Tuesday, September 11, 2012

Itu yang Tuhan suka?

Semasa cuti semestar pertama matrikulasi, waktu itu umur saya baru 18 tahun. Darah muda. Itulah pertama kali saya kembali ke Sarawak dengan menaiki kapal terbang. Sebelum kembali, saya pastikan pakaian saya adalah pakaian orang kota metropolitan. Saya tidak punya wang yang banyak, jadi seluar saya, seluar 'bundle', dan baju pula dibeli di Petaling Street, namun saya tetap yakin sudah mengikut trend orang kota dan paling utama terlihat berpelajaran tinggi.

Mungkin itulah risikonya menjadi orang kampung yang punyai televisyen. Di televisyen kamu dapat melihat trend terkini, tetapi kamu tidak tahu bagaimana mahu mengikuti trend itu kerana kedai pakaian yang paling dekat adalah sehari perjalanan. Paling utama, kamu tidak punyai wang. Lalu pada ketika kamu sudah berada di kota, pada ketika wang kamu cukup-cukup sahaja, kamu kerasukan trend orang kota.

Jadi besar harapan saya, turun sahaja dari kapal terbang, orang di Sarawak akan terkagum-kagum kepada saya. Itu yang membuat saya tersenyum-senyum tatkala melihat bumi Sarawak dari udara.

Sepertinya harapan saya itu termakbul, kerana semasa turun sahaja dari kapal terbang, di pintu masuk sana berdiri seorang yang saya kenali. Dia senior saya di sekolah menengah. Saya yakin dia bekerja di lapangan terbang itu, tetapi sebagai apa saya tidak tahu. Ya, tidak ada orang awam yang akan berdiri di situ selain mereka yang bekerja.

Melangkah yakinlah saya, dan semasa lalu di hadapannya dia seperti terkejut melihat saya. Saya pula sudah tersenyum. Saya tahu, dia mula kagum. Mungkin rupa golongan terpelajar sangat terserlah pada penampilan saya. Tetapi itu belum cukup kerana saya menunggu dia menyatakan kekagumannya. Lalu saya menunggu.

“Dari KL?” tanya dia dengan wajah yang saya anggap wajah orang kagum.

Saya mengangguk. Tersenyum sambil hati berharap besar dia bertanya pula, di mana saya belajar. Biar saya menjawabnya dan menambahkan kekaguman dia. Bahawa saya ini punya masa hadapan yang cerah.

Pada ketika dia bersedia membuka mulut, saya sudah berdebar.

“Kerja kilang apa di KL?”

Pertanyaan dia meruntuhkan segala keyakinan diri saya. Runtuh tinggal debu. Saya cuma terlihat seperti pekerja kilang di mata dia? Aduh.... Sempat juga saya memperlihatkan wajah terkejut. Saya tidak sempat menguasai diri saya semasa berkata, “Taklah. Saya sambung belajar.”

Dia cuma memuncungkan mulut membuat bunyi Ooo yang perlahan. Langsung tidak ada rasa kagum, cuma dia terlihat ragu-ragu.

Saya pula yang sudah hilang keyakinan diri, cepat-cepat berlalu dari situ. Jalan tunduk dan pada setiap mata yang memandang saya, saya yakin yang mereka memandang saya sebagai pekerja kilang.

Itulah kepercayaan saya yang baru. Saya terlihat seperti pekerja kilang. Sejak dari hari itulah, pada setiap kali saya turun dari kapal terbang, saya menyiapkan diri saya turun sebagai seorang pekerja kilang. Malah bukan itu sahaja, semasa turun dari bas, turun dari kereta, motosikal dan malah LRT, saya sudah menganggap, saya cuma dilihat sebagai pekerja kilang.

Tidak ada salahnya menjadi pekerja kilang, yang salahnya adalah diri saya yang cepat benar berasa besar diri. Namun, tetap sahaja setiap itu ada hikmahnya, dan hikmah daripada perkara itu, saya belajar berkenaan merendah hati.

Saya belajar mengenali diri saya, yang saya tidak ada 'tokoh' penampilan seorang yang terpelajar, mulia dan apa sahajalah yang tinggi-tinggi. Saya ini, pakailah apapun, saya tetap terlihat sebagai orang kampung yang bekerja kilang. Paling tinggi mungkin orang melihat, supervisor kilang.

Itulah kesedaran diri yang paling bagus yang pernah saya ada, kesedaran yang mengawal diri saya daripada berlebih-lebih dalam perkara apapun. Biar sederhana, biar murah dan biar merendah hati. Paling utama, mengajar saya tidak cuba mengikut seperti orang lain, dan tidak meletakkan harapan pada jangkaan manusia. Bukankah itu maknanya bahagia dan bukankah itu yang Tuhan suka?

Mudah-mudahan.

2 comments:

Anonymous said...

ya betul kata tuan. tapi tak ramai zaman sekarang orang boleh merendah diri. saya lihat ramai penulis sekarang terlalu gah dengan apa yang mereka hasilkan. tapi tuan tidak. itu saya kagum.

Anonymous said...

yes..ia sgt bahagia..best sgt belog ni !!! mabrukk