Wednesday, July 22, 2009

Saat Tuhan memberi titik

Garis hidup.
Setelah saya teliti, ada banyak waktu, dalam keadaan hati yang selesa, saya membaca erti hidup sebagai satu garis yang lurus, sehala, dan tidak berlawanan. Tidak perlu menggelepar mencari makna tersirat, tidak juga perlu berwajah keras, peduli, dan saya wewenangnya, boleh meletak titik pada hidup itu walaupun jelas ia belum berlaku. Itu adalah erti hidup yang saya baca, dalam banyak waktu.

Misalnya, dalam hidup, saya pernah membaca cinta sebagai suatu yang akan berakhir bahagia, dan terkadang membacanya sebagai sesuatu yang akan berakhir duka, namun hakikatnya, dalam hidup, cara membaca cinta sebegitu adalah awal pada masalah hati, kerana cinta tidak akan pernah berakhir dan tidak akan ada akhirnya. Bahagia dan duka itu, cuma titik-titik kecil dalam perjalanan sebuah cinta yang tiada akhirnya, yang juga, cinta itu pula hanya satu titik kecil dalam perjalanan hidup yang tidak ada hujungnya selain mati.

Namun, cara saya membaca hidup sebegitu, akhirnya terlempar jauh-jauh, kerana seorang teman saya, mengajarkan saya hanya satu ayat, untuk saya melihat hidup ini, sebagai sesuatu yang saya perlu hadapi dengan wajah yang waspada namun tetap lembut, dan tahu apa maknanya titik hidup itu. Cukup, hanya satu ayat.

Karangan pendek.
Kisahnya, dia adalah teman sekampung saya, yang punyai hidup yang sederhana. Segala-galanya tentang dia adalah sederhana. Daripada penampilan rupanya yang seperti separuh Jamal Abdillah dan separuh David Arumugam, hinggalah kepada otaknya, yang seperti campuran otak Einsten dengan otak orang yang sudah tidak wajib berpuasa. Sederhana, walaupun ada waktu, dia lebih dikenang apabila dia berada di kutub-kutub ekstrem, antara betul dan salah, antara bijak dan bodoh.

Saya pula waktu itu, adalah seorang yang ironi hidupnya, seorang penganggur berijazah ekonomi yang belajar segala-galanya tentang ekonomi, namun ekonomi hidupnya lebih miskin daripada orang miskin yang makan kulit kayu. Setidak-tidaknya mereka makan kulit kayu yang diperoleh sendiri, sedangkan saya berasa sangat derhaka, makan daripada usaha peluh orang tua saya yang kasihnya tidak bertepi.

Pada waktu itulah, teman saya yang sederhana itu, datang dengan wajah yang menampakkan ketinggian ilmu, dan dengan senyum patah-patah yang menggegar hati. Dia duduk di samping saya, sepertinya seorang ilmuwan yang duduk di samping orang bodoh. Dia mengangguk-angguk takzim dan saya hanya melongo tidak mengerti, untuk apa dia berbuat begitu.

“Kau, aku ingat lagi, cikgu sering kali memuji karangan kau di sekolah. Diangkat sebagai karangan yang hebat, yang bagus, yang A++. Jadi, mengapa tidak sekarang, selain kau hanya duduk melihat drama Amerika Selatan, Korea, dan Indonesia di TV2 dan TV3, kau cuba mengarang. Cuba-cuba kau hantar karangan kau ke akhbar. Pasti kau akan dapat ringgit, kau akan membanggakan ayah kau apabila melihat namanya ikut terpampang di akhbar. Cuba, jangan tidak cuba!” kata teman saya itu dengan nada yang sepertinya dari langit dan saya terus mencetak angan-angan tertinggi hasil daripada kata-katanya itu. Tidak cukup itu, dia menambahkan dramatik gayanya, dengan melempar perlahan-lahan, akhbar yang meminta-minta untuk dihantarkan karangan pendek yang bagus-bagus.

“Itu, lihat. Akhbar itu sedang memanggil-manggil nama kau, dan lihat, ia juga sudah minta nombor akaun kau untuk mereka sumbat dengan wang,” kata teman saya dengan sorot mata yang cukup untuk menguasai lima orang lagi yang seperti saya.

