Monday, October 17, 2011

Kalau Sampai Surat Merah (Parodi cerpen Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad)

(Daripada cerpen - Kalau Ibu sampai Takah Tiga)



Aman, kalau surat kuning sudah sampai, kamu janganlah panik. Ada beberapa hari lagi sebelum surat merah pula yang sampai. Masih ada masa lagi untuk bayar bil elektrik. Tanya-tanya rakan serumah yang lain, Zahir dan Mohsen, kalau-kalau mereka sudah dapat gaji kerja sambilan hotel. Kalau mereka sudah dapat, baik-baik cakap dengan mereka. Katakan surat kuning sudah sampai, sudah tiga bulan bil elektrik tidak dibayar. Duit semua pergi bayar bil air dan sewa rumah.

Kalau Zahir, biasanya dia diam sahaja kalau duitnya tiada. Kamu jangan berkeras dengan dia. Faham-faham sahajalah, Zahir guna alasan dia graduan sastera, ke sana sini meminta kerja, tidak juga lepas-lepas. Jangan katakan surat tawaran, surat dipanggil temuduga pun tiada. Entah ya, entah tidak Zahir itu mencari kerja. Sulaiman rakan sebilik kamu dahulu, graduan sastera juga, elok sahaja tamat belajar terus jadi pegawai. Namun jangan pula kamu beritahu berkenaan Sulaiman. Kecil hati Zahir. Keluarganya orang susah, adik-beradik ramai dan dia juga adalah harapan keluarga. Kalaupun dia sudah dapat gaji hotel, biasanya habis dihantar balik ke kampung.

Kalau Mohsen, kamu perlu keras. Kalau kamu tidak keras, duit akan habis ke rokok. Dia itu, jenis yang memilih kerja, mahu kerja yang gajinya besar tetapi hari itu terlihat juga keputusan periksanya, memang susah peluangnya mahu bekerja besar. A hanya ada satu dua, keputusan pula cukup-cukup makan. Namun kamu janganlah sampai memberitahu perkara itu kepada dia, kecil hatinya.

Bukan kamu tidak tahu Mohsen kalau kecil hati. Siang malam asyik muncung mulutnya. Makan seorang diri dan televisyen dia tengok sendiri. Susah juga kamu mahu menonton kerana itu televisyen dia. Namun apalah sangat menonton televisyen pada zaman sekarang, banyak berita terkejut yang kamu akan dapat. Harga itu naik, harga ini naik. Gaji sahaja yang tidak naik.

Kalau Mohsen dan Zahir tidak ada wang, kamu jangan putus asa. Usahakan juga meminta wang daripada Ghazali Rempit, rakan serumah lama kita. Dia itu banyak betul hutangnya dengan saya. Penat sudah tekan nombor telefonnya tetap tidak berangkat. Mungkin kalau kamu yang minta, lembut hatinya. Tetapi jangan kamu telefon dia, dia memang jenis tidak akan angkat telefon. Terus kamu jumpa dia di Blok E. Dia itu walaupun kerja kilang, besar juga gajinya, lagi besar daripada kita yang ada ijazah ini. Tetapi itulah, gajinya banyak habis ke motosikal dan bayar saman.

Ghazali Rempit bukan boleh diharap sangat, dapat duit, syukurlah tetapi kalau tidak dapat, kamu janganlah sedih. Tebal-tebalkanlah muka meminjam daripada Mak Cik Saleha di hadapan rumah kita. Dia itu baik orangnya, mudah senyum dan menegur. Kalau bulan puasa, petang-petang dia beri kita bubur kacang dan kurma. Kita sahaja yang tidak malu kembalikan bekas kosong kepada dia.

Mak Cik Saleha itu banyaknya duitnya. Maklumlah anaknya gaji besar, dia pun ambil upah jaga anak orang. Tetapi kalau Mak Cik Saleha kata susah mahu beri pinjam, janganlah pula kamu buruk sangka kata dia kedekut. Walaupun anaknya gaji besar dan Mak Cik Saleha jaga anak orang, harga barang naik sekarang memang boleh buatkan semua orang kurang duit. Bukan kamu tidak tahu, rumah Mak Cik Saleha penuh dengan barangan hutang. Sofa hutang, televisyen hutang dan peti ais pun hutang. Semua itu perlu duit. Namun, sekali lagi, janganlah gatal-gatal mulut tanya berapa bulan lagi hutang peti ais besarnya, pilu hati dia.

Kalau kamu masih tidak cukup wang bagi bayar bil elektrik, cuba kamu tengok bawah katil, bawah tikar, bawah sofa. Rasanya, banyak juga duit syiling yang terjatuh di situ. Mujur kamu, boleh juga jumpa duit kertas sepuluh ringgit. Kumpul-kumpulkan duit itu. Namun janganlah harap ia cukup. Kalau ada pun, itu cuma cukup buat beli sardin tiga tin, sedangkan kita hendak bayar bil tiga bulan.

Jadi lihat-lihatlah dalam bilik saya. Ada banyak akhbar yang saya longgok di tepi pintu. Jual akhbar-akhbar itu. Kalau tidak cukup, ada lagi komik-komik Zahir. Tetapi jangan kamu ambil terus komik dia. Mintalah izin daripada dia dan beritahu, surat kuning sudah sampai. Kalau Zahir tidak izinkan, jangan marah pula kerana Zahir itu memang sayangkan komik-komiknya. Sanggup tidak makan asalkan ada belanja bagi membeli komik. Semogalah harga komik tidak ikut naik. Kasihan juga melihat dia.

Memang duit jual akhbar tidak akan cukup. Jadi pujuk-pujuklah Mohsen bagi meminjam duit daripada teman wanitanya. Teman wanita Mohsen itu bukan seorang. Pernah juga saya kira-kira, ada lebih tiga orang. Semuanya kaya-kaya. Katakan kepada Mohsen, kalau tidak berjaya, elektrik akan dipotong dan dia tidak boleh lagi cas telefon bimbit, dan seterusnya dia tidak boleh SMS lagi dengan teman wanitanya. Kalau Mohsen berjaya, syukurlah. Kalau Mohsen enggan ataupun tidak berjaya, jangan marahkan dia. Mohsen itu memang selalu betul berhutang dengan teman-teman wanitanya. Takut-takut Mohsen sudah tidak lagi diberi hutang.

Mungkin nanti Mohsen dan Zahir bertanya, saya ini asyik menyuruh itu ini tetapi apa pula sumbangan saya? Katakan kepada mereka, kaki saya masih belum sembuh dan masih berehat di kampung. Katakan juga, saya kecelakaan melanggar kereta BMW yang berhenti tiba-tiba. Mujur juga belum arwah, tetapi tetap patah kaki. Namun sakitnya patah kaki tidak boleh di banding sakitnya hati kerana banyak yang perlu dibayar kepada pemilik BMW. Malunya saya, terpaksa meminjam dengan emak ayah, selepas itu meminjam pula dengan abang kakak. Yalah, salah saya yang melanggar, sayalah yang perlu membayar. Namun tetaplah orang kaya bertambah kaya, orang miskin juga yang makan pasir. Nanti apabila kamu beritahu hal itu, fahamlah mereka yang saya ini memang tidak ada duit.

Andaikan sahaja, segala usaha sudah dibuat tetapi duit masih tidak cukup bagi membayar bil elektrik, siap sedialah perasaan dan fizikal kamu, kerana surat merah akan sampai. Biasanya, pekerja potong elektrik datang dengan surat merah pada waktu pagi. Kalau dia datang, kamu janganlah buat muka bengis, muka mahu pukul orang. Itu memang kerja dia, memang sudah dibayar bagi memotong elektrik. Bukan dia yang menaikkan tarif elektrik, bukan dia juga yang memaksa kamu di rumah itu boros menggunakan banyak elektrik.

Tegur dia baik-baik, senyum dan sediakan rokok sebatang dua. Ambil sahaja rokok Mohsen di atas televisyen, dan hulurkan kepada pekerja potong elektrik. Mana tahu, hatinya lembut dan beri kamu tempoh sehari dua lagi. Tanyalah-tanyalah juga kalau ada kosong untuk kamu dan minta nombor telefonnya.

Kalaulah pekerja potong elektrik itu memang sudah tidak boleh dibawa berunding, senyum sahaja. Jangan buat susah hati orang, dia pun sebenarnya bukannya suka-suka mahu potong elektrik kita. Reda dan anggap ini ujian hidup.

Kalau elektrik sudah dipotong, kamu janganlah pula berlari ke rumah Syamsul Elektrik dan minta dia tolong sambungkan balik elektrik. Memanglah Syamsul Elektrik itu boleh sambungkan kembali elektrik rumah tetapi berdosa kita. Lebih malang kalau pihak yang berwajib tahu. Ingat lagi Pak Ahmad Teksi yang tinggal di tingkat empat? Akibat menyambung elektrik secara haram, habis meter elektriknya kena pokah. Bukan kamu tidak tahu, mahalnya meter elektrik itu bukan sepuluh dua puluh ringgit. Bertambah banyak kos kita kalau mahu elektrik disambung. Nasib baik sahaja Pak Ahmad Teksi itu tidak dimasukkan penjara.

Ikan-ikan dalam peti ais itu, kalau ada, sedekahkanlah kepada Encik Murat di tingkat empat, di sebelah rumah Pak Ahmad Teksi, sebelum ia busuk. Dia itu kerjanya cuma jaga yang gajinya tidak sampai seribu. Anaknya pula ada tiga. Sewa rumah lagi, duit makan anak-anak lagi, bil lagi, dan mujur juga anaknya belum sekolah. Kalaulah anaknya sekolah, tidak tahulah bagaimana dia mahu cari duit lebih.

Sayur-sayur pula, boleh kamu sedekahkan kepada Mak Cik Saleha. Dia itu jaga budak-budak, dan memang dia tidak pernah lupa beri budak-budak itu makan sayur. Tetapi itu semua kalau adalah ikan dan sayur. Seingat saya, hari itu peti ais itu kosong dan cuma ada air kosong.

Kalau mahu cas telefon bimbit, jangan kamu minta cas di rumah Mak Cik Saleha. Rumahnya itu orang keluar masuk, nanti hilang telefon bimbit kamu. Itu belum kira lagi dimain oleh budak-budak yang Mak Cik Saleha jaga. Jadi, senyum-senyumlah kamu kepada Rohani Kilang, gadis yang pendiam di tingkat dua.

Rohani Kilang itu, memang jenis tidak banyak soal. Apa dia boleh tolong dia tolong, kecuali hal berkenaan duit. Mintalah tolong dia caskan telefon bimbit kamu. Namun jangan pula kamu masuk ke rumah dia, cukup di depan pintu. Nanti Pak Imam Ishak pandang, dituduhnya pula kamu berkhalwat.

Apabila malam pula, cuba-cubalah kamu periksa dalam almari saya, rasanya ada lagi dua tiga batang lilin hadiah cabutan bertuah. Jimat-jimatlah menggunakan lilin itu. Jangan nyala lilin apabila kamu sudah mahu tidur, takut-takut kamu tidak jumpa pagi, mati rentung.

Bercakap mati rentung, kamu tengok-tengoklah si Mohsen. Dia itu suka betul main api. Api mancis, api rokok dan apa sahaja jenis api. Tegur-tegurlah dia kalau dia main api lilin, bahaya. Jangan juga kamu dekatkan lilin pada langsir, pun bahaya. Boleh mati rentung juga dibuatnya.

Apabila lilin habis, janganlah pula kamu terus hilang harapan. Mahal manalah lilin itu. Memanglah harganya naik, tetapi tidaklah sampai tidak mampu kamu beli. Apabila pasang lilin pula, pasang dua batang cukup. Satu di ruang tamu dan satu berdekatan tandas. Takut-takut, tengah malam nanti pula kamu mahu memerut, nampak jugalah lubang yang betul.

Sekarang ini musim panas, siangnya panas malamnya panas. Duduk di rumah tanpa kipas lagilah panas. Cubalah periksa di bawah meja televisyen, rasanya di situ dahulu saya ada nampak kipas hadiah kenduri kahwin. Memanglah ia cuma kipas tangan, tetapi tetap lebih selesa daripada menggunakan akhbar yang dilipat-lipat.

Kalau kamu sudah tidak tahan panas, beranikan diri melawat-lawat jiran. Setidak-tidaknya, sambil berbual ada juga rasa kipas angin, dapat juga minum kopi. Namun jangan pergi ke rumah Mak Cik Saleha, orang di situ tidur awal. Jangan juga kamu pergi ke rumah Encik Murat, dia itu orang susah, bertambah susah kalau kamu datang. Jadi cukuplah pergi ke rumah Pak Ahmad Teksi. Rasanya, elektrik rumahnya sudah disambung dan dia pun jenis yang suka berborak. Ataupun kalau kamu rajin, bolehlah kamu pergi ke blok sebelah, pergi ke rumah Pak Imam Ishak. Dia itu, sampai ke subuh pun dia sanggup berborak.

Nanti, kalau berborak-borak itu, jagalah tutur kata. Kalau kamu berborak dengan Pak Ahmad Teksi, jangan dikutuk pihak pembangkang. Dia itu memang pembangkang tegar. Boleh dihalaunya kamu kalau kamu mengutuk pembangkang, walaupun waktu itu kamu sedang menghirup kopi. Jadi banyakanlah mengeluh kalau berborak dengan Pak Ahmad Teksi. Katakan kepadanya, harga gula naik, harga minyak naik, harga beras naik, harga elektrik naik dan ceritalah semua perkara yang naik-naik. Dia itu memang suka betul berborak berkenaan hal yang naik-naik. Cepat mulutnya menyambung. Nanti-nanti kalau dia suruh kamu sokong pembangkang, kamu angguk sahaja, jangan melawan.

Kalau kamu pergi berborak di rumah Pak Imam Ishak pula, jangan pula kamu mengutuk kerajaan. Dia itu orang kuat kerajaan. Tahan-tahankan diri jangan bercerita berkenaan harga barang naik dan GST. Kalau sudah tidak tahan sangat pun, berceritalah yang kerajaan memang wajar menaikkan harga barang demi menjaga kepentingan ramai. Katakan, sedangkan orang pun sudah naik ke bulan, apalah sangat harga barang naik. Beritahu juga yang kamu sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kamu pinjaman PTPTN, dan akhirnya kamu mendapat ijazah. Jangan pula kamu bocorkan rahsia, yang kamu belum bayar PTPTN. Kalau dia tanya juga, cakap kamu belum ada kerja yang tetap kerana bahasa English masih tergagap-gagap.

Kalau Pak Imam Ishak terus salahkan dan marahkan kamu kerana tidak pandai cakap bahasa English, angguk sahaja dan senyum. Jaga hati dia baik-baik, dia itu orang tua. Apalah sangat marah orang tua. Yang penting kamu dapat berkipas, minum kopi dan ada rezeki dapat juga kamu lihat anak perempuan Pak Imam Ishak yang baru balik dari Jordan.

Nanti apabila kamu mahu tidur, janganlah dibawa sangat susah hati kamu. Gelap memanglah gelap tetapi syukurlah, air masih belum dipotong dan sewa rumah masih mampu kamu bayar. Biarlah tidak dapat bayar bil elektrik asalkan ada air untuk bersuci dan ada rumah untuk berteduh melelap mata.

Aman, janganlah kamu tidur dengan membawa sakit hati kepada negara. Apalah sangat bil elektrik naik. Negara kita cuma ada satu, Malaysia. Baik buruknya negara kita ini, tetap perlu kita sayang, tetap perlu kita jaga. Doakan sahaja, negara kita terus cerah dan tidak bergelap. Rasanya cukup sampai sini sahaja pesan saya, dan semoga sahaja kamu sudah bersedia, kalau surat merah sudah sampai.

++++++++++++++++

Dengan rendah hati, boleh juga dapatkan buku terbaru Bahruddin Bekri di pasaran. Hidup Penuh Cinta. :) Boleh klik link di bawah bagi pembelian online ataupun tunggu satu dua minggu dari tarikh entri ini bagi memperolehnya di kedai. :)




2 comments:

aNa QaRiMaH_PuSPa ^_^ said...

cerpen menarik.... mengajar insan jangan berputus asa n brprasangka baiklah sesama manusia...

Shareeza said...

Hahaha.. Xtau kenapa,sepanjang baca cerpen ni sy tergelak.. Penulis menyampaikan maksud tersirat di sebalik ayat-ayat yang bersahaja namun tetap ada komedinya.. :D