Wednesday, May 12, 2010

Zali Lelaki yang Tenang - sebuah novel.

Ini sebuah novel yang berada dalam kategori ringan (Kalau saya boleh gunakan istilah 'novel'). Tidak ada sinopsis dan tidak ada kerangka cerita, dan ia akan mengalir begitu sahaja tanpa saya sendiri tahu apa akhirnya dan bagaimana ceritanya. Saya cuma mahu berseronok-seronok dengan apa yang digelar e-novel. Selamat membaca. :)

Bab 1

Dia lelaki yang tenang. Sekiranya dia sedang menghirup sup, dan ada manusia yang tiba-tiba menegurnya, dia akan menghabiskan dulu hirupan supnya, sebelum berpaling tersenyum kepada manusia itu. Sekiranya juga pada suatu tengah hari terik, dia terbangun dan melihat jam dia sudah terlewat ke tempat kerja, dia hanya menggeliat sebelum bangun dan menyiapkan diri dengan hanya membasuh muka. Tidak ada langsung gelisah pada wajahnya kerana dia lelaki tenang.

Namanya Zali bin Mahyuddin. Entah daripada mana ayahnya mendapat ilham bagi menamakannya Zali masih menjadi topik petang yang hangat di kedai kopi. Kata seorang lelaki tua yang sering disalah anggap sebagai ketua kampung, Mahyuddin sebenarnya mahu menamakan Zali itu Jali, namun tersilap tulis di atas borang. Kata seorang lagi lelaki tua, yang sering disalah anggap sebagai orang kaya, Mahyuddin mendapatkan ilham menamakan Zali daripada filem P.Ramlee, anakku Sazali, namun kerana khuatir anaknya nanti menjadi derhaka, dipendekkan sahaja menjadi Zali.

Itu kata orang kampung di kedai kopi. Namun yang sebenarnya tidak ada seorang pun yang benar-benar pasti mengapa Mahyuddin menamakan anaknya Zali. Malah sekiranya ditanyakan kepada Mahyuddin, Mahyuddin hanya mampu menggaru-garu kepala, tersenyum dan berkata, “Wallahuaklam.”

Zali sebagai lelaki tenang, yang sering menjadi perdebatan namanya di kedai kopi, sering juga singgah ke kedai kopi. Berlagak seperti lulusan universiti yang menganggur, sedangkan satu kampung tahu, dia cuma belajar sampai ke tingkatan enam, sebelum bekerja menjadi kerani di pejabat daerah. Namun sering juga anak-anak gadis selang beberapa buah kampung tertipu dengan gayanya. Semuanya kerana dia sangat tenang pada saat berbahas berkenaan pengangguran di kedai kopi. Mengapa ada ramai penganggur dan bagaimana mahu mengurangkannya. Zali mampu berbahas dengan baik berkenaan perkara itu dan lebih utama, dia cukup tenang menyentuh hal itu.

Hidup Zali juga tenang kerana keadaan kampungnya yang tenang. Kampungnya yang baru 15 tahun ada jalan raya, 10 tahun ada elektrik dan lima tahun lepas baru ada paip air, sangat kurang jumlah penduduk mudanya. Jadi jalan raya sangat tenang tanpa bunyi motosikal anak muda dan makcik-makcik boleh berlenggang dengan gelang emas sebesar ibu jari dilengan tanpa khuatir yang namanya peragut.

Lebih menenangkan hidup Zali, dia adalah anak bongsu daripada lima adik beradik. Abang sulungnya bekerja sebagai askar, kakak nombor duanya menjadi cikgu, abang nombor tiganya menjadi pegawai tadbir dan abang nombor empatnya menjadi doktor. Dia pula anak bongsu yang masih tinggal dengan ibu bapa tanpa perlu resah memikirkan duit sewa, duit makan dan segala perkara yang sedang difikirkan oleh lelaki bujang di Kuala Lumpur sekarang.

Setenang-tenang lelaki bernama Zali, ada juga kekecualiannya. Dia sangat tidak tenang pada saat melihat wajah ibunya. Sekiranya ibunya berwajah kosong, Zali segera bertanya mengapa? Sekiranya ibunya berwajah tenang, Zali akan bertanya mengapa. Sekiranya ibunya berwajah mendung, lagilah Zali segera bertanya mengapa.

Itu kerja Zali, hanya bertanya kepada ibunya. Ibunya pula seperti mana ibu-ibu yang lainnya di dunia, tidak pernah mampu berahsia kepada anaknya. Sekiranya pada hari itu dia berwajah geram kerana kucing melarikan ikan terubuk yang mahu dipanggang, dia akan menceritakannya kepada Zali. Sekiranya dia hari itu dia tersenyum kerana terpakai berus gigi Zali, juga dia beritahu kepada Zali.

Sehinggalah pada satu hari hidup Zali tidak akan lagi tenang. Semuanya kerana kehadiran sebuah keluarga di kampung itu. Keluarga seorang guru yang baru dinaikkan pangkat menjadi menjadi guru besar, dan sekolah rendah di kampung Zali menjadi tempatnya berkhidmat. Sejak kehadiran keluarga itu hidup Zali mula menjadi tidak tenang.


Bersambung.







No comments: