Saya baru satu penggal menjadi Yang Berhormat. Ia perkara yang manis, dan bertambah manis, saya adalah Yang Berhormat di kawasan parlimen, yang bermakna saya punyai elaun yang lebih, punyai kuasa yang lebih dan paling utama, saya berkedudukan cerah menjadi calon menteri kerajaan pusat. Sekiranya tidak menjadi menteri yang punya portfolio tidak mengapa, asalkan tetap menjadi menteri.
Namun, mungkin kerana saya 'orang baru', nama saya belum disebut-sebut lagi sebagai calon menteri. Itu bukan perkara besar kerana, selama empat tahun ini saya sudah membuat persediaan dengan membangkitkan isu-isu besar. Hal alam sekitar, hal pendatang asing, hal pekerjaan, dan atas semua usaha itu, wajah saya sering terpampang di media massa. Saya berjaya membina kredibiliti saya.
Namun untuk beberapa bulan akhir ini, saya perlu 'isu penutup'. Raja bagi segala isu. Isu yang akan membuatkan saya terlihat lebih kredibiliti, terlihat lebih relevan, dan paling utama, saya akan terlihat lebih 'menteri'.
Namun isu apa? Bertambah sukar, saya sudah tahu lawan saya nanti di pilihanraya, seorang tokoh yang lebih kuat kredibilitinya. Jangankan mahu membangkitkan isu, mahu mempertahankan kawasan pun saya sudah ragu-ragu.
Untuk itu, saya mendapatkan dia, seorang yang saya fikir boleh memberikan saya idea, seorang yang saya berikan kerja sebagai setiausaha.
Setiausaha.
Sebenarnya, saya tidak perlukan setiausaha, tetapi saya perlukan seorang penasihat bagi memberikan saya idea, namun kerana dia itu terlalu muda, barusan keluar universiti, maka kata 'penasihat' itu akan menjadi sesuatu yang menjatuhkan kredibiliti. Bagaimana seorang ahli politik seperti saya mendapatkan nasihat seorang yang sangat muda?
Tetapi mengapa saya memilih dia? Kerana dia lulusan agama, dan lulusan agama pasti tahu secara tepat isu apa yang perlu ditimbulkan, kerana saya sudah nekad sepenuh hati, bagi menjuarai isu agama dan seterusnya, saya mahu gunakan isu itu ke atas lawan saya. Isu yang akan membuat saya terlihat jaguh, membuat nama saya dikagumi dan sekaligus digeruni. Namun isu agama berkenaan apa? Murtad? Ekonomi? Pelajaran?
Saya masih samar. Mujur, suatu hari saya mendapat peluang ini, dan itu membuatkan saya gembira.
Perempuan.
Namanya Amir, dan hari itu saya memanggil dia bagi berbincang berkenaan perkara ini.
“Kenal Dato Ayub?” tanya saya tersenyum.
“Kenal.”
“Saya dapat gambar ini.”
Saya menghulurkan dua keping gambar kepada Amir. Hanya kata astaghfirullah yang saya dengar daripada mulutnya.
“Saya sudah panggil sidang akhbar, dan saya mahu kamu tuliskan satu teks berkenaan hal ini. Masukkan semua hadis, nas, dan apa sahajalah yang berkenaan agama. Kali ini, kita ajar dia cukup-cukup.” Arahan saya jelas, dan Amir mendengarkannya dengan wajah yang masih kesal.
“Tetapi Dato', ini aib orang. Mana kita boleh dedahkan,” kata Amir, dan kata itu menyentak hati saya.
“Kalau dia cuma pekebun, ini memang boleh dipanggil aib. Tetapi dia seorang pemimpin kanan parti politik, dan rakyat perlu tahu peribadi dia. Dia kaki perempuan, dan bagaimana kamu fikir kaki perempuan akan memerintah negara?” soal saya tidak puas hati.
“Dato', memang kita boleh dedahkan aib orang itu sekiranya ia bersangkut-paut dengan masyarakat, tetapi ini cuma gambar dia memeluk perempuan. Kita tidak tahu keaslian gambar ini, dan paling utama selama ini kita mengenali Dato Ayub sebagai seorang yang baik. Kata Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin, 'Orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan. Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.”
“Jadi, pertanyaan saya, adakah Dato pernah dengar Dato Ayub ini membuat maksiat sebelum ini? Kerana Ibn Hajar juga berkata, 'Orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat'. Sekiranya pernah dan sudah berkali-kali ditegur, saya memang setuju dengan tindakan Dato'.”
Saya diam mendengar soalannya. Ya, selama ini saya belum pernah lagi mendengar yang buruk-buruk berkenaan Dato Ayub, tetapi dia tetaplah lawan saya nanti. Sekiranya peluang ini dilepaskan, apa lagi yang saya ada?
“Amir, ini politik. Dan sebagai ahli politik, awak perlu faham kata-kata Adlai Stevenson, 'Ahli politik adalah orang yang mendekati semua perkara dengan mulut yang terbuka'. Walaupun itu adalah kritik, tetapi itulah ahli politik, dan dalam perkara ini, saya perlu menanganinya dengan mulut terbuka, bukan dengan diam-diam menyimpan aib. Sekiranya begitu, baik saya jadi bilal masjid sahaja. Hanya memegang mikrofon untuk melaungkan azan,” hujah saya geram.
“Dato', kita tidak boleh menganggap politik sebagai profesion kerana kita cenderung tergelincir. Politik itu kita perlu jadikan sebagai tanggungjawab. Profesion kita mungkin, ahli perniagaan, doktor, guru atau apa sahaja, tetapi kita memasuki politik atas dasar tanggungjawab kerana kata Loius McHenry Howe, 'Anda tidak boleh menjadikan politik sebagai profesion dan kemudian kekal menjadi jujur'. Sekiranya kita melihat politik itu sebagai tanggungjawab kita kepada negara dan paling utama, agama, pasti kita tidak menikam curi seperti ini,” jelas Amir dan membuatkan saya semakin geram.
Tidak tahu pula saya, daripada mana Amir memperoleh nama manusia barat berserta dengan kata-katanya. Selama ini saya fikir, Amir hanya tahu nama-nama Arab.
“Kamu terlalu idealistik. Apa beza profesion dan tanggungjawab? Tanggungjawab itulah profesion dan profesion itulah tanggungjawab. Walaupun Dato Ayub itu memang sudah terkenal kebaikannya, tetapi awak perlu ingat kata-kata Malcom Muggeride, 'Hanya ikan yang mati sahaja berenang mengikut arus'. Lalu, saya bukan ikan mati! Jadi mengapa saya perlu mengikut arus pandangan ramai terhadap Dato Ayub? Sebaik-baik dia, dia tetap manusia, dan inilah peluang saya, awak dan kita bagi membuktikan bahawa Dato Ayub itu tetap punya kelemahan. Dan ini penting kerana saya mahu jadikan ia bukan sekadar isu pilihanraya, tetapi ia menjadi isu nasional, semua Yang Berhormat di seluruh negara dilarang mempunyai saham dalam perniagaan judi dan kelab malam. Mereka juga dilarang masuk ke kelab malam atas alasan apa sekalipun. Tetapi bagi membangkitkan isu itu, saya perlukan 'picu', dan kes Dato Ayub ini adalah 'picu' terbaik! Dan bayangkan, bagaimana nama saya nanti terpampang di akhbar-akhbar?”
Selepas penerangan panjang itu, saya tersenyum sendiri. Ya, segala-gala terlihat sempurna, dan lebih manis, Amir pula terlihat diam.
Saya kembali menyambung, “Awak pun tahu, saya tidak pernah mengambil rasuah, tidak pernah memberi rasuah, dan perniagaan saya tidak menggunakan nama saya. Awak pun tahu, saya ahli politik yang bersih, tidak ada skandal, tetapi apa gunanya semua reputasi itu sekiranya saya tidak menagih simpati rakyat dan seterusnya meraih undi? Awak perlu ingat, rakyat mengundi kerana kemarahan mereka, bukan kerana penghargaan. Kebanyakan orang tidak mengundi untuk apa-apa, melainkan kerana membantah sesuatu. Dan inilah peluang saya bagi membuat rakyat marah kepada Dato Ayub, dan membuat rakyat membantah Dato Ayub dengan mengundi saya.”
“Saya tahu. Itu kata-kata William Munro,” celah Amir serius.
Saya sekali lagi terdiam. Celakanya, Amir tahu ramai nama orang barat. Seketika, saya terfikir amat bahaya juga berbicara dengan Amir kerana dia tidak seperti yang saya tahu. Dia adalah aisberg dan saya adalah Titanic. Saya tidak boleh terus 'melanggar' dia dengan sebarang kata-kata, tetapi saya perlu bijak 'mengemudi' kata-kata saya.
“Dato', memang Dato' akan menang, tetapi kemenangan itu perlu berkat. Sekiranya Dato' gunakan taktik ini, adakah Dato' kira kemenangan Dato' nanti akan berkat? Bagaimana Dato' mahu mentadbir kawasan Parlimen ini tanpa 'sokongan' berkat Allah? Berkat itu tidak terlihat dengan duit yang banyak dan dengan undi yang banyak, tetapi berkat itu akan terlihat pada kemakmuran rakyat di bawah pimpinan kita. Mungkin mereka tidak berpelajaran tinggi, tetapi mereka bahagia. Mungkin hidup mereka susah miskin, tetapi mereka bahagia, Tanpa berkat, mungkin rakyat kita kaya-raya, berpelajaran tinggi, tetapi mereka tidak bahagia. Jadi, sebagai pejuang Dato' pilih yang mana? Kepentingan diri sendiri ataupun kepentingan rakyat?”
