Thursday, November 10, 2011

Menarik nafas pada udara yang padat resah, membuat dada saya sesak dengan pelbagai perkara yang entah bagaimana saya mahu luahkan. Ttidak tahu saya, di celah-celah ruang dada saya ini, ada berapa banyak lagi kisah kecerian yang tersisa.

Kasar sudah hati saya, yang sentiasa memegang kata, 'berusaha' dalam mencari riangnya hati. Tidak tahu saya, di mana silapnya sehingga, saya berasakan semakin hari, saya semakin jauh masuk ke daerah yang udaranya hanya mengandungi resah. Mungkin sahaja saya terlalu mencuba.

Saya bawa kata 'terlalu mencuba' itu ke kepala, saya renung dan memang saya mengaku, saya terlalu mencuba, tetapi apa salahnya dengan terlalu mencuba? Sehinggalah saya kembali kepada orang tua saya yang saya sandarkan harap saya, pada pengalaman mereka yang sudah seperti delima.

Ayah.

Hari itu, ayah saya berkata, “Mari, kita ke sana. Ada sesuatu untuk kamu.”

“Ke mana?” Saya melihat arah 'ke sana' yang dia katakan dan di situ tidak ada apa-apa selain padang bola yang masih diratai embun.

“Ikut sahaja,” kata ayah saya dan sebagai anak yang taat, itulah kerja saya, mengikut dan akhirnya sampai kami ke tengah padang.

Ayah saya berhenti, lalu memandang saya dan berkata, “Kita sudah sampai ke tengah padang ini, dan ayah mahu kamu jawab soalan ayah ini dengan betul. Yang utama kamu cuma ada sekali cubaan.”

Saya sudah berasa tumbuh sayap tidak selesa, dan menanti sahaja untuk terbang ke langit debar. Apalah soalan ayah mahu saya ini, dan sebagai anak yang taat, saya diam menunggu titah lanjutnya.

“Apa yang kamu perhatikan?”

Saya paling tidak suka ditanyakan soalan yang begitu. Pertanyaan yang membuat saya tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Hanya ada sekali cubaan sedangkan, banyaknya perkara yang mampu dijadikan jawapan. Apa yang saya perhatikan? Banyak, terlalu banyak yang saya perhatikan. Ada rumput yang masih basah, ada tiang gol di hujung sana, ada pentas buruk yang sering dijadikan tempat berdirinya orang memanggil dirinya Yang Berhormat, ada juga rumah-rumah usang di tepi padang, dan paling jelas, ada sekolah kayu berwarna biru luntur, menanti waktu memeluk bumi.

Terlalu banyak dan saya terus berkata, “Ayah mahu saya perhatikan yang mana?”

“Apa-apa sahaja, dan ingat kamu ada satu cubaan sahaja,” kata ayah saya dengan wajahnya yang penuh bijaksana.

Saya diam, dan degup jantung terus menjadi luar biasa. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran cuba saya jadikan jawapan namun, tidak pernah lekat sebagai jawapan yang pasti.

“Baiklah, ayah berikan kamu peluang lagi. Satu kali cubaan ataupun kamu pilih untuk mengalah,” tawar ayah saya dengan wajah yang masih nampak bijaksana,

Saya tetap diam memikirkan tawaran ayah saya. Terdengarnya ada sesuatu di situ, dan sesuatu itulah yang saya tidak tahu apa.

“Bagaimana?” soal ayah saya lagi.

Saya pandang lagi sekeliling dan ternyata, tidak ada apa-apa yang masuk ke dalam fikiran saya menjadi jawapan. Semuanya masuk menjadi tanda tanya dan itulah sukar hidup, pada ketika kita mahu jawapan yang masuk ke dalam kepala, soalan pula yang kita jumpa.

“Saya tarik diri,” jawab saya yakin kerana hanya itulah caranya untuk saya membebaskan diri daripada kepak tidak selesa yang sudah sedia mengepak.

Ayah saya tersenyum pahit, namun pahit senyumannya itu bukan tanda dia kecewa, tetapi ada yang lebih besar dalam dadanya dan pada ketika itulah dia memberitahu pesan yang satu itu.

Pesan.

“Anakku, jawapan untuk soalan ayah tadi, adalah sederhana. Apa sahajalah yang kamu lihat, dan sekiranya kamu sebut, itulah jawapan yang betul. Sayang sekali kamu tidak mahu mencuba,” kata ayah saya, mengawali pesan.

Saya menggaru-garu lengan dan kemudiannya berkata, “Adakah ayah mahu katakan, gagal yang sebenar itu adalah tidak mahu mencuba?”

“Ia lebih daripada itu, anakku,” balas ayah saya dengan segera.

Terdiam saya. Apa lagi pengajaran yang lebih besar pada hari itu yang akan saya peroleh selain daripada soal kegagalan?

“Anakku, sekiranya hidup atau umur kita ini adalah soalan, jawapannya adalah cara kita menjalani hidup. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran kamu tadi, sama ada rumput, tiang gol, pentas buruk, sekolah dan burung-burung adalah jawapan. Tidak ada satu pun yang salah, selagi mana kamu nampak perkara itu, kerana perkara itu benar wujud. Begitu juga hidup, tidak ada cara salah menjawabnya, dan kita punya peluang bagi memberi pelbagai jawapan asalkan perkara itu tetap 'benar'. Kamu boleh menjawabnya dengan menjadi seorang hakim, boleh menjadi pemain bola sepak, menjadi menteri, menjadi pelajar dan menjadi penulis. Semua jawapan itu benar. 'Benar' itu pula kita peroleh daripada agama kita, Islam. Jadi, jawapan hidup akan salah sekiranya, kita memberi jawapan yang tidak 'benar', jawapan yang tidak ada dalam agama. Lalu pada ketika kamu menarik diri, pada ketika itulah ayah menjadi sangat khuatir anakku.”

Debar saya bertambah. Kata-katanya itu pun sudah sakit untuk saya memahaminya, apatah lagi nanti dengan kata-katanya yang ini. Entah apa lagi yang ayah saya mahu berikan.

“Anakku, bagi memberi jawapan yang benar, kita perlu tahu kelemahan diri kita, dan daripada situ kita akan memperbaikinya. Walaupun mungkin tidak mungkin diperbaiki, tetapi setidak-tidaknya, kita tahu di mana kita harus berjaga-jaga. Misalnya kamu lemah kepada wajah ayu perempuan, dan mudah kalah kepada nafsu, di situ kita perlu perbaiki, dan perlu banyak berjaga-jaga. Namun perkara utama sekali, dalam menjawab soalan hidup, kita tidak boleh cuba menjadi orang lain. Jangan sesekali menjadi orang lain.”

“Maksud ayah?” soal saya terus. Otak terus panas berputar.

“Kita tidak akan tahu kelemahan diri kita, sekiranya kita pura-pura menjadi orang lain. Jadi sekiranya kita tidak tahu kelemahan kita, bagaimana kita mahu memperbaikinya, dan sekiranya kita gagal memperbaikinya, bagaimana kita mahu menjawab soalan hidup dengan benar? Itulah yang ayah nampak kepada kamu, kamu terlalu berusaha menjadi orang lain. Mungkin sahaja kamu ada idola kamu, tetapi bukan bermakna, kamu perlu pura-pura menjadi mereka. Cukup kamu berusaha menjadikan mereka teladan, dan bukan berpura-pura menjadi mereka. Tuhan tidak akan bertanya, adakah kamu sudah seperti Nabi Muhammad SAW, tetapi akan dipersoalkan, adakah kamu sudah berusaha seperti peribadi Nabi. Mudahnya, kamu sedarlah diri. Pada kata sedar diri itu, akan jelas di mana kelemahan dan kekuatan kamu. Misalnya sahaja tadi kamu tidak pura-pura menjadi orang lain, pasti kamu sudah memberi jawapan pada soalan ayah. Namun kamu berusaha berpura-pura menjadi seperti ayah yang tahu jawapannya, sedangkan posisi kita berbeza. Cukup kamu ambil teladan daripada sikap yakin dan berani ayah, dan kamu akan menjawab tanpa perlu punya perasaan, 'saya tahu jawapan yang betul itu'.”

Terdiam saya pagi itu, di tengah padang yang sudah terik mataharinya. Berfikir, berapa banyak kelemahan diri yang saya tidak nampak, hanya kerana saya berpura-pura menjadi orang lain. Mungkin kerana itu jugalah, antara sebab, resah-resah banyak masuk ke dalam dada, resah kerana cuba menjadi orang lain.


Menarik nafas pada udara yang padat resah, membuat dada saya sesak dengan pelbagai perkara yang entah bagaimana saya mahu luahkan. Tidak tahu saya, di celah-celah ruang dada saya ini, ada berapa banyak lagi kisah kecerian yang tersisa.

Kasar sudah hati saya, yang sentiasa memegang kata, 'berusaha' dalam mencari riangnya hati. Tidak tahu saya, di mana silapnya sehingga saya berasakan semakin hari, saya semakin jauh masuk ke daerah yang udaranya hanya mengandungi resah. Mungkin sahaja saya yang terlalu mencuba.

Saya bawa kata 'terlalu mencuba' itu ke kepala, saya renung dan memang saya mengaku, saya terlalu mencuba, tetapi apa salahnya dengan terlalu mencuba? Sehinggalah saya kembali kepada orang tua saya yang saya sandarkan harap saya, pada pengalamannya yang sudah seperti delima.

Ayah.

Hari itu, masih awal pagi, dan dengan pakaian sukan ayah saya berkata, “Mari, kita ke sana. Ada sesuatu untuk kamu.”

