Tuesday, June 28, 2011

Buku yang paling bagus di dunia - sebuah cerpen



Benarlah sesuatu perkara itu, akan kita percaya bagus pada ketika perkara itu menjalankan fungsinya dengan baik dan memberikan kita rasa puas hati. Lalu itulah yang saya percaya, sebagai perkara yang paling bagus. Itulah juga yang saya pegang seperti lelaki tua yang memegang tangan isteri muda, tidak lepas dan sayang mahu renggang. Namun akhirnya, pada suatu hari, saya mengerti fungsi itu belum apa-apa, kerana ada perkara lain yang memberikan definisi paling bagus untuk apa yang sudah saya percaya paling bagus.

Saya.

Kenal-kenallah saya dahulu. Saya adalah jurutera kapal tangki. Yang berada lapan bulan di laut dan bercuti tanpa apa-apa kerja selama empat bulan di darat. Walaupun saya masih third engineer, tetapi gaji saya lima angka, dan ia bukan dibayar dengan ringgit melainkan dolar. Ya, dolar dan lima angka. Yang itu memang menguntungkan, apatah lagi selepas lapan bulan, kamu sudah punya dua pilihan. Mahu membeli kereta mewah yang harganya enam angka, ataupun rumah yang ada enam bilik. Kamu pilih dan, bangga saya mengatakan, saya sudah memperoleh kedua-duanya.

Jadi, dalam masa cuti empat bulan, saya bukan lagi jurutera yang bersimbah minyak hitam dengan peralatan yang sebesar lengan, tetapi saya adalah penulis novel. Saya percaya, menulis itu adalah terapi terbaik selepas lapan bulan kamu hanya melihat biru langit dan laut, dan sesekali melihat geram perempuan-perempuan yang melambai di pelabuhan Eropah.

Saya percaya, menulis itu bukan semestinya kerana wang. Sastera tidak boleh dikomersialkan. Sastera itu berdiri sendiri seperti gunung yang terpacak menjulang awan. Sekiranya sastera dikomersialkan, ruh sastera hanya akan menjadi seperti bayang-bayang ketika adanya cahaya. Pada saat gelap melindungi, ruh sastera itu tidak ada lagi. Kosong, dan gelap. Sastera itu sepatutnya adalah cahaya, dan pada saat gelap datang, ia tidak hilang dan kekal ada di situ melawan gelap yang penuh pekat. Jadi, mana-mana buku yang diisi dengan definisi sastera yang saya percaya, adalah buku yang paling bagus. Buku yang bebas daripada pengaruh wang, buku yang layak menjadi cahaya.

Mudahnya, saya menulis bukan kerana wang. Begitu sekali saya menggunakan akal dalam memberikan definisi berkenaan buku yang paling bagus. Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang penulis ini, penulis yang merah wajahnya, pada saat bercerita berkenaan penulisan kepada beberapa orang yang minat menulis.

Merah wajahnya.

Hari itu, saya melihat dia dengan penuh ragu. Dia bercerita kepada beberapa orang yang minat menulis berkenaan pentingnya niat semasa menulis, iaitu mahu memberi sebanyak-banyak manfaat kepada manusia.

Pentingnya, menulis yang baik-baik, jangan menulis yang jahat-jahat, dan betapa perlunya menulis sesuatu yang orang kebanyakan mudah hadam dan faham. Juga pentingnya menetapkan niat utama, menulis bagi ibadah kepada Allah.

Namun satu hal yang saya ragu adalah pada ketika dia, seperti melebih-lebihkan pula konsep wang pada setiap katanya. Katanya, memberi manfaat itu juga termasuk bagi menulis buku yang laku. Atau yang saya fahami, komersial.

Saya dengan kepercayaan saya, mendekati penulis itu dan berkata, “Kamu melebih-lebih berkenaan wang. Sastera itu bukan berkenaan wang. Sekiranya sastera itu berkenaan wang, kamu umpama melacurkan sastera itu sendiri.”

Penulis itu, berwajah lega dan membuat saya hairan. Bertambah hairan apabila dia berkata, “Itu pendapat kamu. Saya tidak membantah dengan apa yang sudah kamu percaya. Namun, sebelum kamu mendengar pula pendapat saya, saya mahu bertanya, apakah buku yang paling bagus di dunia?”

Cuba saya imbas soalan itu. Mana tahu soalan itu disamarkan dengan niat mahu memperolok-olok, namun pada saat saya melihatnya wajahnya, dia bukan jenis orang yang menyamarkan niatnya. Wajahnya terlihat benar dan soalan itu juga pasti benar.

“Buku yang paling bagus, adalah buku yang ditulis dengan sepenuh jiwa, tanpa memikirkan apa-apa berkenaan wang dan keuntungan. Itulah buku yang paling bagus. Biarlah orang ramai tidak baca, biarlah oran ramai tidak faham. Sekiranya ada dua tiga orang sahaja yang membacanya dan memperoleh manfaatnya, ia sudah cukup untuk saya. Rezeki itu Allah juga yang memberi,” jelas saya dengan penuh semangat.

Lelaki itu hanya diam dan seperti mahu bersetuju tetapi kemudiannya dia berkata, “Mari ikut saya ke suatu tempat dan di situ saya akan memberitahu kamu, buku apa yang paling bagus di dunia.”

Editor yang memikul botol air.

Rasa aneh dalam diri saya seperti jari berkuku panjang yang menggaru-garu belakang tubuh. Sangat tidak selesa tetapi entah mengapa, saya rela mengikut lelaki itu di dalam keretanya. Akhirnya selepas beberapa ketika, saya dan dia sampai di hadapan sebuah gudang yang luas terbuka pintunya.

Di situ saya melihat, buku-buku disusun seperti batu-bata. Beberapa orang yang sudah basah lehernya, mengangkat buku-buku, dan beberapa orang lagi sedang memasukkan buku ke dalam kotak-kotak. Ada seorang pemandu lori sedang bertinggung dengan wajah yang seperti bahagia enggan hinggap. Ada beberapa orang lagi sedang mengangkat kotak penuh berisi buku dimasukkan ke dalam lori. Wajah mereka semua membicarakan, penat sudah mendesak-desak mereka berehat tetapi mereka tetap enggan.

Lelaki itu memandang saya dan berkata, “Kamu lihat lelaki berbaju merah yang sedang mengangkat kotak itu. Namanya Raslan Tarmizi. Dia bekerja di gudang buku ini sebagai kerani gudang. Nama sahaja kerani gudang, tetapi tugasnya adalah mencari buku-buku yang dipesan oleh kedai buku. Dia punyai lima anak yang masih sekolah dan seorang ibu tua yang perlu ditanggung. Gajinya, dibayar dengan hasil jualan buku. Jadi, boleh kamu jelaskan kepada dia definisi kamu berkenaan buku yang paling bagus kepada dia? Kamu fikir, apa kata dia?”

Saya diam dan gemuruh hati saya mendengar soalan itu. Namun, saya ini jurutera yang panjang akalnya dan segera saya berkata, “Saya bukan menulis dengan syarikat ini. Saya menulis dengan badan berkanun, yang gaji pekerjanya dibayar dengan duit kerajaan. Keuntungan bukan cara saya.”

Rupa-rupanya, saya sengaja membuka ruang untuk hati saya lebih ngilu mendengar kata-kata lelaki itu.

Katanya, “Itulah yang saya mahu beritahu kamu. Saya menulis dengan sebuah syarikat swasta, bukan dengan badan berkanun yang dibayar gaji pekerjanya oleh kerajaan. Yang apabila buku saya tidak laku, saya hanya akan sedih kepada diri sendiri. Saya tidak akan sedih kepada mereka yang sudah tetap gajinya itu. Saya juga bukan penulis buku indie, yang apabila buku saya tidak laku, saya masih boleh simpan di bawah katil, kemudiannya baring di atas katil dengan lengan di atas dahi, dan berfikir, betapa kasihannya nasib saya. Jadi, orang di luar sana, akan memberi reaksi yang simpati kepada penulis badan berkanun, dan penuh kasihan kepada penulis indie.

“Tetapi saya menulis dengan sebuah syarikat swasta, yang gaji pekerjanya dibayar dengan hasil jualan buku saya. Lalu pada saat buku saya tidak laku, siapa yang lebih sedih nasibnya? Mungkin kamu di luar sana akan kasihan kepada saya, tetapi hakikatnya, orang-orang yang bekerja membungkus buku, menjadi pemandu lori, menjadi editor, kerani akaun, bos yang jadi pemodal yang lebih kasihan. Saya tidak ada peluang untuk bersedih dengan nasib saya, kerana saya perlu bersedih dengan nasib-nasib mereka.”

Saya diam lagi. Diam saya itu disambut baik oleh penulis itu dengan menyambung kata-katanya, “Lihat di sana, lelaki yang tidak senyum itu. Dia Zaiman, pemandu lori yang tinggal beberapa bulan lagi mahu berkahwin. Harapannya adalah kepada bonus syarikat apabila buku banyak yang laku. Jadi, boleh kamu beritahu dia, bahawa kamu bukan menulis kerana wang?”

Saya kembali menggerakkan otak, mencari hujah untuk kata-kata penulis itu. Jadi dalam ruang yang ada itu, penulis itu terus leluasa dengan bicaranya.

“Lihat di sana, lelaki yang baru sampai dengan motosikal tuanya. Dia Bahruddin Bekri, editor dari kampung yang memperjuangkan rezeki keluarganya di kota besar ini. Yang gajinya dibayar oleh buku-buku yang terjual. Lihat lelah wajahnya yang baru balik dari kilang cetak. Cuba kamu beritahu dia berkenaan definisi buku yang paling bagus kepada dia.”

Saya diam dan memerhatikan editor dengan motosikal buruknya itu, entah mengapa editor itu masuk ke dalam gudang dan memikul pula air di dalam botol. Saya dengan hairan berpaling kepada penulis itu dan wajah hairan saya segera di fahaminya, dan dia berkata, “Lihat, dia memikul botol air kerana air di bilik pantry sudah habis.”

Saya diam dan cuba memikirkan apa kaitan editor itu memikul botol air dengan persoalan buku yang paling bagus, tetapi saya gagal. Namun tetap saya memperoleh suatu hujah dan saya tersenyum.

Saya berkata, “Jadi, apa kaitan semua ini dengan buku yang paling bagus? Mereka yang kamu katakan itu, editor, kerani dan sebagainya, apa kaitan mereka dengan buku yang paling bagus? Sekiranya sahaja buku itu tidak laku pun, ia bukan bermakna ia tidak bagus, cuma ia tidak dibeli dan dibaca. Ingat, Allah juga yang memberi rezeki.”

Ketika itu jugalah saya diberikan rangkaian jawapan yang tidak mungkin saya akali lagi. Betul-betul menyusuk hati.

Buku yang paling bagus di dunia.

“Saya bukan bertanya buku apa yang bagus, tetapi saya bertanya, buku apa yang paling bagus di dunia? Saya tidak mengatakan buku kamu tidak bagus dan tidak perlu. Malah saya suka dengan buku tulisan kamu, dan saya katakan buku kamu bagus. Buku kamu sangat menjentik hati, dan sastera kamu tinggi. Isinya bagus, dan tidak merosakkan nafsu pembaca. Ia sudah melepasi asas awal bagi menjadi buku yang bagus. Namun saya tidak setuju sekiranya kamu berkata, definisi buku yang kamu percaya paling bagus itu, adalah buku yang ditulis dengan sastera semata-mata. Itu bukan buku yang yang paling bagus dan maaf sekiranya saya berkata, ia adalah sesuatu yang bersifat pentingkan diri sendiri.”

Penulis itu berkata dengan bersungguh-sungguh dan saya cuma mengangkat kening sinis, cuba bertanya dengan bahasa wajah, 'Jadi buku apa yang paling bagus?'

