Sunday, October 02, 2011

Pada ketika penulis menemui sedih, marah dan kecewa.



"Saya lebih suka dikritik daripada kehadiran saya tidak disedari. Sesungguhnya perkara paling buruk yang boleh anda lakukan kepada seseorang pengarang adalah jangan bercakap apa-apa tentang karyanya." Samuel Johnson (Petikan daripada Life of Johnson oleh James Boswell, 26 Mac 1779)

Itulah status yang saya tulis pada facebook, dan pada ketika itu juga melalui maklum balas, saya mengerti sesuatu berkenaan pembaca. Mereka mahu, apabila mereka mengkritik, penulis itu tidak marah dan kecewa malah berlapang dada dengan kritikan mereka.

Sempat juga saya terhairan, bagaimana pembaca melihat diri seorang penulis. Tidak salah mahu mereka itu, tetapi harapan itu terlalu tinggi, sepertinya meletakkan penulis itu seperti dewa, yang tidak tahu bagaimana mahu beremosi.

Namun tidak adil juga sekiranya penulis sekadar menggunakan kata-kata Samuel Tylor Coleridge, "Pengkritik biasanya adalah orang yang sepatutnya menjadi penyair, ahli sejarah dan penulis biografi, sekiranya mereka mampu; mereka pernah mencuba bakat mereka dan mereka gagal; kerana itu mereka menjadi pengkritik."

Bagi memahaminnya, saya tahu saya perlu mencari 'sesuatu' yang patut, dan pada ketika mencari apa yang patut itulah, baru saya tersedar sesuatu pada perkataan 'berlapang dada' dan 'sabar'. Itulah perkataan yang disalahfahamkan sejak sekian lama. Berlapang dada itu tidak terjadi sekiranya kamu tidak marah, tidak kecewa dan tidak sedih. 'Berlapang dada' dan 'sabar' adalah proses selepas rasa marah, sedih dan kecewa itu datang.

Tidak ada istilah 'berlapang dada' dan 'sabar' sekiranya kamu tidak merasai kecewa, tidak merasai sedih dan marah. Yang ada, adalah manusia yang tidak ada perasaan.

Itu saya yakin kerana, bagaimana kita mahu memahami hadis ini? Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.”

Adakah maksud hadis itu, difahami sebagai tidak boleh marah?

Begitu jugalah dengan hadis ini, riwayat Iman Ahmad. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.”

Apa yang jelas, cara mengawal marah itu yang ditekankan, kerana marah, kecewa dan sedih itu sendiri datang tanpa kita bersedia.

Marah yang salah.

Tidak dinafikan, ada juga perkara yang tidak sepatutnya dizahirkan dengan perasaan marah. Misalnya, tersalah fakta dalam penulisan dan ia dikritik, adakah rasa marah yang patut datang ataupun rasa kesal? Sekiranya marah kepada diri sendiri, ia boleh diterima namun sekiranya marah kepada pengkritik ia adalah tanda ada sesuatu yang tidak beres dalam diri.

Cuma sahaja, dalam novel khususnya, segala macam perkara di dalamnya selain fakta, adalah bersifat subjektif. Jadi, sesuatu yang subjektif, tidak ada ufuk salah benar cara penulisannya, selain ufuk dosa pahala. Seperti kata Joseph Chilton Pearce, “Untuk melalui kehidupan kreatif, kita mesti lontarkan rasa takut bagi melalukan kesilapan."

Jadi, apa yang saya mahu tuliskan berkenaan penulis ini adalah kritik pada hal yang bersifat subjektif itu kerana kita semua sudah sepakat, sekiranya kamu tersalah fakta, akui sahaja, usah emosi. Beginilah, penulis juga manusia, dan sangat normal itu mereka berasa begitu. Lalu, untuk itu saya juga ada kisah berkenaannya, yang saya mahu ceritakan.

Cita-cita

Bercita-cita besar tidak pernah ada salahnya asalkan cita-cita itu benar. Ketika bercita-cita mahu menjadi penulis saya yakin berada di jalan yang benar. Benar pada kecenderungan bakat dan minat. Lalu pada perkataan yang benar itulah yang membuat hati saya ragu-ragu.

