Tuesday, June 28, 2011

Buku yang paling bagus di dunia - sebuah cerpen



Benarlah sesuatu perkara itu, akan kita percaya bagus pada ketika perkara itu menjalankan fungsinya dengan baik dan memberikan kita rasa puas hati. Lalu itulah yang saya percaya, sebagai perkara yang paling bagus. Itulah juga yang saya pegang seperti lelaki tua yang memegang tangan isteri muda, tidak lepas dan sayang mahu renggang. Namun akhirnya, pada suatu hari, saya mengerti fungsi itu belum apa-apa, kerana ada perkara lain yang memberikan definisi paling bagus untuk apa yang sudah saya percaya paling bagus.

Saya.

Kenal-kenallah saya dahulu. Saya adalah jurutera kapal tangki. Yang berada lapan bulan di laut dan bercuti tanpa apa-apa kerja selama empat bulan di darat. Walaupun saya masih third engineer, tetapi gaji saya lima angka, dan ia bukan dibayar dengan ringgit melainkan dolar. Ya, dolar dan lima angka. Yang itu memang menguntungkan, apatah lagi selepas lapan bulan, kamu sudah punya dua pilihan. Mahu membeli kereta mewah yang harganya enam angka, ataupun rumah yang ada enam bilik. Kamu pilih dan, bangga saya mengatakan, saya sudah memperoleh kedua-duanya.

Jadi, dalam masa cuti empat bulan, saya bukan lagi jurutera yang bersimbah minyak hitam dengan peralatan yang sebesar lengan, tetapi saya adalah penulis novel. Saya percaya, menulis itu adalah terapi terbaik selepas lapan bulan kamu hanya melihat biru langit dan laut, dan sesekali melihat geram perempuan-perempuan yang melambai di pelabuhan Eropah.

Saya percaya, menulis itu bukan semestinya kerana wang. Sastera tidak boleh dikomersialkan. Sastera itu berdiri sendiri seperti gunung yang terpacak menjulang awan. Sekiranya sastera dikomersialkan, ruh sastera hanya akan menjadi seperti bayang-bayang ketika adanya cahaya. Pada saat gelap melindungi, ruh sastera itu tidak ada lagi. Kosong, dan gelap. Sastera itu sepatutnya adalah cahaya, dan pada saat gelap datang, ia tidak hilang dan kekal ada di situ melawan gelap yang penuh pekat. Jadi, mana-mana buku yang diisi dengan definisi sastera yang saya percaya, adalah buku yang paling bagus. Buku yang bebas daripada pengaruh wang, buku yang layak menjadi cahaya.

Mudahnya, saya menulis bukan kerana wang. Begitu sekali saya menggunakan akal dalam memberikan definisi berkenaan buku yang paling bagus. Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang penulis ini, penulis yang merah wajahnya, pada saat bercerita berkenaan penulisan kepada beberapa orang yang minat menulis.

Merah wajahnya.

Hari itu, saya melihat dia dengan penuh ragu. Dia bercerita kepada beberapa orang yang minat menulis berkenaan pentingnya niat semasa menulis, iaitu mahu memberi sebanyak-banyak manfaat kepada manusia.

Pentingnya, menulis yang baik-baik, jangan menulis yang jahat-jahat, dan betapa perlunya menulis sesuatu yang orang kebanyakan mudah hadam dan faham. Juga pentingnya menetapkan niat utama, menulis bagi ibadah kepada Allah.

Namun satu hal yang saya ragu adalah pada ketika dia, seperti melebih-lebihkan pula konsep wang pada setiap katanya. Katanya, memberi manfaat itu juga termasuk bagi menulis buku yang laku. Atau yang saya fahami, komersial.

Saya dengan kepercayaan saya, mendekati penulis itu dan berkata, “Kamu melebih-lebih berkenaan wang. Sastera itu bukan berkenaan wang. Sekiranya sastera itu berkenaan wang, kamu umpama melacurkan sastera itu sendiri.”

Penulis itu, berwajah lega dan membuat saya hairan. Bertambah hairan apabila dia berkata, “Itu pendapat kamu. Saya tidak membantah dengan apa yang sudah kamu percaya. Namun, sebelum kamu mendengar pula pendapat saya, saya mahu bertanya, apakah buku yang paling bagus di dunia?”