“Buku yang paling bagus, adalah buku yang paling banyak manfaatnya kepada manusia.” Penulis itu berkata perlahan namun penuh emosi.

Senyum sinis saya mengembang. Lalu saya berkata, “Itu terlalu biasa saya dengar. Buku saya yang saya tulis bukan kerana wang itu, apabila dibaca akan memberikan manfaat yang banyak juga kepada manusia. Apa bezanya?”

Penulis itu menelan air liur, dan dengan wajah tersenyum baik dia berkata, “Fungsi buku memang untuk dibaca, dan apabila dibaca, sekiranya baik isinya, maka ia akan memberi manfaat kepada pembaca. Namun ia tetap bukan buku yang paling bagus. Buku yang paling bagus adalah, buku yang belum dibaca pun sudah memberi manfaat kepada orang yang memegangnya.

“Ya, mana mungkin Raslan Tarmizi ada masa membaca buku-buku yang dia masukkan ke dalam kotak. Dia hanya mampu memegangnya, tetapi dengan memegangnya dia sudah mendapat manfaat apabila buku itu laku, iaitu manfaat kepada gajinya. Mana mungkin Zaiman si pemandu lori, ada waktu membaca buku-buku yang dia bawa. Namun, hanya dengan memegang buku itu sahaja, dia sudah mendapat manfaat apabila buku itu terjual. Dia mendapat bonus dan majlis nikahnya akan meriah.

“Begitu juga dengan Bahruddin Bekri. Dia akan mendapat manfaat daripada buku-buku yang dijual oleh syarikatnya, dengan gaji yang dia peroleh, dia akan mampu membeli kereta menggantikan motosikal buruknya.”

Saya menelan liur. Fikiran saya mulai kacau dan penulis itu menambah kacau dalam kepada saya.

Katanya, “Lihat sahaja, kitab-kitab lama karangan ulama terdahulu. Itu adalah buku-buku yang paling bagus di dunia. Berapa ramai yang mendapat manfaat daripadanya? Bukan sahaja pembacanya, malah kilang pencetaknya, pekerja gudang, penyusun atur huruf, pemandu lori berbangsa India, dan malah tauke-tauke Cina yang menjual bukunya juga mendapat manfaat.

"Benar, ulama dahulu langsung tidak memikirkan berkenaan wang, tetapi mereka sudah berniat menulis bagi memberi sebanyak-banyak manfaat kepada manusia, yang membaca dan tidak membacanya, dan akhirnya wang juga termasuk dalam kategori memberikan manfaat itu kepada manusia yang tidak membacanya.

“Mungkin kamu akan bertanya bagaimana dengan al Quran? Maaf, saya tidak ada ilmu dan tidak berani menyentuh berkenaan al Quran. Yang pasti Quran itu adalah mukjizat paling besar dan lihatlah betapa besar manfaatnya kepada manusia, kepada yang membacanya dan yang tidak membacanya.”

Kacau. Fikiran saya semakin kacau.

“Jadi, saya mohon, sebagai penulis, jangan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Pada saat kamu memikirkan perkara itu, lihat berapa banyak orang yang akan menanggung akibatnya. Namun, janganlah pula kamu salahkan diri kamu pada saat buku kamu tidak laku, pada saat buku kamu tidak menjadi buku yang paling bagus di dunia. Percayalah, rezeki itu Allah juga yang memberi. Utamanya, kita sudah berniat, menulis buku bagi memberikan bukan sahaja orang yang membacanya manfaat, malah orang yang sekadar memegangnya juga mendapat manfaat. Manfaat kepada semua manusia, yang membaca dan tidak membacanya.”

Itulah kata-kata akhir penulis itu. Kata-kata yang membuatkan saya faham, mengapa dia sangat mementingkan bagi menulis buku-buku yang laku. Semuanya kerana, dia mahu menulis buku yang bukan sekadar bagus tetapi yang paling bagus di dunia.

Itulah saya pegang, dan itulah saya percaya, bahawa, buku yang paling bagus di dunia adalah buku yang memberi manfaat walaupun ia tidak dibaca.




Monday, June 27, 2011

Aku sebatang pensel dan sebuah mimpi - sebuah cerpen

Kata Joyce A Myer, pensel dan mimpi akan mampu membawa kamu ke mana-mana. Jadi, berikan diri kamu mimpi, dan aku akan mampu membawa ke mana kamu mahu. Ya, benar, aku cuma sebatang pensel, tetapi dengan mimpi kamu, aku akan berusaha membantu kamu.

Aku tidak menipu, aku pernah membawa seorang anak kecil yang punya mimpi yang besar, ke tempat yang dia mahu.

Kamu masih kata menipu? Tidak, aku tidak menipu, aku inikan pensel, pensel mana boleh menipu. Lebih-lebih lagi aku ini pensel yang dibuat khusus bagi digunakan dalam peperiksaan.

Tidak percaya lagi? Baiklah, aku ceritakan kisah aku dengan anak kecil itu. Kisahnya panjang, dan rasanya tidak perlulah aku bercerita aku daripada kilang mana dan bagaimana aku dibuat. Terus sahajalah aku bercerita bagaimana aku menemui anak kecil itu.

Anak kecil itu yang memilih aku daripada kumpulan bekas pensel yang berbagai warna. Kata anak kecil itu, “Saya suka biru.”

Lalu tangan kasar ayahnya yang menjinjit kepala aku dan terus menghulurkan kepada anak kecil itu. Lama jugalah dia menatap aku sambil tersenyum-senyum. Aku pula seperti biasa, tenang dan nampak elegan dengan warna biru pekat yang mempesona.

Lupa aku memberitahu, anak kecil itu adalah seorang perempuan yang kerinting-kerinting rambutnya. Bulu matanya lentik dan giginya jarang-jarang dan membuatkan apabila dia tersenyum, dia nampak comel yang luar biasa.

Anak kecil itu tersenyum besar pada saat dia sudah seorang diri di dalam bilik. Dengan aku di tangan kanannya, dengan kertas di atas meja dan dengan mimpi besar dalam kepalanya, dia bercakap seorang diri.

“Aku mahu menulis surat ini kepada ibu. Aku mahu memberitahu, aku sangat mahu sebuah rumah yang sempurna.”

Itu mimpi besar dia, dan aku digunakan bagi menulis mimpi besar itu. Tulisnya, tulis anak kecil, dan apalah sangat yang boleh diharap. Ayatnya pendek dan tidak berbunga-bunga. Namun tulis anak kecil ada sesuatu yang sangat besar, yang tidak ada pada tulisan sasterawan pun. Mereka itu sangat jujur dan ikhlas.

Tulis anak kecil itu:

Ibu, ayah kata dia sayang ibu. Kalau ibu tidak sayang ayah pun, ibu jangan lupakan saya. Saya sayangkan ibu.

Begitu sahaja tulis anak kecil itu, dan itulah mimpi besarnya. Biarlah aku tidak ceritakan, apa lagi terjadi selepas itu. Cuma aku mahu beritahu, pensel dan mimpi anak kecil itu, akhirnya membawanya ke rumah yang sempurna, rumah yang ada tegasnya seorang ayah, lembutnya seorang ibu dan nakalnya seorang anak.

Itulah cerita anak kecil itu. Anak kecil yang ada aku di tangannya, dan ada mimpi besar dalam kepalanya.

Aku sebatang pensel sudah ada di sini, jadi apa mimpimu?

Thursday, June 23, 2011

Bagai empedu lekat di hati - sebuah cerpen

“Janganlah kata begitu. Nanti apabila dinda sudah faham, pasti dinda tersenyum sendiri.” Lelaki itu melebar senyumnya, dan jelas putih giginya sambil terus melemparkan pandangan ke luar tingkap bas. Kalau dulu-dulu, boleh juga dibuka tingkap bas, biar angin masuk menyerak rambut, tetapi sekarang semua bas sudah menggunakan pendingin hawa, dan tingkap sudah tidak boleh dibuka. Cuma sesekali kalau pintu bas terbuka, ada jugalah angin yang sesat menampar-nampar wajahnya.

“Mengapa tiba-tiba, ber kanda dinda pula?” sambut gadis di sebelahnya, yang merah jambu tudungnya, dan putih-putih kulit wajahnya. Sekiranya lima enam minit sahaja terkena matahari, pasti merah-merah pula wajahnya. Jari-jarinya pula masih pekat warna inainya.

“Bila lagi, mahu ber kanda dinda? Sekarangkan dinda sudah menjadi isteri kanda yang sah. Sudah tidak menjadi fitnah. Cuma janganlah kuat-kuat bicaranya, nanti segan orang dengar. Tetapi, orang seperti kita ini, manakan mahu bicara yang kuat-kuat, pasti perlahan sahaja. Jadi, setuju sekiranya kita ber kanda dinda?” kata lelaki itu lalu tersenyum lebar memandang gadis yang ikut melebar senyumnya. Senyuman seorang suami kepada seorang isteri.

Si isteri tidak menjawab, hanya senyumnya sahaja yang nampak, dan perlahan-lahan dia tunduk lalu mengangguk yang malu-malu. Rupanya, tidak perlu terkena sinar matahari, kerana si isteri sudah naik merah-merah pipinya. Aduhai. Si suami di sebelahnya pula terus tersenyum, menambahkan lagi garis tampan pada wajahnya.

Seketika, persoalan asal tadi seperti terlupa, si isteri yang malu-malu, yang tadinya tunduk mula terfikirkan sesuatu yang baru pula. Dia memandang suami di sebelahnya lalu dengan nada perlahan berkata, “Kanda kata dahulu, kanda sudah melihat dinda sejak tiga tahun dahulu. Jadi mengapa baru tiga bulan lepas baru masuk meminang, dan baru seminggu lepas kita berjodoh? Tidak takutkah kanda sekiranya dinda terlepas?”

Si suami menarik nafas dalam-dalam. Fikirannya kembali kepada tiga tahun dahulu, pada saat dia disuruh ayahnya menghantarkan kembali motosikal kepada rakan sepejabat ayahnya. Tidak tahu dia bagaimana tiba-tiba ayahnya meminjam motosikal rakan sepejabatnya. Yang dia tahu, memang motosikal ayahnya hari itu masuk bengkel dan mungkin di situlah semuanya bermula.

Tiga tahun dahulu

Dia waktu itu, masih lagi cuti daripada kuliah. Mahu juga bekerja sambilan, namun selepas ke sana-sini mencari tidak juga jumpa-jumpa. Yalah, tinggal di pekan yang kecil, kerja apalah yang dapat dia cari selain menjadi kuli memikul guni.

Bermulalah ceritanya di situ, semasa dia dengan sopan memberi salam, muncul seorang lelaki yang bercahaya wajahnya di hadapan pintu. Dia dijemput masuk walaupun dia sebenarnya mahu terus pulang. Semasa di ruang tamu itulah, entah bagaimana seorang gadis melintas dengan wajah yang tunduk dan terus masuk ke dapur.

Ingat lagi dia perasaannya pada waktu itu. Hatinya terbenam pada suatu rasa yang tiba-tiba masuk entah daripada mana. Segera dia mendapati dirinya tidak mampu menjaga air wajahnya, yang jelas kagum dengan mata yang terbuka segar.

“Jaga-jaga dengan pandangan mata kamu. Itulah pintu iblis memasuki hati kamu. Kata Umar al Khattab, mereka yang menjaga matanya, adalah mereka yang teguh jiwanya,” tegur lelaki yang bersinar wajahnya itu. Terus dia tunduk dengan malu yang menempel pada wajahnya. Malunya dia memang tidak terbanding.

Namun daripada situlah, segala-galanya bermula. Pada saat lelaki yang wajahnya bersinar itu berkata sesuatu kepadanya.

Mata

Si isteri tekun sahaja mendengar cerita suaminya sambil tersenyum-senyum. Ada perasaan bahagia yang mengintip daripada balik pipinya, dan tidak ada tabir ego lagi yang menutupi wajahnya. Terus sahaja si gadis teringatkan dirinya pada tiga tahun lepas, pada ketika dia juga masih bergelar mahasiswi.