Saya tidak pula terus tersenyum suka, kerana, waktu itu kampung saya, walaupun sudah punyai elektrik, punyai tong gas, punyai jalan, dan punyai motosikal dan kereta. Kampung saya tetap juga ketinggalan, tidak ada komputer. Itu alasan saya, untuk tidak tersenyum, dan untuk tidak mengarang, kerana tidak ada komputer.

Teman saya yang sederhana itu, sepertinya serpih bintang yang terang, datang dengan senyuman yang mengelus hati dan berkata, “Di pekan sana, ada kafe siber. Aku akan temankan kau dengan motosikal ayah aku. Duit pula, usah kau khuatir, upah hasil kelapa aku, banyak.”

Esoknya, tidak bertangguh sesaat pun, saya dan dia ke kafe siber di pekan yang jauhnya 30 kilometer, duduk berlama-lama di situ, mengarang setiap patah kata dengan hati, dengan niat untuk mendapat wang, dengan niat membanggakan ayah dan orang kampung.

“Bagus sekali karangan kau,” kata teman saya, yang duduk takzim di sebelah saya, pada setiap lima minit, dan senyum saya pula, tidak akan hilang, sehinggalah lima minit kemudiannya.

“Aku cukup yakin, karangan kau ini, adalah karangan paling indah pernah aku baca, dan memang tidak ada tandingan. Indahnya bukan kepalang,” tutur teman saya, hinggakan otot pipi saya menegang, dan merah-merah. Fikiran saya sudah tidak lagi mampu berfikir logik, mempersoal kata-kata teman saya itu, walaupun saya tahu, selama hidupnya, dia hanya membaca buku-buku teks sejarah dan geografi.

“Kau akan jadi kaya kerana ini. Kau akan banggakan kampung kita, kau akan banggakan ayahmu.” Teman saya itu tidak lelah berkata begitu walaupun saya sudah lelah untuk menarik hujung-hujung bibir saya ke atas.

Kata-katanya membuat hati saya lungsur, lelah, dan tidak upaya untuk berkata tidak. Saya mendapati diri saya sudah tersudut di dalam sebuah kotak yang namanya, puji-pujian, dan bermulalah cita-cita saya menjadi pengarang yang kaya, penuh gaya dan semua yang indah-indah, dan itulah erti hidup yang saya baca pada waktu itu, sebelum saya terlewat untuk menyedari, bahaya besar yang akan menimpa saya, ibaratnya tsunami Acheh yang datangnya tiba-tiba.

Alamat pos.
Waktu itu, berkat adanya jalan raya, selepas bertahun penduduk kampung saya berjuang dengan pemerintah yang tidak suka kerana penduduk kampung saya mendukung mati-mati parti lawan pemerintah, akhirnya, kampung saya sudah boleh dihantar surat, namun, tetap juga, surat itu hanya akan sampai ke kedai runcit, paling tidak ke pejabat daerah, kerana rumah di kampung saya tidak ada nombor, tidak ada nama jalan.

Atas kerana itu, selepas seminggu saya menghantar karangan pendek saya, saya sering nampak duduk berlama-lama ke kedai runcit, ataupun di pejabat daerah. Tetapi ia tidaklah mengundang wajah terhairan-hairan tauke kedai itu, ataupun membuat kerani pejabat daerah mengerut dahi. Semuanya kerana, mereka tahu, sebelum-sebelum ini, saya sudah biasa di situ, menunggu surat tawaran kerja, yang 100 peratus akan datang dengan khabar duka.

Namun, untuk seminggu terakhir saya di situ, saya hanya menantikan satu sahaja perkara, surat daripada akhbar itu yang akan mengatakan wang sudah masuk ke dalam akaun, ataupun mungkin, mengatakan karya saya itu akan tersiar sekian hari bulan, dan tunggu sahaja wangnya.

Hinggalah, pada suatu hari yang indah, di pertengahan bulan Rejab, surat yang saya nantikan itu sampai juga. Jelas nama saya di situ. Jelas juga, ia bukan surat daripada orang yang mengatakan tidak ada kerja kosong di syarikatnya, ataupun mengucapkan dukacita atas ketidakberhasilan saya dalam temuduga.

Yakin saya melilit-lilit, kerana surat itu bersih, dan ada logo akhbar itu pada sampulnya. Teman saya yang baik itu ada di sebelah saya dengan lagak wajah seperti pemimpin rakyat yang gembira melihat rakyatnya sudah ada tiang elektrik di depan rumah, walaupun di dalam rumah rakyatnya itu tidak ada barangan elektrik.

“Apa yang aku cakap dulu? Pasti itu surat awal kegemilangan mu,” kata teman saya.

Hati saya sudah melonjak setinggi langit, girang tak kepalang. Pasti ia surat yang membawa bahagia, dan saya dengan gaya separuh takut, membuka perlahan-lahan sampulnya, menarik cermat-cermat isinya dan membuka hati-hati lipat suratnya. Saya terus membaca dengan hati yang berbunga-bunga.

Andai saya mengerti.
Pada waktu itulah hati saya lebur, jatuh berkeping-keping, serpih-serpih, dan kamu tidak akan suka melihat wajah saya pada waktu itu. Surat itu lebih daripada cukup bagi membuatkan dunia saya seperti diterjang tsunami Acheh, dan kesannya, saya terus pesimis hingga sekarang, trauma saya, menjadi trauma yang pragmatik, juga hingga sekarang, pada saat kamu membaca tulisan ini.

Surat itu, mengatakan mereka sudah menerima cerpen saya, tetapi mereka entah apa sebabnya tidak mahu mencetaknya ke dada akhbar, dan secara halus, dan cukup menghiris saya akhirnya tahu juga sebabnya, kerana pada akhir surat itu ada jemputan yang bersungguh-sungguh, dengan nada yang mendesak, untuk saya menghadiri kurus penulisan yang harganya ratusan ringgit.

Lalu, pada saat kamu lebih miskin daripada orang miskin yang makan kulit kayu, pada saat harga diri kamu semakin lungsur di mata orang kampung, pada saat kamu mengharapkan wang yang datang untuk biayai diri kamu, datang pula surat, yang menghenyak diri kamu dengan meminta wang yang banyak. Apa rasanya?

Saya menoleh ke arah teman saya itu dengan wajah yang mahu marah dan segera berkata, “Aku sampai mati, tidak akan hantar apa-apa lagi karangan pendek aku, ke mana-mana pun!”

“Mengapa?” soal teman saya, dan saya diam, dan dia menyambung, “Kau, perlu akui, walaupun cikgu sekolah kita suka karangan kau, tapi itu bertahun dahulu, dan dia suka, kerana di dalam kelas, hanya kau yang mampu menulis dengan ejaan yang betul dan tatabahasa yang separuh betul. Jadi, sekarang, kau jangan putus asa. Jangan! Terus sahaja belajar menulis.”

Saya menarik nafas panjang, dan merenung tajam, dan mengacu soalan, mengapa dia tidak memberitahu awal-awal sekiranya karangan pendek saya itu buruk, tidak layak, hina, dan sebagainya. Mengapa dia memuji-muji sampai ke langit. Waktu itu, marah saya bertapuk-tapuk dalam kata-kata saya yang sangat kejam.

Teman saya, bukan orang yang mudah terhempas dengan kata-kata kejam itu. Dengan tangan kanannya yang menyentuh bahu saya, dia berkata, “Kau boleh khatam al-Quran berkali-kali, tetapi dunia mu hanya akan khatam kalau kau mati, dan sekarang selagi kau hidup, jangan menjadi orang yang sudah khatam dunianya, tidak berpengharapan, dan jujur aku beritahu, aku menilai karya mu, seadanya aku, aku memang menyukainya, memang menghargai dan karyamu memang indah untuk aku, dan hanya kerana itulah aku memberitahu perkara yang betul. Mungkin satu hal yang tidak betulnya adalah, kau berkawan dengan orang yang seperti aku, seorang pekebun kelapa.”

Saya diam, dan menyedari sesuatu. Namun rasa itu tetap bertahan dalam hati, tidak sampai hati untuk saya mahu lungsurkan ke kepala dan mengerti, kerana saya memang tidak mahu mengerti, cukup sekadar merasai, dan saya memicing mata, dan berkata, “Maaf. Aku memang salah, dan terima kasih kerana bersama aku melalui pengalaman untuk menjadi penulis ini. Selepas ini, aku sudah lihat, mana arah hidup aku. Aku tidak akan menulis lagi, aku tidak mahu meminta-minta kerja lagi. Aku harus akui juga, selain tidak pandai menulis, ijazah aku ini tidak laku, dan aku mahu jadi pekebun kelapa.”

