Wednesday, May 19, 2010

Bab 2 : Zali Lelaki yang Tenang - sebuah novel

Ini sebuah novel yang berada dalam kategori ringan (Kalau saya boleh gunakan istilah 'novel'). Tidak ada sinopsis dan tidak ada kerangka cerita, dan ia akan mengalir begitu sahaja tanpa saya sendiri tahu apa akhirnya dan bagaimana ceritanya. Saya cuma mahu berseronok-seronok dengan apa yang digelar e-novel. Selamat membaca. :)

Bagi membaca Bab 1 klik sahaja pada label ini - Zali Lelaki Yang Tenang

Bab 2

Ketenangan Zali sebenarnya bukan sahaja didorong oleh dirinya, bukan juga oleh suasana kampungnya dan bukan juga faktor keluarganya sahaja. Antara faktor lain dan juga antara faktor utama Zali dikenali sebagai lelaki yang tenang adalah kerana dia mempunyai teman-teman yang tidak tenang.

Teman-temanlah yang menjadikan Zali sebagai lelaki yang menjadi pusat perhatian. Bayangkan sahaja, pada saat semua teman-teman Zali mengerutkan wajah, Zali masih boleh berwajah kosong dengan mata yang redup. Lalu pada saat itu, apa yang menarik perhatian kita? Pasti wajah Zali yang kosong itu dan sekaligus menjadikan dia lelaki yang tenang.

Siapa teman-teman Zali itu? Kenalkan dulu Sabri, teman sekelas Zali dari darjah satu sampai tingkatan tiga. Selepas tingkatan tiga, Sabri berhenti sekolah dengan alasan, tingkatan empat dan lima tidak menjanjikan apa-apa untuk dia. Dia mendapat semua E dalam subjek yang diambil semasa PMR. Lalu kesemua penduduk kampung yang mengenali Sabri, sepertinya merestui hasrat Sabri dan pada saat orang kampung yang mengenali Sabri melihat Sabri, mereka memberikan pandangan yang seolahnya berkata, 'Kamu adalah penerus generasi yang bekerja dengan Tauke Cina. Selamat berjaya, Sabri'.

Mujur tidak ramai penduduk kampung yang mengenali Sabri. Mungkin hanya 2/5 yang kenal dan selebihnya, lupa-lupa ingat dan perlu diberitahu siapa bapa Sabri, ibunya, datuknya dan sepupu-sepupunya. Selepas itu barulah mereka akan mengangguk-angguk seperti tahu walaupun jelas memek wajahnya mereka masih ragu-ragu.

Mengenali Sabri sebagai rakan Zali, seolah seperti kita mengenali Zainuddin sebagai rakan Micheal Jackson. Semua tahu siapa itu Micheal Jackson, tetapi siapa pula Zainuddin? Dalam kisah ini Sabri adalah Zainuddin yang tidak seorang pun tahu siapa dia, dan Zali pula adalah Micheal Jackson, di mana satu kampung mengenali Zali.

Tidak susah bagi memahami mengapa Sabri itu menjadi Zainuddin sekiranya kita pernah mendapat semua E dalam PMR dan sekarang sedang bekerja sebagai kuli di kedai runcit Tauke Cina. Lalu Sabri lelaki yang tubuhnya rendah tetapi tegap dan berotot-otot sering sembunyi di dalam setor Tauke Cina. Hanya keluar bagi memikul guni tepung gandum, beras, gula dan sesekali baja kelapa sawit.

Antara sebab utama Sabri keluar dari setor juga adalah apabila Zali memanggilnya bagi minum petang di kedai kopi, selang tiga buah kedai dari tempat Sabri bekerja. Pada saat itu Sabri tidak membantah dan segera mengenakan topi berlambang harimau ke kepalanya. Dengarnya, topi berlambang harimau itu pemberian daripada seseorang yang istimewa, namun tidak seorang pun tahu, siapa orang istimewa yang dimaksudkan oleh Sabri. Sekiranya ditanya Sabri hanya menjawab, “Istimewa itu adalah sesuatu yang rahsia. Sekiranya sudah diberitahu ia tidak lagi menjadi istimewa.”

Zali pula walaupun cukup tenang mendengar jawapan Sabri, sesekali geram juga hatinya mahu tahu siapa orang istimewa itu, tetapi mulut Sabri seperti pintu makam firaun, yang tertutup rapat. Namun Zali tetap tenang.

Adapun semasa bersama Zali, Sabri menjadi lelaki yang tidak tenang kerana pada saat Zali berkata-kata, dia antara mahu percaya ataupun tidak. Mahu percaya tetapi kedengaran terlalu hebat, dan mahu tidak percaya pula mana tahu perkara itu memang betul. Yalah, diakan cuma kuli kedai runcit, lalu apa sangatlah pengetahuan yang dia ada. Misalnya semasa Zali bercerita berkenaan motosikal abang sulungnya yang bekerja sebagai askar.

“Motosikal abang aku itu boleh melompat melepasi lori Tauke Ah Yi. Sekiranya ada tanjakkan ia boleh melompat melepasi rumah ketua kampung kita,” kata Zali dengan wajah yang tenang.

Sabri antara mahu percaya ataupun tidak. Bagaimana motosikal boleh melompat melepasi lori Tauke Ah Yi? Sedangkan tinggi lori itu bukan main lagi. Apatah lagi sekiranya ia boleh melepasi pula rumah ketua kampung. Rumah ketua kampung mereka adalah rumah yang paling tinggi di situ. Tinggi tiang rumahnya sahaja sudah dua meter dan lelaki dewasa boleh berlumba lari di bawah rumah tanpa gusar kepala benjol.

Namun pada satu sisi Sabri terpaksa akur berkenaan pengetahuan yang dia ada. Dia cuma kuli yang hidupnya di setor kedai runcit. Mungkin sahaja di luar sana memang ada motosikal yang boleh melompat tinggi. Mana tahu? Jadi kekallah wajah Sabri berkerut dan ia sangat membantu menonjolkan Zali sebagai lelaki yang tenang.

Sikap Sabri yang waswas dan ragu-ragu itu akhirnya semakin menjadi-jadi pada saat kedatangan sebuah keluarga guru ke kampung itu. Guru yang baharu dinaikkan pangkat menjadi guru besar, guru yang menjadikan Sabri semakin terlihat tidak tenang.


Bersambung....


No comments: