada fikirannya.

Bang! Satu peluru sesat mengenai gambar keluarga yang tergantung. Pecah lalu terhempas ke lantai. Serentak itu ibu Salwa semakin memeluk Salwa erat. Serentak itu juga, tangis Salwa sudah tidak mampu ditahan-tahan.

“Jangan menangis sayang.” Ibu Salwa terus memujuk.

“Ibu, Salwa takut!” Sekali lagi, hanya itu yang Salwa tahu.

Untuk ibu Salwa, tidak ada apa lagi yang mampu diucap, selain hanya menguatkan pelukan, dan mengulang perkataan sabar. Dadanya sendiri sudah bergegar. Bunyi tembakan semakin menggila.

“Ayah mana? Salwa takut!” soal Salwa sambil air matanya mengalir deras.

Ibu Salwa hanya diam. Tidak tahu bagaimana dia mahu menjawab soalan itu. Yang dia tahu, bunyi senapang semakin meriah, semakin terasa dekat. Akhirnya, ibu Salwa ikut menitik air mata dan pada ketika itulah bunyi tembakan berhenti. Ibu Salwa terus memasang telinga dengan hati yang sudah berdenyut-denyut mahu pecah. Dan pada ketika itulah pintu rumah mereka pecah terkopak.

Dua lelaki berpakaian tentera dengan mata merah menghalakan senjata ke arah Salwa dan ibunya.

“Pengkhianat!” jerit tentera dengan suara yang sudah sama gemanya dengan bunyi senjata.

Hati Salwa berdetak kuat. Tangisnya semakin lebat.

“Tuan, tolong jangan bunuh kami. Kami tidak buat apa-apa,” rayu ibu Salwa, penuh harap dengan tangan yang memohon ampun.

“Kami akan bunuh semua keluarga pengkhianat! Suami kau pengkhianat, kau pun pengkhianat!” Tentera itu semakin hampir kepadanya dengan senjata yang sudah sedia ditarik picunya.

“Kalau mahu bunuh, bunuh sahaja saya. Tolong jangan bunuh anak saya,” rayu ibu Salwa lagi, lebih bersungguh-sungguh sehingga tidak peduli lagi air mata yang sudah berjurai-jurai.

“Pergi jahanam! Semuanya akan aku bunuh!” pekik tentera itu, dan jarinya sudah ditarik 10 peratus dan ketika itulah, rakannya segera menghalang.

“Takkan kita mahu biarkan semudah itu pengkhianat ini mati!” kata rakannya keras dengan senyuman jahat tersungging di bibirnya.

“Jadi?” Tentera yang sudah mabuk darah bertanya dengan hati yang tidak puas. Masakan tidak, senapang sudah sedia memuntahkan peluru, tiba-tiba dihalang nikmatnya.

“Kita seksa mereka.”

Serentak itu, tentera itu mengeluarkan bom tangannya. Dengan wajah yang tersenyum semakin jahat dia berkata, “Biar mereka anak beranak mati di dalam rumah ini.”

Rakan ikut tersenyum jahat, sebelum ketawa yang membuatkan Salwa semakin memeluk erat ibunya. Ibu Salwa hanya tunduk melindungi Salwa dengan tubuhnya. Hanya itu yang dia mampu fikir dan perbuat.

Kedua-dua tentera itu segera keluar dari rumah dan pada ketika ketawa mereka sudah sayup-sayup, sebutir bom bergolek masuk dari depan pintu rumah.

“Ya, Allah!” Itulah kata-kata akhir yang Salwa dengar daripada ibunya, sebelum kedengaran bunyi yang maha kuat, diikuti pandangannya yang sudah gelap.

Salwa tidak tahu, berapa lama sebelum dia membuka mata dan melihat ibunya sedang dalam posisi merangkak, dengan tangan dan kakinya menopang tubuh, dan Salwa berada di bawah tubuh ibunya. Terlindung daripada serpih atap-atap rumah yang menimpa, terhindar daripada serpih-serpih dinding yang runtuh.

Salwa hanya memerhatikan ibunya yang sudah bergetar tubuhnya. Dan darah menitik daripada sekujur tubuh ibunya.

“Ibu!” Salwa cuba memeluk ibunya tetapi keadaan yang sempit, hanya memboleh Salwa mengusap-usap wajah ibunya yang penuh debu dan darah.

“Salwa, alhamdulillah, kamu selamat sayang,” kata ibu Salwa lembut tetapi penuh pedih.

