Thursday, November 10, 2011

Menarik nafas pada udara yang padat resah, membuat dada saya sesak dengan pelbagai perkara yang entah bagaimana saya mahu luahkan. Tidak tahu saya, di celah-celah ruang dada saya ini, ada berapa banyak lagi kisah kecerian yang tersisa.

Kasar sudah hati saya, yang sentiasa memegang kata, 'berusaha' dalam mencari riangnya hati. Tidak tahu saya, di mana silapnya sehingga saya berasakan semakin hari, saya semakin jauh masuk ke daerah yang udaranya hanya mengandungi resah. Mungkin sahaja saya yang terlalu mencuba.

Saya bawa kata 'terlalu mencuba' itu ke kepala, saya renung dan memang saya mengaku, saya terlalu mencuba, tetapi apa salahnya dengan terlalu mencuba? Sehinggalah saya kembali kepada orang tua saya yang saya sandarkan harap saya, pada pengalamannya yang sudah seperti delima.

Ayah.

Hari itu, masih awal pagi, dan dengan pakaian sukan ayah saya berkata, “Mari, kita ke sana. Ada sesuatu untuk kamu.”

“Ke mana?” Saya melihat arah 'ke sana' yang dia katakan dan di situ tidak ada apa-apa selain padang bola yang masih diratai embun.

“Ikut sahaja,” kata ayah saya dan sebagai anak yang taat, itulah kerja saya, mengikut dan akhirnya sampai kami ke tengah padang.

Ayah saya berhenti, lalu memandang saya dan berkata, “Kita sudah sampai ke tengah padang ini, dan ayah mahu kamu jawab soalan ayah ini dengan betul. Yang utama kamu cuma ada sekali cubaan.”

Saya sudah berasa tumbuh sayap hairan, dan menanti sahaja untuk terbang ke langit debar. Apalah soalan ayah mahu saya ini, dan sebagai anak yang taat, saya diam menunggu titah selanjutnya.

“Apa yang kamu perhatikan?”

Saya paling tidak suka ditanyakan soalan yang begitu. Pertanyaan yang membuat saya tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Hanya ada sekali cubaan sedangkan, banyaknya perkara yang mampu dijadikan jawapan. Apa yang saya perhatikan? Banyak, terlalu banyak yang saya perhatikan. Ada rumput yang masih basah, ada tiang gol di hujung sana, ada pentas buruk yang sering dijadikan tempat berdirinya orang memanggil dirinya Yang Berhormat, ada juga rumah-rumah usang di tepi padang, ada burung-burung dan paling jelas, ada sekolah kayu berwarna biru luntur, menanti waktu memeluk bumi.

Terlalu banyak dan saya terus berkata, “Ayah mahu saya perhatikan yang mana?”

“Apa-apa sahaja, dan ingat kamu ada satu cubaan sahaja,” kata ayah saya dengan wajahnya yang penuh bijaksana.

Saya diam, dan degup jantung terus menjadi luar biasa. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran cuba saya jadikan jawapan namun, tidak pernah lekat sebagai jawapan yang pasti.

“Baiklah, ayah berikan kamu peluang lain. Satu kali cubaan menjawab ataupun kamu pilih untuk mengalah,” tawar ayah saya dengan wajah yang masih nampak bijaksana,

Saya tetap diam memikirkan tawaran ayah . Terdengarnya ada sesuatu di situ, dan sesuatu itulah yang saya tidak tahu apa.

“Bagaimana?” soal ayah saya lagi.

Saya pandang lagi sekeliling dan ternyata, tidak ada apa-apa yang masuk ke dalam fikiran saya lalu menjadi jawapan. Semuanya masuk menjadi tanda tanya dan itulah sukar hidup, pada ketika kita mahu jawapan yang masuk ke dalam kepala, soalan pula yang kita jumpa.

“Saya tarik diri,” jawab saya yakin kerana hanya itulah caranya untuk saya membebaskan diri daripada kepak hairan yang sudah sedia mengepak.

Ayah saya tersenyum pahit, namun pahit senyumannya itu bukan tanda dia kecewa, tetapi ada yang lebih besar dalam dadanya dan pada ketika itulah dia memberitahu pesan yang itu.

Pesan.

“Anakku, jawapan untuk soalan ayah tadi, adalah sederhana. Apa sahajalah yang kamu lihat, dan sekiranya kamu sebut, itulah jawapan yang betul. Sayang sekali kamu tidak mahu mencuba,” kata ayah saya, mengawali pesan.

