Monday, June 23, 2008

tidur-tidur kucing

Ketika kelopak mata saya sudah terkatup, datang selarik cahaya yang silau. Saya membuka mata dan di hadapan saya berdiri Rosyam Nor yang memasang sayab-sayap comel pada belakang tubuhnya. Mungkin dengan niat, mahu kelihatan seperti pari-pari barat. Saya kembali menutup mata.

“Nanti, kamu akan lebih kesal dengan perkara yang kamu tidak pernah lakukan, berbanding dengan perkara yang pernah kamu lakukan.”

Mendengarkan kata-kata itu saya terus menarik selimut. Kata saya, “Saya akan tidur lagi kerana khuatir jika saya tidak tidur sekarang, saya akan kesal.”

“Jangan! Bukan itu maksud saya.”

“Lalu?”

“Maksud saya, perkara yang kamu tidak dapat lakukan sekiranya kamu tidur.”

Saya lalu bangun, melipat dahi. Hujung jari saya menyeka hujung mata. Ada sesuatu yang kenyal.

“Apa?”

“Apa-apa sahaja yang kamu mahu lakukan.”

Saya lalu terbaring lagi. Menarik selimut, menutup kepala.

“Kamu tidur lagi?”

“Ya. Kamu perlu tahu, tidak semua orang tahu makna kesal. Misalnya saya. Kesal bagi saya adalah kesal yang pertama, saya lebih kesal dengan apa yang saya pernah buat berbanding apa yang saya tidak buat.”

“Tetapi mengapa perlu tidur?”

“Sebab malam tadi, saya menonton EURO. Lalu saya kesal kerana dengan menonton EURO, saya menjadi terlalu mengantuk. Ah, mujur juga Sepanyol menang.”

“Lalu tidur kamu itu akan melanjutkan kekesalan kamu. Bangun sahaja kamu daripada tidur, saya yakin itu yang akan kamu rasa.”

“Lalu?”

“Entah. Saya pun tidak tahu.”

Hati saya sebal. Dasar pelakon. Hanya tahu membaca skrip tetapi tidak tahu apa yang diucap.

“Maksud saya begini, kalau kita tidak mencuba, nanti kita akan kesal. Jadi baik mencuba.”

“Walaupun perkara dosa?”

Rosyam Nor menggeleng perlahan. Bibirnya terkatup rapat.

“Dosa dan pahala itu asas kehidupan. Lalu tidak perlu saya terangkan berkenaan dosa dan pahala. Saya cuma mahu katakan berkenaan perkara yang tidak berdosa.”

“Jadi apa yang kamu mahu saya buat?”

Rosyam Nor diam, tunduk, pelipisnya menegang. Sesaat kemudian dia kembali mendongak dan tersenyum.

“Ceritakan bagaimana Sepanyol menang? Saya tertidur. Terlupa minum Pawer Rut. Saya terminum kacip Fatimah.”

Saya langsung berubah menjadi kucing putih.

*Nota: Suara hati saya apbila melihat iklan Pawer Rut. Saya sangatlah tidak suka.

1 comment:

adik said...

hanya kerana kucing putih itu
saya menyukai iklan tersebut