“Ke mana?” Saya melihat arah 'ke sana' yang dia katakan dan di situ tidak ada apa-apa selain padang bola yang masih diratai embun.

“Ikut sahaja,” kata ayah saya dan sebagai anak yang taat, itulah kerja saya, mengikut dan akhirnya sampai kami ke tengah padang.

Ayah saya berhenti, lalu memandang saya dan berkata, “Kita sudah sampai ke tengah padang ini, dan ayah mahu kamu jawab soalan ayah ini dengan betul. Yang utama kamu cuma ada sekali cubaan.”

Saya sudah berasa tumbuh sayap hairan, dan menanti sahaja untuk terbang ke langit debar. Apalah soalan ayah mahu saya ini, dan sebagai anak yang taat, saya diam menunggu titah selanjutnya.

“Apa yang kamu perhatikan?”

Saya paling tidak suka ditanyakan soalan yang begitu. Pertanyaan yang membuat saya tidak tahu bagaimana mahu menjawabnya. Hanya ada sekali cubaan sedangkan, banyaknya perkara yang mampu dijadikan jawapan. Apa yang saya perhatikan? Banyak, terlalu banyak yang saya perhatikan. Ada rumput yang masih basah, ada tiang gol di hujung sana, ada pentas buruk yang sering dijadikan tempat berdirinya orang memanggil dirinya Yang Berhormat, ada juga rumah-rumah usang di tepi padang, ada burung-burung dan paling jelas, ada sekolah kayu berwarna biru luntur, menanti waktu memeluk bumi.

Terlalu banyak dan saya terus berkata, “Ayah mahu saya perhatikan yang mana?”

“Apa-apa sahaja, dan ingat kamu ada satu cubaan sahaja,” kata ayah saya dengan wajahnya yang penuh bijaksana.

Saya diam, dan degup jantung terus menjadi luar biasa. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran cuba saya jadikan jawapan namun, tidak pernah lekat sebagai jawapan yang pasti.

“Baiklah, ayah berikan kamu peluang lain. Satu kali cubaan menjawab ataupun kamu pilih untuk mengalah,” tawar ayah saya dengan wajah yang masih nampak bijaksana,

Saya tetap diam memikirkan tawaran ayah . Terdengarnya ada sesuatu di situ, dan sesuatu itulah yang saya tidak tahu apa.

“Bagaimana?” soal ayah saya lagi.

Saya pandang lagi sekeliling dan ternyata, tidak ada apa-apa yang masuk ke dalam fikiran saya lalu menjadi jawapan. Semuanya masuk menjadi tanda tanya dan itulah sukar hidup, pada ketika kita mahu jawapan yang masuk ke dalam kepala, soalan pula yang kita jumpa.

“Saya tarik diri,” jawab saya yakin kerana hanya itulah caranya untuk saya membebaskan diri daripada kepak hairan yang sudah sedia mengepak.

Ayah saya tersenyum pahit, namun pahit senyumannya itu bukan tanda dia kecewa, tetapi ada yang lebih besar dalam dadanya dan pada ketika itulah dia memberitahu pesan yang itu.

Pesan.

“Anakku, jawapan untuk soalan ayah tadi, adalah sederhana. Apa sahajalah yang kamu lihat, dan sekiranya kamu sebut, itulah jawapan yang betul. Sayang sekali kamu tidak mahu mencuba,” kata ayah saya, mengawali pesan.

Saya menggaru-garu lengan dan kemudiannya berkata, “Adakah ayah mahu katakan, gagal yang sebenar itu adalah tidak mahu mencuba?”

“Ia lebih daripada itu, anakku,” balas ayah saya dengan segera.

Terdiam saya. Apa lagi pengajaran yang lebih besar pada hari itu yang akan saya peroleh selain daripada soal kegagalan?

“Anakku, sekiranya hidup atau umur kita ini adalah soalan, jawapannya adalah cara kita menjalani hidup dan ia perlu berpandukan agama. Ibaratnya, padang ini adalah hidup, dan apa yang kita nampak pada sekeliling kita adalah panduan agama yang benar, dan kita berdiri di tengah-tengahnya. Jadi apa sahaja yang terlintas dalam fikiran kamu tadi, sama ada rumput, tiang gol, pentas buruk, sekolah dan burung-burung adalah panduan dan ia adalah jawapan. Tidak ada satu pun yang salah, selagi mana kamu nampak perkara itu, kerana perkara itu benar wujud. 

"Begitu juga hidup, tidak ada cara salah menjawabnya, dan kita punya peluang bagi memberi pelbagai jawapan asalkan perkara itu tetap berdasarkan panduan agama. Kamu boleh menjawabnya dengan menjadi seorang hakim, boleh menjadi pemain bola sepak, menjadi menteri, menjadi pelajar dan menjadi penulis. Jadi, jawapan hidup akan salah sekiranya, kita memberi jawapan yang tidak 'benar', jawapan yang tidak ada dalam agama. Lalu pada ketika kamu menarik diri, pada ketika itulah ayah menjadi sangat khuatir anakku.”

Debar saya bertambah. Kata-katanya itu pun sudah sakit untuk saya memahaminya, apatah lagi nanti dengan kata-katanya yang ini. Entah apa lagi yang ayah saya mahu berikan.

“Anakku, bagi memberi jawapan yang benar berpandukan agama, kita perlu tahu kelemahan diri kita, dan daripada situ kita akan memperbaikinya. Misalnya kamu lemah kepada wajah ayu perempuan, dan mudah kalah kepada nafsu, di situ kita perlu perbaiki, dan perlu banyak berjaga-jaga. Namun perkara utama sekali, dalam menjawab soalan hidup, kita tidak boleh berpura-pura cuba menjadi orang lain. Jangan sesekali menjadi orang lain.”

“Maksud ayah?” soal saya terus. Otak terus panas berputar.

“Kita tidak akan tahu kelemahan diri kita, sekiranya kita berpura-pura menjadi orang lain. Jadi sekiranya kita tidak tahu kelemahan kita, bagaimana kita mahu memperbaikinya, dan sekiranya kita gagal memperbaikinya, bagaimana kita mahu menjawab soalan hidup dengan berpandukan agama? Itulah yang ayah nampak kepada kamu, kamu terlalu berusaha menjadi orang lain sehingga menjadi berpura-pura. Mungkin sahaja kamu ada idola kamu, tetapi bukan bermakna, kamu perlu pura-pura menjadi mereka."

Saya terus keliru.

"Cukup kamu berusaha menjadikan mereka teladan, dan bukan berpura-pura menjadi mereka. Tuhan tidak akan bertanya, adakah kamu sudah seperti Nabi Muhammad SAW, tetapi akan dipersoalkan, adakah kamu sudah berusaha mendekati peribadi Nabi. Mudahnya, kamu sedarlah diri. Pada kata sedar diri itu, akan jelas di mana kelemahan dan kekuatan kamu. Misalnya sahaja tadi kamu tidak pura-pura menjadi orang lain, pasti kamu sudah memberi jawapan pada soalan ayah. Namun kamu berusaha berpura-pura menjadi seperti ayah yang tahu jawapannya, sedangkan posisi kita berbeza sehingga kamu tidak sedar apa yang kamu nampak. Cukup kamu ambil teladan daripada sikap yakin dan berani ayah, dan kamu akan menjawab tanpa perlu punya perasaan, 'saya tahu jawapan yang betul itu'.”

Terdiam saya pagi itu, di tengah padang yang sudah terik mataharinya. Berfikir, berapa banyak kelemahan diri yang saya tidak nampak, hanya kerana saya berpura-pura menjadi orang lain. Mungkin kerana itu jugalah, antara sebab, resah-resah banyak masuk ke dalam dada, resah kerana terlalu berusaha menjadi orang lain tanpa saya sedar.


Wednesday, October 19, 2011

Bagaimana menurutmu? - sebuah cerpen.

Pernah mungkin, kamu berada pada situasi saya ini. Pada situasi kamu perlu berlari pada jalan yang penuh tanda tanya, hanya untuk mencari titik akhir yang bernama jawapan, namun kamu tidak pernah ketemu.

Lama juga saya berlari pada jalan itu, sehingga saya lelah, haus, dan hanya peluh kecewa yang saya peroleh. Itulah jalan yang saya lalui dan sekarang masih tetap saya lalui. Tahu saya jawapannya ada di situ, namun lemahnya saya sebagai manusia, jawapan itu yang terkadang sudah terlihat dekat, tiba-tiba samar dan terus hilang daripada mata.

Inilah jalan yang saya mahu cerita.

Senang.

Dari kecillah saya diberitahu oleh ibu, oleh ayah dan oleh saudara mara tua saya, berbuat baik sesama makhluk, taat kepada perintah Allah dan tidak melanggar larangan-Nya, adalah jalan ke arah kebahagiaan.

Rezeki akan murah, hidup menjadi senang. Belajar cepat pandai, dan berdoa juga mudah makbul. Ingat benar saya pesan-pesan itu. Pesan-pesan yang membawa saya, cuba menjadi manusia baik. Pesan yang yang mulia, pesan yang membuatkan saya berlari di jalan itu, sehingga saya terlupa kepada satu perkara.

Lelaki.

Umur saya sudah 50, dan uban sudah tidak malu-malu singgah ke kepala. Berpestalah uban, dan semakin lama, semakin hilang gagahnya warna hitam daripada saya. Uban itulah tanda, kuatnya kerja saya, uban itulah juga saksi, betapa gagahnya saya berfikir berkenaan hidup, dan pada hari itu pun tetap sama.

Waktu itu pagi sudah sedang elok untuk solat sunat dhuha. Tetapi saya lain pula ceritanya, hanya duduk bersandar pada dinding surau dengan mata yang pejam. Menyesal juga hati, terawal datang ke pejabat, dan akhirnya mata pula yang alah pada kata 'nikmat tidur'.

Pada ketika saya membuka mata, terlihat di hadapan saya, seorang lelaki seusia saya, yang juga teman baik saya, yang sudah usai solat sunat dhuha. Tersenyum dia memandang saya dengan tangan yang sedang menadah doa. Pastinya, doa itulah doa yang muluk-muluk. Doa-doa yang saya sendiri pernah ucapkan kepada Tuhan.

“Sudah solat?” soal lelaki itu selepas tapak tangannya menyeluruhi wajahnya yang bening. Teman baik saya ini, memang kerjanya, mengajak ke arah kebaikan dan saya sudah biasa. Malah sebenarnya saya sangat bersyukur kerana bertemankan dia.

Saya menggeleng, tersenyum dan berceritalah lelaki itu berkenaan hebatnya yang dinamakan solat sunat dhuha. Saya mendengarkan sahaja, kerana walaupun saya sudah tahu, namun gaya dia bercerita, bukan mahu memberitahu yang dia tahu, tetapi mahu memberitahu, yang dia peduli dan sayang kepada saya, sebagai seorang saudara seagama. Perasaan itu jarang benar saya peroleh dan pagi itu saya peroleh lagi.

“Sempat lagi kalau mahu solat,” kata lelaki itu tersenyum lagi.

Tidak tahu saya bagaimana mahu menjawab kata-kata lelaki itu, sehinggalah datang luahan daripada hati, yang kemudiannya menjadi fikir dalam kepala, dan saya luahkannya dengan penuh hati-hati menjadi bicara.

“Senang dunia, sepertinya tidak mahu lekat kepada saya. Lalu sekarang, ibadah saya bukan lagi mahu kesenangan dunia, tetapi mahu berkat dan rahmat-Nya.” Hati-hati betul saya bicara, agar saya tidak terlihat orang yang tidak bersyukur, agar saya tidak terkesan sebagai orang yang putus asa.

Namun lain pulalah jadi. Wajah lelaki yang bening itu, tiba-tiba sahaja menjadi teduh yang luar biasa. Tahulah saya, ada sesuatu yang dia mahu perkatakan dengan sesungguh hati dan saya pun menanti.

Jalan.

“Maafkan saya, sekiranya saya terlihat cuba menilai kamu, tetapi saya mahu bertanya, sebelum ini kamu berbuat baik, berdoa dan segala macam ibadah adakah kerana mahu memperoleh senangnya dunia dan seterusnya mendapat redha Ilahi?” soal lelaki itu, sopan dan baik.

“Jujurnya, ya. Namun saya sedar, ada manusia yang doanya ditangguhkan sehingga ke syurga, dan mungkin sayalah orangnya. Asalkan saya beroleh redha Ilahi, itu sudah cukup,” jawab saya, yang masih juga hati-hati.

Diam sebentar lelaki itu. Diam yang sedang menyusun kata-kata terbaik, bagi dihulurkan dengan sopan kepada saya, dan saya terus menanti.

Berkatalah lelaki itu, “Begini temanku. Untuk umur kita ini, ada sesuatu yang tidak kena pada kata-kata kamu. Namun sebelum saya memberitahu, biarlah saya bercerita daripada mula.”

Degup jantung saya, bergetar laju. Apalah lagi bicara yang lelaki itu simpankan untuk saya.

“Semasa kita kecil, semasa kita remaja, pesan-pesan supaya kita berbuat baik, patuh suruhan dan taat larangan Allah supaya memperoleh kesenangan dalam urusan dunia adalah wajar, bagi memperelok iman dan membuatkan kita semakin mahu kepada Tuhan, dan memang itulah yang banyak berlaku kepada kita. Namun, pada peringkat umur kita, pesan-pesan itu, perlu ditingkatkan lagi kepada yang lebih tinggi.”

Saya mengerut dahi, dan kefahaman saya berhenti di situ. Saya melihat lelaki itu, dia tersenyum dan dia bersedia bagi menyambung.

“Begini, oleh kerana daripada kecil kita sudah terbiasa dengan pesan-pesan itu, apabila kita sudah dewasa, tanpa kita sedar pesan-pesan itulah yang membalut hati kita. Tidak salah dengan perkara itu, yang menjadi soalnya adalah diri kita, kita terlupa berkenaan proses, jalan-jalan yang ditempuhi oleh para nabi dan rasul. Merekalah itu manusia-manusia yang paling dekat dengan Tuhan dan sekiranya mahu dibandingkan dengan saya, ya Allah, jauhnya mungkin tujuh petala langit tujuh petala bumi. Tetapi, walaupun sedekat itu mereka dengan Tuhan, adakah jalan hidup mereka di dunia ini dipenuhi kesenangan?”

Penerangan yang diakhiri soalan itu membuatkan saya menjadi ragu-ragu, dan lelaki itu tidak membiarkan saya lama-lama di situ.

Dia menyambung, “Memang ada kesenangan dunia, namun yang banyaknya adalah cabaran yang seberat-berat ujian. Lalu, jangan terus membalut hati kamu dengan pesan-pesan itu, kerana tanpa kamu sedar kamu sebenarnya putus harapan sekiranya tidak beroleh kesenangan dunia. Boleh sahaja mulut kamu berkata, doa kamu tertangguh, dan redha Allah yang kamu cari, tetapi tanya hati kamu dengan sejujur-jujurnya, adakah kamu tidak kecewa? Tidak salah kecewa, tetapi sekiranya kecewa itu yang datang dahulu sebelum datangnya rasa mahu mencari redha Ilahi, itulah tanda putus harapan, dan itulah yang jarang kita sedar.”

Saya menarik nafas dalam-dalam, dan belum pun nafas saya habis lelaki itu terus berkata, “Jadi, jadikan pesan-pesan itu bukan sekadar balutan pada hati, tetapi buka balutan itu dan cuba fahami makna di sebaliknya. Iaitu, apa sahaja yang kita perbuat dengan niat kepada Allah, memang akan ada balasan yang baik, namun bukan itu yang utama mahu dikejar, dan kita juga tahu redha Allah jugalah yang dicari, namun bagaimana prosesnya? Dalam usia kita, seperlunya, proses kita semakin mudah dengan membuang kata 'kesenangan dunia', dan terus kepada redha Ilahi. Itulah proses mencari redha Ilahi, para nabi, rasul, sahabat dan para ulama, tanpa perlu sedikit pun membalut hati pada kata, 'kesenangan dunia'. Lalu, bagaimana menurutmu?”

Jawapan.

Saya diam dan hanya mampu tersenyum. Lalu pada usia saya ini, terus-terang sukarnya untuk memeluk jawapan walaupun sudah saya tahu bentuk dan warnanya. Lamanya hati saya beku pada kata 'balasan baik di dunia', membuatkan saya tidak sedar, ibadah saya selama ini hanya untuk itu, walaupun mulut saya sering basah mengatakan mahu mencari redha Ilahi, tetapi ia tidaklah lebih besar daripada kata, 'mencari kesenangan dunia'. Ya, Allah, semoga sahaja saya mampu membalikkan perkara itu dalam hati saya, supaya saya tidak perlu lagi berlari pada jalan yang penuh tanda tanya..

Monday, October 17, 2011

Kalau Sampai Surat Merah (Parodi cerpen Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad)

(Daripada cerpen - Kalau Ibu sampai Takah Tiga)



Aman, kalau surat kuning sudah sampai, kamu janganlah panik. Ada beberapa hari lagi sebelum surat merah pula yang sampai. Masih ada masa lagi untuk bayar bil elektrik. Tanya-tanya rakan serumah yang lain, Zahir dan Mohsen, kalau-kalau mereka sudah dapat gaji kerja sambilan hotel. Kalau mereka sudah dapat, baik-baik cakap dengan mereka. Katakan surat kuning sudah sampai, sudah tiga bulan bil elektrik tidak dibayar. Duit semua pergi bayar bil air dan sewa rumah.

Kalau Zahir, biasanya dia diam sahaja kalau duitnya tiada. Kamu jangan berkeras dengan dia. Faham-faham sahajalah, Zahir guna alasan dia graduan sastera, ke sana sini meminta kerja, tidak juga lepas-lepas. Jangan katakan surat tawaran, surat dipanggil temuduga pun tiada. Entah ya, entah tidak Zahir itu mencari kerja. Sulaiman rakan sebilik kamu dahulu, graduan sastera juga, elok sahaja tamat belajar terus jadi pegawai. Namun jangan pula kamu beritahu berkenaan Sulaiman. Kecil hati Zahir. Keluarganya orang susah, adik-beradik ramai dan dia juga adalah harapan keluarga. Kalaupun dia sudah dapat gaji hotel, biasanya habis dihantar balik ke kampung.

Kalau Mohsen, kamu perlu keras. Kalau kamu tidak keras, duit akan habis ke rokok. Dia itu, jenis yang memilih kerja, mahu kerja yang gajinya besar tetapi hari itu terlihat juga keputusan periksanya, memang susah peluangnya mahu bekerja besar. A hanya ada satu dua, keputusan pula cukup-cukup makan. Namun kamu janganlah sampai memberitahu perkara itu kepada dia, kecil hatinya.

Bukan kamu tidak tahu Mohsen kalau kecil hati. Siang malam asyik muncung mulutnya. Makan seorang diri dan televisyen dia tengok sendiri. Susah juga kamu mahu menonton kerana itu televisyen dia. Namun apalah sangat menonton televisyen pada zaman sekarang, banyak berita terkejut yang kamu akan dapat. Harga itu naik, harga ini naik. Gaji sahaja yang tidak naik.

Kalau Mohsen dan Zahir tidak ada wang, kamu jangan putus asa. Usahakan juga meminta wang daripada Ghazali Rempit, rakan serumah lama kita. Dia itu banyak betul hutangnya dengan saya. Penat sudah tekan nombor telefonnya tetap tidak berangkat. Mungkin kalau kamu yang minta, lembut hatinya. Tetapi jangan kamu telefon dia, dia memang jenis tidak akan angkat telefon. Terus kamu jumpa dia di Blok E. Dia itu walaupun kerja kilang, besar juga gajinya, lagi besar daripada kita yang ada ijazah ini. Tetapi itulah, gajinya banyak habis ke motosikal dan bayar saman.

Ghazali Rempit bukan boleh diharap sangat, dapat duit, syukurlah tetapi kalau tidak dapat, kamu janganlah sedih. Tebal-tebalkanlah muka meminjam daripada Mak Cik Saleha di hadapan rumah kita. Dia itu baik orangnya, mudah senyum dan menegur. Kalau bulan puasa, petang-petang dia beri kita bubur kacang dan kurma. Kita sahaja yang tidak malu kembalikan bekas kosong kepada dia.

Mak Cik Saleha itu banyaknya duitnya. Maklumlah anaknya gaji besar, dia pun ambil upah jaga anak orang. Tetapi kalau Mak Cik Saleha kata susah mahu beri pinjam, janganlah pula kamu buruk sangka kata dia kedekut. Walaupun anaknya gaji besar dan Mak Cik Saleha jaga anak orang, harga barang naik sekarang memang boleh buatkan semua orang kurang duit. Bukan kamu tidak tahu, rumah Mak Cik Saleha penuh dengan barangan hutang. Sofa hutang, televisyen hutang dan peti ais pun hutang. Semua itu perlu duit. Namun, sekali lagi, janganlah gatal-gatal mulut tanya berapa bulan lagi hutang peti ais besarnya, pilu hati dia.

Kalau kamu masih tidak cukup wang bagi bayar bil elektrik, cuba kamu tengok bawah katil, bawah tikar, bawah sofa. Rasanya, banyak juga duit syiling yang terjatuh di situ. Mujur kamu, boleh juga jumpa duit kertas sepuluh ringgit. Kumpul-kumpulkan duit itu. Namun janganlah harap ia cukup. Kalau ada pun, itu cuma cukup buat beli sardin tiga tin, sedangkan kita hendak bayar bil tiga bulan.

Jadi lihat-lihatlah dalam bilik saya. Ada banyak akhbar yang saya longgok di tepi pintu. Jual akhbar-akhbar itu. Kalau tidak cukup, ada lagi komik-komik Zahir. Tetapi jangan kamu ambil terus komik dia. Mintalah izin daripada dia dan beritahu, surat kuning sudah sampai. Kalau Zahir tidak izinkan, jangan marah pula kerana Zahir itu memang sayangkan komik-komiknya. Sanggup tidak makan asalkan ada belanja bagi membeli komik. Semogalah harga komik tidak ikut naik. Kasihan juga melihat dia.

Memang duit jual akhbar tidak akan cukup. Jadi pujuk-pujuklah Mohsen bagi meminjam duit daripada teman wanitanya. Teman wanita Mohsen itu bukan seorang. Pernah juga saya kira-kira, ada lebih tiga orang. Semuanya kaya-kaya. Katakan kepada Mohsen, kalau tidak berjaya, elektrik akan dipotong dan dia tidak boleh lagi cas telefon bimbit, dan seterusnya dia tidak boleh SMS lagi dengan teman wanitanya. Kalau Mohsen berjaya, syukurlah. Kalau Mohsen enggan ataupun tidak berjaya, jangan marahkan dia. Mohsen itu memang selalu betul berhutang dengan teman-teman wanitanya. Takut-takut Mohsen sudah tidak lagi diberi hutang.

Mungkin nanti Mohsen dan Zahir bertanya, saya ini asyik menyuruh itu ini tetapi apa pula sumbangan saya? Katakan kepada mereka, kaki saya masih belum sembuh dan masih berehat di kampung. Katakan juga, saya kecelakaan melanggar kereta BMW yang berhenti tiba-tiba. Mujur juga belum arwah, tetapi tetap patah kaki. Namun sakitnya patah kaki tidak boleh di banding sakitnya hati kerana banyak yang perlu dibayar kepada pemilik BMW. Malunya saya, terpaksa meminjam dengan emak ayah, selepas itu meminjam pula dengan abang kakak. Yalah, salah saya yang melanggar, sayalah yang perlu membayar. Namun tetaplah orang kaya bertambah kaya, orang miskin juga yang makan pasir. Nanti apabila kamu beritahu hal itu, fahamlah mereka yang saya ini memang tidak ada duit.

Andaikan sahaja, segala usaha sudah dibuat tetapi duit masih tidak cukup bagi membayar bil elektrik, siap sedialah perasaan dan fizikal kamu, kerana surat merah akan sampai. Biasanya, pekerja potong elektrik datang dengan surat merah pada waktu pagi. Kalau dia datang, kamu janganlah buat muka bengis, muka mahu pukul orang. Itu memang kerja dia, memang sudah dibayar bagi memotong elektrik. Bukan dia yang menaikkan tarif elektrik, bukan dia juga yang memaksa kamu di rumah itu boros menggunakan banyak elektrik.

Tegur dia baik-baik, senyum dan sediakan rokok sebatang dua. Ambil sahaja rokok Mohsen di atas televisyen, dan hulurkan kepada pekerja potong elektrik. Mana tahu, hatinya lembut dan beri kamu tempoh sehari dua lagi. Tanyalah-tanyalah juga kalau ada kosong untuk kamu dan minta nombor telefonnya.

Kalaulah pekerja potong elektrik itu memang sudah tidak boleh dibawa berunding, senyum sahaja. Jangan buat susah hati orang, dia pun sebenarnya bukannya suka-suka mahu potong elektrik kita. Reda dan anggap ini ujian hidup.

Kalau elektrik sudah dipotong, kamu janganlah pula berlari ke rumah Syamsul Elektrik dan minta dia tolong sambungkan balik elektrik. Memanglah Syamsul Elektrik itu boleh sambungkan kembali elektrik rumah tetapi berdosa kita. Lebih malang kalau pihak yang berwajib tahu. Ingat lagi Pak Ahmad Teksi yang tinggal di tingkat empat? Akibat menyambung elektrik secara haram, habis meter elektriknya kena pokah. Bukan kamu tidak tahu, mahalnya meter elektrik itu bukan sepuluh dua puluh ringgit. Bertambah banyak kos kita kalau mahu elektrik disambung. Nasib baik sahaja Pak Ahmad Teksi itu tidak dimasukkan penjara.

Ikan-ikan dalam peti ais itu, kalau ada, sedekahkanlah kepada Encik Murat di tingkat empat, di sebelah rumah Pak Ahmad Teksi, sebelum ia busuk. Dia itu kerjanya cuma jaga yang gajinya tidak sampai seribu. Anaknya pula ada tiga. Sewa rumah lagi, duit makan anak-anak lagi, bil lagi, dan mujur juga anaknya belum sekolah. Kalaulah anaknya sekolah, tidak tahulah bagaimana dia mahu cari duit lebih.

Sayur-sayur pula, boleh kamu sedekahkan kepada Mak Cik Saleha. Dia itu jaga budak-budak, dan memang dia tidak pernah lupa beri budak-budak itu makan sayur. Tetapi itu semua kalau adalah ikan dan sayur. Seingat saya, hari itu peti ais itu kosong dan cuma ada air kosong.

Kalau mahu cas telefon bimbit, jangan kamu minta cas di rumah Mak Cik Saleha. Rumahnya itu orang keluar masuk, nanti hilang telefon bimbit kamu. Itu belum kira lagi dimain oleh budak-budak yang Mak Cik Saleha jaga. Jadi, senyum-senyumlah kamu kepada Rohani Kilang, gadis yang pendiam di tingkat dua.

Rohani Kilang itu, memang jenis tidak banyak soal. Apa dia boleh tolong dia tolong, kecuali hal berkenaan duit. Mintalah tolong dia caskan telefon bimbit kamu. Namun jangan pula kamu masuk ke rumah dia, cukup di depan pintu. Nanti Pak Imam Ishak pandang, dituduhnya pula kamu berkhalwat.

Apabila malam pula, cuba-cubalah kamu periksa dalam almari saya, rasanya ada lagi dua tiga batang lilin hadiah cabutan bertuah. Jimat-jimatlah menggunakan lilin itu. Jangan nyala lilin apabila kamu sudah mahu tidur, takut-takut kamu tidak jumpa pagi, mati rentung.

Bercakap mati rentung, kamu tengok-tengoklah si Mohsen. Dia itu suka betul main api. Api mancis, api rokok dan apa sahaja jenis api. Tegur-tegurlah dia kalau dia main api lilin, bahaya. Jangan juga kamu dekatkan lilin pada langsir, pun bahaya. Boleh mati rentung juga dibuatnya.

Apabila lilin habis, janganlah pula kamu terus hilang harapan. Mahal manalah lilin itu. Memanglah harganya naik, tetapi tidaklah sampai tidak mampu kamu beli. Apabila pasang lilin pula, pasang dua batang cukup. Satu di ruang tamu dan satu berdekatan tandas. Takut-takut, tengah malam nanti pula kamu mahu memerut, nampak jugalah lubang yang betul.