“Ibu!” jerit Salwa. Hanya itu yang dia tahu dan mampu fikir kerana memang hanya itulah dunia Salwa, ibunya.

“Sayang, nanti kamu akan hidup seorang diri. Tidak akan ada orang lagi sikatkan rambut kamu, tidak akan ada lagi pakaikan baju kamu, tidak akan ada lagi suapkan kamu. Semuanya kamu perlu buat sendiri. Jangan takut, itu semua kamu boleh buat. Kamu anak ibu yang pandai dan berani.”

Ibu Salwa berkata dengan darah menitik dari mulut. Walau suara sangat perih, tetap juga dia memaksa suara keluar dari kerongkongnya.

“Ibu!” Salwa sekali lagi menjerit, menangis.

“Sayang, ingat pesan ibu baik-baik. Apapun yang terjadi, sabarlah. Jangan hilang sabar kerana selepas ini, tidak akan ada orang lagi yang sangat bersabar kepadamu, selain diri kamu sendiri.”

“Ibu!” Salwa menjerit lagi.

“Sayang, jaga diri. Jangan pernah lupa doakan ibu....” Ibu Salwa semakin perlahan suaranya... dan kemudiannya hanya terdengar bunyi halus... “Lailahaillahlah....”

“Ibu......!” Dan tangis Salwa semakin panjang.....

30 tahun kemudian.

“Ibu, ini kubur siapa?” soal seorang anak perempuan, yang mungkin umurnya lima tahun, yang ikal halus rambutnya hingga menutup mata, kerana sudah jatuh klip rambutnya entah di mana-mana.

Perempuan yang dipanggil ibu itu tersenyum lalu terus memeluk anak perempuan itu. Memeluk erat-erat.

“Ibu sakit!” kata anak perempuan itu sambil cuba lepas daripada pelukan ibunya.

“Maaf... ibu tidak sengaja.”

Ibunya tetap memeluk tetapi sudah longgar.

“Ibu, ini kubur siapa?”

“Ini kubur nenek kamu,” jawab perempuan itu, sebak.

“Nenek?”

Akhirnya anak perempuan itu kembali dipeluk erat ibunya.

“Dahulu, nenek kamu berpesan kepada ibu, jadilah orang yang bersabar kerana tidak akan ada orang lagi bersabar ke atas kamu selain diri kamu.”

“Apa ibu cakap? Saya tidak faham,” soal anak perempun itu yang dengan hati-hati cuba melepaskan diri daripada pelukan erat.

“Memang kamu tidak akan faham sekarang, tetapi kamu akan faham pada ketika kamu seusia ibu.” Sudah ada air mata yang berkolam di pelupuk mata ibu itu.

“Kalau ibu faham, apa maksudnya?” Anak kecil itu masih belum mampu lepas daripada pelukan ibunya.

Ibu itu diam 30 saat sebelum dapat menghilangkan sebak dan dia berkata sesuatu yang sebenarnya ditujukan untuk dirinya. Ya, memang untuk dirinya kerana dia yakin anaknya itu pasti tidak mengerti.

“Orang yang paling bersabar dengan diri kita adalah ibu kita. Tidak akan kita temui lagi orang yang sesabar ibu kita. Malah, pada saat kita tidak sabar dengan diri kita, ibu kita yang datang meminjamkan sabarnya. Malah sabarnya ibu kita itulah yang menjami sabarnya Allah dengan kita. Pada ketika ibu sudah hilang sabar dengan anaknya, hilanglah redha ibu, maka hilanglah juga redha Allah.”

“Saya tidak faham!” Anak kecil itu merengek meminta lepas. Sudahlah dikepung dengan pelukan ibunya, kini dia dikepung pula fikiran dengan kata-kata ibunya yang panjang.

“Nanti-nanti kamu fahamlah,” jawab ibu itu tersenyum lalu mengesat air matanya yang bertakung sebelum menyambung, “Buat masa ini, cukuplah kamu faham, ibu sangat sayangkan kamu.”

Anak kecil itu berhenti meminta lepas. Dia memandang ibunya sebelum memeluk leher ibunya dan berkata, “Saya juga sayangkan ibu.”

“Kalau sayangkan ibu, kamu jangan pernah lupa doakan ibu.” Si ibu melepaskan pelukan selepas memberikan satu ciuman pada pipi anaknya.

“Saya sentiasa doakan ibu.” Si anak berkata dengan wajah serius.

“Betul?” Si ibu terus mengusik.

“Betul. Dengar ini,” kata si anak lalu menadahkan tangannya lalu berdoa, “Ya, Allah, sayangi ibu saya sebagaimana dia sayangi saya. Ya, Allah, jangan beri dia susah kerana dia yang selalu ubatkan saya kalau saya sakit, beri saya makan, sikat rambut saya dan pakaian saya baju. Ya, Allah saya sayang ibu saya.”

Ibu itu tergelak kecil, dan serentak pelupuk matanya kembali berkolam.

Tuesday, February 14, 2012

Syiria dan dunia

Barangkali itulah Syiria,
sekeping kertas carik sepi,
di atas meja kayu jati,
minta ditulis kata simpati

Barangkali itulah aku,
sebatang pena kaku,
diam sepi di dalam saku,
menulis untuk meminta laku,

Barangkali itulah Syiria dan aku,
sekeping kertas carik dan pena kaku,
minta ditulis kata simpati tapi tidak laku,
di atas meja kayu jati,
dan aku masih di dalam saku

Barangkali itu duka,
di atas hati yang tahu,
minta dibuat sesuatu,
tetapi jari jadi beku,
dan lidah keras kematu

Syiria, maafkan aku.

Monday, February 13, 2012

Di dalam kotak ini ada aku dan kamu

Di dalam kotak ini,
aku letakkan bahagia,
yang sudah kusut,
dibalut kain buruk kelabu,
dihinggapi bau kotak buruk,
untuk aku hulur kepada kamu,
sebagai rayuan

Di dalam kotak itu,
kamu letakkan kecewa,
yang masih cantik,
dibalut kertas warna biru,
disapu wangi mawar,
untuk kau titip kepada aku,
sebagai jawapan

kamu terima,
aku sambut,
kamu tersenyum manis,
aku tersenyum perit,

Di dalam kotak ini,
Tuhan letakkan aku dan kamu,
dibalut cinta yang buruk wangi
disapu rindu yang cantik kelabu
untuk Tuhan hadiahkan kepada dunia,
sebagai kenangan.

Saturday, February 11, 2012

Pertemuan pertama

"Lalu ada siapa?"

Amat tahu langit yang akan ditatapnya esok, tetap akan sama dengan langit yang ditatapnya sekarang. Kalau berbeza sekalipun, mungkin larik-larik awan. Entah mengapa angin hari ini kuat. Mungkin angin kuat itu juga yang menjadi berus langit, mewarnanya dengan awan. Ah, itu logik Amat. Logik orang kampung.

"Kalau hanya aku? Mengapa?"

Murni tidak pernah berasa seperti ini. Tangannya sesekali berasa sejuk, seperti kurang darah. Digosok-gosok tapak tangannya, semoga darah kembali ke situ. Tidak tahu Murni atas sebab apa dia buat begitu, cuma biasanya di filem-filem barat yang ada salji memang itulah cara mereka, mengosok-gosok tapak tangan. Tetapi Murni tetap berasa tangannya sejuk.

"Kalau hanya ada kau, itu hal besar. Kau tahu, aku perempuan dan kau lelaki. Memanglah ilmu agama aku tidak tinggi, tapi aku tahu tinggi mana nafsu orang seperti kita, yang kurang ibadahnya."

Amat cuba tersenyum, tetapi tertahan entah di mana. Sekejap terasa tertahan di dada, sekejap terasa tertahan di kerongkong. Susahnya juga mahu senyum pada sesuatu yang bernama kebenaran. Mungkin sahaja kerana kebenaran itu tidak memihak kepada dia.

"Kalau begitu, kita pulang sahaja."

Murni berpaling memandang jalan raya tar yang belum diberi garis. Rumput-rumput di tepi jalan sudah meninggi. Tidak ada yang mahu memotongnya kerana upah yang ketua kampung beri, adalah upah tahun 70-an. Rendah dan menghina. Fikiran Murni larut pada rumput-rumput yang meninggi itu, dia tersenyum.

"Itulah yang seeloknya."

Amat ke barat dengan langkah yang seperti punya mata, memandang ke langit, melihat awan yang dia tahu ada namanya, tetapi dia tidak peduli. Kerja memberi nama kepada alam ini adalah kerja orang putih. Itulah fikirnya. Namun sesekali dia tetap yakin, langit itu akan tetap sama, hari ini, esok, lusa dan sehingga dia mati. Langkahnya pun menjauh.

"Saya balik dulu."

Murni ke timur. Ke arah rumput yang meninggi. Tangannya sudah mula terasa darahnya, panas. Aneh rasanya. Kuasa apa yang membuat tangannya sejuk tadi? Biarlah kuasa apapun. Yang penting, dia tahu dia semakin jauh, dan fikirannya terus kepada soalan, mengapa jalan tar itu belum diberi garis?

