Tuesday, June 29, 2010

Sehingga kamu disunting.

Ini lelaki yang sudah kasar tapak tangannya. Berbahu rata dan kepala sudah dicacak-cacak uban. Wajahnya belum ketara garis usia tetapi masih mampu rapi menyimpan rahsia. Ulas bibirnya merah samar, namun masih mampu menolak kata-kata yang nyata kerasnya. Ini adalah lelaki yang biasa.

Ini pula anak gadis kecil yang lentik alis dan bundar bola matanya. Rambutnya lembut ikal dan harumnya menyimbah tenang ke wajah sesiapa. Jari-jarinya halus dan sentuhannya tembus ke hati. Bibirnya penuh merah dengan bicara tidak jelas tetapi menekan-nekan jauh ke belahan jiwa. Wajahnya tidak ada garis usia dan langsung tidak mampu menampung rahsia. Ini, anak gadis kecil yang luar biasa.

Lelaki biasa dan anak gadis kecil yang luar biasa adalah kisah kita. Kisah seorang ayah dengan anak gadis kecilnya. Kisah yang ayah mahu kamu baca pada saat kamu sudah mampu mengerti ertinya dunia. Kisah yang ayah mahu kamu simpan dalam kedut-kedut usia dewasa.

Benarlah ayah ini lelaki biasa, bicara ayah tidak mampu lembut sentiasa. Renungan mata juga tidak mampu selalu bahagia. Ada waktunya, nada suara meninggi ke awan, ada kalanya suara perih menghunjam bumi.

Maafkan ayah, ayah ini lelaki biasa, terkadang lupa bagaimana mahu menampakkan sayang, terkadang lupa bagaimana mahu menggeser kasih. Tidaklah ayah sengaja, jauh sekali mahu begitu. Ketahuilah, pada saat pelupuk mata kamu sudah lelah, ayah akan berada di sisi kamu. Menyela lembut rambut harum kamu dengan jari-jari kasar, dan mencium pipi merah kamu dengan rasa yang penuh kasih. Tidak sesekali ayah lupa berbisik, “Ayah sayang kamu, ayah cintakan kamu.”

Tidaklah ayah sengaja mahu sembunyikan kasih, tidaklah juga ayah menyamarkan sayang. Ayah sekadar mahu kamu tahu, garis hidup perlu ada batasan yang keras, yang mampu menjadi pendinding ubun-ubun kamu yang masih lembut dan hati kamu yang masih halus. Ayah adalah pendinding keras itu, agar kamu tumbuh menjadi gadis yang disayang Tuhan, agar hati kamu tahu batas-batas diri seorang Islam.

Ayah tidak tahu sama ada kamu akan mengingat ayah sebagai lelaki keras yang mendakap kamu penuh sayang. Ayah juga tidak akan tahu, sama ada kamu mengenang ayah sebagai lelaki keras yang pernah menghamburkan bicara kasih untuk kamu tersenyum selalu. Tetapi ayah akan belajar dan mencuba menjadi ayah yang kamu sayang, ayah yang kamu kenang. Doa ayah, ayah mahu kita akan sama-sama menjadi hambaNya yang Dia sayang.

Semoga, kamu akan sentiasa ingat, ayah pernah mendakap kamu pada saat mata bundar kamu itu masih belum lelah. Semoga juga kamu terus ingat, ayah sering memberi nasihat berkata penuh madu dan semoga, kamu masih ingat ayah adalah lelaki yang tidak pernah putus berdoa untuk bahagianya kamu. Yang lebih utama, ayah mahu kamu sentiasa tahu dan sedar, ayah adalah lelaki yang menjadi pendinding kamu yang keras.

Sekiranya kamu bertanya, sampai bila ayah akan menjadi pendinding kamu, ayah hanya mampu berkata dengan bahagia yang perih, “Sehingga ada lelaki yang lebih baik daripada ayah, yang datang dengan sopan dan meminta hati kamu dengan kasih.”


8 comments:

Anonymous said...

story cantik.... mantap...
bila nak sambung lelaki tenang??

MU'ALLIMAH said...

salam,

pehh mantap...!! canne nak beli novel2 awk eh? nak bli online bleh?

rahmahmokhtaruddin said...

Wah, bilalah saya boleh menulis seperti tuan. Bicara yang tenang, tetapi selalu menusuk maknanya.

Hebat!

Anonymous said...

Adek - InsyaAllah, tunggu masa ada senggang. :0

Faqirah, terima kasih kerana bertanya. ;) boleh beli di www.bookcafe.com.my

Cikpuna Siti - Jangan risau, Cikpuan ada gaya dan tulisan Cikpuan juga menyentuh :)

dingin

Anonymous said...

Adek - InsyaAllah, tunggu masa ada senggang. :0

Faqirah, terima kasih kerana bertanya. ;) boleh beli di www.bookcafe.com.my

Cikpuna Siti - Jangan risau, Cikpuan ada gaya dan tulisan Cikpuan juga menyentuh :)

dingin

rahmahmokhtaruddin said...

Terima kasih kerana memberi sokongan yang padu. Ada gaya? (sedang tersipu-sipu sambil membuat 'pose' istimewa di hadapan cermin besar, haha)

Semoga saya terus 'dingin' dengan cara saya yang tersendiri.

Sedang menanti kiriman ekslusif Lelaki Berkasut Merah sampai ke pintu pejabat. Berdebar hebat..

meor-name-depan-ku said...

Dingin itu melihat awan yang mem'biru' dilangit....

treec00l said...

bro ali, terima kasih di atas inspirasi