Sekarang ini musim panas, siangnya panas malamnya panas. Duduk di rumah tanpa kipas lagilah panas. Cubalah periksa di bawah meja televisyen, rasanya di situ dahulu saya ada nampak kipas hadiah kenduri kahwin. Memanglah ia cuma kipas tangan, tetapi tetap lebih selesa daripada menggunakan akhbar yang dilipat-lipat.

Kalau kamu sudah tidak tahan panas, beranikan diri melawat-lawat jiran. Setidak-tidaknya, sambil berbual ada juga rasa kipas angin, dapat juga minum kopi. Namun jangan pergi ke rumah Mak Cik Saleha, orang di situ tidur awal. Jangan juga kamu pergi ke rumah Encik Murat, dia itu orang susah, bertambah susah kalau kamu datang. Jadi cukuplah pergi ke rumah Pak Ahmad Teksi. Rasanya, elektrik rumahnya sudah disambung dan dia pun jenis yang suka berborak. Ataupun kalau kamu rajin, bolehlah kamu pergi ke blok sebelah, pergi ke rumah Pak Imam Ishak. Dia itu, sampai ke subuh pun dia sanggup berborak.

Nanti, kalau berborak-borak itu, jagalah tutur kata. Kalau kamu berborak dengan Pak Ahmad Teksi, jangan dikutuk pihak pembangkang. Dia itu memang pembangkang tegar. Boleh dihalaunya kamu kalau kamu mengutuk pembangkang, walaupun waktu itu kamu sedang menghirup kopi. Jadi banyakanlah mengeluh kalau berborak dengan Pak Ahmad Teksi. Katakan kepadanya, harga gula naik, harga minyak naik, harga beras naik, harga elektrik naik dan ceritalah semua perkara yang naik-naik. Dia itu memang suka betul berborak berkenaan hal yang naik-naik. Cepat mulutnya menyambung. Nanti-nanti kalau dia suruh kamu sokong pembangkang, kamu angguk sahaja, jangan melawan.

Kalau kamu pergi berborak di rumah Pak Imam Ishak pula, jangan pula kamu mengutuk kerajaan. Dia itu orang kuat kerajaan. Tahan-tahankan diri jangan bercerita berkenaan harga barang naik dan GST. Kalau sudah tidak tahan sangat pun, berceritalah yang kerajaan memang wajar menaikkan harga barang demi menjaga kepentingan ramai. Katakan, sedangkan orang pun sudah naik ke bulan, apalah sangat harga barang naik. Beritahu juga yang kamu sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kamu pinjaman PTPTN, dan akhirnya kamu mendapat ijazah. Jangan pula kamu bocorkan rahsia, yang kamu belum bayar PTPTN. Kalau dia tanya juga, cakap kamu belum ada kerja yang tetap kerana bahasa English masih tergagap-gagap.

Kalau Pak Imam Ishak terus salahkan dan marahkan kamu kerana tidak pandai cakap bahasa English, angguk sahaja dan senyum. Jaga hati dia baik-baik, dia itu orang tua. Apalah sangat marah orang tua. Yang penting kamu dapat berkipas, minum kopi dan ada rezeki dapat juga kamu lihat anak perempuan Pak Imam Ishak yang baru balik dari Jordan.

Nanti apabila kamu mahu tidur, janganlah dibawa sangat susah hati kamu. Gelap memanglah gelap tetapi syukurlah, air masih belum dipotong dan sewa rumah masih mampu kamu bayar. Biarlah tidak dapat bayar bil elektrik asalkan ada air untuk bersuci dan ada rumah untuk berteduh melelap mata.

Aman, janganlah kamu tidur dengan membawa sakit hati kepada negara. Apalah sangat bil elektrik naik. Negara kita cuma ada satu, Malaysia. Baik buruknya negara kita ini, tetap perlu kita sayang, tetap perlu kita jaga. Doakan sahaja, negara kita terus cerah dan tidak bergelap. Rasanya cukup sampai sini sahaja pesan saya, dan semoga sahaja kamu sudah bersedia, kalau surat merah sudah sampai.

++++++++++++++++

Dengan rendah hati, boleh juga dapatkan buku terbaru Bahruddin Bekri di pasaran. Hidup Penuh Cinta. :) Boleh klik link di bawah bagi pembelian online ataupun tunggu satu dua minggu dari tarikh entri ini bagi memperolehnya di kedai. :)




Saturday, October 15, 2011

Makan Pasir - (Sebuah cerpen untuk kita-kita sebagai rakyat)

Ahmad terkejut betul apabila diberitahu, ada sebuah kampung di sebuah kawasan yang dirahsiakan di Malaysia, penduduknya memakan pasir. Ahmad yang kerjanya pengawal keselamatan di sebuah pasaraya, langsung tidak percaya mendengarkan berita itu. Ya, langsung tidak percaya.

Lama-lama Ahmad menatap wajah si penyampai berita, Kasim yang juga pengurus pasaraya. Kasim juga sesungguh hati mempamerkan wajah yang serius, dan ternyata dia tidak perlu bersusah payah kerana wajahnya memang semula jadi serius.

Kata Ahmad, “Apa? Orang makan pasir? Kalau seorang makan pasir pun aku susah mahu percaya, apatah lagi satu kampung yang makan pasir. Ini betul-betul gila."

“Betul. Saya sendiri yang pernah sampai ke kampung itu, dan saya lihat sendiri penduduknya makan pasir,” kata Ahmad lagi. Sungguh-sungguh.

“Saya tidak percaya. Mana mungkin, ada orang mampu makan pasir,” kata Ahmad lagi, sambil memukul-mukul belantan di tangan kanannya, ke tapak tangan kiri.

“Percayalah. Saya datang ke kampung itu kerana mahu membuka kedai runcit bagi cawangan pasaraya ini, tetapi bagaimana mungkin kedai dibuka di sana sekiranya penduduknya makan pasir.” Kasim masih terus meyakinkan Ahmad.

“Kalau begitu, Tuan bawa saya ke sana, saya mahu lihat sendiri,” syor Ahmad dengan wajah berkobar-kobar.

Jadi, lusanya berangkatlah Ahmad dan Kasim ke kampung yang penduduknya makan pasir. Tempat pertama yang mereka pergi adalah rumah ketua kampung yang bernama Hasan.

Duduk bersilalah Ahmad dan Kasim di ruang tamu sambil berbual-bual ringan berkenaan cuaca, sukan dan paling luar biasa, berkenaan kapal selam. Entah daripada mana datangnya minat ketua kampung mahu berbual berkenaan kapal selam sehingga Ahmad dan Kasim hanya banyak berkata, “Ya, Tok. Ya, Tok.”

“Malaysia ini sebenarnya perlukan 50 kapal selam, barulah boleh maju,” kata Hasan sambil meluruhkan abu rokok ke luar tingkap.

“Ya, Tok. Ya, Tok,” kata Ahmad dan Hasan hampir serentak.

“Kalau ada 50 kapal selam, barulah kita boleh mengangkut barang dari China dengan banyak ke Malaysia. Automatik ia menjadi barang underwater lalu ia pun murah-murah,” jelas Hasan dengan bersemangat.

“Ya, Tok. Ya, Tok,” kata Hasan walaupun dia sudah semakin pening. Ahmad pula sudah tidak boleh berkata apa-apa. Selain semakin tidak faham dengan tuju perbualan mereka, dia juga sebenarnya sedang berdebar-debar bagi melihat sendiri adakan benar penduduk di situ makan pasir.

Selepas beberapa ketika, akhirnya sampailah hidangan kopi dan sepiring kuih di hadapan mereka. Mata Ahmad terbuka luas-luas bagi melihat kuih di dalam pinggan itu.

“Jemputlah makan pasir goreng, dan pengat pasir,” kata Hasan sambil menyorongkan pinggan kepada Ahmad dan Hasan.

Ahmad membuntangkan matanya, memerhati apa di dalam pinggan dan ia terlihat seperti pasir. Dia memegang pasir goreng, dan rasanya seperti pasir. Perlahan-lahan dia memasukkan ke mulut, mengunyahnya, dan rasanya juga seperti pasir. Pandang seperti pasir, rasa seperti pasir dan sahlah ia pasir.

Ahmad beristighfar beberapa kali dalam hatinya. Sungguh dia tidak menyangka, memang ada orang yang memakan pasir.

“Jangan balik dulu. Tengah hari nanti, makanlah sini. Isteri saya sedang masakkan, pasir masak kicap, pasir goreng berlada, pasir tiga rasa dan satay pasir,” kata Hasan dengan bersungguh-sungguh.

Belum habis terkejutnya Ahmad, kini ditambah lagi dengan kejutan yang lebih besar. Ahmad mengurut-urut dada. Rasa terkejutnya itu mendorong dia berani bertanya.

“Mengapa makan pasir?” tanya Ahmad dengan nada terkejut.

“Apa salahnya makan pasir? Ia cuma soal selera,” jawab Hasan pula yang terkejut melihat Ahmad terkejut.

“Bukan, ia bukan soal selera,” bantah Ahmad pula.

“Ya, ia soal selera. Selera itukan berkait dengan cara hidup, lalu apabila kamu ubah cara hidup, maknanya kamu sudah mengubah selera,” jawab Hasan lagi.

“Ubah cara hidup? Saya tidak faham, apa yang terjadi dan bagaimana pula ia boleh terjadi?” balas Ahmad yang semakin rungsing.