Ragu-ragu saya banyak, namun antara yang besar adalah pada sikap penulis yang satu ini. Untuk menjadi penulis, apakah sikap yang benar terutamanya pada ketika, karya kita dikritik? Berdenting-denting juga soalan itu pada fikiran, pada mula mahu bercita-cita dahulu.

Saya sudah diberi maklum dan sudah memahami, pasti karya setiap penulis akan dikritik. Karya yang tidak pernah dikritik, adalah karya yang mungkin tidak pernah dibaca. Itu yang saya tanam kemas dalam hati, dan sentiasa bersedia, kerana sikap penulis yang benar, adalah penulis yang bersedia dengan kritikan,dan pada waktunya tiba, pada ketika karya saya dikritik, saya kembali ragu-ragu.

Saya ragu-ragu, apakah sikap yang seharusnya diambil oleh penulis yang benar? Saya pernah yakin, penulis yang benar tidak akan marah dan kecewa, malah tersenyum membaca kritikan itu dan itu jugalah yang merisaukan saya.

Pada ketika menerima kritik, walau puas saya mencuba berlapang dada, segala puji-pujian kepada Tuhan dan selawat kepada nabi sudah saya ucapkan, namun tetap juga hati berasa tidak selesa dan sakit. Walaupun tidak menjawab kritik secara terbuka, tetap juga saya menjawabnya dalam hati ataupun meluahkan kepada teman-teman.

Waktu itulah, saya berasa jauh dari watak seorang penulis yang sepatutnya. Entah apalah akan jadinya saya nanti, sekiranya terus dengan sikap sebegitu. Benarlah saya mengambil iktibar dan pengajaran daripada kritikan itu, tetapi hati ini yang masih pedih tidak tahu saya mahu apakan lagi. Ia sepertinya paradoks pada ketika saya mengucapkan terima kasih kepada sang pengkritik.

Sehinggalah, pada perjalanan hidup saya ini, saya berpeluang menemui beberapa orang penulis besar, yang akhirnya berkisah tentang diri mereka. Kisah-kisah itu membuat saya menjadi lega, dan saya mula mengerti sesuatu berkenaan manusia yang bergelar penulis.

Tidak seorang pun antara penulis besar yang saya temui itu, tidak pernah tidak terasa hati pada pengkritik. Setiap mereka, pada ketika mula-mula dikritik, berasa sedih dan sepertinya hidup sudah tidak ada esoknya. Malah, setiap mereka mengingati dengan jelas siapa pengkritik mereka, bila mereka dikritik dan yang lebih luar biasa, ada yang masih ingat setiap patah kata pengkritik. Setiap satunya, patah demi patah walaupun sudah puluhan tahun.

Itulah yang saya fahami dan itulah melegakan saya. Adalah perkara biasa, penulis itu kecewa dan bersedih, dan marah pada ketika dikritik, kerana mereka juga adalah manusia. Tidak ada apa-apa kuasa pada kata 'penulis' itu yang menjadikan manusia kebal hatinya daripada kecewa, sedih dan marah. Mereka tetap manusia biasa, dan adalah sangat wajar hati tersentuh pada ketika apa yang dibuat dengan sepenuh hati menerima kritik.

Lalu kembali saya ragu-ragu, adakah seelok penulis tidak dikritik? Itulah soalan yang saya peroleh jawapannya daripada penulis-penulis besar yang saya temui. Jawapannya bukan dengan kata-kata, tetapi pada apa yang saya lihat pada sejarah mereka.

Penulis benarlah bukan manusia yang tidak boleh dikritik, bukan juga manusia tidak berasa apa-apa apabila dikritik dan itulah sebenarnya penulis, penulis adalah manusia biasa yang mampu bangkit. Diakui, mereka pernah kecewa, pernah berduka, pernah berasa langit gelap dan matahari sudah tidak akan muncul, tetapi atas semua itu, mereka kembali bangkit, bangkit bukan menjadi manusia gagal, manusia yang patah hati dibawa ke sana sini, tetapi bangkit kembali menjadi manusia yang sederhana iaitu penulis. Terus menulis dan menulis sebagai manusia biasa, bagi menyampaikan cerita-cerita dunia kepada manusia lainnya, kerana mereka adalah manusia yang punya hati dan punya mahu yang kuat bagi berkongsi apa sahaja yang mereka percaya.

