Friday, September 05, 2008

ketawa untuk esok

Saya pernah melihat kalimat ini daripada teman saya. Tulisnya, 'Apabila kita melihat masa lalu yang membuat kita menangis, kita akan ketawa tetapi akan menangiskah kita apabila melihat masa lalu yang membuat kita bahagia?'

Tidak pasti bagaimana caranya mahu menanggapi kalimat itu lalu pada suatu pagi yang berlangit biru, pada hawa yang bersahabat dengan nipisnya kulit, saya jongok di sebelahnya yang sedang duduk bersila rapat.

Selepas berbasa-basi seketika dan bercerita berkenaan itu ini saya terus pada apa yang mahu saya tanya dan dia tersenyum.

“Kalimat itu bukan berkenaan apa-apa. Ia cuma berkenaan kebodohan saya semasa berada di dunia cinta,” kata teman saya dan saya mengangguk.

“Dunia cinta itu memang berbeza. Apa yang membahagiakan pada hari ini belum tentu membuatkan kita ketawa pada esoknya, dan apa yang membuatkan kita menangis hari ini belum tentu juga akan membuat kita terus hiba pada esoknya. Tetapi bukan itu yang utama daripada kalimat itu. Kamu tahu apa yang utama?” terang teman saya lagi dan terus menyambung bicara.

Saya hanya menggeleng lalu ikut bersila di sebelahnya selepas lutut sudah bergetar lantaran lamanya berjongok.

“Yang utama daripada kalimat itu adalah... harapan. Mungkin hari ini kita akan menangis tetapi esok pasti tetap ada harapan untuk kita ketawakan diri kita yang menangis pada hari ini. Jadi jangan berhenti berharap, jangan pula terlalu mengharap,” terang teman saya itu dan kemudian dengan takzim kembali tersenyum. Mungkin dia tersenyum pada saya ataupun sedang tersenyum pada masa silam.

“Lalu sekiranya ada yang masih terus menangis, terus berdendam pada hari semalam yang membuat dia kecewa, itu pula bagaimana? Adakah itu kebijakan kerana kamu kata kalimat itu adalah berkenaan kebodohan masa silam kamu berkenaan cinta,” tanya saya pula tanpa ada niat mahu meneladani Socrates.

Teman saya tidak terus menjawab. Hanya tunduk dan apabila mengangkat wajah dia berkata, “Sebetulnya kalimat ini bukan hanya terhad untuk cinta, malah meluas untuk kehidupan lainnya. Soal akademik, keluarga dan sebagainya. Namun apabila ia jatuh ke tangan saya, saya menyempitkannya menjadi soal diri saya sahaja. Lalu persoalan bodoh atau tidak itu bukan soalnya lagi kerana ia sudah berkait dengan diri orang lain bukan diri saya. Seperti yang saya kata tadi, yang utama adalah harapan lalu sekiranya ada manusia yang terus begitu dia adalah manusia yang memberi harapan yang tinggi pada perkara yang tidak mungkin. Tidak salah berharap tetapi berharaplah pada perkara yang pasti kerana di dunia ini, banyak lagi perkara yang boleh kita harapkan.”

Saya mengangguk dan kembali perlahan-lahan berjongok.

6 comments:

redhaku said...

kalau berharap pada yang tak pasti?

Laily Abdullah said...

Ohhh..saya penah jadi begini juga.nostalgic sungguh!

menangis bila melihat masa lalu yg pernah buat saya gembira.

ketawa bila melihat masa lalu yg buat saya menangis berbulan2.

Nampaknya bukan saya seorang yg melaluinya :)

Erm...kepada anynomous redhaku,
tidak ada yang pasti di dunia ni. Jadi, bila mahu letak harapan, kena berwaspada, takut2 'jatuh tersungkur' kerana harapan itu.

p/s : sorry ye dingin.terpanjang plak komen ni.hehe

silencez said...

cik din..
terkena kat batang hidung hehe.

tapi sungguh..
kadang2 walau tau harapan tu terlalu tipis @ tiada langsung, tetap berharap & berdoa, moga akan ada keajaiban yg akan berlaku :D

dingin said...

red,
sy pun x pasti :-P. Berharap dengan Tuhan pasti lebih pasti.

Lailay
komen panjang2 sgtlah daialu-alukan :-P

sil
yey, keajiban insyaAllah berlaku :-)

aiXat.MR said...

Ya, sungguh!
Jadi marilah kita menangis beramai-ramai hari ini, supaya pada hari esok kita boleh ketawa sepuas2.

Err..
So,
lusa kita akan menangis semula la sbb esok kita akan ketawa..?
tulat? ketawa kembali?

haha~
Salam Ramadhan!
:)

sukahati said...

entry ini mengubat hati saya...tq