Cuba saya imbas soalan itu. Mana tahu soalan itu disamarkan dengan niat mahu memperolok-olok, namun pada saat saya melihatnya wajahnya, dia bukan jenis orang yang menyamarkan niatnya. Wajahnya terlihat benar dan soalan itu juga pasti benar.

“Buku yang paling bagus, adalah buku yang ditulis dengan sepenuh jiwa, tanpa memikirkan apa-apa berkenaan wang dan keuntungan. Itulah buku yang paling bagus. Biarlah orang ramai tidak baca, biarlah oran ramai tidak faham. Sekiranya ada dua tiga orang sahaja yang membacanya dan memperoleh manfaatnya, ia sudah cukup untuk saya. Rezeki itu Allah juga yang memberi,” jelas saya dengan penuh semangat.

Lelaki itu hanya diam dan seperti mahu bersetuju tetapi kemudiannya dia berkata, “Mari ikut saya ke suatu tempat dan di situ saya akan memberitahu kamu, buku apa yang paling bagus di dunia.”

Editor yang memikul botol air.

Rasa aneh dalam diri saya seperti jari berkuku panjang yang menggaru-garu belakang tubuh. Sangat tidak selesa tetapi entah mengapa, saya rela mengikut lelaki itu di dalam keretanya. Akhirnya selepas beberapa ketika, saya dan dia sampai di hadapan sebuah gudang yang luas terbuka pintunya.

Di situ saya melihat, buku-buku disusun seperti batu-bata. Beberapa orang yang sudah basah lehernya, mengangkat buku-buku, dan beberapa orang lagi sedang memasukkan buku ke dalam kotak-kotak. Ada seorang pemandu lori sedang bertinggung dengan wajah yang seperti bahagia enggan hinggap. Ada beberapa orang lagi sedang mengangkat kotak penuh berisi buku dimasukkan ke dalam lori. Wajah mereka semua membicarakan, penat sudah mendesak-desak mereka berehat tetapi mereka tetap enggan.

Lelaki itu memandang saya dan berkata, “Kamu lihat lelaki berbaju merah yang sedang mengangkat kotak itu. Namanya Raslan Tarmizi. Dia bekerja di gudang buku ini sebagai kerani gudang. Nama sahaja kerani gudang, tetapi tugasnya adalah mencari buku-buku yang dipesan oleh kedai buku. Dia punyai lima anak yang masih sekolah dan seorang ibu tua yang perlu ditanggung. Gajinya, dibayar dengan hasil jualan buku. Jadi, boleh kamu jelaskan kepada dia definisi kamu berkenaan buku yang paling bagus kepada dia? Kamu fikir, apa kata dia?”

Saya diam dan gemuruh hati saya mendengar soalan itu. Namun, saya ini jurutera yang panjang akalnya dan segera saya berkata, “Saya bukan menulis dengan syarikat ini. Saya menulis dengan badan berkanun, yang gaji pekerjanya dibayar dengan duit kerajaan. Keuntungan bukan cara saya.”

Rupa-rupanya, saya sengaja membuka ruang untuk hati saya lebih ngilu mendengar kata-kata lelaki itu.

Katanya, “Itulah yang saya mahu beritahu kamu. Saya menulis dengan sebuah syarikat swasta, bukan dengan badan berkanun yang dibayar gaji pekerjanya oleh kerajaan. Yang apabila buku saya tidak laku, saya hanya akan sedih kepada diri sendiri. Saya tidak akan sedih kepada mereka yang sudah tetap gajinya itu. Saya juga bukan penulis buku indie, yang apabila buku saya tidak laku, saya masih boleh simpan di bawah katil, kemudiannya baring di atas katil dengan lengan di atas dahi, dan berfikir, betapa kasihannya nasib saya. Jadi, orang di luar sana, akan memberi reaksi yang simpati kepada penulis badan berkanun, dan penuh kasihan kepada penulis indie.

“Tetapi saya menulis dengan sebuah syarikat swasta, yang gaji pekerjanya dibayar dengan hasil jualan buku saya. Lalu pada saat buku saya tidak laku, siapa yang lebih sedih nasibnya? Mungkin kamu di luar sana akan kasihan kepada saya, tetapi hakikatnya, orang-orang yang bekerja membungkus buku, menjadi pemandu lori, menjadi editor, kerani akaun, bos yang jadi pemodal yang lebih kasihan. Saya tidak ada peluang untuk bersedih dengan nasib saya, kerana saya perlu bersedih dengan nasib-nasib mereka.”

Saya diam lagi. Diam saya itu disambut baik oleh penulis itu dengan menyambung kata-katanya, “Lihat di sana, lelaki yang tidak senyum itu. Dia Zaiman, pemandu lori yang tinggal beberapa bulan lagi mahu berkahwin. Harapannya adalah kepada bonus syarikat apabila buku banyak yang laku. Jadi, boleh kamu beritahu dia, bahawa kamu bukan menulis kerana wang?”

Saya kembali menggerakkan otak, mencari hujah untuk kata-kata penulis itu. Jadi dalam ruang yang ada itu, penulis itu terus leluasa dengan bicaranya.

“Lihat di sana, lelaki yang baru sampai dengan motosikal tuanya. Dia Bahruddin Bekri, editor dari kampung yang memperjuangkan rezeki keluarganya di kota besar ini. Yang gajinya dibayar oleh buku-buku yang terjual. Lihat lelah wajahnya yang baru balik dari kilang cetak. Cuba kamu beritahu dia berkenaan definisi buku yang paling bagus kepada dia.”

Saya diam dan memerhatikan editor dengan motosikal buruknya itu, entah mengapa editor itu masuk ke dalam gudang dan memikul pula air di dalam botol. Saya dengan hairan berpaling kepada penulis itu dan wajah hairan saya segera di fahaminya, dan dia berkata, “Lihat, dia memikul botol air kerana air di bilik pantry sudah habis.”

Saya diam dan cuba memikirkan apa kaitan editor itu memikul botol air dengan persoalan buku yang paling bagus, tetapi saya gagal. Namun tetap saya memperoleh suatu hujah dan saya tersenyum.

Saya berkata, “Jadi, apa kaitan semua ini dengan buku yang paling bagus? Mereka yang kamu katakan itu, editor, kerani dan sebagainya, apa kaitan mereka dengan buku yang paling bagus? Sekiranya sahaja buku itu tidak laku pun, ia bukan bermakna ia tidak bagus, cuma ia tidak dibeli dan dibaca. Ingat, Allah juga yang memberi rezeki.”

Ketika itu jugalah saya diberikan rangkaian jawapan yang tidak mungkin saya akali lagi. Betul-betul menyusuk hati.

Buku yang paling bagus di dunia.

“Saya bukan bertanya buku apa yang bagus, tetapi saya bertanya, buku apa yang paling bagus di dunia? Saya tidak mengatakan buku kamu tidak bagus dan tidak perlu. Malah saya suka dengan buku tulisan kamu, dan saya katakan buku kamu bagus. Buku kamu sangat menjentik hati, dan sastera kamu tinggi. Isinya bagus, dan tidak merosakkan nafsu pembaca. Ia sudah melepasi asas awal bagi menjadi buku yang bagus. Namun saya tidak setuju sekiranya kamu berkata, definisi buku yang kamu percaya paling bagus itu, adalah buku yang ditulis dengan sastera semata-mata. Itu bukan buku yang yang paling bagus dan maaf sekiranya saya berkata, ia adalah sesuatu yang bersifat pentingkan diri sendiri.”

Penulis itu berkata dengan bersungguh-sungguh dan saya cuma mengangkat kening sinis, cuba bertanya dengan bahasa wajah, 'Jadi buku apa yang paling bagus?'

“Buku yang paling bagus, adalah buku yang paling banyak manfaatnya kepada manusia.” Penulis itu berkata perlahan namun penuh emosi.

Senyum sinis saya mengembang. Lalu saya berkata, “Itu terlalu biasa saya dengar. Buku saya yang saya tulis bukan kerana wang itu, apabila dibaca akan memberikan manfaat yang banyak juga kepada manusia. Apa bezanya?”

Penulis itu menelan air liur, dan dengan wajah tersenyum baik dia berkata, “Fungsi buku memang untuk dibaca, dan apabila dibaca, sekiranya baik isinya, maka ia akan memberi manfaat kepada pembaca. Namun ia tetap bukan buku yang paling bagus. Buku yang paling bagus adalah, buku yang belum dibaca pun sudah memberi manfaat kepada orang yang memegangnya.

“Ya, mana mungkin Raslan Tarmizi ada masa membaca buku-buku yang dia masukkan ke dalam kotak. Dia hanya mampu memegangnya, tetapi dengan memegangnya dia sudah mendapat manfaat apabila buku itu laku, iaitu manfaat kepada gajinya. Mana mungkin Zaiman si pemandu lori, ada waktu membaca buku-buku yang dia bawa. Namun, hanya dengan memegang buku itu sahaja, dia sudah mendapat manfaat apabila buku itu terjual. Dia mendapat bonus dan majlis nikahnya akan meriah.

“Begitu juga dengan Bahruddin Bekri. Dia akan mendapat manfaat daripada buku-buku yang dijual oleh syarikatnya, dengan gaji yang dia peroleh, dia akan mampu membeli kereta menggantikan motosikal buruknya.”

Saya menelan liur. Fikiran saya mulai kacau dan penulis itu menambah kacau dalam kepada saya.

Katanya, “Lihat sahaja, kitab-kitab lama karangan ulama terdahulu. Itu adalah buku-buku yang paling bagus di dunia. Berapa ramai yang mendapat manfaat daripadanya? Bukan sahaja pembacanya, malah kilang pencetaknya, pekerja gudang, penyusun atur huruf, pemandu lori berbangsa India, dan malah tauke-tauke Cina yang menjual bukunya juga mendapat manfaat.

"Benar, ulama dahulu langsung tidak memikirkan berkenaan wang, tetapi mereka sudah berniat menulis bagi memberi sebanyak-banyak manfaat kepada manusia, yang membaca dan tidak membacanya, dan akhirnya wang juga termasuk dalam kategori memberikan manfaat itu kepada manusia yang tidak membacanya.

“Mungkin kamu akan bertanya bagaimana dengan al Quran? Maaf, saya tidak ada ilmu dan tidak berani menyentuh berkenaan al Quran. Yang pasti Quran itu adalah mukjizat paling besar dan lihatlah betapa besar manfaatnya kepada manusia, kepada yang membacanya dan yang tidak membacanya.”

Kacau. Fikiran saya semakin kacau.

“Jadi, saya mohon, sebagai penulis, jangan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Pada saat kamu memikirkan perkara itu, lihat berapa banyak orang yang akan menanggung akibatnya. Namun, janganlah pula kamu salahkan diri kamu pada saat buku kamu tidak laku, pada saat buku kamu tidak menjadi buku yang paling bagus di dunia. Percayalah, rezeki itu Allah juga yang memberi. Utamanya, kita sudah berniat, menulis buku bagi memberikan bukan sahaja orang yang membacanya manfaat, malah orang yang sekadar memegangnya juga mendapat manfaat. Manfaat kepada semua manusia, yang membaca dan tidak membacanya.”

Itulah kata-kata akhir penulis itu. Kata-kata yang membuatkan saya faham, mengapa dia sangat mementingkan bagi menulis buku-buku yang laku. Semuanya kerana, dia mahu menulis buku yang bukan sekadar bagus tetapi yang paling bagus di dunia.

Itulah saya pegang, dan itulah saya percaya, bahawa, buku yang paling bagus di dunia adalah buku yang memberi manfaat walaupun ia tidak dibaca.




5 comments:

Jamal Ali said...

Seperti biasa, saya terkesima dengan mesej tuan.

"Jangan fikir kepentingan sendiri."

Sebegitulah yang saya mahu jadi.

Terima kasih tuan kerana sudi memberi.

Mutiara Bernilai said...

kata orang, laras pandang manusia itu beza-beza, mungkin dari kaca mata kita ia adalah A, sedang pada kaca mata insan lain ia adalah B,,

subhanallah, akhirnya kembalikan juga pujian itu kepada Allah yang menciptakan manusia itu dengan perlbagai laras pandang,,indah bukan?

Terima kasih, banyak pengajaran yang saya peroleh.,

krole said...

salam bro,
saya bknnya kaki novel tp bila bca karya dr bro pergh!!! terbuka hatiku trus~ thanks bro teruskn usaha dlm mncipta lebih byk karya akn dtg~

naDhi_islamiC said...

wah, buku yang paling bagus semestinya hasil air tangan yang bagus !

Unknown said...

alhamdulillah...

santapan nurani yang sangat hebat, terima kasih Tuan.