Thursday, July 16, 2009

menjadi pengarang yang disayang

Dunia 10 peratus.
Saya tidak tahu, mengapa saya harus seirama dengan warna kata-kata teman saya itu. Walaupun saya tahu, angka yang dituturkan itu hanya angka yang diagak-agak, bukan hasil kajian profesor mana pun. Tetapi sehingga kini saya tetap memegang satu-satu setiap lekuk katanya.

Katanya, "Kamu tahu, hanya 10 peratus orang yang betul-betul berjaya di dunia. Mereka itu adalah orang yang bekerja atas bakatnya. Manakala 90 peratus lagi adalah orang yang mensia-siakan bakatnya, dengan mengerjakan hal yang langsung tidak ada kaitan dengan bakatnya.”

Itu kata-kata yang tidak terjangkau dengan kajian emperikal, tetapi cukup menjanjikan. Sehinggakan saya cukup percaya, salah seorang tukang cuci yang membersihkan tempat saya bekerja adalah sasterawan besar, cuma sahaja, dia tidak bekerja atas bakatnya dan memilih jadi tukang cuci pejabat, dan kadang-kadang dia membuat wajah saya tegang, kerana tanpa arahan, dia sesuka hatinya menyusun barangan yang bertapuk-tapuk di atas meja saya. Padahal itu hal yang cukup terlarang.

Itu juga perasaan yang saya peroleh apabila melihat buruh-buruh yang membina jalan pada terik tengah hari, saya cukup yakin, salah seorang mereka yang berminyak-minyak wajahnya, adalah ahli muzik yang terhebat, sekiranya dia tidak memilih menjadi buruh, ataupun lebih adil, sekiranya dia diberi peluang memegang gitar.

Malah saya juga cukup yakin, salah seorang yang saya gelar guru penulisan saya, adalah golongan yang 90 peratus itu. Golongan yang tidak bekerja atas bakatnya. Saya cukup-cukup yakin.

Orang kampung saya.
Dia, orang kampung saya. Dua puluh tahun tua daripada saya, dan hanya ada seorang isteri, dan seperti yang saya sudah mafhumkan sebelum-sebelum ini dalam entri saya, kampung saya adalah kampung yang makmur dengan kelapa. Namun dia, anehnya, lebih senang menanam pisang.

Katanya, “Kelapa itu prosesnya cukup panjang sebelum menjadi duit. Bertahun-tahun, sebelum boleh dipanjat, dihanyutkan ke dalam parit, dikopek kulitnya, dibelah, disalai, disungkit isinya, disalai lagi, sebelum menjadi kopra, dan kemudian harus dipikul pula ke kedai Cina. Panjangnya tiada banding. Dengan pisang, kamu hanya perlu tanam sahaja, lalu balik rumah mendengar kaset M. Daud Kilau, tidak sampai setahun, ia sudah menjadi duit. Cukup sekadar tebang, dan pikul.”

Atas sebab sikapnya yang menterjemahkan peraturan membuat duit itu seharusnya mudah, lalu hidupnya menjadi ironi. Dia hidup susah di kampung saya yang makmur.

Namun, bukan itu yang paling saya ingat berkenaan dia, kerana dia punya hal lain yang lebih besar. Cukup besar hinggakan tidak mampu direngkuh dengan sekadar kata-kata, kerana dia mengaku, dia adalah seniman.

Dia seniman.
Katanya, “Aku ini, seniman kata-kata.”

Kata-kata yang membuat ekpresi wajah saya jadi muncung. Waktu itu saya baru mengenal erti kelas tambahan UPSR. Lalu logik saya pada umur sebegitu, sering tidak mampu menghuraikan maksud kata-katanya, dan akhirnya terpaksa juga saya bertanya, dan senang hati dia menjawab.

“Aku, punyai idea besar dalam penulisan. Aku ini boleh menjadi penulis besar,” katanya sambil mencampakkan buku latihan yang sudah dicoret dengan karangan-karangan yang apabila saya baca, walau umur saya masih muda, saya mengerti, dia cukup-cukup hebat.

Saya kemudian bertanya, mengapa dia tidak jadi seperti yang dia kata. Saya tanya berulang-ulang, kerana dia sepertinya tidak sanggup menjelaskan situasinya itu, dan akhirnya dengan mimik wajah terbaiknya, dia akur juga lalu memberitahu.

