Ijazah untuk orang kampung.
Telah bersandar rasa mahu memarahi diri sendiri, sejak ayah saya mentasbihkan kepada saudara handai taulan, saya sudah punyai kertas mulia bernama ijazah ekonomi. Semuanya kerana angka-angka yang tertulis rapi pada ijazah ekonomi itu, angka yang tidak diketahui maksudnya oleh ayah saya, adalah angka yang memberitahu, betapa mengharukannya pengetahuan saya berkenaan ekonomi, namun ayah saya pula betul-betul berbangga. Betul-betul membuat hati saya menjerit sesal.
Kalau kamu rasa, rasa itu sudah hilang selepas bertahun sudah, itu rasa yang tidak pernah akan betul. Rasa sesal saya sentiasa menunggu dalam kata-kata teman saya, “Kamu fikir, apa pengikut mazhab monetary dan mazhab Keynesian rasa apabila melihat keruntuhan ekonomi deravatif Amerika? Kalau kamu menambah tentang mazhab Friedman pun, boleh.”
Gugupnya saya, seperti Ketua JKKK yang ketahuan memakan duit membina masjid. Pasti, saya tidak mampu menjawab, kerana ijazah saya itu tujuan utamanya, adalah untuk menjadi manusia berijazah di kampung. Biar orang kampung mengatakan, “Dia adalah orang terpandai yang pernah kampung kita miliki.”
Niat yang terang-terang bengkok dan salahnya itu, mencetus kesusahan tanpa tabir, yang memperosokkan saya di tepi jalan menjadi penjaja air kelapa. Ya, sekadar itu sahajalah nilai ijazah ekonomi saya, selain menjadi orang terpandai yang pernah kampung saya miliki, pada zamannya.
Namun tetap juga saya mahu meningkatkan ekonomi, mahu menjadi kaya, dan cuba-cuba membuat orang kampung saya berkata, “Dialah orang yang paling kaya yang pernah kampung kita miliki.”
Teman sekuliah yang baik.
Saya sebagai manusia berijazah ekonomi, yang mengharukan pengetahuannya berkenaan ekonomi, tetap punyai akal dalam sesetengah perkara. Untuk menjadi kaya, perlu berguru, dan manusia yang paling bertuah untuk saya nobatkan sebagai guru adalah bekas teman kuliah saya sendiri.
Ilmunya saya tidak tahu bagaimana hendak mengukurnya, sama ada sehujung kuku ataupun sehujung dunia. Namun daripada lirik matanya kepada saya, setiap kali melihat markah peperiksaan saya, membuat saya geram. Apatah lagi dengan sungging senyumnya, membuat saya menyumpah-nyumpah namanya.
Saya juga tidak pasti, sama ada dia layak melirik saya sebegitu, juga sama ada dia sudah sampai tingkat untuk senyum seperti itu, yang apabila digabungkan seolahnya mengaduk kata, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”
Apapun saya pasti, saya layak menerima lirik dan senyum yang dijejali hasrat mengecilkan hati itu. Semuanya kerana, pada saat teman saya itu di perpustakaan, saya masih di panggung wayang. Pada saat dia terus di perpustakaan, saya masih di hadapan komputer bermain Diablo 2. Pada saat dia tetap juga di perpustakaan, saya di KLCC, berjalan-jalan.
Namun, atas itu jugalah, saya berlari-lari pada suatu hari hendak berjumpa dengannya, yang saya mafhum dia sudah menjadi pensyarah ekonomi di suatu tempat yang tingkat keilmuwannya tinggi. Untuk menjadi kaya, saya sudah berikrar berlebih-lebihan, untuk tidak akan jera melihat lirik matanya dan menatap sungging senyumnya. Saya cuba.
Ekonomi Malaysia.
Teman saya yang cemerlang otaknya itu, seperti yang sudah serpih-serpih hati saya jangka, tetap akan melirik dan tersenyum yang sepertinya berkata, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”
Seperti yang saya ikrarkan, saya tidak akan jera dan akhirnya kami berlabuh di sebuah restoran yang tiga tahun sekali pun belum tentu saya mahu masuk dengan hati yang tersenyum.
Dia, teman saya itu sepertinya sudah terlatih berada di situ. Terus sahaja tanpa tangguh, memacu pesanan makanan yang harganya, menyamai harga kasut kulit lembu terbaik. milik ketua kampung saya, yang kononnya dibeli di Madinah al Munawwarah. Lalu sekejap sahaja, bertapuk-tapuk makanan di atas meja, hanya untuk kami berdua.
“Di Malaysia, kalau kamu mahu kaya dengan cepat. Kamu hanya perlu masuk MLM ataupun menjadi orang politik, tetapi memandangkan saya kenal kamu, yang yakin, penjual daging babi salai itu lebih baik daripada penjual MLM, saya cadangkan kamu menjadi sahaja orang politik, dan untuk pelajaran ini, bayangkan sahaja saya orang politik, dan kamu sebagai rakyat,” ujar teman saya itu dengan sorot mata seorang guru disiplin. Saya menarik nafas perlahan, mengangguk perlahan.
“Pelajaran pertama, kalau kamu mahu kaya, yang paling penting adalah, kamu jangan takut berbelanja kepada rakyat. Inilah yang saya lakukan sekarang, tidak takut berbelanja kepada kamu,” kata teman saya tersenyum, entah tersenyum pada udang galah yang menyeruak isinya ataupun pada wajah saya jelas mengkhabarkan erti, “Oh ada udang, ada ketam, oh... ada kambing panggang! Eh yang hitam-hitam itu apa?”
Lalu saya mengangguk takzim. Seperti adab sepatutnya seorang murid kepada gurunya yang bijaksana. Kata-katanya itu, menyenangkan hati. Membuat saya tersenyum-senyum dengan bibir yang sudah berminyak, dengan sedikit biji cili.
“Seterusnya, kamu perlu bersama-sama dengan rakyat dalam menggunakan perbelanjaan itu. Jadi dalam contoh ini, kita sama-sama makan sahaja dulu,” kata teman saya lalu rakusnya dia, seperti orang Habsyah yang berada di dapur restoran orang Kelantan. Hinggakan saya, sudah hilang malunya untuk cepat-cepat merebut udang, ketam, sotong, dan apa-apa sahaja yang tertinggal.
Usai upacara makan yang luar biasa itu, teman saya tersenyum dan melirik saya, dengan senyuman dan lirikan yang bererti, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”
Tetapi mengapa selepas makan? Apakah maksudnya dia yang makan paling banyak? Saya mengaru lengan.
“Yang paling utama adalah, selepas kamu berbelanja banyak dan sudah makan bersama bersama rakyat, pastikan kamu berbelanja dengan tidak menggunakan duit kamu. Dalam kes ini, saya sebagai orang politik harus pergi dulu, ada kuliah 10 minit lagi. Terima kasih atas makanan tengah hari yang bahagia ini,” kata teman saya dan terus bangun berjabat tangan. Mimik wajahnya cukup tenteram dan girang.
Pipi saya yang baru sihat berona pula, mulai panas. Bayangan kasut kulit lembu terbaik, milik ketua kampung saya sudah menari-nari dalam kepala. Saya terus menyumpah perih. Bertambah galak sumpahan saya, saat teman saya itu, berhenti di pintu restoran dan memberikan lirikan dan senyuman yang semua sudah mafhum maknanya, “Seribu tahun lagi pun, kau tidak akan mampu menyaingi aku.”
Usai kata itu berkicau dalam kepala, sayup-sayup pula saya mendengarkan kicauan keramat orang kampung saya, “Dia adalah orang terpandai yang pernah kampung kita miliki.”
1 comment:
Artikel yang best!
Akan terbitkan extrak dari catatan saudara di http://mylivingwall.com dan paut kembali ke blog saudara.
All the best!
Post a Comment