Sambil tersenyum nipis, Hasan pun mula bercerita, “Semuanya bermula 30 tahun dahulu. Waktu itu, kerajaan menaikkan cukai, menaikkan itu ini sehingga kami orang kampung tidak mampu. Datanglah wakil rakyat berkata, 'ubah cara hidup'. Kami pun ubah cara hidup. Namun harga barang tetap naik, dan kami ubah lagi cara hidup, sehinggalah pada suatu tahap, tidak ada apa-apa lagi yang tersisa untuk kami. Jadi, ketua kampung pada waktu itu, Tan Sri Yakob berkata, 'Kita perlu yakin dengan kata-kata kerajaan. Kita perlu ubah cara hidup, dan oleh kerana sekarang kita sudah tidak mampu membeli barang makanan, jadi kita ubah cara makan kita. Kita makan pasir. Hanya itulah satu-satunya jalan bagi mengubah cara hidup'. Lalu sejak itu, kami penduduk kampung makan pasir, dan alhamdulillah, sejak makan pasir, kami tidak perlu ubah cara hidup lagi.”

Ahmad masih terkejut. Kasim di sebelahnya yang sudah mendengar kisah itu hanya diam dan tersenyum melihat reaksi Ahmad.

“Tidak mungkin. Mengapa kamu semua langsung tidak ragu-ragu? Mengapa nekad?” soal Ahmad.

“Waktu itu ketua kampung kami, selepas diajar oleh menteri, telah memetik kata-kata Diderot dalam Pensees Philosophiques, 'Keraguan adalah langkah pertama ke arah kebenaran', dan kami memang ragu-ragu tetapi kami yakin itulah kebenaran kami,” jawab Hasan yakin.

Ahmad terkejut. Dalam terkejut dia, dia berasa bersemangat mahu mengubah sesuatu. Lalu dengan pantas dia berkata, “Makan pasir sudah melampau. Saya akan perjuangkan nasib kamu semua!”

“Tidak perlu. Kami selesa makan pasir,” jawab Hasan, tersengih melihat semangat Ahmad.

“Ya. Saya akan perjuangkan nasib penduduk di sini!” Ahmad masih bertegas.

“Kalau begitu, boleh saya tahu apa sebenarnya kerja kamu?” soal Hasan pula lalu membetulkan lipat silanya.

“Pengawal keselamatan,” jawab Ahmad, yakin.

Hasan terus ketawa berdekah-dekah sebelum berkata, “Itulah masalah kampung ini dahulu. Yang datang mahu membelanya adalah tukang sapu, pengawal keselamatan, petani, pengali kubur dan seumpamanya. Kamu tahu, orang seperti kamu tidak boleh memerintah kerana kamu semua hanya mampu menipu yang kecil-kecil?”

Ahmad semakin pusing kepalanya dan terus menyoal, “Apa maksud Tok? Menipu kecil-kecil?”

“Kata Adolf Hitler, 'Rakyat terbanyak lebih mudah ditipu oleh pembohongan besar berbanding pembohongan kecil'. Hanya orang berduit dan berpendidikan tinggi sahaja yang boleh berbohong besar, seperti mereka berbohong berkenaan makan pasir. Orang seperti kamu, tidak mungkinlah jadi kerajaan,” balas Hasan.

“Jadi Tok tahu, yang selama ini Tok tertipu?” Ahmad semakin terkejut besar yang lebih besar.

“Ya, tetapi pesan Perdana Mentari waktu itu yang memetik kata-kata, Horace dalam Epistles, 'Rakyat adalah haiwan yang mempunyai banyak kepala'. Dan kami yakin kami ini semua adalah haiwan banyak kepala. Jadi apa salahnya ditipu?”

Ahmad terus menyandar dengan mulut ternganga.


****





Dengan rendah hati, boleh juga dapatkan buku terbaru Bahruddin Bekri di pasaran. Hidup Penuh Cinta. :) Boleh klik link di bawah bagi pembelian online ataupun tunggu satu dua minggu dari tarikh entri ini bagi memperolehnya di kedai. :)

http://www.bookcafe.com.my/en/remaja/hidup-penuh-cinta-en.html










Thursday, October 13, 2011

... dan lelaki baik yang bercinta

Lelaki ini, sebenarnya apa mahunya? Lelaki jugalah yang mengatakan perempuan itu seperti mawar, dan kata mereka, “Untung duri ini menumbuhkan mawar.” Namun pada ketika lainnya, mereka juga yang berkata, “Rugi sekali mawar ini mempunyai duri.”

Lalu apa mahumu, wahai lelaki? Saya ini benarlah perempuan yang tidak tahu berfesyen, tidak tahu jenama make up apa yang sesuai untuk saya, dan tidak tahu serba-serbi, namun saya tetap juga seorang perempuan yang punyai hati bagi memberi cinta, tetap juga punyai hati bagi menerima cinta.

Namun lelaki ini pandai betul. Pada saat saya berkata begitu, ini pula jawabnya, “Cinta Tuhan itu juga yang dipinjamkan kepada hati kamu. Jadi, elok sangatlah sekiranya kamu dahulukan cinta Tuhan dan pasti kamu tidak akan kecewa. Malah cinta manusia juga yang akan menyusul. Ataupun mungkin sahaja, kamu boleh menjadi seperti Rabiatul Adawiyah.”

Lalu diam sahajalah saya kerana, kata-kata lelaki itu adalah 'noktah' hati. Tidak ada salahnya pada kata-kata itu tetapi, untuk perempuan yang lemah seperti saya ini, bagi mencapai cinta Tuhan, perlukan bantuan, dan pastinya bantuan itu datangnya daripada seorang lelaki bernama suami. Tuhan tahu sekuat mana hamba-Nya, dan bantuan Dia tiba dalam bentuk cinta seorang lelaki.

Sekiranya tidak 'bantuan' yang Tuhan hantar itu, jadi bagaimana saya seorang perempuan yang lemah mampu memperoleh rahmat dan reda yang lebih daripada Allah? Lelaki juga tahu, perempuan yang taat kepada suami itu adalah perempuan yang menerima reda yang besar daripada Tuhan sehingga boleh masuk dari mana-mana pintu syurga yang perempuan itu mahu.

Jadi, mudahnya, saya ini tahu diri, saya adalah perempuan yang tidak kuat tetapi punya cita-cita besar bagi meraih cinta Ilahi. Lalu, para lelaki, bantulah saya ke arah itu. Namun, seperti kata saya tadi lelaki ini apa mahunya? Maksud saya, lelaki baik-baik ini, apa mahu kamu? Untuk lelaki-lelaki celaka di luar sana, tidak perlu tersenyum-senyum memberitahu mahumu. Jangan sampai ludahku, hinggap di wajah penuh nafsumu.

Soalan saya itu yang saya pendam-pendam dalam hati, sehinggalah pada suatu hari, saya mengerti juga, namun dalam bentuk yang membuat saya semakin bingung.


Ibu cantik

Begini sahajalah, biar saya ceritakan siapa saya, dalam satu ayat. Saya adalah perempuan yang berharap reda Allah, namun dalam masa yang sama saya adalah perempuan yang lemah. Itulah saya, dan lemahnya saya itu, adalah kerana tanpa sedar sering juga terpaut hati kepada lelaki baik itu dan lelaki baik ini dengan harap mereka menjadi suami saya.

Memanglah saya tidak melulu pergi kepada lelaki itu dan berkata “Kahwini aku”, tetapi tetap juga saya berasa berdosa kerana mempunyai rasa seperti itu. Rasanya seperti, murah benarlah hati saya ini. Namun itulah yang saya beritahu tadi, saya lemah untuk urusan yang satu itu. Mujur juga saya masih kuat bagi menahan diri bagi tidak terlihat seperti perempuan yang murah.

Sehinggalah pada suatu hari, saya perempuan yang lemah ini sempat berbicara dengan seorang ibu yang sudah punyai lima anak, tetapi wajahnya tetap segar, muda dan saya takjub sekali dengan dia. Bayangkan sahaja, sudah punyai lima anak tetapi tetap disangka anak dara yang baru mekar. Luar biasa sekali.

Seperkara yang saya tahu, ibu itu keturunan yang memang sedia cantik dan awet muda, namun seperkara lagi, saya baru tahu pada hari itu dan melalui ibu itulah, saya semakin rungsing dengan cerita lelaki-lelaki baik ini.

Lelaki baik

Petang baru masuk bersama awan-awan yang berbentuk kasut mary jane. (Bentuk kasut yang saya baru belajar secara tidak sengaja dua hari lepas). Saya pula pada ketika itu dengan wajah yang baru dikesat minyaknya sedang duduk semeja dengan seorang ibu beranak lima yang cantik.

Memang sudah tugas saya, sebagai editor buku bagi bertemu dengan manusia-manusia yang mahu menulis, dan pada petang itu, saya bertemu ibu yang mahu menulis. Menurutnya, dia mahu menulis berkenaan mendidik anak gaya Saiditina Fatimah, dan untuk saya, itu sangat bagus bagi pasaran buku.

Lalu cepat-cepatlah saya bertemu janji dengan dia, dan mulanya, terus-terang sahajalah di sini, saya menyangka akan bertemu perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata, dan membuat saya berasa menjadi anak kepada dia.

Sangkaan saya itu benar pada perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata tetapi dia tidak membuatkan saya berasa menjadi anak kepada dia. Malah, saya berasa dia seperti rakan sebaya walaupun anaknya sudah lima. Semuanya gara-gara wajahnya yang segar itu.

Mulanya hajat mahu berbincang berkenaan buku yang dia mahu tulis, tetapi kerana kagumnya saya kepada dia, saya lebih banyak cuba mencungkil rahsia berkenaan dirinya. Bertanya itu, bertanya ini dan kemudiannya, sampailah saya kepada soalan yang membuat saya rungsing.

Soalan

“Yakin saya, Puan ini tetap muda kerana air wuduk yang tidak pernah sempat batal,” kata saya cuba memancing rahsia.

