Sunday, January 03, 2010

sebelum menjadi rama-rama

Angka.
Menandai garis waktu dengan angka, ternyata membuat hati saya menjadi tegang dan hening. Berpegang pada angka membuat saya tidak tega melihat sejarah hidup saya yang terjajar ke belakang. Ia sesuatu yang pucat dan menyeramkan. Angka umur semakin tebal dan megah, namun amalan pula hanya seperti lingkaran-lingkaran hitam yang halus.

Belum sempat surut pucat dan seram saya, ia kemudian kembali merinding pada saat saya teringat kepada seorang lelaki yang mengaku, dia tidak pandai agama. Lelaki yang akhirnya saya mengerti dia adalah umpama ulat dalam kepompong yang sedia menjadi rama-rama.

Kota.
Hidup di kota adalah seperti menarik garis permusuhan dengan sesiapa sahaja yang tiba-tiba merapat mesra. Senyum jadi berlengah, hati mula canggung dan sekaligus tidak percaya. Semuanya berkat pesan, “Kota adalah tempat yang bahaya, dan jangan sesekali percaya dengan orang yang kamu baru jumpa.”

Itu yang saya rasa pada saat pertama kali duduk menunggu bas di hadapan kompleks membeli-belah Kotaraya (Berhampiran Petaling Street). Saya sendiri dengan wajah yang rentung dan hati yang berjingkat-jingkat khuatir, melihat dengan hati-hati manusia kota yang sepertinya memijak bara, tidak pernah berhenti melangkah.

Saya, lelaki kampung yang hanya mengenali pokok kelapa dan pisang berasa sunyi dalam lingkaran riuh kota. Mata saya hilir mudik, menoleh ke jalanan, menoleh ke bangunan, bergantian, sambil mempamerkan wajah seperti orang yang tidak berada pada tempatnya.

Di antara sunyi itu, saya menatap ke kiri dan seorang lelaki yang saya kira angka umurnya pertengahan 30-an datang merapat, duduk dan terus melontar senyuman. Lelaki itu berbahu rata, berkulit coklat pudar, berambut pendek dua lapis jari, dan bertubuh sangat sihat. Saya segera berusaha mengusir khuatir yang berdatangan bagaikan lebah yang pecah sarang.

“Pertama kali ke kota?” sapa lelaki dengan wajah yang tenang seperti mawar.

Saya canggung dan hati saya berterusan berharap semoga bas datang menyelamatkan saya daripada lelaki yang tiba-tiba merapat mesra itu. Lelaki itu terus menatap dalam-dalam, dan akhirnya saya dengan khuatir yang membumbung terus mengangguk kecil menjawab soal lelaki itu.

“Di kota kamu perlu dua perkara ini untuk hidup, kad pengenalan dan wang. Jadi hati-hati dengan dompet kamu,” pesan lelaki itu dan membuat tangan saya terus meraba dompet di belakang. Sempat juga fikiran saya bersimbah dengan rasa hairan kerana itu bukan pertama kalinya saya menerima nasihat yang sebegitu. Sebulan sebelum itu saya sudah menerima pesan yang bernada serupa.

Sarawak.
Dia anak lelaki tertua datuk saya. Dia antara manusia yang saya takuti. Dalam hati saya, sudah tersedia kerangka hormat yang paling tinggi untuk dia. Sebulan sebelum saya tahu apa itu Kompleks Kotaraya, saya dengan hati yang mahu runtuh, terlebih dahulu berjumpa dengan bapa saudara saya itu. Semuanya atas rasa peduli ayah saya, semoga abang dia itu dapat memberikan nasihat yang bagus-bagus untuk saya.

“Pakcik sudah tua, dan selama hidup ini, pakcik hanya sempat dan menekuni satu sahaja perkara berkenaan agama iaitu bersyukur. Hanya itu yang sepanjang hidup ini, pakcik cuba dan sentiasa amalkan, iaitu cuba bersyukur,” terang bapa saudara saya dengan nada yang membuang resah dalam hati saya.

Saya mengangguk takzim seperti lelaki yang terampil di hadapan bakal mertua. Dalam kerangka hormat saya yang tinggi, tetap juga saya terhairan-hairan dengan nasihatnya. Apa selama ini saya tidak pernah bersyukur?

