Thursday, June 23, 2011

Bagai empedu lekat di hati - sebuah cerpen

“Janganlah kata begitu. Nanti apabila dinda sudah faham, pasti dinda tersenyum sendiri.” Lelaki itu melebar senyumnya, dan jelas putih giginya sambil terus melemparkan pandangan ke luar tingkap bas. Kalau dulu-dulu, boleh juga dibuka tingkap bas, biar angin masuk menyerak rambut, tetapi sekarang semua bas sudah menggunakan pendingin hawa, dan tingkap sudah tidak boleh dibuka. Cuma sesekali kalau pintu bas terbuka, ada jugalah angin yang sesat menampar-nampar wajahnya.

“Mengapa tiba-tiba, ber kanda dinda pula?” sambut gadis di sebelahnya, yang merah jambu tudungnya, dan putih-putih kulit wajahnya. Sekiranya lima enam minit sahaja terkena matahari, pasti merah-merah pula wajahnya. Jari-jarinya pula masih pekat warna inainya.

“Bila lagi, mahu ber kanda dinda? Sekarangkan dinda sudah menjadi isteri kanda yang sah. Sudah tidak menjadi fitnah. Cuma janganlah kuat-kuat bicaranya, nanti segan orang dengar. Tetapi, orang seperti kita ini, manakan mahu bicara yang kuat-kuat, pasti perlahan sahaja. Jadi, setuju sekiranya kita ber kanda dinda?” kata lelaki itu lalu tersenyum lebar memandang gadis yang ikut melebar senyumnya. Senyuman seorang suami kepada seorang isteri.

Si isteri tidak menjawab, hanya senyumnya sahaja yang nampak, dan perlahan-lahan dia tunduk lalu mengangguk yang malu-malu. Rupanya, tidak perlu terkena sinar matahari, kerana si isteri sudah naik merah-merah pipinya. Aduhai. Si suami di sebelahnya pula terus tersenyum, menambahkan lagi garis tampan pada wajahnya.

Seketika, persoalan asal tadi seperti terlupa, si isteri yang malu-malu, yang tadinya tunduk mula terfikirkan sesuatu yang baru pula. Dia memandang suami di sebelahnya lalu dengan nada perlahan berkata, “Kanda kata dahulu, kanda sudah melihat dinda sejak tiga tahun dahulu. Jadi mengapa baru tiga bulan lepas baru masuk meminang, dan baru seminggu lepas kita berjodoh? Tidak takutkah kanda sekiranya dinda terlepas?”

Si suami menarik nafas dalam-dalam. Fikirannya kembali kepada tiga tahun dahulu, pada saat dia disuruh ayahnya menghantarkan kembali motosikal kepada rakan sepejabat ayahnya. Tidak tahu dia bagaimana tiba-tiba ayahnya meminjam motosikal rakan sepejabatnya. Yang dia tahu, memang motosikal ayahnya hari itu masuk bengkel dan mungkin di situlah semuanya bermula.

Tiga tahun dahulu

Dia waktu itu, masih lagi cuti daripada kuliah. Mahu juga bekerja sambilan, namun selepas ke sana-sini mencari tidak juga jumpa-jumpa. Yalah, tinggal di pekan yang kecil, kerja apalah yang dapat dia cari selain menjadi kuli memikul guni.

Bermulalah ceritanya di situ, semasa dia dengan sopan memberi salam, muncul seorang lelaki yang bercahaya wajahnya di hadapan pintu. Dia dijemput masuk walaupun dia sebenarnya mahu terus pulang. Semasa di ruang tamu itulah, entah bagaimana seorang gadis melintas dengan wajah yang tunduk dan terus masuk ke dapur.

Ingat lagi dia perasaannya pada waktu itu. Hatinya terbenam pada suatu rasa yang tiba-tiba masuk entah daripada mana. Segera dia mendapati dirinya tidak mampu menjaga air wajahnya, yang jelas kagum dengan mata yang terbuka segar.

“Jaga-jaga dengan pandangan mata kamu. Itulah pintu iblis memasuki hati kamu. Kata Umar al Khattab, mereka yang menjaga matanya, adalah mereka yang teguh jiwanya,” tegur lelaki yang bersinar wajahnya itu. Terus dia tunduk dengan malu yang menempel pada wajahnya. Malunya dia memang tidak terbanding.

Namun daripada situlah, segala-galanya bermula. Pada saat lelaki yang wajahnya bersinar itu berkata sesuatu kepadanya.