Ibu beranak lima itu hanya tersenyum sopan, dan yakin saya lelaki yang melihat senyumannya itu, adalah lelaki yang paling bertuah di dunia.

“Tidaklah sampai air wuduk itu tidak sempat batal, dan malah kebanyakkan waktu, air wuduk saya batal,” kata ibu muda itu pula.

Belum sempat saya memikir lanjut sebab air wuduknya sentiasa batal, terus ibu cantik itu menyambung, “Sekiranya ada waktu yang sempat, jangan pernah gagal bagi menyentuh suami mu. Paling tidak cuit lengannya, itu pun sudah cukup. Sentuhan-sentuhanlah yang menjadikan bahagia itu tetap hangat. Dan lebih utama, suami yang baik, juga pasti mengerti aturan itu.”

Ibu cantik itu kemudiannya tersenyum-senyum malu. Mungkin kerana sudah berasa terlanjur menceritakan tips paling rahsia berkenaan kebahagian rumahtangganya. Saya pula, daripada memikirkan berkenaan ibu cantik itu, terus saya terbayangkan lelaki bertuah yang menjadi pasangannya.

“Bertuahnya lelaki itu,” kata saya, spontan.

“Sebenarnya, sayalah yang bertuah,” jawab ibu cantik itu pula.

Waktu itulah, saya berasa hairan. Mengapa pula ibu cantik itu yang berasa dirinya bertuah? Sedangkan, untuk saya ibu cantik itu, yang sebenarnya mendatangkan tuah lalu saya bertanya, “Lelaki yang bagaimana membuatkan Puan pula yang menjadi bertuah?”

Ibu cantik itu, tersenyum-senyum malu sebelum berkata, “Dia lelaki baik. Untuk perempuan, cukuplah itu yang mereka dapat dalam hidup mereka, iaitu lelaki baik, dan selepas itu, dunia seisinya sudah menjadi miliknya. Jadi, boleh kamu bayangkan betapa bertuahnya saya dengan hanya seorang lelaki saya sudah memperoleh dunia dan seisinya?”

Berdebar-debar dada saya saat mendengarkan jawapan ibu cantik itu. Sehingga begitu sekali? Lalu bertanyalah saya kepada soalan yang membuat saya menjadi rungsing.

“Bagaimana mahu mencari lelaki baik seperti itu?”

Ketika itu jugalah, ibu cantik tadi mula terlihat serius dan akhirnya berkata, “Lelaki yang baik akan sentiasa menjauhi diri kamu.”

Saya diam, dan saya langsung tidak nampak di mana logiknya.

“Saya tidak faham. Adakah maksud Puan lelaki baik tidak akan suka kepada saya?” Saya juga mula ikut serius.

“Lelaki yang tidak suka kepada kamu akan menjauhi mu, dan lelaki baik yang menyukaimu, juga akan menjauhi diri mu,” jelas ibu muda itu dan membuat saya semakin bingung.

“Adakah Puan ini ahli sufi?” telah saya, kerana untuk persoalan sebegitu, biasanya hanya sufi-sufi yang mampu membuatkan manusia terbingung-bingung.

Ibu cantik itu ketawa kecil dan berkata, “Saya bukanlah ahli sufi, tetapi itulah hakikatnya, dan biarlah saya terangkan sebabnya.”

Saya mengatur duduk saya supaya semakin baik, saya diam dan saya sedia mendengarkan kata-kata ibu itu.

“Untuk lelaki yang tidak menyukai kamu, memang jelas dia akan menjauhi kamu atas alasan, dia tidak suka kamu. Manakala untuk lelaki biasa, yang menyukai kamu, dia akan cuba mendekati kamu, dan ini pasti kamu tahu. Cuma lelaki yang benar-benar baik, apabila dia menyukai kamu dia akan menjauhi diri dari kamu dan inilah yang saya mahu ceritakan."

Jauh

“Lelaki yang baik itu, tidak akan menyentuh kamu. Tidak akan sesekali cuba menyentuh kamu. Bukan sahaja tangan halus kamu, bukan juga 'menyentuh' mata bening kamu, tetapi yang lebih utama, dia tidak akan 'menyentuh' hati lembut kamu. Mereka tidak akan menyentuhnya selagi mana mereka tidak bersedia, dan pada ketika dia sudah bersedia, dia akan menikahi kamu dan pada saat itulah, barulah dia berani 'menyentuh' hati kamu. Lalu bagaimana mungkin lelaki baik tidak 'menyentuh' hati kamu sekiranya dia tidak menjauhkan diri daripada kamu? Sedaya upaya dia akan cuba menghindar, kerana dia tahu, pada ketika dia membuka mulutnya bagi berbicara, pada ketika itulah, bicaranya yang baik-baik akan 'menyentuh' hati kamu, dan 'mencengkam' hatinya pula. Terjadi rindu dan kamu pun tahu maknanya rindu kepada bukan mahram itu sangat halus sempadannya, antara rindu baik dan zina hati. Sangat-sangat halus, dan lelaki baik tidak mungkin mahu mengambil risiko itu.”

Mendengarkan sahaja penjelasan itu, saya menelan liur. Bagaimana mungkin sehingga begitu sekali? Lalu, bagaimana nasib saya bagi berjodoh dengan lelaki yang baik sekiranya mereka menjauh dari saya?

“Lelaki baik itu, akan mendekatimu dengan niat mahu bernikah. Jadi pada ketika ada lelaki, yang berkata mahu menjadikan kamu isteri, dan pada ketika itu hati kamu terus berasa bahagia tanpa ragu-ragu, ketahuilah itulah lelaki baik, kerana kamu bahagia untuk perkara yang sudah kamu tahu. Bahagia itu bukan datangnya tanpa sedar, pasti sedikit-sedikit kamu tahu juga berkenaan lelaki baik di sekeliling kamu, dan tanpa sedar, kamu ada menaruh hati kepada dia. Lalu pada ketika lelaki yang kamu tanpa sedar suka itu, mengajak kamu nikah, kamu tidak akan ragu-ragu, malah kamu akan bahagia kerana kamu sudah tahu siapa dia,” sambung ibu muda cantik itu lagi.

“Jadi, maknanya sebagai perempuan saya tidak punya peluang untuk berusaha bagi memperoleh lelaki baik, dan sekadar mengharapkan mereka tiba-tiba datang?” soal saya dengan hati yang sudah gusar.

“Siapa kata tidak perlu berusaha? Kamu taat pada perintah Tuhan, kamu patuh pada larangan, ibadat kamu tidak pernah berhenti, dan semua itu adalah usaha. Jodoh itukan misteri Tuhan, selain mati dan rezeki. Jadi, usahakan sahaja apa yang termampu, dan itulah antara usaha saya. Selain itu percayakan ibu bapa kamu sekiranya mereka mahu memberi jodoh, percayakan rakan-rakan yang kamu yakin bagus telahan hatinya kerana ibadatnya, bagi mencadangkan jodoh dan mencarikan jodoh. Selain itu berdoa dan terus patuh juga taat kepada Allah. Cuma sahaja, perlu jugalah kamu ingat, patuh dan taat kepada Allah itu, bukan atas urusan mahu jodoh yang baik, tetapi ikhlas mahu memperoleh reda-Nya. Kerana pada ketika kamu diberi jodoh yang sangat bertentangan dengan diri kamu, segeralah bandingkan diri kamu dengan Asiah yang bersuamikan Firaun, dan Nabi Noh yang beristerikan perempuan yang tidak percaya kepada Tuhan. Itulah tujuan kamu taat dan patuh kepada Tuhan, iaitu bagi mengikhlaskan ujian yang diberikan-Nya, kerana mungkin sahaja jodoh kamu dengan lelaki baik tidak di dunia ini, tetapi ditangguh sehingga ke akhirat.”

Saya diam, dan saya akui saya rungsing hanya kerana memikirkan, adakah saya cukup kuat untuk semua perkara ini? Ah... lelaki baik apabila bercinta....

****


Dengan rendah hati, boleh juga dapatkan buku terbaru Bahruddin Bekri di pasaran. Hidup Penuh Cinta. :) Boleh klik link di bawah bagi pembelian online ataupun tunggu satu dua minggu dari tarikh entri ini bagi memperolehnya di kedai. :)

http://www.bookcafe.com.my/en/remaja/hidup-penuh-cinta-en.html




Sunday, October 02, 2011

Pada ketika penulis menemui sedih, marah dan kecewa.



"Saya lebih suka dikritik daripada kehadiran saya tidak disedari. Sesungguhnya perkara paling buruk yang boleh anda lakukan kepada seseorang pengarang adalah jangan bercakap apa-apa tentang karyanya." Samuel Johnson (Petikan daripada Life of Johnson oleh James Boswell, 26 Mac 1779)

Itulah status yang saya tulis pada facebook, dan pada ketika itu juga melalui maklum balas, saya mengerti sesuatu berkenaan pembaca. Mereka mahu, apabila mereka mengkritik, penulis itu tidak marah dan kecewa malah berlapang dada dengan kritikan mereka.

Sempat juga saya terhairan, bagaimana pembaca melihat diri seorang penulis. Tidak salah mahu mereka itu, tetapi harapan itu terlalu tinggi, sepertinya meletakkan penulis itu seperti dewa, yang tidak tahu bagaimana mahu beremosi.

Namun tidak adil juga sekiranya penulis sekadar menggunakan kata-kata Samuel Tylor Coleridge, "Pengkritik biasanya adalah orang yang sepatutnya menjadi penyair, ahli sejarah dan penulis biografi, sekiranya mereka mampu; mereka pernah mencuba bakat mereka dan mereka gagal; kerana itu mereka menjadi pengkritik."

