Wednesday, October 19, 2011

Bagaimana menurutmu? - sebuah cerpen.

Pernah mungkin, kamu berada pada situasi saya ini. Pada situasi kamu perlu berlari pada jalan yang penuh tanda tanya, hanya untuk mencari titik akhir yang bernama jawapan, namun kamu tidak pernah ketemu.

Lama juga saya berlari pada jalan itu, sehingga saya lelah, haus, dan hanya peluh kecewa yang saya peroleh. Itulah jalan yang saya lalui dan sekarang masih tetap saya lalui. Tahu saya jawapannya ada di situ, namun lemahnya saya sebagai manusia, jawapan itu yang terkadang sudah terlihat dekat, tiba-tiba samar dan terus hilang daripada mata.

Inilah jalan yang saya mahu cerita.

Senang.

Dari kecillah saya diberitahu oleh ibu, oleh ayah dan oleh saudara mara tua saya, berbuat baik sesama makhluk, taat kepada perintah Allah dan tidak melanggar larangan-Nya, adalah jalan ke arah kebahagiaan.

Rezeki akan murah, hidup menjadi senang. Belajar cepat pandai, dan berdoa juga mudah makbul. Ingat benar saya pesan-pesan itu. Pesan-pesan yang membawa saya, cuba menjadi manusia baik. Pesan yang yang mulia, pesan yang membuatkan saya berlari di jalan itu, sehingga saya terlupa kepada satu perkara.

Lelaki.

Umur saya sudah 50, dan uban sudah tidak malu-malu singgah ke kepala. Berpestalah uban, dan semakin lama, semakin hilang gagahnya warna hitam daripada saya. Uban itulah tanda, kuatnya kerja saya, uban itulah juga saksi, betapa gagahnya saya berfikir berkenaan hidup, dan pada hari itu pun tetap sama.

Waktu itu pagi sudah sedang elok untuk solat sunat dhuha. Tetapi saya lain pula ceritanya, hanya duduk bersandar pada dinding surau dengan mata yang pejam. Menyesal juga hati, terawal datang ke pejabat, dan akhirnya mata pula yang alah pada kata 'nikmat tidur'.

Pada ketika saya membuka mata, terlihat di hadapan saya, seorang lelaki seusia saya, yang juga teman baik saya, yang sudah usai solat sunat dhuha. Tersenyum dia memandang saya dengan tangan yang sedang menadah doa. Pastinya, doa itulah doa yang muluk-muluk. Doa-doa yang saya sendiri pernah ucapkan kepada Tuhan.

“Sudah solat?” soal lelaki itu selepas tapak tangannya menyeluruhi wajahnya yang bening. Teman baik saya ini, memang kerjanya, mengajak ke arah kebaikan dan saya sudah biasa. Malah sebenarnya saya sangat bersyukur kerana bertemankan dia.

Saya menggeleng, tersenyum dan berceritalah lelaki itu berkenaan hebatnya yang dinamakan solat sunat dhuha. Saya mendengarkan sahaja, kerana walaupun saya sudah tahu, namun gaya dia bercerita, bukan mahu memberitahu yang dia tahu, tetapi mahu memberitahu, yang dia peduli dan sayang kepada saya, sebagai seorang saudara seagama. Perasaan itu jarang benar saya peroleh dan pagi itu saya peroleh lagi.

“Sempat lagi kalau mahu solat,” kata lelaki itu tersenyum lagi.

Tidak tahu saya bagaimana mahu menjawab kata-kata lelaki itu, sehinggalah datang luahan daripada hati, yang kemudiannya menjadi fikir dalam kepala, dan saya luahkannya dengan penuh hati-hati menjadi bicara.

“Senang dunia, sepertinya tidak mahu lekat kepada saya. Lalu sekarang, ibadah saya bukan lagi mahu kesenangan dunia, tetapi mahu berkat dan rahmat-Nya.” Hati-hati betul saya bicara, agar saya tidak terlihat orang yang tidak bersyukur, agar saya tidak terkesan sebagai orang yang putus asa.

Namun lain pulalah jadi. Wajah lelaki yang bening itu, tiba-tiba sahaja menjadi teduh yang luar biasa. Tahulah saya, ada sesuatu yang dia mahu perkatakan dengan sesungguh hati dan saya pun menanti.

Jalan.

“Maafkan saya, sekiranya saya terlihat cuba menilai kamu, tetapi saya mahu bertanya, sebelum ini kamu berbuat baik, berdoa dan segala macam ibadah adakah kerana mahu memperoleh senangnya dunia dan seterusnya mendapat redha Ilahi?” soal lelaki itu, sopan dan baik.

“Jujurnya, ya. Namun saya sedar, ada manusia yang doanya ditangguhkan sehingga ke syurga, dan mungkin sayalah orangnya. Asalkan saya beroleh redha Ilahi, itu sudah cukup,” jawab saya, yang masih juga hati-hati.

Diam sebentar lelaki itu. Diam yang sedang menyusun kata-kata terbaik, bagi dihulurkan dengan sopan kepada saya, dan saya terus menanti.

Berkatalah lelaki itu, “Begini temanku. Untuk umur kita ini, ada sesuatu yang tidak kena pada kata-kata kamu. Namun sebelum saya memberitahu, biarlah saya bercerita daripada mula.”

Degup jantung saya, bergetar laju. Apalah lagi bicara yang lelaki itu simpankan untuk saya.

“Semasa kita kecil, semasa kita remaja, pesan-pesan supaya kita berbuat baik, patuh suruhan dan taat larangan Allah supaya memperoleh kesenangan dalam urusan dunia adalah wajar, bagi memperelok iman dan membuatkan kita semakin mahu kepada Tuhan, dan memang itulah yang banyak berlaku kepada kita. Namun, pada peringkat umur kita, pesan-pesan itu, perlu ditingkatkan lagi kepada yang lebih tinggi.”

Saya mengerut dahi, dan kefahaman saya berhenti di situ. Saya melihat lelaki itu, dia tersenyum dan dia bersedia bagi menyambung.

“Begini, oleh kerana daripada kecil kita sudah terbiasa dengan pesan-pesan itu, apabila kita sudah dewasa, tanpa kita sedar pesan-pesan itulah yang membalut hati kita. Tidak salah dengan perkara itu, yang menjadi soalnya adalah diri kita, kita terlupa berkenaan proses, jalan-jalan yang ditempuhi oleh para nabi dan rasul. Merekalah itu manusia-manusia yang paling dekat dengan Tuhan dan sekiranya mahu dibandingkan dengan saya, ya Allah, jauhnya mungkin tujuh petala langit tujuh petala bumi. Tetapi, walaupun sedekat itu mereka dengan Tuhan, adakah jalan hidup mereka di dunia ini dipenuhi kesenangan?”

Penerangan yang diakhiri soalan itu membuatkan saya menjadi ragu-ragu, dan lelaki itu tidak membiarkan saya lama-lama di situ.

Dia menyambung, “Memang ada kesenangan dunia, namun yang banyaknya adalah cabaran yang seberat-berat ujian. Lalu, jangan terus membalut hati kamu dengan pesan-pesan itu, kerana tanpa kamu sedar kamu sebenarnya putus harapan sekiranya tidak beroleh kesenangan dunia. Boleh sahaja mulut kamu berkata, doa kamu tertangguh, dan redha Allah yang kamu cari, tetapi tanya hati kamu dengan sejujur-jujurnya, adakah kamu tidak kecewa? Tidak salah kecewa, tetapi sekiranya kecewa itu yang datang dahulu sebelum datangnya rasa mahu mencari redha Ilahi, itulah tanda putus harapan, dan itulah yang jarang kita sedar.”

Saya menarik nafas dalam-dalam, dan belum pun nafas saya habis lelaki itu terus berkata, “Jadi, jadikan pesan-pesan itu bukan sekadar balutan pada hati, tetapi buka balutan itu dan cuba fahami makna di sebaliknya. Iaitu, apa sahaja yang kita perbuat dengan niat kepada Allah, memang akan ada balasan yang baik, namun bukan itu yang utama mahu dikejar, dan kita juga tahu redha Allah jugalah yang dicari, namun bagaimana prosesnya? Dalam usia kita, seperlunya, proses kita semakin mudah dengan membuang kata 'kesenangan dunia', dan terus kepada redha Ilahi. Itulah proses mencari redha Ilahi, para nabi, rasul, sahabat dan para ulama, tanpa perlu sedikit pun membalut hati pada kata, 'kesenangan dunia'. Lalu, bagaimana menurutmu?”

Jawapan.

Saya diam dan hanya mampu tersenyum. Lalu pada usia saya ini, terus-terang sukarnya untuk memeluk jawapan walaupun sudah saya tahu bentuk dan warnanya. Lamanya hati saya beku pada kata 'balasan baik di dunia', membuatkan saya tidak sedar, ibadah saya selama ini hanya untuk itu, walaupun mulut saya sering basah mengatakan mahu mencari redha Ilahi, tetapi ia tidaklah lebih besar daripada kata, 'mencari kesenangan dunia'. Ya, Allah, semoga sahaja saya mampu membalikkan perkara itu dalam hati saya, supaya saya tidak perlu lagi berlari pada jalan yang penuh tanda tanya..

1 comment:

lightnur said...

terima kasih untuk pengisian ini.. tertanya semula pada diri semsa baca bahagaian ini

"Boleh sahaja mulut kamu berkata, doa kamu tertangguh, dan redha Allah yang kamu cari, tetapi tanya hati kamu dengan sejujur-jujurnya, adakah kamu tidak kecewa? Tidak salah kecewa, tetapi sekiranya kecewa itu yang datang dahulu sebelum datangnya rasa mahu mencari redha Ilahi, itulah tanda putus harapan, dan itulah yang jarang kita sedar.”
--- redha atau terpaksa sebenarnya diri selama ini....

syukran,untuk perkongsian ini..