Tuesday, April 17, 2012

Selagi ibu masih di sisi - sebuah cerpen

Hari itu, perasaan saya seperti orang yang ditimpa batu yang berduri. Semuanya berpunca hanya daripada sekeping surat. Sekeping surat yang masih ada di tangan saya. Sekiranya sahaja saya tahu perkara itu, pasti saya tidak mahu terbabit langsung, walaupun cuma sehujung kuku.

Hadiah.

Hari itu, adalah seperti hari-hari biasa saya. Saya duduk di kedai makan, sambil menghirup kopi susu, sambil itu juga saya menyelak akhbar. Dan seperti biasa juga, pasti ada rakan kuliah yang menyertai saya, dan pada hari itu, pasti sudah takdir Tuhan, rakan saya yang seorang ini menyertai saya.

Dengan dia, saya cuma kenal nama. Namanya Jamal. Bin apa saya tidak tahu, lalu apatah lagi hal-hal lain, selain saya tahu dia adalah rakan kuliah saya yang sering duduk satu barisan dengan saya, tetapi tidak pernah duduk sebelah-menyebelah.

Biasanya, kami tidak berbual secara langsung dan perlu orang ketiga barulah kami berbual, dan takdir Tuhan, hari itu tidak ada orang ketiga, dan perbualan saya dan dia terus mengalir. Ternyata, dia seorang yang tahu apa yang mahu dibualkan. Cuma tidaklah hal berat-berat selain hal pelajaran dan hal minat masing-masing.

“Jamal, kamu kata, kamu minat menulis. Cuba kamu masuk peraduan ini,” kata saya lalu menghulurkan akhbar kepada dia.

Dia membaca sepintas lalu sebelum menyerahkan kembali kepada saya.

Dia tersenyum.

“Aku tidak minat masuk peraduan.”

“Bukannya kamu perlu bayar, malah sekiranya kamu menang, kamu pula yang dibayar. Kamukan mengaku penulis.” Saya masih memujuk.

Dia tersenyum lagi.

“Penulis itu ada berjenis-jenis. Aku pun termasuk yang berjenis-jenis itu. Aku jenis penulis yang, malas mahu menghantar karya ke media. Sangat malas dan aku tidak tahu mengapa. Termasuklah pertandingan. Cuma aku sangat rajin menulis. Lagipula, untuk apa menghantar ke media dan masuk peraduan, sekiranya falsafah penulisan aku berbeza dengan editor majalah ataupun juri pertandingan? Bukankah ia sia-sia?”

Sempat juga dua hirup kopi masuk ke perut saya, sebelum saya ada idea bagi membalas hujahnya itu.

“Tetapi, ini pertandingan yang sangat mudah, hanya tulis sepucuk surat kepada ibu. Takkan falsafah penulisan kita berkenaan ibu itu berbeza?” soal saya, dan dia lagi lagi hanya tersenyum. Cuma kali ini dia tidak lagi memberi hujah.

Lalu saya terus berusaha.

“Begini sahajalah, kamu tulis dan aku hantar. Kamu jangan risau. Semuanya percuma.”

Saya tidak tahu mengapa, atas sebab apa dia akhirnya setuju. Adakah kerana dia mahu menjaga hati saya yang sangat bersungguh-sungguh, ataupun kerana tertarik dengan tawaran, yang dia tidak perlu menghantar sendiri. Akhirnya, tulisan dia siap dan saya pun terus menghantarnya ke peraduan itu tanpa membuka lipatannya, dan tanpa membacanya. Yang pasti, saya tahu ia sudah takdir Tuhan.

Surat.

Sebenarnya saya sudah lupa akan perkara itu, sehinggalah pada suatu hari Jamal datang berjumpa saya dengan wajah yang tidak tersenyum.

“Saya menang peraduan itu,” kata Jamal perlahan, dan saya terus melompat-lompat gembira. Bertubi-tubi ucapan tahniah saya berikan kepada dia sebelum dia berkata, “Jujur dengan aku, kamu pernah baca tulisan aku ataupun tidak?”

Saya tergamam. Soalan itu membuatkan saya tidak mampu menjawab lain selain tersengih dan berkata, “Maaf, Jamal. Aku memang belum baca.”

“Jadi, kamu bacalah.”

Sambil tersenyum lemah dia menghulurkan tulisan yang sudah memenangkan dia itu.


Untuk ibu,

Untuk surat ini, saya cuma mahu menuliskan rasa rindu saya kepada ibu, saya cuma mahu mencuba menzahirkan kasih saya kepada ibu, dan saya cuma mahu menumpahkan kekesalan saya kerana surat ini tidak akan saya hantarkan kepada ibu.

Ibu, saya rindu kepada diamnya diri ibu. Ibu tidak banyak bicara tetapi ibu tekun memerhati. Saya tahu, semasa saya turun dari tangga, ibu sudah berdiri di muka pintu memerhati saya, dan pada ketika bayang saya sudah hilang, ibu masih tetap berdiri di situ seperti saya masih ada pada mata ibu.

Saya juga tahu, pada waktu saya sudah lena, ibu diam-diam masuk ke bilik dan memerhati wajah saya. Saya tahu, pada setiap ketika, pada ketika saya sedang memanjat rambutan di hadapan rumah, pada ketika saya bermain bola di halaman rumah, dan malah pada ketika saya sudah duduk jauh dari ibu, ibu masih tekun memerhatikan foto saya, ibu masih setia memerhatikan baju-baju saya, ibu masih tekun memerhatikan tempat tidur saya, dan saya tahu ibu masih tidak jemu memerhatikan bayang-bayang saya di muka pintu.

Maafkan saya ibu, kerana selama ini saya hanya berkata, “Ibu jangalah tengok saya tidur, malu saya.” Maafkan saya ibu kerana saya berkata, “Ibu asyik tengok saya main bola, malu saya dengan kawan.” Maafkan saya ibu, maafkan saya.

Maafkan saya ibu kerana selama ini saya tidak pernah memerhatikan ibu di muka pintu, saya tidak pernah memerhatikan ibu yang mencari rezeki untuk saya, saya tidak pernah memerhatikan ibu yang sedang tidur, saya tidak pernah memerhatikan ibu semasa ibu sedang berdoa untuk saya. Saya langsung tidak pernah mahu memerhatikan ibu. Saya cuma melihat tetapi tidak pernah memerhati dengan hati.

Maafkan saya ibu, kerana saya cuma memerhatikan ibu semasa sudah dikafankan. Maafkan saya ibu kerana hanya memerhatikan ibu semasa diturunkan ke liang lahad. Maafkan saya ibu.

Ibu, saya rindu kepada ibu. Sekarang, tidak ada lagi insan yang memerhatikan saya di muka pintu, tidak ada lagi insan yang memertikan tidur saya, tidak ada lagi insan yang memerhatikan saya dalam doa dan hatinya seperti yang ibu lakukan.

Ya, Allah ampunilah dosa ibu aku, ya Allah. Tempatkanlah dia bersama dengan orang yang beriman. Ampunkan saya, ibu. Ampunkan saya.

Yang tidak sempat memerhatikanmu,
Anakmu.



Usai membaca surat itu, saya tersentak. Sepertinya ada sesuatu di balik mata saya yang mahu keluar. Saya tahan dan cuba tahan.

Namun itu bukanlah akhirnya kerana Jamal menghulurkan saya satu sampul surat.

“Ambillah hadiah kemenangan ini. Untuk awak.”

Segera saya tolak. Itu bukan hak saya dan atas alasan apapun saya tidak berhak untuk hadiah itu, sehinggalah Jamal sekali lagi berkata.

“Hadiah peraduan ini, adalah melancong bersama dengan ibu. Aku sudah tidak punyai ibu. Kamu pula masih ada ibu yang memerhatikan kamu setiap hari. Jadi, anggaplah hadiah saya ini adalah hadiah untuk ibu yang tidak sempat saya bahagiakan. Jagalah ibu kamu baik-baik. Janganlah hanya melihat , tetapi cuba perhatikan ibu kamu, kerana pada kata melihat itu hanya ada 'lihat', tetapi pada kata perhati itu ada 'hati'. Perhatikanlah ibu kamu dengan hati kamu selagi dia masih ada di sisi. Jangan seperti saya, yang hanya mampu memandang dan memerhati nisannya.”

Mendengarkan sahaja duduk hal sebenar, rasa bersalah terus sahaja menyerang hati saya. Sekiranya saya tahu Jamal sudah tidak ada ibu, pasti saya tidak begini. Tetapi saya tahu seperkara, pasti ini atas takdir Tuhan juga. Dan apa yang ada di balik mata saya itu pun keluar juga.

7 comments:

rehanmuhd said...

bagus cerpennya..
teruskan berkarya

bawahbumi said...

:'(

terima kasih,terima kasih.buat cerpen banyak banyak lagi,saya suka :)

paling suka yang ini;
"cuba perhatikan ibu kamu, kerana pada kata melihat itu hanya ada 'lihat', tetapi pada kata perhati itu ada 'hati' "

amalina nemo said...

memang ada pertandingan menulis surat untuk ibu pun.. anjuran harian metro kalau tak silap.

Anonymous said...

sentiasa 'menyentuh' hati sy

Fadzil Abd Aziz said...

Teringat pada ibu tersayang yang telah lama pergi.. Semoga ibu bahagia disisiNya.

...miSS fAi... said...

saya baru kehilangan ayah, betul, saya hanya melihatnya sahaja, tapi kini saya cuma mampu memerhati batu nisan ayah saya. dan saya takkan mengulang kesilapan untuk ibu saya. dan TAKDIR membca cerpen ini juga adalah untuk saya memerhatikan sejauh mana saya memerhati ibu saya. terima kasih atas cerpen yg begitu indah ini.

jiha ismail said...

this one is really2 nice.