Mata

Si isteri tekun sahaja mendengar cerita suaminya sambil tersenyum-senyum. Ada perasaan bahagia yang mengintip daripada balik pipinya, dan tidak ada tabir ego lagi yang menutupi wajahnya. Terus sahaja si gadis teringatkan dirinya pada tiga tahun lepas, pada ketika dia juga masih bergelar mahasiswi.

“Apa pesan ayah untuk kanda?” soal si isteri dengan wajah teruja.

“Katanya, dinda itu anak yang taat, dan walaupun mungkin tidak seperti kisah wali Ibrahim Adham, tetapi ayah dinda mengatakan, dinda adalah anak yang solehah, anak yang sangat menjaga agamanya. Dinda adalah perhiasan dunia yang paling agung. Jadi kira-kiranya, siapakah yang paling layak menyunting perhiasan dunia yang paling agung itu?” kata si suami tersenyum, dengan wajah yang terus mengingat kisah lalu.

“Siapa?” Si isteri bertanya dengan nada suara nakal walaupun nampak malu-malu.

“Pesan ayah dinda, sekiranya mahu mencari isteri yang solehah, usahlah mencarinya di masjid-masjid, apatah lagi di tepi-tepi jalan. Usahakanlah diri sendiri yang ke masjid dahulu bagi menjadi lelaki yang soleh kerana apabila kamu 'soleh' maka pasangan kamu akan 'solehah'. Jadi usah mencari 'solehah', tetapi carilah dahulu 'soleh' dalam diri sendiri,” jawab si suami yang sekali lagi melontar pandangannya ke luar. Fikirannya kembali lagi teringat pada peristiwa tiga bulan lepas. Peristiwa yang mengubah hidupnya.

Tiga bulan lepas

Waktu itu pengajiannya sudah tamat. Dia sudah mula memasang azam yang kuat bagi mencari kerja, namun susahnya mencari kerja memang membuatkan kecewa mudah sahaja masuk ke hati. Ke sana sini mencari, ke sana sini menghantar surat permohonan, tiada langsung yang terpaut. Lalu dalam sela-sela ruang waktu yang ada, dia tetap ke surau, memohon doa semoga Allah mempermudahkan segala urusannya.

Pada petang itulah, selepas solat Asar, pada ketika itulah telefon bimbitnya berbunyi dan meminta dia datang temuduga pada keesokan hari, dan pada ketika itu juga, seorang lelaki segera duduk di sebelahnya, lelaki yang bersinar-sinar wajahnya.

Dia sangat kenal lelaki itu. Itulah lelaki yang pernah memberi bakti kepada ayahnya, lelaki yang pernah memberikannya nasihat berkenaan mata, nasihat yang dipegangnya kukuh sehingga ke hari ini.

Selepas berbasi-basi, lelaki yang bersinar wajahnya itu berkata, “Saya sentiasa memberi pesan kepada anak-anak perempuan saya, jangan mencari teman lelaki, tetapi carilah calon suami. Itulah juga sebenarnya pesan yang saya pegang untuk diri saya sendiri. Sebagai ayah, saya perlu mencari lelaki yang boleh menjadi suami, bukan sekadar menjadi teman lelaki. Jadi sudah beberapa minggu ini saya perhatikan kamu, dan sudah juga saya merisik ke sana sini berkenaan kamu, jadi sudikah kamu masuk meminang anak saya yang kamu lihat tiga tahun dahulu?”

Dia waktu itu seperti putus nafasnya. Teringat kembali dia pada tiga tahun dahulu, pada saat matanya tidak berkedip kepada seorang gadis yang lintas di hadapannya. Dia diam dan dalam diam dia, perasaannya membuncah. Antara syukur dan khuatir dan segeralah dia berkata, “Saya belum mendapat kerja, dan saya tidak pasti lagi masa hadapan saya.”

Lelaki yang bersinar wajahnya itu tersenyum lebar dan sambil menepuk-nepuk bahu anak muda di sebelahnya, dia berkata, “Sudah saya katakan tadi, saya sudah merisik-risik berkenaan kamu. Kamu adalah orang yang tidak putus asa dalam mencari kerja, dan sudah ratusan surat kamu hantar ke sana sini. Saya sangat yakin, anak saya akan bahagia sekiranya bersama dengan lelaki yang tidak pernah putus asa, lelaki yang tidak menyerah dan lelaki yang sentiasa berusaha. Namun teratas sekali daripada semuanya itu, saya sangat yakin, anak perempuan saya akan bahagia dengan lelaki yang ringan kakinya melangkah ke surau dan lelaki yang malam-malamnya, bangun menghadap Tuhan. Ingat, saya tidak mencari lelaki yang punya rumah besar dan kereta besar untuk anak saya, tetapi saya mencari yang lebih daripada itu, iaitu calon suami yang soleh.”