Bagi memahaminnya, saya tahu saya perlu mencari 'sesuatu' yang patut, dan pada ketika mencari apa yang patut itulah, baru saya tersedar sesuatu pada perkataan 'berlapang dada' dan 'sabar'. Itulah perkataan yang disalahfahamkan sejak sekian lama. Berlapang dada itu tidak terjadi sekiranya kamu tidak marah, tidak kecewa dan tidak sedih. 'Berlapang dada' dan 'sabar' adalah proses selepas rasa marah, sedih dan kecewa itu datang.

Tidak ada istilah 'berlapang dada' dan 'sabar' sekiranya kamu tidak merasai kecewa, tidak merasai sedih dan marah. Yang ada, adalah manusia yang tidak ada perasaan.

Itu saya yakin kerana, bagaimana kita mahu memahami hadis ini? Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.”

Adakah maksud hadis itu, difahami sebagai tidak boleh marah?

Begitu jugalah dengan hadis ini, riwayat Iman Ahmad. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.”

Apa yang jelas, cara mengawal marah itu yang ditekankan, kerana marah, kecewa dan sedih itu sendiri datang tanpa kita bersedia.

Marah yang salah.

Tidak dinafikan, ada juga perkara yang tidak sepatutnya dizahirkan dengan perasaan marah. Misalnya, tersalah fakta dalam penulisan dan ia dikritik, adakah rasa marah yang patut datang ataupun rasa kesal? Sekiranya marah kepada diri sendiri, ia boleh diterima namun sekiranya marah kepada pengkritik ia adalah tanda ada sesuatu yang tidak beres dalam diri.

Cuma sahaja, dalam novel khususnya, segala macam perkara di dalamnya selain fakta, adalah bersifat subjektif. Jadi, sesuatu yang subjektif, tidak ada ufuk salah benar cara penulisannya, selain ufuk dosa pahala. Seperti kata Joseph Chilton Pearce, “Untuk melalui kehidupan kreatif, kita mesti lontarkan rasa takut bagi melalukan kesilapan."

Jadi, apa yang saya mahu tuliskan berkenaan penulis ini adalah kritik pada hal yang bersifat subjektif itu kerana kita semua sudah sepakat, sekiranya kamu tersalah fakta, akui sahaja, usah emosi. Beginilah, penulis juga manusia, dan sangat normal itu mereka berasa begitu. Lalu, untuk itu saya juga ada kisah berkenaannya, yang saya mahu ceritakan.

Cita-cita

Bercita-cita besar tidak pernah ada salahnya asalkan cita-cita itu benar. Ketika bercita-cita mahu menjadi penulis saya yakin berada di jalan yang benar. Benar pada kecenderungan bakat dan minat. Lalu pada perkataan yang benar itulah yang membuat hati saya ragu-ragu.

Ragu-ragu saya banyak, namun antara yang besar adalah pada sikap penulis yang satu ini. Untuk menjadi penulis, apakah sikap yang benar terutamanya pada ketika, karya kita dikritik? Berdenting-denting juga soalan itu pada fikiran, pada mula mahu bercita-cita dahulu.

Saya sudah diberi maklum dan sudah memahami, pasti karya setiap penulis akan dikritik. Karya yang tidak pernah dikritik, adalah karya yang mungkin tidak pernah dibaca. Itu yang saya tanam kemas dalam hati, dan sentiasa bersedia, kerana sikap penulis yang benar, adalah penulis yang bersedia dengan kritikan,dan pada waktunya tiba, pada ketika karya saya dikritik, saya kembali ragu-ragu.

Saya ragu-ragu, apakah sikap yang seharusnya diambil oleh penulis yang benar? Saya pernah yakin, penulis yang benar tidak akan marah dan kecewa, malah tersenyum membaca kritikan itu dan itu jugalah yang merisaukan saya.

Pada ketika menerima kritik, walau puas saya mencuba berlapang dada, segala puji-pujian kepada Tuhan dan selawat kepada nabi sudah saya ucapkan, namun tetap juga hati berasa tidak selesa dan sakit. Walaupun tidak menjawab kritik secara terbuka, tetap juga saya menjawabnya dalam hati ataupun meluahkan kepada teman-teman.

Waktu itulah, saya berasa jauh dari watak seorang penulis yang sepatutnya. Entah apalah akan jadinya saya nanti, sekiranya terus dengan sikap sebegitu. Benarlah saya mengambil iktibar dan pengajaran daripada kritikan itu, tetapi hati ini yang masih pedih tidak tahu saya mahu apakan lagi. Ia sepertinya paradoks pada ketika saya mengucapkan terima kasih kepada sang pengkritik.

Sehinggalah, pada perjalanan hidup saya ini, saya berpeluang menemui beberapa orang penulis besar, yang akhirnya berkisah tentang diri mereka. Kisah-kisah itu membuat saya menjadi lega, dan saya mula mengerti sesuatu berkenaan manusia yang bergelar penulis.

Tidak seorang pun antara penulis besar yang saya temui itu, tidak pernah tidak terasa hati pada pengkritik. Setiap mereka, pada ketika mula-mula dikritik, berasa sedih dan sepertinya hidup sudah tidak ada esoknya. Malah, setiap mereka mengingati dengan jelas siapa pengkritik mereka, bila mereka dikritik dan yang lebih luar biasa, ada yang masih ingat setiap patah kata pengkritik. Setiap satunya, patah demi patah walaupun sudah puluhan tahun.

Itulah yang saya fahami dan itulah melegakan saya. Adalah perkara biasa, penulis itu kecewa dan bersedih, dan marah pada ketika dikritik, kerana mereka juga adalah manusia. Tidak ada apa-apa kuasa pada kata 'penulis' itu yang menjadikan manusia kebal hatinya daripada kecewa, sedih dan marah. Mereka tetap manusia biasa, dan adalah sangat wajar hati tersentuh pada ketika apa yang dibuat dengan sepenuh hati menerima kritik.

Lalu kembali saya ragu-ragu, adakah seelok penulis tidak dikritik? Itulah soalan yang saya peroleh jawapannya daripada penulis-penulis besar yang saya temui. Jawapannya bukan dengan kata-kata, tetapi pada apa yang saya lihat pada sejarah mereka.

Penulis benarlah bukan manusia yang tidak boleh dikritik, bukan juga manusia tidak berasa apa-apa apabila dikritik dan itulah sebenarnya penulis, penulis adalah manusia biasa yang mampu bangkit. Diakui, mereka pernah kecewa, pernah berduka, pernah berasa langit gelap dan matahari sudah tidak akan muncul, tetapi atas semua itu, mereka kembali bangkit, bangkit bukan menjadi manusia gagal, manusia yang patah hati dibawa ke sana sini, tetapi bangkit kembali menjadi manusia yang sederhana iaitu penulis. Terus menulis dan menulis sebagai manusia biasa, bagi menyampaikan cerita-cerita dunia kepada manusia lainnya, kerana mereka adalah manusia yang punya hati dan punya mahu yang kuat bagi berkongsi apa sahaja yang mereka percaya.

Persoalannya bagaimana mereka itu bangkit? Mereka bangkit dengan menguasai rasa marah dan kecewa mereka. Mereka tahu, mereka tidak boleh menentukan rasa apa yang harus dalam dalam hati, tetapi mereka tahu, bagaimana mahu melayan rasa yang datang itu.

Di sinilah rahsianya, mereka berlapang dada, pada ketika terbit rasa kecewa ataupun marah dalam hati. Mereka tidak berlama-lama pada perasaan itu, kerana itulah yang menjatuhkan motivasi. Cara mereka berlapang dada itu juga pelbagai dan paling utama, keupayaan mereka terus mengingat Tuhan melalui zikir dan seumpamanya yang menjadi mereka mudah 'berlapang dada'.

Atas kerana itu juga rasa kecewa, sedih dan marah datangnya seperti rahmat untuk mereka. Mereka menggunakan rasa marah dan kecewa itu sebagai batu loncatan, kepada tahap yang lebih atas. Bayangkan sahaja, sekiranya tidak ada rasa kecewa dan marah pada diri penulis? Apakah sandaran mereka untuk terus ke atas. Marah dan kecewa itu bukanlah sahaja terhad pada ketika dikritik, tetapi juga pada ketika melihat masalah umat, negara dan agama yang semakin berserabut. Rasa kecewa dan marah yang ditangani dengan berlapang dada itulah, melahirkan rasa tanggungjawab, bagi terus menulis dengan lebih baik.

Benarlah kata Andy Rooney, “Saya tidak boleh memilih apa yang saya rasa, tetapi saya boleh memilih apa yang saya akan buat terhadapnya.”

Itulah yang jelas pada sejarah penulis-penulis besar yang saya temui, dan itu jugalah menjadikan mereka penulis besar, dan saya pula saya semakin ragu-ragu dengan sikap saya. Adakah saya sudah siap untuk menjadi seperti itu? Itulah, satu antara beberapa perkara besar yang saya ragu-ragu berkenaan 'penulis', dan lain kali sahaja saya menceritakan hal-hal yang lain itu.

Yang sebaiknya

Menjadi penulis itu, adalah mereka yang memberikan emosi pada penulisan, sehingga manusia yang membacanya, disentuh emosi, sebelum akal mereka berkata-kata. Lalu tidak mungkin penulis mampu begitu sekiranya mereka tidak tahu rasanya marah, sedih ataupun kecewa. Bak kata Seneca, “Adalah bodoh kalau tidak boleh marah, tetapi adalah bijak kalau tidak melakukannya.”

Jadi, usah khuatir pada kata marah, sedih dan kecewa itu, tetapi khuatirlah pada cara kita menanganinya.