“Kampung kita apa yang ada? Surat khabar? Majalah? Jadi, bagaimana aku harus mendapatkan alamat untuk dicuba-cuba, langsung tidak ada. Pejabat pos? Lagilah kamu tidak akan jumpa. Jadi bagaimana aku harus menghantarkan karya agung aku? Sedangkan ia perlu alamat untuk dituju, dan utama, tulisan tangan saya, tulisan aku ini tidak memungkinkannya. Aku tiada mesin taip,” katanya dengan memasang wajah yang kalau kamu lihat, kamu tahu dia sangat sedih.

Saya diam. Saya mengerti, bahawa hal yang tersukar bagi dia adalah tulisan tangannya, kerana surat khabar dan majalah itu tetap ada di kampung saya, kerana itu yang diguna oleh Tauke Cina untuk membungkus ikan kering dan belacan. Pejabat pos pula, walaupun tiada, masih boleh dikirim kepada pemandu bot ekspres yang mahu ke kota, walaupun risiko mengharapkan surat itu sampai ke peti surat sangatlah tinggi, kerana, orang kampung saya cukup malu pada perkara yang namanya kemodenan. Memasukkan surat ke dalam peti surat, adalah contoh kemodenan.

Dia, tidak mampu membeli mesin taip, malah di kampung saya, mesin taip itu hanya ada di pejabat sekolah, dan pejabat daerah. Agak mustahil hendak meminjam mesin taip itu untuk sehari dan walaupun boleh dicuri pakai, pasti dia akan mati akal, bagaimana hendak memasukkan kertas. Atas alasan itu, tulisan tangannya yang seperti jejak kaki ayam yang disembelih tapi belum mati, cita-citanya lenyap dan dia menjadi pekebun pisang yang takzim.

Tetapi, dia tahu, dia punyai peluang meninggalkan legasi, dan orang itu adalah saya, kerana selama ini hanya saya yang sudi duduk berlama-lama mendengar susah hidupnya, sepertinya saya ini tidak ada susah hidup, walaupun hakikatnya susah hidup saya lebih tinggi, kerana perlu membuat kerja sekolah yang banyaknya, seperti air dari langit.

Dia, apa dia peduli, dan pada hari itu, semasa saya hendak ke padang bola, bermain bola gaya Ian Rush, dia memaksakan saya untuk mendengar nasihatnya berkenaan penulisan, nasihat yang saya junjung hingga hari ini, walaupun banyak waktu, saya cicirkan juga nasihatnya ke jalan-jalan.

Pujangga handalan.
"Kamu tahu, menulis itu perlu 80 peratus dengan hati, 20 peratus dengan akal. Kamu tahu kenapa?” soalnya.

Saya menggeleng walaupun hakikatnya, saya lebih memikirkan bagaimana dia mengira peratus itu. Waktu itu matematik saya cukup lemah.

“Fikiran itu boleh memahami, tetapi hanya hati yang boleh merasai. Ibaratnya, saya bertanya, apa rasanya hempedu yang dicicah madu? Fikiran kamu pasti boleh memikirkan rasanya, tetapi kamu perlu merasai sendiri dengan lidah untuk lebih mengerti dengan tepat, tetapi untuk membuat mimik wajah kamu serong-serong dan pandangan kamu berubah, hati kamu yang mendorongnya, kerana ia lebih mengerti rasanya, lebih daripada apa yang difahami oleh fikiran dan apa yang dirasai oleh lidah. Mengerti?” soalnya, dengan falsafah yang saya rasakan adalah titik yang cukup ngilu dalam kepala. Lalu saya hanya mengangguk.

“Jadi menulislah dengan hati, kerana pembaca, akan merasainya dengan hati. Tetapi bagaimana hendak menulis dengan hati?” soalnya lagi, dan saya menggeleng.

"Kamu jangan menulis, pada saat hati kamu sedang marah, jangan menulis pada saat hati kamu sedang dengki, pada saat hati kamu sedang berkira-kira melakukan kejahatan. Pastikan kamu menulis dengan hati yang bersih kerana, itu yang akan terpamer kukuh pada tulisan kamu, dan itu yang akan dirasai oleh pembaca. Paling tidak pun, pastikan hati kamu di tengah-tengah dan kalau semuanya tidak mungkin, kerana hati kamu sudah betul-betul hitam, tulis sahaja dengan fikiran, jangan sampai pembaca merasai apa yang kamu tulis, cukuplah mereka sekadar memahaminya,” jelasnya lagi. Saya sudah kalah, dengan kata-katanya itu yang bak pujangga. Aduh.

