Friday, November 16, 2007

gading mana yang tidak retak

Aku suka dengan kisah ini. Ia kisah klasik. Dikatakan ia kisah yang berasal dari India. Kemudian ia terdapat dalam pelbagai versi. Daripada versi Buddha hingga ke versi Sufi. Kemudian pada abad ke-19, John Godfrey Saxe (gambar) mempopularkannya melalui sajak "Blind Men and an Elephant". Ia kisah berkenaan lima orang buta dengan seekor gajah (sesetengah sumber mengatakan enam). Seorang memegang gading, seorang memegang kaki, seorang memegang belalai, seorang memegang badan, dan seorang memegang ekor.

Akhirnya kelima-lima buta tadi berkumpul dan bercerita berkenaan rupa gajah itu. Orang yang memegang gading, berkata, gajah itu licin dan keras. Yang memegang ekor berkata gajah itu halus dan lembut dan begitulah seterusnya. Mereka akhirnya berbalah atas sebab itu. Masing-masing menggambarkan gajah itu berdasarkan apa yang mereka sentuh. Ahli bijak pandai kemudiannya mentamsilkan kehidupan ini seperti kisah orang buta dengan gajah tadi.


Sering kali manusia itu berfikir dirinya adalah betul sedangkan dia hanya melihat dan merasai sebahagian kecil sesuatu situasi, tanpa melihat keseluruhan situasi. Tanpa mereka sedari masih banyak ruang yang belum dirasai, belum dijelajahi. Seperti seseorang yang memberi nasihat kepada temannya yang baru gagal dalam sesuatu situasi. Menyalahkan temannya dengan mengatakan temannya itu silap kerana begitu begini sedangkan dia sendiri tidak pernah melalui situasi yang betul-betul serupa dengan temannya tadi. Jadilah dia seperti orang buta yang mengatakan gajah itu keras dan licin kerana hanya memegang gading.


Ini pernah berlaku pada aku. Ketika seorang temanku yang cantik mengadu betapa sulitnya situasi dia sekarang. Mahu mencinta tetapi sukar. Mudah sekali jawapan aku.


“Kamu cari yang lain. Banyak lagi yang menanti kamu. Kamu bukan tidak cantik.”


“Kamu tidak mengerti,” katanya sambil tersenyum lirih.


“Apa yang aku tidak mengerti?”


“Ini soal hati.”


“Pedulikan soal hati. Dahulukan agama,” hujahku. Wah, waktu itu aku gemar menggunakan agama bagi mematikan hujah :-P. Tetapi setidak-tidaknya hujah aku itu benar.


“Kerna aku dahulukan agamalah aku berbuat begitu.”


“Jangan kamu memutar belitkan agama,” bantahku lagi.


“Kamu tidak mengerti,” ulangnya lagi. Diulanginya juga senyumannya tadi. Biarpun aku menikmati indahnya senyuman itu tetapi aku tetap cuba menghindar dari membalasnya. Bahaya. :-P


“Cuba beritahu, apa yang aku tidak mengerti?”


Usai aja aku bertanya, teman cantikku tadi terus bercerita berkenaan gajah dan orang buta. Aku diam mendengar.


“Jadi kamu bilang aku ini seperti orang buta tadi?” kataku.


“Itu bukan soalnya. Aku sendiri juga buta. Tetapi soalnya adalah, mengapa tuhan membiarkan si buta-si buta tadi memegang bahagian tubuh yang berlainan. Mengapa tuhan tidak membiarkan sahaja di buta memegang tubuh gajah yang sama. Yang paling utama, mengapa ada si buta yang di takdirkan memegang gading dan ada pula yang memegang ekor. Kerna tuhan tahu, kita tidak akan mampu memahami makna kehidupan ini secara sendiri-sendiri. Kamu perlu bersyukur kerana kehidupan kamu sekarang biarpun buta tetapi kamu tetap memegang gading, tetapi jangan menidakkan apa yang aku pegang ini. Biarpun aku hanya memegang ekor yang busuk terkena najis, tetapi ekor tu juga benar ujudnya. Kamu tidak bisa membantu aku memahami berkenaan kehidupan ini jika kamu tidak mahu memahami aku. Tidak mahu memahami apa yang aku pegang ini. Aku tidak memegang gading, aku hanya memegang ekor. Bantu aku dengan tidak memaksakan kehidupan kamu terhadap aku. Jika aku bisa memahami betapa indah dan bertuahnya hidup kamu sekarang yang memegang gading, mengapa kamu tidak cuba memahami hidup aku ini, dengan memahami hidup aku barulah kamu mengerti apa itu kehidupan.”


Aku terdiam lama.


“Ya aku akui, aku masih lagi belum menyeluruhi makna kehidupan ini. Maaf.” kataku sambil tersenyum untuk pertama kalinya.





2 comments:

Tetamu Senja said...

macam xder kaitan jer tajuk dengan isi....tajuk membayang yang lain...ni menambahkan blur saya nih...

dingin said...

x ada idea nak letak tajuk apa :-p