“Dalam bersyukur terkadang kita tertipu. Kita bersyukur pada perkara akhirat, tetapi tidak bersyukur pada perkara dunia. Kita tertipu kerana kita bersyukur yang kita masih solat sedangkan banyak lagi manusia yang tidak solat. Yang betulnya, dalam hal akhirat kita jangan melihat orang yang lebih bawah daripada kita, tetapi lihat pada orang yang lebih tinggi. Manakala dalam hal dunia kita jangan melihat orang di atas kita tetapi lihat orang di bawah kita, dan itu adalah cara kita bersyukur. Tidak mudah kerana rasa syukur itu datangnya bukan dengan mudah, dan kerana itu pakcik cuma menekuni perkara ini dalam hidup pakcik,” kata bapa saudara saya tegas lalu kembali menyambung, “Syukur itu datangnya hanya selepas kita sedar siapa kita di sisiNya. Kita adalah hamba, hambaNya yang sangat lemah. Jadi tanamkan rasa hamba itu kuat dalam hati dan selepas itu kamu tidak mungkin tertipu dengan rasa bersyukur.”

Saya mengangguk lagi dan pada saat saya berhenti mengangguk bapa saudara saya menyambung nasihatnya berkenaan kad pengenalan, duit dan dompet. Itu nasihat yang saya terkenang dan pada suatu saat saya mengerti mengapa nasihat itu terbentuk dan terus terbenam pada hati lelaki di perhentian bas Kompleks Kotaraya itu.

Bas.
Lelaki yang begitu nanar wajahnya itu sekali lagi melihat saya, tersenyum melambung dan seterusnya dengan wajah bersemangat dia berkata, “Saya dari kampung, datang ke sini kerana mahu bekerja. Mahu memberikan rezeki untuk keluarga tetapi saya baru sahaja kehilangan dompet, jadi saya mohon saudara dapat membantu saya. Saya cuma perlukan RM10.00 untuk pulang.”

Saya tetap diam dan saya sepatutnya sudah dapat menyeduh niat lelaki itu sedari awal. Namun kini saya sudah berada dalam posisi bertahan. Cuba saya menyudutkan fikiran saya pada rasional yang paling terang. Manusia di kota, yang saya tidak kenali dan tiba-tiba meminta wang, lalu rasional apa yang perlu saya anjurkan untuk hati saya? Apa agaknya Adam Smith akan lakukan sekiranya dia memikirkan daripada rasional ekonomi, apa pula yang Tun Abdullah Badawi lakukan sekiranya dia memikirkan daripada rasional Islam Hadhari?

“Tolonglah. Sekiranya saudara tidak memberikan saya wang itu, saya tidak pasti apa nasib saya hari ini,” pohon lelaki itu lagi, dan terus memohon, “Saya sedar saya tidak pandai agama tetapi bukankah saudara akan beroleh pahala dengan menolong saya dan bukankah cara saya ini lebih baik daripada mencuri?”

Rasional terang yang saya harapkan berlari mendekat hilang entah ke mana dan saya terus membenamkan wajah yang keras hati, teguh umpama karang dan tidak mungkin punyai simpati. Semoga sahaja lelaki itu beredar kerana hati saya sudah dirapikan supaya tidak percaya pada kata-katanya.

“Sekiranya saudara tidak mahu memberi RM10, terima kasih. Tetapi mungkin saudara boleh memberi RM5.00. Ia sudah cukup untuk saya, namun saya pasti pahala untuk saudara tidak akan berkurang,” kata lelaki itu dengan nada yang penuh nuansa menundukkan. Tersirat beban desakan pada suaranya.
Mendengarkan kata itu dengan nada yang penuh beban mendesak, saya mengesan satu perasaan yang aneh dalam hati saya. Sepertinya keberanian sudah mengkhianati diri saya, dan kini keberanian itu kembali mahu memecahkan takut yang sudah sibuk bersombong-sombong. Saya menatap tepat matanya dengan keberanian yang tumpah ruah.

“Cari saja orang lain untuk kamu tipu!” kata saya tegas, penuh emosi dan intonasi yang menghiris.
Lelaki itu kemudiannya tunduk dan wajah bersemangatnya tadi hilang menjadi wajah yang menumpahkan rasa kekesalan, seperti kesalnya ibu yang tertumpah gulai sebelanga.