Persoalannya bagaimana mereka itu bangkit? Mereka bangkit dengan menguasai rasa marah dan kecewa mereka. Mereka tahu, mereka tidak boleh menentukan rasa apa yang harus dalam dalam hati, tetapi mereka tahu, bagaimana mahu melayan rasa yang datang itu.

Di sinilah rahsianya, mereka berlapang dada, pada ketika terbit rasa kecewa ataupun marah dalam hati. Mereka tidak berlama-lama pada perasaan itu, kerana itulah yang menjatuhkan motivasi. Cara mereka berlapang dada itu juga pelbagai dan paling utama, keupayaan mereka terus mengingat Tuhan melalui zikir dan seumpamanya yang menjadi mereka mudah 'berlapang dada'.

Atas kerana itu juga rasa kecewa, sedih dan marah datangnya seperti rahmat untuk mereka. Mereka menggunakan rasa marah dan kecewa itu sebagai batu loncatan, kepada tahap yang lebih atas. Bayangkan sahaja, sekiranya tidak ada rasa kecewa dan marah pada diri penulis? Apakah sandaran mereka untuk terus ke atas. Marah dan kecewa itu bukanlah sahaja terhad pada ketika dikritik, tetapi juga pada ketika melihat masalah umat, negara dan agama yang semakin berserabut. Rasa kecewa dan marah yang ditangani dengan berlapang dada itulah, melahirkan rasa tanggungjawab, bagi terus menulis dengan lebih baik.

Benarlah kata Andy Rooney, “Saya tidak boleh memilih apa yang saya rasa, tetapi saya boleh memilih apa yang saya akan buat terhadapnya.”

Itulah yang jelas pada sejarah penulis-penulis besar yang saya temui, dan itu jugalah menjadikan mereka penulis besar, dan saya pula saya semakin ragu-ragu dengan sikap saya. Adakah saya sudah siap untuk menjadi seperti itu? Itulah, satu antara beberapa perkara besar yang saya ragu-ragu berkenaan 'penulis', dan lain kali sahaja saya menceritakan hal-hal yang lain itu.

Yang sebaiknya

Menjadi penulis itu, adalah mereka yang memberikan emosi pada penulisan, sehingga manusia yang membacanya, disentuh emosi, sebelum akal mereka berkata-kata. Lalu tidak mungkin penulis mampu begitu sekiranya mereka tidak tahu rasanya marah, sedih ataupun kecewa. Bak kata Seneca, “Adalah bodoh kalau tidak boleh marah, tetapi adalah bijak kalau tidak melakukannya.”

Jadi, usah khuatir pada kata marah, sedih dan kecewa itu, tetapi khuatirlah pada cara kita menanganinya.


6 comments:

Kak WL said...

Suka entri ini!

Kak WL said...

Menulis blog juga begitu. Memang kecewa jika komentar semakin berkurangan. Malah, ada satu entri saya pernah diklik 'menyampah'

Marah,sedih dan kecewa. Namun kekecewaan itu terubat sebaik sahaja entri blog itu diperbaiki dijadikan dipanjangkan sedikit menjadi cerpen dan tersiar.

:)

al-jambz said...

selaku penulis baru, ya saya akui saya tidaklah mempunyai mutu penulisan yang baik. jadi mungkin penulisan saya itu tidak dibaca dan tidak dikritik justeru saya langsung tidak ada batu loncatan untuk memperbaiki penulisan saya itu.

jadi, apa kah saranan abang dingin untuk penulis-penulis baru seperti saya ini untuk bisa duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan penulis-penulis besar di luar sana pada suatu hari kelak?

Anonymous said...

Teruskan menulis. Jangan fikirkan sangat duduk tinggi rendah itu. Kita buat kerja kita, insya-Allah hati lebih senang daripada fikirkan kerja orang (orang yang 'menentukan' tinggi rendah kita dengan penulis lain)

-dingin-

al-jambz said...

abang dingin memang ambil aliran science sosial ke waktu sekolah dulu (sastera) ataupun aliran lain (science stream or apa-apa sahaja)?

dan apa antara sebab2 penulisan abang dingin boleh jadi begitu mantap?

jika boleh dikongsikan, apa lah kiranya.

Anonymous said...

Ya, sekolah memang ambil sastera. Di U, ambil ekonomi. Banyakkan membacalah, kawan. Insya-Allah apa yang dibaca itu, lekat dijari.

-dingin-