“Apa pesan ayah untuk kanda?” soal si isteri dengan wajah teruja.

“Katanya, dinda itu anak yang taat, dan walaupun mungkin tidak seperti kisah wali Ibrahim Adham, tetapi ayah dinda mengatakan, dinda adalah anak yang solehah, anak yang sangat menjaga agamanya. Dinda adalah perhiasan dunia yang paling agung. Jadi kira-kiranya, siapakah yang paling layak menyunting perhiasan dunia yang paling agung itu?” kata si suami tersenyum, dengan wajah yang terus mengingat kisah lalu.

“Siapa?” Si isteri bertanya dengan nada suara nakal walaupun nampak malu-malu.

“Pesan ayah dinda, sekiranya mahu mencari isteri yang solehah, usahlah mencarinya di masjid-masjid, apatah lagi di tepi-tepi jalan. Usahakanlah diri sendiri yang ke masjid dahulu bagi menjadi lelaki yang soleh kerana apabila kamu 'soleh' maka pasangan kamu akan 'solehah'. Jadi usah mencari 'solehah', tetapi carilah dahulu 'soleh' dalam diri sendiri,” jawab si suami yang sekali lagi melontar pandangannya ke luar. Fikirannya kembali lagi teringat pada peristiwa tiga bulan lepas. Peristiwa yang mengubah hidupnya.

Tiga bulan lepas

Waktu itu pengajiannya sudah tamat. Dia sudah mula memasang azam yang kuat bagi mencari kerja, namun susahnya mencari kerja memang membuatkan kecewa mudah sahaja masuk ke hati. Ke sana sini mencari, ke sana sini menghantar surat permohonan, tiada langsung yang terpaut. Lalu dalam sela-sela ruang waktu yang ada, dia tetap ke surau, memohon doa semoga Allah mempermudahkan segala urusannya.

Pada petang itulah, selepas solat Asar, pada ketika itulah telefon bimbitnya berbunyi dan meminta dia datang temuduga pada keesokan hari, dan pada ketika itu juga, seorang lelaki segera duduk di sebelahnya, lelaki yang bersinar-sinar wajahnya.

Dia sangat kenal lelaki itu. Itulah lelaki yang pernah memberi bakti kepada ayahnya, lelaki yang pernah memberikannya nasihat berkenaan mata, nasihat yang dipegangnya kukuh sehingga ke hari ini.

Selepas berbasi-basi, lelaki yang bersinar wajahnya itu berkata, “Saya sentiasa memberi pesan kepada anak-anak perempuan saya, jangan mencari teman lelaki, tetapi carilah calon suami. Itulah juga sebenarnya pesan yang saya pegang untuk diri saya sendiri. Sebagai ayah, saya perlu mencari lelaki yang boleh menjadi suami, bukan sekadar menjadi teman lelaki. Jadi sudah beberapa minggu ini saya perhatikan kamu, dan sudah juga saya merisik ke sana sini berkenaan kamu, jadi sudikah kamu masuk meminang anak saya yang kamu lihat tiga tahun dahulu?”

Dia waktu itu seperti putus nafasnya. Teringat kembali dia pada tiga tahun dahulu, pada saat matanya tidak berkedip kepada seorang gadis yang lintas di hadapannya. Dia diam dan dalam diam dia, perasaannya membuncah. Antara syukur dan khuatir dan segeralah dia berkata, “Saya belum mendapat kerja, dan saya tidak pasti lagi masa hadapan saya.”

Lelaki yang bersinar wajahnya itu tersenyum lebar dan sambil menepuk-nepuk bahu anak muda di sebelahnya, dia berkata, “Sudah saya katakan tadi, saya sudah merisik-risik berkenaan kamu. Kamu adalah orang yang tidak putus asa dalam mencari kerja, dan sudah ratusan surat kamu hantar ke sana sini. Saya sangat yakin, anak saya akan bahagia sekiranya bersama dengan lelaki yang tidak pernah putus asa, lelaki yang tidak menyerah dan lelaki yang sentiasa berusaha. Namun teratas sekali daripada semuanya itu, saya sangat yakin, anak perempuan saya akan bahagia dengan lelaki yang ringan kakinya melangkah ke surau dan lelaki yang malam-malamnya, bangun menghadap Tuhan. Ingat, saya tidak mencari lelaki yang punya rumah besar dan kereta besar untuk anak saya, tetapi saya mencari yang lebih daripada itu, iaitu calon suami yang soleh.”

Cinta

Si isteri terus tersenyum malu-malu, namun hati perempuannya terus mendesak lalu dia bertanya, “Jadi apa yang kanda buat selepas itu?”

Si suami yang juga tersenyum terus berkata, “Kanda meminta tangguh tiga hari bagi memikirkannya. Dalam masa itu, kanda solat sunat dan berdoa, sekiranya sahaja dinda adalah perempuan yang mempermudahkan lagi jalan kanda dalam urusan agama, maka permudahkanlah urusannya. Ternyata, urusan kanda dipermudah. Dalam tiga hari itu, kanda mendapat kerja, dan semasa memberitahu orang tua kanda, mereka terus setuju. Bertambah mudah semasa pergi meminang dinda, orang tua dinda sekadar berkata, kanda boleh memberi hantaran seberapa yang kanda ada. Alhamdulillah, puncak kemudahannya, dalam masa tiga bulan, kanda sudah dapat mengumpul sejumlah wang bagi membuat kenduri kahwin yang sederhana.”

“Sederhana tetapi penuh cinta,” sambung si isteri yang terus menatap dalam-dalam wajah suaminya. Pada saat suaminya berpaling, terus mereka bertentangan mata, dalam-dalam, dan untuk sekian kalinya, mereka jatuh cinta dan terus bercinta. Diam.