Serta-merta, wajah teman saya membeliak, buntang, lalu memberikan sorot mata yang membuat jantung terpacu dan terus berkata, “Mengapa putus harapan? Kau, mungkin bukan lagi orang terpandai kampung kita, kerana ada orang kampung kita yang sudah ke Universiti Madinah, tetapi kau, tetap kawan aku yang terpandai, dan jangan, jangan biarkan kau sama seperti aku, kerana aku tidak sanggup punyai kawan terpandai, yang hidupnya sama seperti aku.”

“Tetapi, selepas berbulan-bulan usaha aku, selepas surat yang baru kita baca tadi, apa kau tidak fikir Tuhan sudah memberikan petunjuknya. Tuhan sudah datangkan ketetapannya?” Saya menyoal dengan hati yang mahu menangis, apatah lagi wajah ayah yang berbangga dengan saya, sudah datang-datang dalam kepala.

“Kau pasti pernah berdoa, untuk sabar, untuk bahagia, untuk kaya, untuk itu ini, tetapi, kau fikir, adakah Tuhan datangkan begitu sahaja bahagia itu, sabar itu, terus ke dalam hati? Tuhan akan berikan kau peluang untuk bahagia, peluang untuk kau sabar, peluang untuk semuanya dan sekarang peluang kau sudah tiba. Kau ada peluang untuk sabar, untuk bahagia, untuk semuanya. Apalah maknanya sabar kalau tidak ada ujian, apalah maknanya bahagia kalau tidak pernah berasa susah?” khutbah teman saya dengan wajah yang mengandung sebak.

Selepas menarik nafas pendek, dia menyambung lagi, katanya, “Jangan putus asa, kerana Tuhan itu lebih mengerti apa yang terbaik untuk kita. Teruskan usaha untuk menjadi yang terbaik dalam apa pun. Jangan mengalah, dan kalau kau terlalu susah untuk mengerti, cukuplah saya katakan, kita ini hamba kepada-Nya, dan sebagai hamba, kita berbuat selayaknya seorang hamba, patuh dan terima apa yang Tuhan takdirkan untuk kita. Tetapi sebelum takdir itu tiba, kita jangan mendahului takdir kita. Tuhan mahu kita berusaha, tidak mahu kita hilang harap, dan sebagai hamba....”

Teman saya menggantung ayatnya di situ dan saya diam. Diam. Diam dan terus diam dan sehinggalah saya mendengar sepotong kata-kata itu, kata-kata yang saya pegang untuk hari ini, dan saya berdoa, insya-Allah, sehingga saya mati. Hanya sebaris ayat, yang sederhana daripada teman saya yang juga sederhana itu.

“Kita jangan sesekali mendahului kerja Tuhan.”

8 comments:

Fazl said...

terharu baca :)

silencez said...

cik din..
suka ayat2 yg akhir tu. untung eh ada sahabat mcm tu :D

Zamri Mohamad said...

Tuhanm beri bahagia, dan beri ruang dan jalan untuk bahagia, Buat aku berfikir lagi....

K.A.A. said...

"selagi kau hidup, jangan menjadi orang yang sudah khatam dunianya, tidak berpengharapan..." saya suka ayat ini...penuh motivasi :)

bagusnya punya teman sebegitu, ya :)

Anonymous said...

"cinta itu pula hanya satu titik kecil dalam perjalanan hidup yang tidak ada hujungnya selain mati"

titik2 kecil je? maka hadirnya tak berapa nak mampu mempengaruhi hidup tu ke bro?

-pablo-

MDM FARAH FAIZURA said...

emi, baik-baik.

Sil, ya, sahabat yang bagus. ;)

Tuan Zamri, sama-samalah kita berkongsi.

Vold, memnag bagus teman sebegitu.

Palbo, cinta itu umpama tahi lalat pada muka, walaupun hanya titik, tetapi sekiranya letaknya, di atas bibir sebelah kir, pasti sangat manis.

pelitaminyaktanah said...

best,bro!!

Arenis said...

Sungguh istimewa insan ini.
"Apalah maknanya sabar kalau tidak ada ujian, apalah maknanya bahagia kalau tidak pernah berasa susah?"