Cinta

Si isteri terus tersenyum malu-malu, namun hati perempuannya terus mendesak lalu dia bertanya, “Jadi apa yang kanda buat selepas itu?”

Si suami yang juga tersenyum terus berkata, “Kanda meminta tangguh tiga hari bagi memikirkannya. Dalam masa itu, kanda solat sunat dan berdoa, sekiranya sahaja dinda adalah perempuan yang mempermudahkan lagi jalan kanda dalam urusan agama, maka permudahkanlah urusannya. Ternyata, urusan kanda dipermudah. Dalam tiga hari itu, kanda mendapat kerja, dan semasa memberitahu orang tua kanda, mereka terus setuju. Bertambah mudah semasa pergi meminang dinda, orang tua dinda sekadar berkata, kanda boleh memberi hantaran seberapa yang kanda ada. Alhamdulillah, puncak kemudahannya, dalam masa tiga bulan, kanda sudah dapat mengumpul sejumlah wang bagi membuat kenduri kahwin yang sederhana.”

“Sederhana tetapi penuh cinta,” sambung si isteri yang terus menatap dalam-dalam wajah suaminya. Pada saat suaminya berpaling, terus mereka bertentangan mata, dalam-dalam, dan untuk sekian kalinya, mereka jatuh cinta dan terus bercinta. Diam.

Syurga

Bas akhirnya berhenti dan mereka berdua, turun daripada bas lalu berdiri di hadapan sebuah flet lima tingkat. Si suami berpaling kepada isterinya dan berkata, “Untuk waktu ini, hanya ini yang mampu kanda berikan, sebuah rumah flet lama, dua bilik.”

Si isteri terus memeluk lengan si suami dan berkata dengan penuh kasih, “Tinggallah di mana pun, sekiranya rumah itu penuh cinta kepada Tuhan dan penuh cinta kepada pasangan, pasti ia akan menjadi syurga.”

Suaminya kembali tersenyum, dan dengan wajah penuh terharu dia terus memandang ke arah bangunan flet di hadapannya lalu berkata, “Kata bijak pandai, sekiranya dunia ini adalah bunga, madu bunga itu adalah cinta, dan untuk kanda pula, sekiranya dunia ini adalah bunga, madu bunga itu pula adalah dinda.”

“Tetapi kanda kata tadi, kita ini bagai empedu lekat di hati. Adakah dinda ini umpama empedu yang pahit untuk kanda?” soal si isteri yang tiba-tiba teringat kepada kata-kata suaminya, semasa mula-mula duduk di dalam bas.

Si suami ketawa kecil dan terus menjawab, “Kanda kan sudah beritahu tadi, dinda salah faham maksud peribahasa itu. Maksud bagai empedu lekat hati adalah sangat karib dan akrab. Ya, kita memang sangat akrab, seperti empedu yang lekat di hati. Namun bukan sekadar itu maksud kanda. Kanda sebenarnya mahu memberitahu, kanda menerimanya diri dinda, seadanya. Walaupun dinda itu sepahit empedu pun, dinda akan tetap lekat di hati kanda, untuk selama-lamanya.”

Si isteri terus memeluk erat lengan suaminya, dengan hati yang penuh bunga-bunga, penuh bahagia, dan matahari pun bertasbih melihat mereka berdua.

Pemberitahuan.

Saya dimaklumkan ada yang mencari karya-karya saya, tetapi tidak dijumpai di kedai buku. Maka bolehlah ditempah terus daripada sini .http://www.bookcafe.com.my/en/

Maaf, untuk waktu ini, dengan ruang masa dan keupayaan yang terhad, saya tidak mengendalikan pembelian terus daripada saya sendiri.

Bagi yang bertanya-tanya, apa lagi karya saya, boleh semak pada link di bawah. Itulah senarai karya saya, dan boleh semak review yang dibuat, sama ada ia sesuai dengan citarasa ataupun tidak. Yalah, manusia kan unik, punya citarasa yang berbeza-beza. Semoga citarasa kita sama. :)

http://www.goodreads.com/author/list/1700236.Bahruddin_Bekri

1 comment:

MATMIN said...

Tuan, mohon keizinan untuk dikongsikan... penuh manfaat.. sebuah karya yang bagus... tahniah..