Syurga

Bas akhirnya berhenti dan mereka berdua, turun daripada bas lalu berdiri di hadapan sebuah flet lima tingkat. Si suami berpaling kepada isterinya dan berkata, “Untuk waktu ini, hanya ini yang mampu kanda berikan, sebuah rumah flet lama, dua bilik.”

Si isteri terus memeluk lengan si suami dan berkata dengan penuh kasih, “Tinggallah di mana pun, sekiranya rumah itu penuh cinta kepada Tuhan dan penuh cinta kepada pasangan, pasti ia akan menjadi syurga.”

Suaminya kembali tersenyum, dan dengan wajah penuh terharu dia terus memandang ke arah bangunan flet di hadapannya lalu berkata, “Kata bijak pandai, sekiranya dunia ini adalah bunga, madu bunga itu adalah cinta, dan untuk kanda pula, sekiranya dunia ini adalah bunga, madu bunga itu pula adalah dinda.”

“Tetapi kanda kata tadi, kita ini bagai empedu lekat di hati. Adakah dinda ini umpama empedu yang pahit untuk kanda?” soal si isteri yang tiba-tiba teringat kepada kata-kata suaminya, semasa mula-mula duduk di dalam bas.

Si suami ketawa kecil dan terus menjawab, “Kanda kan sudah beritahu tadi, dinda salah faham maksud peribahasa itu. Maksud bagai empedu lekat hati adalah sangat karib dan akrab. Ya, kita memang sangat akrab, seperti empedu yang lekat di hati. Namun bukan sekadar itu maksud kanda. Kanda sebenarnya mahu memberitahu, kanda menerimanya diri dinda, seadanya. Walaupun dinda itu sepahit empedu pun, dinda akan tetap lekat di hati kanda, untuk selama-lamanya.”

Si isteri terus memeluk erat lengan suaminya, dengan hati yang penuh bunga-bunga, penuh bahagia, dan matahari pun bertasbih melihat mereka berdua.

Pemberitahuan.

Saya dimaklumkan ada yang mencari karya-karya saya, tetapi tidak dijumpai di kedai buku. Maka bolehlah ditempah terus daripada sini .http://www.bookcafe.com.my/en/

Maaf, untuk waktu ini, dengan ruang masa dan keupayaan yang terhad, saya tidak mengendalikan pembelian terus daripada saya sendiri.

Bagi yang bertanya-tanya, apa lagi karya saya, boleh semak pada link di bawah. Itulah senarai karya saya, dan boleh semak review yang dibuat, sama ada ia sesuai dengan citarasa ataupun tidak. Yalah, manusia kan unik, punya citarasa yang berbeza-beza. Semoga citarasa kita sama. :)

http://www.goodreads.com/author/list/1700236.Bahruddin_Bekri

Thursday, June 16, 2011

Untuk perempuan-perempuan yang pernah aku cintai (Sebuah cerpen)

Di hadapan pintu

Waktu itu, saya sedang berdiri di hadapan sebuah rumah yang sepi. Perasaan saya pada ketika itu membuncah, lalu menjadi riak-riak resah pada wajah. Saya segera mendapati, keberanian saya terpojok pada sudut hati yang paling dalam. Dengan ekor mata, saya memandang ke kiri dan ke kanan, dan semuanya kosong. Saya teliti lagi baik-baik, dan tetap juga ia kosong. Namun itu tidak mampu meredam buncah dalam hati saya.

Saya memicing sesaat, sebelum dengan perlahan memandang ke hadapan, ke arah pintu rumah yang diukir dengan citarasa Melayu. Ia menyisakan rasa kukuh dan indah, yang seperti tidak akan luntur ditelan masa.

Saya menarik nafas dalam-dalam, dan kemudiannya memandang enam pucuk surat bersampul biru laut, di tangan kanan saya. Surat-surat itulah yang menjadi asbab untuk riak-riak resah pada wajah saya, yang menjadi asbab untuk saya berada di hadapan pintu kayu yang berukir Melayu itu.

Sempurna

Saya mengenali lelaki itu sebagai lelaki yang hampir sempurna. Rangkaian wajah, badan, mata, dan apa sahaja pada dirinya, menerbitkan rasa indah pada mata yang memandang. Suaranya pula, mampu menegakkan telinga yang layu. Apabila dia berbicara, kata-katanya menggegar hati, seperti orang yang mendeklamasi.

Pendidikannya, jauh-jauh sampai ke Amerika. Entah apa yang dia belajar di sana tidak saya tahu, walaupun pernah juga dia memberitahu jurusannya tetapi tidak mampu saya ulang untuk kedua kalinya. Pendidikannya yang selangit itu disokong pula oleh kekayaan keluarganya, yang saya yakin kayanya mampu memberi makan sehari seluruh penduduk Uganda.

Rangkuman semua itu, menjelaskan situasi dirinya sekarang. Seorang lelaki kacak, kaya, pintar dan murah senyuman. Namun, benar juga kata orang tua, gading mana yang tidak retak, dan retaknya dia adalah pada hatinya. Dia seorang lelaki yang mudah jatuh cinta, seperti mudahnya menepis lalat yang hinggap di muka.

Pernah lelaki itu, sambil ketawa-ketawa, melungsurlah ceritanya kepada saya. Katanya, “Entah kamu percaya ataupun tidak, yang aku pernah bercinta dengan lima orang perempuan, dan sekiranya sahaja, hari ada 27 jam, pasti aku mampu bercinta dengan 10 lagi orang perempuan, pada masa yang sama.”

Mendengarkan ceritanya, saya diam sambil-sambil hati saya bergemeretak. Saya ini, jangankan dua, seorang perempuan pun tidak terkilir hatinya kepada saya. Ibaratnya, dia adalah berlian pada mahkota raja, dan saya adalah pasir pada tapak kaki hamba sahaya.

Itulah hulu cerita ini, dan daripada lelaki itulah saya menerima enam pucuk surat di tangan saya.