“Maaf. Saya sepatutnya tidak mendesak, sedangkan hari ini adalah hari pertama kita berjumpa. Lalu wajar kamu begitu. Terima kasih kerana kamu mengingatkan saya pada sesuatu,” kata lelaki itu dengan titik suara yang saya dapat rasakan titik ngilu yang dalam. Namun tetap juga saya diam walaupun hati saya sudah menggegar mahu mengetahui apa perkara yang lelaki itu ingat daripada saya.

“Saya teringatkan diri saya yang jarang mengingati Allah. Jarang mahu bersyukur dan dengan tiba-tiba pada saat saya susah, baru saya teringatkan Allah dan mahu memohon bantuan. Adakah saya ini seperti menipu Dia juga?” terang lelaki itu sehingga membuat saya menahan nafas. Tidak terjangkau saya fikiran lelaki itu sejauh itu. Lalu tetap juga saya diam kerana jelas lelaki itu seperti mahu menyambung bicara.

“Terima kasih kerana walaupun kamu tidak membantu saya, tetapi setidak-tidaknya kerana hanya dengan jalan itu saya masih teringatkan berkenaan syukur. Pasti ada orang lagi yang lebih susah daripada saya dan mungkin sahaja orang itu kamu, dan saya bersyukur kerana saya tidak menganggap diri saya lebih baik daripada pencuri, malah saya sepatutnya membandingkan diri saya pada manusia yang lebih baik dan mungkin sahaja manusia itu adalah kamu,” kata lelaki itu lalu berjalan dengan wajah yang menghiriskan. Entah keputusan apa yang ditasbihkan dalam hatinya.

Saya tidak mampu menjelaskan situasi hati saya waktu itu yang seperti terlalu kuat melindungi daripada berasa selesa dengan lelaki itu, masih penuh dengan curiga. Namun, tetap juga saya tewas dan tidak mampu melindungi perasaan saya, yang akhirnya saya menyesal tidak sudah kerana teragak-agak mahu membantu lelaki itu.

Pandangan saya terus pada lelaki itu yang sudah hilang, menjauh entah ke mana. Akhirnya saya mengerti sesuatu berkenaan syukur. Terkadang syukur itu datangnya pada saat kita sedang diuji sama seperti lelaki itu dan ia mengingatkan saya pada pesan bapa saudara saya, bahawa syukur datangnya bukan dengan cara yang mudah dan hanya datang pada saat wujudnya rasa hamba yang kuat dalam hati.
Diuji dengan hilang wangnya, diuji dengan bertemu orang penuh curiga seperti saya, dan akhirnya pada saat lelaki itu beredar dari perhentian bas itu, sebetulnya dia sudah menjadi rama-rama indah yang keluar dari kepompong. Pasti rama-rama itu sudah merasai betapa lemahnya dia sebagai hamba yang tidak berdaya di dalam kepompong dan pasti juga kata syukur sahaja yang terbit daripada rama-rama itu.

Seketika itu juga saya memandang diri saya, adakah saya sudah merasa hamba ataupun saya masih tertipu pada rasa syukur saya ataupun saya perlu dahulu masuk ke dalam kepompong?

3 comments:

kono-tasi said...

fragmen Angka itu hip. dua perenggan cuma, memberi makna yang cukup. ;)

DeLinn said...

Salam Dingin

Baru jumpa balik blog ni. Tahniah, dah dapat anak. The last time saya baca, ialah masa awak nak kawen. :-)

Anonymous said...

Salam buat Bahar...Tanpa berselindung...Saya jarang membaca entry saudara. Tapi entah mengapa mata rasa tertarik hendak membacanya kali ini. Jiwa tersentuh dan ego terhakis. Membawa saya kembali belajar perkara yang mudah disebut namun amat sukar dilakukan, jauh sekali diamalkan. Perkara yang dinamakan bersyukur...Saya juga seperti saudara. Budak pulau yang hanya mengenali erti luasnya laut. Namun tidak pada luasnya kota. Terima kasih atas peringatan dan nasihat itu...Harap kita boleh berjumpa dan berbicara lagi..