Thursday, February 09, 2012

Anak paderi yang cantik dan cinta lelaki Islam

Saya menemukan perempuan ini di kuliah. Kami saling kenal nama. Namun, kami seperti malu-malu. Tidak pernah bicara. Tersenyum juga, tidak pernah. Anehnya saya tahu segalanya tentang dia. Kerna entah bagaimana, semua lelaki gemar bicara tentang dia. Lelaki yang duduk di depan saya, di belakang dan di kiri kanan saya. Terkadang mereka hanya berbisik. Terkadang bicaranya sederhana dan terkadang melebihi sederhana. Namun yang pasti, bicara mereka diiringi senyuman. Atas kerna itu, saya ikutan tahu segala.

Dia perempuan kepulauan Borneo. Dan setiap kali dia berlalu, bayangnya cepat menerkam ke ekor mata. Bukan hanya saya, malah semua lelaki yang ada di kuliah. Sekiranya dia dilihat oleh penyair, pasti penyair mengatakan dia itu umpama pelangi yang sudah sampai puncak ranumnya. Terang dan pekat warnanya. Berlatarkan pula langit yang biru dan ada secalit awan putih. Bisa membuat manusia mengejarnya hingga ke kaki langit.

Dan hati lelaki mana yang puas, jika bayang perempuan itu sekadar menerkam pada ekor mata. Setidaknya berpaling, sekilas. Biar hanya sekali. Dan pada ketika itu, baik saya kenal ataupun tidak lelaki-lelaki yang berada di belakang saya, pasti mereka berbisik.

“Usah terlalu diperhati. Dia itu anak paderi besar. Paderi yang sudah menkristiankan ribuan manusia.”

Saya tidak mengangguk. Tidak pula mengerut dahi. Cuma pada hati, pada iman yang senipis kulit bawang , timbul satu rasa yang menghampiri khuatir. Khuatir tentang sesuatu. Dan bisikan itu tidak berakhir di situ.

“Dia juga sudah punyai surat kuasa seperti ayahnya. Dia bisa menkristiankan manusia.”

Saya diam. Pada hati, pada iman yang senipis kulit bawang ini, saya mengerti sesuatu. Perempuan dari kepulauan Borneo itu, bukan sekadar pelangi yang sudah ranum warna dan bentuknya. Malahan juga sudah bisa membuat manusia berganjak daripada paksi pegangannya.

Untuk beberapa tahun, perempuan daripada kepulauan Borneo itu hilang. Sehinggalah pada suatu hari, Tuhan merencanakan kami bertemu di sebuah pusat membeli belah. Bertemu semasa saya sedang menikmati status pengantin baru. Merasakan benteng diri sudah kuat kerna ada isteri yang cantik di sisi, lalu saya berani menegur. Dan dia tersenyum. Selepas beberapa dialog phatic, saya bertanyakan soalan lebih serius.

“Masih sendiri?” Saya kira ini dialog yang serius. Lebih-lebih lagi sekiranya ditanyakan kepada seorang perempuan. Mungkin.

Perempuan kepulauan Borneo itu diam. Menggeleng. Namun masih juga tersenyum.

“Perempuan secantik kamu masih sendiri?” tanya saya lagi. Buat pertamanya, saya mengerut dahi kerna perempuan ini.

“Mengapa? Mahu peristerikan saya,” jawabnya. Masih tersenyum. Dan sekiranya senyumannya itu hidup. Pasti ia adalah seekor kucing yang menggesek-gesek kepalanya pada kaki manusia. Manja.

“Mana boleh!” Pantas saya menjawab. Mujur isteri sudah asyik memerhati sesuatu. Mungkin pewangi, mungkin juga gincu. Lupa. Yang pasti ia barang perempuan. Lalu dia tidak terdengar bicara itu.

“Lelaki Islam boleh berkahwin empat,” jawabnya pantas.

Jantung saya terus berlari. Buru-buru saya menarik nafas yang dalam. Buru-buru juga mata saya mencari isteri saya. Nyata saya masih belum kuat berhadapan dengan bicara begitu daripada seorang perempuan yang sungguh cantik. Mungkin dia bercanda, namun bagi lelaki itu cara bercanda yang serius. :-P

“Tetapi keistimewaan itu hanya untuk orang Islam. Sedang kamu adalah Kristian. Tambah lagi, ayah kamu paderi besar.”