Penjelasan Amir berkenaan berkat itu sekali lagi membuat saya geram. Ternyata, Amir ini memang terlihat hebat ilmunya, tetapi pengetahuannya berkenaan politik itu sangat sedikit. Bagaimana dia boleh bangkitkan isu berkat dalam perkara ini? Dan saya perlu memberikan dia hujah yang lebih kuat.
“Amir, orang Melayu kita ini lain. Mereka percaya kepada berkat, tetapi berkat air jampi, berkat doa tok guru, dan selain daripada berkat itu mereka tidak percaya. Jadi bagaimana mereka mahu mendapat berkat sekiranya tidak percaya? Orang kita lebih percaya kepada kata-kata, percaya kepada janji. Jadi bagaimana sekiranya Dato Ayub yang punyai reputasi menggunung itu berjanji kepada mereka? Sedangkan hakikatnya, awak tahu Dato Ayub itu bukan orang baik? Pasti mereka termakan janji dan adakah awak fikir pemerintahan Dato Ayub juga akan membawa berkat? Itulah yang saya khuatirkan. Itulah sifat bangsa kita, dan adalah mustahil mengubahnya melainkan kita ambil peluang ke atas perkara itu, dan inilah peluangnya sekarang.”
Habis sahaja saya berkata, Amir terus tersenyum lalu menyambung, “Saya fikir, bukan orang Melayu sahaja yang mudah termakan janji, tetapi bak kata Nikita Khushchev, 'Ahli-ahli politik umumnya sama sahaja. Mereka berjanji untuk membina jambatan, walaupun di tempat yang tiada sungai.' Jadi semua bangsa di dunia ini sebenarnya mudah termakan janji ahli-ahli politik mereka.”
“Tetapi ini lain Amir. Orang Melayu kita perlu cara yang begini bagi meraih undi mereka. Mereka suka sensasi dan benci kerana mereka mengundi berdasarkan kebencian, dan inilah peluang kita.”
Hanya itu hujah yang mampu saya berikan. Hujah yang saya ulang-ulang. Sebenarnya sekiranya saya tidak berada dalam keadaan marah kepada Amir, pasti hujah saya lebih mantap, sayangnya waktu itu, marah saya kepada budak lepasan universiti itu seperti tidak mampu ditahan-tahan.
Dan bertambah sakit apabila Amir berkata, “Dato, pernah Dato' bertanya mengapa kita orang Melayu ini tidak beragama Kristian? Mengapa kita beragama Islam? Ini kerana, sudah menjadi sifat bangsa kita sangat mudah bertoleransi dengan segala yang lembut dan lunak. Jadi, pendakwah Islam yang datang ke sini dahulu adalah mereka yang lembut dan penuh hikmah bicaranya, dan orang Melayu mudah menerimanya. Berbanding dengan orang Portugis, Belanda, Inggeris yang sangat keras dan memeras. Bayangkan sahaja sekiranya orang Portugis itu lembut dan penuh hikmah, agak-agak Dato, apa agama kita sekarang? Begitu jugalah politik, kita perlu mendatangi orang Melayu dengan hikmah, bukan dengan kemarahan dan kebencian kerana lambat laun perkara itu akan berbalik kepada kita.
Selepas hujah dia itu, saya hanya ingat satu perkara, saya memecat dia kerana bagaimana mungkin saya mampu bekerja dengan orang seperti itu, dan akhirnya, gambar Dato Ayub terdedah juga di akhbar-akhbar, dan lebih utama, saya mengekalkan kerusi Parlimen saya untuk penggal kedua, dan paling manis antara itu, saya sudah menjadi menteri yang berjaya mengusulkan undang-undang, semua Yang Berhormat dilarang mempunyai saham di syarikat kelab malam, judi dan arak. Malah mereka juga tidak dibenarkan masuk ke kelab-kelab malam. Semuanya tanpa lelaki yang bernama Amir.
7 comments:
full meaning
berat pengisiannya.
penuh pengajarannya.
kalaulah pemimpin kita faham.
hei2.. hot topic for coming election..
Matlamat menghalalkan cara :)
Sy tak faham siapa yang benar sebenarnya???
akhirnya lapangan politik menjadi tempat membaling najis. what a story.
harap diperjelas maksudnye...kelihatan yg buruk itu lebih berjaya berbanding yg baik...kurang mengerti..
Post a Comment