“Kalau menulis, kamu perlukan tema. Kamu mahu pilih tema yang bagaimana?” soalnya lagi dan lagi. Saya pula terus menggeleng, lagi dan lagi, dengan mimik wajah yang pura-pura menganggap ia sesuatu yang serius, walau hati saya sudah terbayangkan padang bola. Setiap petang saya harus main bola.

"Kamu, pilih tema yang memasang harapan. Buat tema-tema yang sebegitu. Tidak kiralah, buku apapun, kerana semua buku yang laku manis di dunia ini adalah buku yang memasang harapan. Sama ada memasang harapan daripada segi motivasi, perasaan, kewangan, hidup, politik, patriotik, budaya, dan segalanya. Tetapi bagaimana kamu mahu tahu itu tema yang memasang harapan. Kamu tahu?”

Saya sudah mula sedikit-sedikit memasang wajah tidak mahu ambil berat. Beratnya hati saya untuk ke padang bola sudah tidak terbendung.

“Tema yang membuat orang memasang harapan pada hidup mereka, selepas membaca buku itu, adalah tema yang menjual harapan. Jangan sesekali, kamu membuat manusia berasa tiada harapan, membuat mereka merasa jiwa mereka gelap, murung. Itu salah, sama sahaja seperti kamu membuat buku lucah yang membuat darah mereka tertumpu pada satu titik. Sangat salah besar. Kamu tahu mengapa?”

Saya sudah kaku. Diam. Padang bola sudah mengelinjang hebat dalam kepala.

“Semuanya kerana, untuk membuat manusia berfikir dengan tulisan kamu, adalah dengan membuat mereka memasang harapan. Kalau mereka sudah tidak memasang harapan, apa mereka rajin untuk berfikir? Namun, membuat manusia berfikir, bukan kerja kita. Itu kerja mereka sendiri, kerja kita tadi adalah memasang harapan dan kalau mereka mula berfikir, itu bonus, dan kamu juga perlu ingat, sekali kamu menjadi penulis, jadilah penulis bukan orang seorang hakim. Jangan sesekali jatuhkan hukum kepada manusia lain yang tidak seiring dengan kamu, jangan menyombongkan diri, dengan mengatakan orang lain tidak bagus dan apa-apa sahaja. Kamu tahu mengapa?”

Saya memicing mata, dan di balik pelupuk mata, saya terlihat, padang bola.

"Kamu boleh saja menulis karya hebat, yang mampu menang itu ini, mampu membuat manusia berfikir dan memasang harapan. Tetapi adakah manusia yang akan menentukan yang kamu berjaya? Bukan! Tuhan yang akan menilai kamu, menilai kamu terus ke hati. Dia yang Maha Tahu, akan tahu mengapa kamu mengata tulisan orang itu tidak bagus, tidak membangunkan daya fikir, tidak itu ini. Tuhan akan tahu niat kamu, kerana mungkin pada awalnya kamu memang berniat bagus untuk menegur, namun tidak ada benda yang kekal di dunia, begitu juga niat, dengan mudah sahaja niat kamu tergelincir, sombong. Jadi, kalau kamu sudah bagus, teruslah menulis, dan banggakan teman-teman penulisan kamu dengan nasihat yang bagus-bagus, bukan dengan mimik wajah mencerca dan menghina, nasihat saja, dan kalau perlu marah, namun jangan sesekali menghina dan merendah-rendah, kerana mereka juga adalah manusia yang memasang harapan untuk manusia lainnya. Mereka juga, sama seperti kita, cuma caranya yang berbeza,” katanya, akhirnya, dengan diri saya yang sudah mula dibawa hasutan-hasutan syaitan bola ke padang bola.

Itu nasihat-nasihat, yang memecahkan diri saya, seperti adanya saya hari ini, walau terlalu sedikit, tetapi setidak-tidaknya saya masih ikut satu dua. Dia, lelaki itu adalah pujangga saya, pujangga yang hidupnya untuk memasang harapan, walaupun harapan saya bermain bola pada petang itu hancur kerana hujan.

3 comments:

Zamri Mohamad said...

Nasihat-nasihat baik sentiasa lekat di hati.

Water Lily said...

Antara entri paling cantik yang pernah saya baca di lamam sajdara :)

K.H said...

Cantik!