Usai berkata, fikiran saya berkecamuk. Rasanya, cara menjawab saya itu terlalu biasa dan tidak enak. Terus sahaja mengandaikan dia Kristian. Mana tahu dia sudah Islam. Jika pun dia masih bukan Islam, tidak salah saya berkata sesuatu yang bisa menarik dia ke dalam Islam. Tetapi, saya bukan pendakwah yang terlatih. Malah, tidak pernah berlatih. Lagi pula waktu itu, saya masih menikmati rasa pengantin baru. :-P Hey. Sekarang pun saya masih menikmati rasa itu. Betul. (Kata-kata untuk isteri saya. Sekiranya dia terbaca cerita ini.) :-P

Perempuan dari kepulauan Borneo itu meletak telapak tangan pada mulutnya dan dia langsung ketawa. Jika sudah manis, pasti ketawanya juga kedengaran manis. Tetapi anehnya, mengapa dia ketawa? Ketawa yang sungguh-sungguh.

“Mengapa ketawa?” tanya saya. Selepas ketawanya sudah lebih 30 saat.

“Kamu percaya yang saya Kristian totok? Ayah saya paderi besar?” soal perempuan dari kepulauan Borneo itu.

Saya diam. Uh. Mungkin benar dia sudah Islam. Lalu menjawab soalan saya dengan soalan. Soalannya pula seperti itu.

“Saya memang Kristian. Dan sekarang masih Kristian. Tetapi saya bukan Kristian totok dan ayah saya bukan paderi besar. Ayah saya hanya pengurus bank,” sambung perempuan dari kepulauan Borneo itu.

Saya masih diam. Tidak tahu apa yang perlu saya sambung pada bicara dia. Aneh. Saya mengaru lengan. Menelan air liur dan kaki mengeser-geser lantai marmar pusat membeli belah itu.

“Dahulu, semasa di universiti, saya sengaja mengatakan ayah saya paderi besar. Paderi yang sudah menkristiankan beribu jiwa. Saya pula kristian totok yang bisa menkristiankan manusia....”

“Mengapa?” potong saya pantas pada bicaranya. Perasaan aneh dalam hati saya sudah meletus. Tidak bisa menahan rasa mahu tahu.

“Kerana saya sudah rimas dan bosan. Saban hari saya didatangi surat daripada lelaki-lelaki Islam. Surat yang mendambakan cinta. Tidak pelak dengan itu, saya di hujani puluhan SMS cinta. Malah belasan panggilan telefon sehari. Mahu berkenalan katanya. Yang pasti, semua lelaki Islam itu hanya mahu cinta. Lalu bagi mengelak hal itu, saya terpaksa membuat sesuatu supaya lelaki-lelaki Islam itu jadi takut dan tidak lagi menelefon saya. Caranya dengan mengatakan saya adalah anak paderi, yang bisa memurtadkan mereka. Dan hidup saya berlangsung seperti biasa,” terangnya dengan panjang. Senyuman masih ada pada bibir.

“Maaf, sebab saya menipu. Tetapi saya terpaksa. Bukan saya tidak mahu membuka hati saya kepada lelaki-lelaki Islam itu, tetapi saya datang ke universiti, mahu belajar. Menggalas harapan yang tinggi. Maklum, ayah saya pengurus bank. Pasti kamu faham tekanannya kepada saya. Lagi pula, segala surat-surat, SMS dan telefon daripada lelaki-lelaki Islam itu bernada nafsu. Mungkin mereka menyangka kerna saya ini bukan Islam, lalu bisa terus diajak terus ke ranjang. Saya kecewa dengan cinta lelaki-lelaki Islam itu. Cinta mereka luar biasa gelapnya. Sekali lagi maaf . Tetapi saya cuma memberitahu apa yang saya alami. Anehnya, mereka masih kuat dengan pegangan agama Islam. Masih lagi takut dimurtadkan. Aneh,” sambungnya lagi.

Kali ini, dia tidak tersenyum. Namun matanya yang memandang itu seperti memberitahu sesuatu. Saya sebagai lelaki Islam, diam. Terlalu banyak persoalan yang datang. Sepertinya fikiran saya sedang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri. Tetamu tidak putus-putus datang. Persoalannya berat. Perlu ruang berfikir yang selesa, bukan di sini. Mungkin juga ia tidak bisa terjawab. Hanya bisa diadukan kepada Tuhan. Tetapi saya tetap tersenyum. Dia juga akhirnya tersenyum. Dan hari itu, saya mengerti sesuatu. Sesuatu tentang anak paderi yang cantik dan cinta lelaki Islam.