Kisah dari masa silam.
Cinta yang mengharukan, adalah cinta yang sekadar menatap, di tepi-tepi. Namun cinta itu juga adalah cinta yang paling membesarkan harapan, sepertinya mampu menggenggam bintang. Cinta yang dapat membuat keindahan dunia ini tidak layak sebagaimana mestinya.
Itu yang saya baca daripada sub plot novel Andrea Hirata, 'Sang Pemimpi'*. Kisah cintanya Arai yang sepertinya dikendalikan oleh kekuatan lain. Kekuatan yang membuat hati manusia bocor dengan perlahan-lahan. Namun, bacaan novel itu hanya ulangan tentang kisah yang pernah saya tahu dahulu, jauh-jauh sebelum saya membaca novel itu, saya sudah menemukan kisah cinta yang serupa, dengan kata-kata yang sama ertinya, dan sebuah emosi manusia yang lebih menghambur. Kisah cinta yang membuat saya sekadar menatap, di tepi-tepi.
Kampung saya 23 tahun dahulu.
Kampung saya tidak sepertinya yang kamu lihat di televisyen. Tidak seperti yang kamu mampu siratkan dalam imaginasi. Rangkaian rumah penduduknya jauh-jauh kerana semangat autonomi mereka sangat menjunjung. Mereka hanya membina rumah di atas tanah, nama masing-masing. Lalu jiran terdekat, adalah sejauh dua padang bola.
Kampung saya, kampung yang kaya dengan kelapa. Lalu bangun pagi kamu, hanya akan menemui kelapa. Hijau, hening, sepi, dan langit biru. Itu sahaja yang kamu akan lihat dan terus lihat selama berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun. Sampai kamu mati.
Rezeki kelapa, tumpah ruah bagai kuah sapi kenduri yang melimpah dari belanga. Penduduk kampung saya kaya-kaya. Rumah mereka, walaupun kayu, tapi besar-besar. Makmurnya kami, sampaikan setiap rumah pasti ada yang memasang gigi emas. Bukan sebatang gigi, tapi sebaris gigi.
Susahnya kampung kami pula hanya ada empat. Susah yang mengikat peritnya sampai ke ubun-ubun. Kampung kami tiada tiang elektrik, hanya pelita, lampu gasolin, bateri, dan generator. Kampung kami tiada paip air, cuma tangki hujan dan telaga coklat. Kampung kami juga tiada tong gas, hanya ada dapur kayu yang asapnya mampu memedihkan mata dinosaur. Kampung kami tiada jalan raya, cuma denai becak, sungai sempit, dan terusan yang digali.
Lalu di bawah rumah setiap penduduk, berjajaran enjin bot, dari serendah 25 kuasa kuda hingga 200 kuasa kuda. Ibaratnya, 25 kuasa kuda itu adalah kereta Kancil. Lalu garaj penduduk kampung kami pula letaknya di tepi terusan ataupun tepi sungai yang becak. Di bawahnya, berbaring perahu pelbagai model. Daripada untuk mengangkut kelapa, hingga untuk membawa keluarga berbelanja ke kedai Cina.
Bandar terdekat pula, harus menyabung nyawa mengharung laut. Sekiranya kamu bernasib baik, setiap kali cuti sekolah yang panjang, setahun sekali kamu akan ke bandar membeli kasut baru, beg baru dan naik bas, sambil menggenggam erat-erat tiket bas, untuk ditunjuk kepada kawan-kawan apabila buka sekolah.
Suatu hal yang kami sangat bersyukur, namun dalam waktu yang sama menyesakkan dada, adalah adanya televisyen yang siangnya guna bateri basah, dan malamnya guna generator petrol. Senangnya kami kerana hiburan itu naluri manusia dan televisyen menyediakan semuanya. Walaupun waktu itu orientasi televisyen di kampung saya hanya pada RTM 1 dan RTM 2, kerana TV3 masih terhad di kota-kota, dan membuat saya sangat ketinggalan untuk mengenali sosok manusia yang bernama Zainal Abas*. Tetapi, itu lebih daripada cukup bagi bahagia itu bersemayam di sudut-sudut jiwa kami.
Sakitnya pula adalah, televisyen memberikan semua perkara yang ada di dunia. Makanan segera, mainan G.I Joe, drama Opah yang ada rumah batu, ketuhar, tong gas, kereta, pejabat pos, kedai buku, dan akhbar, sedangkan semua itu tidak akan kamu temui di kampung saya.
Tidak ada surat khabar, makanan segera jauh sekali, pejabat pos hanya mimpi, posmen pula sekadar dalam cita-cita, dan mainan G.I Joe hanya dongengan sedih. Kesannya kalut, membuat penduduk kampung saya merasa tidak makmur, ulu, miskin, terbuang, dan buruk. Ya, mereka hanya ada kelapa, perahu, pelita, televisyen, dan paling moden, pemain video dan pita video Sanggam, Ratapan Si Anak Tiri dan koleksi Jaka Sembong.
Walau kampung saya makmur, namun dalam setandan pisang, pasti ada juga yang dipatuk burung. Begitu juga halnya kampung saya, di suatu sudut kampung yang jauh, di kelilingi pohon-pohon kelapa yang megah, ada seorang pemuda, yang mengabdi diri menjadi pekebun kelapa, dari dahulu, hingga sekarang, dan mungkin hingga matinya begitu. Namun daripada dia saya menemui kisah ini.
Pisang yang dipatuk burung.
Dia, bukanlah lelaki paling gelap yang pernah saya temui, namun bagi kampung kami, dialah lelaki tergelap yang kampung kami pernah ada. Tubuhnya tegap, dadanya bidang dengan bahunya menjulang. Semuanya berkat hari-hari memanjat kelapa, mengopek kelapa, mengangkut kelapa, dan semuanya yang berkenaan kelapa.
Dia lelaki yang diberi asuhan yang terbaik, mudah tersenyum, sepertinya senyuman itu adalah bahasa. Sampaikan mengangkat jenazah ke kubur pun dia boleh terlepas senyum. Ajaib. Dia juga sangat lurus, seperti bayi. Apa yang kamu tanya, dia tidak pernah keras untuk menjawab, walau sekadar bertanya tentang ayam-ayam di bawah rumahnya, ataupun yang bertanya itu hanya anak-anak yang baru boleh bicara. Tidak ada sebibit pun rasa mahu bermegah dalam hatinya.
Di sisi lainnya, hidupnya tidak hanya sebibit kisah duka. Kesenangan seperti terenggut daripada hidupnya. Kebun kelapa ayahnya tidak luas, lalu keluarganya hanya mampu memiliki perahu dan dayung, bukan bot dan enjin bot. Rumah mereka pula beratap nipah dan sudah renta, dengan ayah ibu yang masih hidup, tetapi hanya sekadar mampu memberi nasihat.
Dikhabarkan kepada saya, kononnya dahulu dia lelaki yang sederhana dalam pelajaran, tetapi masih mampu menyambung ke sekolah menengah. Namun jauhnya sekolah menengah yang berasrama itu, sampai harus meninggalkan keluarga selama setengah tahun.
Atas kerana itu, lelaki yang saya mahu ceritakan ini pelajarannya hanya setakat darjah enam. Dia tonggak keluarga, dan sebagai tonggak keluarga, dia tidak mungkin meninggalkan keluarga sampai setengah tahun, sepertinya larangan memakan buah khuldi, boleh sahaja jatuh derhaka. Syukurnya, boleh juga dia membaca, mengira dan tidak perlu masuk kelas dewasa.
Waktu itu, saya masih kecil, darjah satu, dan selepas sekolah, saya suka bertemu lelaki itu yang menjadi kawan saya, walau dia, usianya 15 tahun lebih tua daripada saya. Bukan kerana kampung saya tidak ada rakan sebaya, namun kerana enjin bot ayah saya di bawah 100 kuasa kuda, dan enjin bot ayah semua rakan sebaya saya, semuanya di atas 100 kuasa kuda, saya menjadi orang terbaik untuk diberitahu, “Bot ayah saya lagi laju daripada bot ayah kamu.”
Saya masih kecil, namun untuk dimaklumkan begitu, saya tidak sudi. Penyelesaiannya, saya berkawan sahaja dengan lelaki itu. Setidak-tidaknya dia hanya ada dayung di bawah rumah.
Sekadar menatap.
Seperti hari-hari biasa, datangnya saya ke rumah lelaki itu dengan pedang kayu yang saya paksa ayah saya buat. Semuanya gara-gara drama Ninja. Pedang kayu itu, harta yang saya sangat sayang dan tidak ragu-ragu dibawa tidur. Bersama pedang kayu, saya akhir sampai ke rumah lelaki itu yang sedang berehat-rehat di atas tangga, dan berbahasa senyum dengan saya. Di tangannya ada sebatang pen dan sekeping kertas putih yang mungkin dia ambil dari buku adiknya yang darjah tiga.
“Tulis apa?” soal saya, sambil terus menghayun-hayun pedang.
Dia tersenyum, menampakkan gigi. Namun, tiba-tiba malu-malu dan ragu-ragu terpasang teguh di balik senyumannya itu. Aneh, tidak seperti biasanya, dia tidak pernah ragu-ragu hendak menjawab.
“Kamu kecil lagi, nanti kamu sudah besar, kamu akan tahu,” katanya tersenyum.
“Dia tulis surat cinta untuk anak ketua kampung,” jerit satu suara dari atas rumah yang renta itu. Pasti suara adiknya yang darjah tiga. Cinta? Saya yang waktu itu hanya tahu HMI, drama Opah dan Ninja mengaru-garu kepala, sebelum tersenyum-senyum malu sendiri. Ternyata di hadapan saya itu, ada hal yang mengejutkan hati saya, hal orang dewasa. Namun, seketika saya mengerut dahi dan memandang lelaki di hadapan saya yang masih tersenyum malu sendiri.
“Tetapi diakan sudah belajar tinggi di kota. Kamu pula di sini memanjat kelapa. Dia suka kamu?” soal saya dengan wajah murni, dengan hati yang betul-betul niat sekadar mahu bertanya.
“Apabila kamu sudah sampai waktunya, kamu akan faham sendiri kata saya ini,” katanya dengan masih tersenyum. Diakan suka tersenyum.
“Apa?” soal saya, pantas.
“Cinta itu halus, bila-bila sahaja akan terluka dan pasti akan terluka, derita. Namun cinta itu, akan lebih berharga dalam derita,” katanya tersenyum.
“Kalau tahu akan derita, buat apa bercinta?” soal saya lagi, dan pada waktu itulah, kisah yang saya temukan di dalam Sang Pemimpi, saya jumpa pada untaian kata-katanya, yang lambat-lambat, halus, pasti, dan saya ingat sampai sekarang.
“Cinta itu derita, apabila hati yang kamu mahu takluki, hati yang kamu puja itu adalah tembok kukuh yang tingginya mencuar, dan kerasnya ibarat besi. Untuk meruntuh dan seterunya menakluki tembok itu, kamu hanya ada lumpur di tangan, untuk kamu lempar. Lumpur yang kamu boleh ibaratkan cinta dan rindu. Adakah tembok itu akan runtuh? Tidak, tidak akan runtuh sampai kamu mati. Tetapi lumpur yang kamu lempar itu akan tertinggal di tembok itu, tinggal kesannya, kelabu. Cukuplah itu bagi saya, cukuplah. Walau ia tidak akan runtuh, setidak-tidaknya masih ada harapan, tembok itu akan terbuka pintunya, hanya untuk sekadar melihat lumpur-lumpur kelabu itu, ataupun terus mengikisnya dan membuangnya jauh-jauh. Cukuplah...,” katanya panjang diakhiri keluhan yang cukup pahit, dan saya mengerut dahi dengan pedang ninja bersandar kemas di bahu, tidak tersenyum, tidak menyambung, hanya, sekadar menatap, di tepi-tepi.
*Zainal Abas. Tonton Youtube berikut.
http://www.youtube.com/watch?v=ODbj1Y20CTk
*Sang Pemimpi, boleh dibeli di sini.
http://www.bookcafe.com.my/index.php?target=products&product_id=896
Shooting filem 'Sang Pemimpi' akan dimulakan 20 Julai 2009.
4 comments:
Abang. saya minat entri abang kali ni.
Macam ada yang kena dgn saya.
Hermm.
Saya suka ayat ni.
"Cinta itu derita, apabila hati yang kamu mahu takluki, hati yang kamu puja itu adalah tembok kukuh yang tingginya mencuar, dan kerasnya ibarat besi. Untuk meruntuh dan seterunya menakluki tembok itu, kamu hanya ada lumpur di tangan, untuk kamu lempar. Lumpur yang kamu boleh ibaratkan cinta dan rindu. Adakah tembok itu akan runtuh? Tidak, tidak akan runtuh sampai kamu mati. Tetapi lumpur yang kamu lempar itu akan tertinggal di tembok itu, tinggal kesannya, kelabu. Cukuplah itu bagi saya, cukuplah. Walau ia tidak akan runtuh, setidak-tidaknya masih ada harapan, tembok itu akan terbuka pintunya, hanya untuk sekadar melihat lumpur-lumpur kelabu itu, ataupun terus mengikisnya dan membuangnya jauh-jauh. Cukuplah..."
hmmm. cerita yang bagus.
sang pemimpi pun.. maryamah karpov saya tak dapat2 lagi.huhu
ML,
Hidup mesti terus, tersenyum.
Red,
Maryamah Karpov, baca perlahan-lahan.
:)
Amin cadangkan saya ziarah blog Din. Lihatlah, katanya "Indah". Saya setuju :-)
Post a Comment