Bos

Waktu itu, saya adalah orang yang sedang menggelepar mencari kerja. Ke mana-mana sahaja saya pergi memohon kerja, dan pasti berakhir dengan wajah saya yang sendu, menanggung kecewa. Manusia-manusia yang menjadi penemuduga sering menyebut saya sebagai orang tidak layak. Semuanya kerana sijil-sijil pelajaran saya yang seperti daun-daun kering tidak berguna. Tidak ada angka yang dapat memberikan rasa bangga.

Mujurlah, masih mampu saya mengelus-elus hati supaya terus berusaha dan pada hari itulah, saya bertemu lelaki itu. Lelaki yang berkata, “Saya suka dengan wajah kamu. Wajah orang susah yang sedar diri. Jadi, saya fikir, orang seperti kamu cukup sesuai menjadi pembantu peribadi saya. Setuju?”

Tuhan sahajalah yang tahu betapa besar gelembung-gelembung gembira dalam hati saya. Waktu itu, saya seperti bersemayam di atas takhta. Ia menjadi penyebar bahagia saya dan walaupun ia adalah kisah lima tahun dahulu, bahagianya tetap mampu saya rasa sampai sekarang.

Saya menjadi pembantunya yang taat namun untuk keseluruhan waktu, lelaki itu tetap meninggalkan serangkaian misteri. Tidak sepanjang waktu saya bersama dia kerana banyak waktu dia diam, muram, dan berkereta sendiri entah ke mana-mana. Fikir saya, mungkin sahaja dia bergaduh dengan dengan perempuan-perempuan yang menjadi cintanya, lalu dia berkereta sendiri mahu memujuknya.

Suatu pagi

Saya ingat lagi pagi itu, lelaki itu dengan senyuman yang terhiris daripada wajahnya, berkata kepada saya, “Ini ada enam sampul surat untuk perempuan-perempuan yang pernah aku cintai. Jadi aku mahu kamu kirimkan terus kepada mereka.”

Saya sebagai pekerja yang taat, hanya diam walaupun bertanya juga hati saya, mengapa selepas lima tahun baru hari ini dia mahu memberi surat? Malah menambah hairan saya, selepas dikira-kira, rasanya jumlah perempuan-perempuan yang pernah dicintainya lebih 100 orang dan mengapa hanya enam orang sahaja yang dikirimkan surat?

Lelaki itu mungkin segera faham riak wajah saya yang keliru dan langsung dia berkata, “Antara banyak-banyak perempuan yang pernah aku cintai, hanya enam orang sahaja yang aku masih ingat wajah, sikap dan aku masih ingat di mana rumahnya. Lalu aku kira, mungkin keenam-enam orang itu adalah perempuan-perempuan yang benar-benar aku cintai.”

Faham juga saya perkara itu, namun tidak lama ada satu hal yang masih samar-samar dalam kepala dan terus saya bertanya, “Mengapa tiba-tiba sahaja?”

“Mulai hari ini, aku tidak akan jatuh cinta lagi, dan jangan kamu tanya mengapa,” jawab lelaki itu lalu ketawa, dan saya sebagai pekerja yang taat terus memasrahkan hati pada jawapannya. Namun tetap juga saya bertanya lanjut berkenaan perempuan-perempuan itu, dan lelaki itu tidak cuba-cuba melindungi perasaannya.

Perempuan-perempuan itu

Lelaki itu menyisakan garis bahagia pada masa lalu, pada ketika dia bercerita berkenaan perempuan-perempuan yang pernah dia cintai. Dia tidak bercerita banyak, kerana ceritanya hanya sama untuk semua perempuan-perempuan itu.

Katanya, “Hanya dengan dengan kerut wajahnya, dia mampu menguasai aku. Tatap matanya umpama ganti rugi pada kegembiraan masa kecil aku. Lenggok tangannya tidak terlihat layu walaupun ia patah-patah menggegar. Dengan ekspresi lurusnya dia mendamaikan suasana hati. Tidak ada sebibit pun muslihat pada senyumannya. Itulah kesan keseluruhan dirinya. Damai, bahagia dan penuh cinta. Mungkin kerana itu aku jatuh hati kepada dia.”

Saya diam dan atas penerangan itulah saya sangat-sangat resah mahu menghulurkan surat kepada perempuan-perempuan itu. Sehingga, pintu kayu yang berukir indah itu seperti menyebut-nyebut nama saya, dan pada ketika hati saya sudah bersedia untuk memberi salam, pintu itu terbuka dan di balik pintu, muncullah perempuan seperti yang lelaki itu ceritakan. Ternyata lelaki itu tidak sedikit pun berbohong. Melihat perempuan itu memberi kesan kepada seluruh diri saya sehingga saya hanya mampu berkata, “Ini surat untuk kamu.” Suara saya bergetar-getar.

Tidak sempat perempuan itu bertanya, terus saya laju berlalu dari situ. Meninggalkan perempuan itu melopong sendiri dengan pertanyaan yang bertapuk-tapuk dalam hati.

Selepas yang pertama, kedua, ketiga dan seterusnya menjadi mudah sehinggalah kepada perempuan yang keenam. Ternyata saya tidak mampu menggunakan mantera yang sama kerana perempuan yang keenam berkata, “Maaf, saya tidak boleh menerima surat daripada orang yang tidak saya kenal. Saya cuma kenal posmen dan kamu bukan posmen.”

Tangannya memberi tanda dia tidak mahu menerima, sedangkan di pihak saya, itu adalah amanah yang sudah mengikat sampai ke jantung.

“Jangan begitu, ini adalah surat daripada orang yang pernah kamu kenal,” rayu saya lalu menyebut nama lelaki yang pernah mencintainya.

Tumpah gelisah pada wajah perempuan itu pada saat saya menyebut nama lelaki itu. Terus sahaja dia berkata, “Saya sudah bersuami dan punyai anak. Beritahu sahaja dia, saya tidak mahu apa-apa lagi daripada dia.”

“Surat ini bukan mahu apa-apa. Malah katanya, hari ini dia sudah mahu berhenti daripada jatuh cinta,” pujuk saya kembali.

“Lelaki, kata-katanya seperti ais. Sesaat sahaja boleh digenggam, sesaat kemudian tanpa sedar, ia mengalir hilang daripada genggaman, meninggalkan jari-jari yang sakit.” Perempuan keenam itu terlalu kukuh dengan prinsipnya.

Diam saya mencari akal namun tidak ketemu dan terpaksa juga saya berkata, “Jadi surat ini bagaimana?”

“Kamu bacakan sahaja kepada saya,” jawab perempuan keenam itu dengan senyuman yang tersungging daripada bibirnya. Sinis.

Lurusnya saya, tidak sedikit pun akal saya berfikir yang sebenarnya perempuan itu cuma mahu mempermain-mainkan saya. Lalu selepas bertanya beberapa kali sama ada dia muktamad dengan keputusannya, perlahan-lahan saya membuka sampul surat, dan penuh cermat saya membuka lipatnya. Dengan nafas yang teratur saya mula membaca, cukup-cukup untuk telinga saya dan perempuan itu.

Untuk perempuan-perempuan yang pernah aku cintai.

Untuk kamu yang pernah aku cintai.

Pertamanya, saya mendoakan yang terbaik untuk hidup kamu. Lalu apakah lagi perkara terbaik dalam hidup selain mendapat rahmat dan berkat Allah? Itulah yang saya doakan untuk kamu.

Mungkin sahaja hati kamu mahu menyelidiki niat saya menghantar surat ini, dan biarlah saya berterus-terang. Saya mahu memohon maaf sebanyak-banyaknya atas semua salah saya. Lalu saya mahu memberitahu juga antara sebab saya dahulu meninggalkan kamu, semoga dengan itu kamu mudah memberi maaf.

Dahulu, saya ini manusia yang sia-sia hidupnya, kerana saya mencampurkan air yang jernih dengan minyak yang hitam. Benar, saya belajar agama dan saya tahu halal haram, namun dalam masa yang sama, tindakan saya seperti bukan orang yang tahu halal dan haram. Semuanya bercampur dan celakanya, saya bahagia dengan hal itu.

Semuanya bermula dengan cinta. Walaupun sahaja saya tahu tidak ada dalil dan nas dalam Quran mengatakan bercintalah sebelum nikah, namun tetap juga saya lakukan, dan malah saya lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Pasti sahaja, tanpa dalil dan nas yang menyokong, lalu di mana kesuciannya cinta sebelum bernikah?

Itulah lemahnya saya sebagai lelaki. Maafkan saya kerana mengheret kamu sekali dalam hal-hal yang sebegitu. Bukan salah kamu, kerana saya jugalah yang memujuk, dan saya jugalah yang merayu sehingga kamu setuju. Sepatutnya sahaja saya lanjutkan hal itu kepada nikah agar cinta itu menjadi suci, namun tidak saya lanjutkan kerana saya melihat sesuatu dalam diri kamu yang membuatkan saya ingat kepada pesan Imam Ghazali. Yang sebenarnya lebih kepada manfaat diri sendiri. Sekiranya sahajalah waktu itu saya punya semangat mahu menyebarkan manfaat kepada kamu, pasti tidak perlu saya tuliskan surat ini.

Tidak mahu saya menyebutkan perkara itu, namun biarlah saya sebutkan sahaja pesan Imam Ghazali dan semoga dengan pesan-pesan itu, kamu dapat melihat apa yang saya lihat dahulu.

Berpesanlah Imam Ghazali, “Jangan engkau kahwini perempuan yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”

Perempuan Ananah, perempuan yang banyak mengeluh dan mengadu. Juga pada setiap saat dia memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

Perempuan Mananah, perempuan yang suka membangkit-bangkit terhadap suami. Perempuan ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu.”

Perempuan Hananah, perempuan yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain (atau bekas teman lelakinya), yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya daripada suami yang lain.

Perempuan Hadaqah, perempuan melemparkan pandangannya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Perempuan Baraqah, perempuan yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, atau apabila dia marah ketika makan, dia tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Perempuan Syadaqah, perempuan yang banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Itulah yang saya lihat dalam diri kamu, dan tinggal untuk kamu sahaja menyemaknya kembali.

Namun sekali lagi saya memohon jutaan maaf atas semua perkara yang telah lalu. Semuanya salah saya, lelaki yang jahat, lelaki yang entah apa lagi gelaran yang kamu boleh beri. Tahu agama tetapi, tidak menggunakannya. Pada saat saya menggunakan hukum agama pula, saya menggunakannya hanya untuk kepentingan diri sendiri. Jahatnya saya, dan maafkanlah saya. Saya memohon sesungguhnya daripada kamu.

Mahu sahaja sebenarnya saya, pergi kembali kepada kamu dan memberikan cinta ataupun setidaknya kata sahabat, namun saya tidak mampu. Hayat saya sudah tidak lama, dan mungkin sahaja pada saat kamu membaca surat ini, saya sudah tidak ada lagi di dunia ini. Jadi, mohon maafkan saya.

Yang benar,
Lelaki yang pernah mencintaimu.

“Apa maksud dia?” soal perempuan keenam itu dengan wajah yang saya tidak mampu baca perasaannya.

Saya menarik nafas perlahan-lahan dan menggeleng-geleng. Tidak tahu saya mengapa dia menulis begitu sehinggalah saya kembali lagi menemui lelaki itu. Bukan di pejabat, tetapi di hospital. Rupa-rupanya, secara rahsia dia sedang melawan sakit yang tidak ada ubatnya. Tidak tahu saya nama sakit itu tetapi diberitahu, darah putih dalam tubuhnya sedang merosakkan tubuhnya sendiri. Terbukalah misteri lelaki itu, dan tahulah saya mengapa dia diam, muram dan ke mana dia pergi seorang diri. Bukannya pergi bertemu dengan cinta, melainkan pergi bertemu dengan doktor.

Pada ketika saya menuliskan kisah ini, lelaki itu juga sudah menemui Yang Maha Pencipta, meninggalkan saya tidak lagi bekerja, meninggalkan kisah ini, dan meninggalkan perempuan-perempuan yang pernah dia cintai.