Wednesday, September 10, 2008

karangan untuk Allah

Kisah anak sepupu 1
Kisah anak sepupu 2


Hujung minggu itu tetap damai walau tanpa kelopak sakura yang gugur, walau tanpa aroma kenanga yang mengharum. Hujung minggu itu saya sudah berada di rumah sepupu saya, duduk di sofa, dan manusia pertama yang menyambut saya adalah anak sepupu saya.

Dia perempuan, umurnya baru mencecah lima. Kulitnya putih, rambutnya lurus sehingga ke bahu, cuma rambut di depan wajahnya dipotong separas mata. Namun seperti biasa, mungkin kerana lama tidak dipotong, rambut lurus itu sudah melewati pelupuk mata.

Saat dia berlari, rambutnya ikut bergoyang, beralun. Senyumnya ikut merekah mempamer giginya yang masih terjaga walau sudah tidak bolah digelar putih. Pipinya yang gebu berlekuk sederhana indah dan matanya yang hitam pekat, buntang bersinar. Lalu, saat semuanya itu bergabung, ia menjadi pemandangan yang meneduhkan hati, dan degup jantung saya pun berhenti.

Dia berhenti di depan saya. Di tangan kirinya ada sekeping kertas putih yang kumal, dan tangan kanannya ada sebatang pensel. Pasti itu semua milik kakaknya. Semoga kakaknya tidak tahu, dan semoga tidak pernah akan tahu.

Dengan hujung jari-jarinya yang montel, dia menolak ke kiri rambut yang melindungi pelupuk matanya, namun hanya sesaat bertahan, rambutnya kembali luruh mengganggu mata. Senyumnya pula tiba-tiba padam. Bibir merahnya muncung, namun mata hitamnya tetap bersinar intan.

“Mengapa sayang?” tanya saya lalu memaut tubuhnya, membawanya ke pangkuan.

“Tidak ada sesiapa yang mahu baca tulisan saya,” jawabnya dengan suara yang penuh di hujung mulut.

“Apa yang kamu tulis?” tanya saya lagi sambil tersenyum. Perlahan-lahan saya menyibak rambut yang menutup matanya.

Dia diam lalu menghulurkan kertas kumal di tangan kirinya. Saya menyambut dan mula membaca kalimatnya. Senyum saya lalu merekah.

“Saya ada kucing, namanya Menem. Saya, ada kucing, namanya Menem. Saya ada kucing, namanya Menem,” ucap saya, membaca kalimat pada kertas kumal itu dan menyambung, “Sekarang kamu sudah boleh tersenyum, abang sudah baca tulisan kamu, sayang.”

Dia meronta, meminta lepas daripada pangkuan lalu dia berdiri menatap saya. Tangan kanannya pantas menggosok-gosok mata kirinya, kemudian kembali menolak ke kiri rambut yang menutup matanya.

“Tulisan saya bagus?” tanyanya.

“Bagus sekali. Terbaik yang saya baca untuk hari ini.”

Dia tersenyum. Mempamer giginya dan lekuk pada pipi. Dia pantas menarik kertas kumal di tangan saya lalu melabuh punggungnya ke lantai. Kertas kumal itu diletaknya ke lantai lalu tubuhnya condong, berada dalam posisi mahu menulis dengan tangan kanannya yang ada pensel sudah diletakkan pada permukaan kertas.

“Mahu menulis apa, sayang?” tanya saya lalu mengjungkit kening.

Dia diam. Terus takzim tunduk sehingga rambutnya membuai-buai jauh dari dahi dan syukur, rambutnya yang membuai-buai itu tidak lagi mengganggu pandangannya. Sesaat kemudian dia menggeleng-geleng. Rambutnya ikut bergoyang dan dia kemudian mendongak sambil tersenyum lalu berkata, “Saya tidak tahu apa yang mahu ditulis. Jadi apa yang bagus untuk ditulis?”

“Tulis apa yang ada di sekeliling kamu, sayang. Apa yang kamu sering dengar, apa yang kamu lihat,” jawab saya sambil memandang wajahnya yang meneduhkan hati.

“Saya sering dengar berkenaan Ramlang Porigi, ketuanan Melayu, rasis, tidur, altantuya. Lalu abang mahu saya tulis berkenaan itu?” soalnya kembali lalu mengetap bibirnya yang merah. Dahinya berkerut lalu hujung pensel yang tumpul digaru-garukan ke kulit kepala.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Bagaimana mahu menerangkan pada gadis kecil ini?

“Pasti bonda kamu pernah bercerita berkenaan akhirat, bukan? Berkenaan syurga dan neraka,” kata saya.

Dia mengangguk laju lalu kembali mempamer wajahnya yang teduh itu. Aduhai....

“Tulisan itu, umurnya lebih panjang berbanding kita kerana apa sahaja yang kita tulis di dunia ini akan kembali dibaca di akhirat. Lalu tulis perkara-perkara yang benar, perkara-perkara yang baik. Anggap tulisan kamu itu adalah karangan untuk Allah, kerana ia juga dibaca di hadapan-Nya nanti, juga di hadapan seluruh umat manusia. Jangan nanti kita malu sendiri apabila karangan kita dibaca,” kata saya menyambung dengan panjang lebar lalu mengusap-usap rambutnya.

Dia diam tidak bereaksi dan kemudian perlahan-lahan mengangguk dengan dahi berkerut. Sesaat itu juga dada saya merasa sesak, kerana berkata-kata itu sememangnya semudah menepis lalat di pipi tetapi pelaksananya ada sesukar mengolek bongkah di gurun.

Menuliskan perkara-perkara yang hitam itu pernah saya perbuat, malah tidak terhad itu, pernah juga saya menuliskan kata sehingga ada hati yang tersentak dan pasti nanti tulisan hitam saya itu akan dibacakan di akhirat. Aduhai. Malah sekarang, ada waktunya hati terleka sehingga terlepas perkataan-perkataan yang tidak membawa maksud kebaikan.

“Apa perkara-perkara yang baik?” soal dia dan serentak itu dada sesak saya kembali lapang. Saya tersenyum.

“Pasti bonda sering berpesan kepada kamu. Tuliskan pesan-pesan bonda kepada kamu. ”

Bibir merahnya kembali memuncung dan dia berkata, “Bonda, hari-hari mengulang pesan yang sama. Mandi pakai sabun, makan nasi jangan tumpah, tidur awal dan mengaji. Perkara itu baik?”

Saya tersenyum lagi dan kemudian berkata, “Apabila kamu sudah sebaya abang, pasti kamu akan berkata sendiri yang perkara itu baik. Tetapi buat waktu ini terserah kamu bagi membuat anggapan. Cuma abang pasti, kamu ini anak yang pintar dan pasti boleh mengingat sesuatu berkenaan pesan atau kata-kata bonda yang kamu suka. Betulkan sayang, apa yang abang cakap?”

Dia terdiam beberapa detik dan kemudian tersenyum dan kembali tunduk, berada dalam posisi menulis. Penselnya mula menari di kertas kumal. Saya memanjangkan leher. Pantas tangan kanannya menutup tulisannya dan dia tersenyum.

“Abang, jangan lihat!”

Saya kembali mengundur dan dia kembali menyambung penulisannya. Sesekali dia mendongak mahu memastikan saya tidak memanjangkan leher, dan lakunya seperti anak kucing yang baru berjumpa manusia. Sesekali dia menggosok-gosok matanya, menyibak rambutnya yang berayun, mengaru-garu kepala umpama sang profesor yang sedang berfikir dan sesekali dia hanya tersenyum sahaja kepada saya.

“Saya tulis kata-kata bonda yang paling saya suka. Semasa saya sedang pura-pura tidur dan bonda datang menyelimutkan saya, mencium seluruh wajah saya dan membisikkan saya kata-katanya,” kata dia, akhirnya lalu menyerahkan kertas kumal itu kepada saya.

Saya tersenyum dan menyambut kertas kumal itu.

'Bonda kata, dia sayang saya. Ya, Allah, sayangi bonda saya.'

Dia menatap saya lalu tersenyum lirih. Aduhai... wajah itu lagi yang dia tunjukkan. Kemudian perlahan-lahan dia menolak hujung rambutnya dengan jarinya yang montel dan berkata, “Itu karangan untuk Allah.”

5 comments:

Anonymous said...

Jika ada rancangan realiti tv akademi penulisan dan saudara bahruddin adalah salah seorang pesertanya, saya pasti akan afundi saudara melalui sms.

Saya baru sahaja selesai baca novel DISK. Memang menghiburkan.

Anonymous said...

Assalamualaikum.

Sangat baik tulisan ini. Sangat terkesan. Moga Allah berkati.

Anonymous said...

karangan untuk ALLAH bila baca tersentuh. mengingati ALLAH.

MDM FARAH FAIZURA said...

:-)
azlan, terima kasih

ainaa yang hebat, terima kasih

redahku, terima kasih.

:-)

Aku Comel said...

wawww..