Saya pegang betul pesan sahabat saya ini, apa yang saya suapkan kepada anak saya, bukanlah daripada duit saya melainkan itu adalah rezekinya. Tidak sesekali wajar saya mengatakan saya membelikan anak saya itu ini, melainkan itu memang sudah rezekinya, dan saya hanyalah perantara. Boleh sahaja perantara itu bukan melalui saya, namun saya bersyukur Tuhan masih memilih saya menjadi perantara rezeki untuk anak saya sendiri.
Berfikir lebih jauh berkenaan rezeki, pada setiap ringgit yang diperoleh, ada soalan yang lebih besar menunggu saya di sana. Soalan atas sebab apa Tuhan memberikan rezeki sekian-sekian. Benar, saya mengaku rezeki itu adalah ujian, melihat apakah kita terus ingat kepada Tuhan ataupun terus lupa, dan di situlah rahsianya.
Ingat.
Waktu paling mudah lalai pada ujian Tuhan adalah pada saat rezeki itu datang. Lupa itu bukan lupa mengucapkan syukur, tetapi lupa pada persoalan ujian, benarkah itu rezeki untuk saya ataupun saya cumalah perantara?
Untuk anak saya, ibu ayah dan isteri, insya-Allah rezekinya sudah saya sampaikan. Untuk zakat fitrah dan pendapatan, insya-Allah juga sudah ditunaikan, namun mengapa tetap ada soalan yang tergantung di hujung hati? Soalan yang sama, dan semasa di kampunglah saya mengerti jawapannya.
Kecil.
Semasa hari raya, berkunjung ataupun diziarahi lelaki-lelaki yang gagah dan diberi senyuman oleh perempuan-perempuan yang ceria semasa saya masih kecil, adalah perkara biasa. Mereka itulah yang walaupun tidak saya tahu namanya pada ketika itu, tetapi saya kenal sebagai orang kampung saya, sering membahagiakan saya.
Yang lelaki memuji lincahnya saya, dan yang perempuan pula tersenyum melihat senyuman saya yang tidak bergigi. Saya bahagia hanya dengan perkara itu. Itulah bahagia menjadi anak kecil, bahagianya diperoleh daripada keikhlasan kerana manusia sangat mudah ikhlas kepada anak-anak kecil.
Pada ketika saya sudah dewasa pula, semasa saya pula yang datang berziarah ke rumah yang membahagiakan saya semasa kecil, tidak nampak lagi lelaki yang gagah, dan tidak terlihat lagi perempuan yang ceria. Yang tersisa, lelaki yang sudah renta dan perempuan yang sudah tua, yang tinggalnya di rumah kayu yang usangnya tidak boleh kamu ketemukan di kota.
Waktu sudah membawa pergi bahagia mereka, dan pertanyaan saya akhirnya berbuah juga. Tidak akan sama rasanya melihat derita manusia yang kamu baru kenal, berbanding dengan derita manusia yang sudah kamu kenali sedari dini.
Runtuh segala apa yang kamu simpan di balik mata. Semakin jauh mereka daripada makna bahagia tanpa adanya anak-anak, tanpa adanya isteri, tanpa adanya pendapatan tetap, semakin dekat saya pada kesimpulan, ringgit yang saya peroleh adalah rezeki mereka, dan saya diberi peluang bagi menjadi 'perantara'. Itulah ujian Tuhan dan itulah jawapan yang saya peroleh pada jawapan yang bergantung di hujung hati.
Akur saya, tidak banyak yang mampu saya beri, dan semakin pedih pula rasa hati kerana sangat mengerti, saya hanya mampu memberi setahun sekali, lalu bayang wajah-wajah mereka inilah yang saya bawa ke kota dengan azam kepada diri sendiri, tidak banyak yang mampu saya bantu, tetapi tetap usahakan bagi membantu.
Kota.
Di sinilah, cabarannya pada ringgit yang diperoleh. Sekuat manapun bayangan wajah pedih yang saya bawa itu, pasti dikikis juga oleh nafsu dunia yang mahu itu dan mahu ini. Merasakan diri lebih perlu pada perkara-perkara itu dan mula lupa pada rasa yang saya peroleh di kampung. Lupa saya kepada azam saya, dan ringgit yang saya peroleh akan mengalir juga kepada orang Amerika melalui filem-filemnya yang saya tonton, mengalir kepada negara Jepun, Korea dan China. Lupa saya, sekiranya sahaja saya berjimat untuk itu, pasti lebih banyak yang mampu saya membantu.
Itulah saya pada ketika ini, akur dan faham, saya adalah manusia yang tidak berjaya merebut peluang memperoleh rahmat menjadi 'perantara'. Selain kerana rezeki diri sendiri yang tidak seberapa, dihimpit pula oleh nafsu dunia yang tidak pernah habis.
Semoga, saya kuat untuk perkara ini.
4 comments:
Berfikir sejenak..
Astaghfirullah.
Terduduk aku sekejap. Terima kasih kawan kerana saling ingat-memperingati. Segan aku pada kau bertambah pula.
peh...terasa diri ini melepaskan byk peluang memperoleh rahmat...
peh. terbaik ni dingin.
Post a Comment