Saya menggaru-garu lengan dan kemudiannya berkata, “Adakah ayah mahu katakan, gagal yang sebenar itu adalah tidak mahu mencuba?”

“Ia lebih daripada itu, anakku,” balas ayah saya dengan segera.

Terdiam saya. Apa lagi pengajaran yang lebih besar pada hari itu yang akan saya peroleh selain daripada soal kegagalan?

“Anakku, sekiranya hidup atau umur kita ini adalah soalan, jawapannya adalah cara kita menjalani hidup dan ia perlu berpandukan agama. Ibaratnya, padang ini adalah hidup, dan apa yang kita nampak pada sekeliling kita adalah panduan agama yang benar, dan kita berdiri di tengah-tengahnya. Jadi apa sahaja yang terlintas dalam fikiran kamu tadi, sama ada rumput, tiang gol, pentas buruk, sekolah dan burung-burung adalah panduan dan ia adalah jawapan. Tidak ada satu pun yang salah, selagi mana kamu nampak perkara itu, kerana perkara itu benar wujud. 

"Begitu juga hidup, tidak ada cara salah menjawabnya, dan kita punya peluang bagi memberi pelbagai jawapan asalkan perkara itu tetap berdasarkan panduan agama. Kamu boleh menjawabnya dengan menjadi seorang hakim, boleh menjadi pemain bola sepak, menjadi menteri, menjadi pelajar dan menjadi penulis. Jadi, jawapan hidup akan salah sekiranya, kita memberi jawapan yang tidak 'benar', jawapan yang tidak ada dalam agama. Lalu pada ketika kamu menarik diri, pada ketika itulah ayah menjadi sangat khuatir anakku.”

Debar saya bertambah. Kata-katanya itu pun sudah sakit untuk saya memahaminya, apatah lagi nanti dengan kata-katanya yang ini. Entah apa lagi yang ayah saya mahu berikan.

“Anakku, bagi memberi jawapan yang benar berpandukan agama, kita perlu tahu kelemahan diri kita, dan daripada situ kita akan memperbaikinya. Misalnya kamu lemah kepada wajah ayu perempuan, dan mudah kalah kepada nafsu, di situ kita perlu perbaiki, dan perlu banyak berjaga-jaga. Namun perkara utama sekali, dalam menjawab soalan hidup, kita tidak boleh berpura-pura cuba menjadi orang lain. Jangan sesekali menjadi orang lain.”

“Maksud ayah?” soal saya terus. Otak terus panas berputar.

“Kita tidak akan tahu kelemahan diri kita, sekiranya kita berpura-pura menjadi orang lain. Jadi sekiranya kita tidak tahu kelemahan kita, bagaimana kita mahu memperbaikinya, dan sekiranya kita gagal memperbaikinya, bagaimana kita mahu menjawab soalan hidup dengan berpandukan agama? Itulah yang ayah nampak kepada kamu, kamu terlalu berusaha menjadi orang lain sehingga menjadi berpura-pura. Mungkin sahaja kamu ada idola kamu, tetapi bukan bermakna, kamu perlu pura-pura menjadi mereka."

Saya terus keliru.

"Cukup kamu berusaha menjadikan mereka teladan, dan bukan berpura-pura menjadi mereka. Tuhan tidak akan bertanya, adakah kamu sudah seperti Nabi Muhammad SAW, tetapi akan dipersoalkan, adakah kamu sudah berusaha mendekati peribadi Nabi. Mudahnya, kamu sedarlah diri. Pada kata sedar diri itu, akan jelas di mana kelemahan dan kekuatan kamu. Misalnya sahaja tadi kamu tidak pura-pura menjadi orang lain, pasti kamu sudah memberi jawapan pada soalan ayah. Namun kamu berusaha berpura-pura menjadi seperti ayah yang tahu jawapannya, sedangkan posisi kita berbeza sehingga kamu tidak sedar apa yang kamu nampak. Cukup kamu ambil teladan daripada sikap yakin dan berani ayah, dan kamu akan menjawab tanpa perlu punya perasaan, 'saya tahu jawapan yang betul itu'.”

Terdiam saya pagi itu, di tengah padang yang sudah terik mataharinya. Berfikir, berapa banyak kelemahan diri yang saya tidak nampak, hanya kerana saya berpura-pura menjadi orang lain. Mungkin kerana itu jugalah, antara sebab, resah-resah banyak masuk ke dalam dada, resah kerana terlalu berusaha menjadi orang lain tanpa saya sedar.


No comments: