Thursday, January 28, 2010

Untuk sesuatu yang terlupa

Malam tadi, pada saat bulan mengambang elok dengan langit yang ceria berteman awan, saya dimengertikan pada suatu hakikat. Manusia tidak perlukan titik temu yang luar biasa untuk bersatu. Cukup sekadar satu hal yang paling biasa yang saya, kamu dan semuanya sangat mengerti.

Selama hidup ini, saya sudah ditanamkan dengan kata-kata pedoman, bersatu dengan mereka yang punyai minat yang sama, punyai hobi yang serupa, dan semua perkara yang punyai hujung ke hujung yang setemu.

Itu yang saya percaya dan tanpa saya sedar, apa yang saya percayakan itu sebetulnya memberi jarak paling tidak pun tembok yang tidak terlihat. Terkadang hanya memerhati dari jauh dengan hati yang tertanya-tanya, mengapa mereka tidak seperti saya? Yang punyai obses pada motosikal, pada gaya yang sederhana dan mudah dan segalanya berkenaan diri saya.

Terlupa saya berkenaan hikmah di sebalik perbezaan, adalah untuk manusia saling kenal mengenal. Tertanya-tanya juga saya, untuk apa kenal mengenal sekiranya apa yang saya perbuat berbeza dengan apa yang mereka buat, dan hakikat itu sudah cukup bagi membuktikan yang kami tidak mungkin bahagia apabila bersama. Cukup sekadar tahu dan berhenti daripada ingin lebih tahu, kerana saya cuma tahu makna kenal mengenal tanpa mengerti hikmah di sebalik erti perkataan itu.

Lalu apa yang saya peroleh pada malam ini adalah sesuatu yang sangat biasa, namun saya tidak sedar ataupun sengaja tidak membenamkannya ke dalam hati. Hal yang sangat biasa itu adalah, hormat dan menghargai. Untuk bersatu cukup sekadar kita saling menghormati dan saling menghargai. Lalu walau bagaimana berbeza pun kita, andainya hormat dan menghargai itu ada dalam hati, kita pasti tetap bersatu.

Hormat dan saling menghargai juga yang menjadi hikmah di sebalik perbezaan manusia. Di mana Tuhan mahu manusia saling kenal mengenal kerana hikmah di sebalik kenal mengenal itu, ia dapat menyusun bata-bata hormat hingga menjulang tinggi menjadi kesatuan yang kukuh.

Pada saat ini, pada waktu bulan sudah letih, saya berterima kasih kepada teman-teman kerana mengajarkan saya hal semudah dan seringkas itu, iaitu jadikan hormat sebagai titik mula untuk bersatu dan jadikan hormat sebagai asbab untuk saling kenal mengenal.

Terima kasih.


Monday, January 18, 2010

Novel terbaharu saya : Kita Hanya di Seberang Jalan :)


Mengambil inspirasi daripada novel 'Dunia Ini Sederhana Kecil' (DISK), kisah ini bermula. Ini bukan sambungan DISK namun, ia dijiwai daripada novel DISK. Ada banyak cantuman kisah yang tidak saya ceritakan di dalam DISK, kerana terlupa dan kerana kesesuaian cerita. Lalu cantuman itu saya kumpul-kumpul sebelum saya kira cukup bagi dicantum-cantum untuk sebuah novel baharu. Atas itu, 'Kita Hanya di Seberang Jalan' ditulis. Sebuah novel yang berdiri sendiri.

Mahu saya ceritakan kisah itu? Ini adalah sebuah kisah hidup yang saya permudahkan bentuknya. Inspirasi teras saya datang daripada sebuah kedai pisang di Petra Jaya, Sarawak. Entah kedai itu masih ada ataupun tidak. Namun, tetap sahaja kisah ini saya kutip daripada situ.

Namun, tidaklah novel ini seluruhnya berkisah berkenaan kedai itu, cuma ia teras pada cerita. Selebihnya imaginasi saya yang mengembara. Cuba saya melihat apa sahaja yang berlaku pada manusia yang mencari sesuatu dalam hidup. Mencari ke seluruh pelusuk kota, ke seluruh pelusuk alam. Terkadang berjumpa terkadang tidak. Pada saat tidak berjumpa itu, terkadang manusia lupa, apa yang mereka cari itu ada di seberang jalan.

:)

Belilah... haha :)


Wednesday, January 13, 2010

lelaki dan kotak suara

Sekadar satu soalan, membuat saya tersudut pada kabus pagi yang tebal. Satu soalan yang apabila saya tahu jawapannya, saya tersudut pula pada satu rasa perih yang pijar. Rasa yang membuat saya kembali tidak lupa-lupa bagi mengulang-ulang soalan itu.

“Dengan siapa kamu paling banyak bicara?”

Saya diam. Fikiran saya yang sudah sedia tidak lurus, semakin membengkok pada soalan itu. Pada suatu saat saya menggeleng. Tanda fikiran saya sudah hampir patah.

“Kamu banyak bicara kepada diri kamu sendiri.”

Saya tidak perlu penjelasan untuk jawapan itu. Pada saat ia meluncur, pada saat itu juga hati saya sudah mafhum maksudnya. Seperti mafhumnya saya pada saat melihat orang buta yang menadah tangan di tepi jalan.

Lalu pada saat saya menuliskan perkara ini, pada saat saya sendiri, pada saat saya sunyi, dan pada saat manapun, saya pasti berbicara pada diri saya sendiri. Jadi tidak menipu jawapan itu kerana kepada diri saya sendirilah saya banyak bicara.

Saya tahu hakikat itu, namun saya tetap juga berhenti untuk bersikap faham pada saat saya ditanya lagi.

“Pada jawapan yang sudah kamu tahu itu, lalu apa yang kamu dapat peroleh?”

Umpamanya lelaki yang memperoleh sebuah kotak yang dia tahu datangnya dari Jepun. Dia tahu harganya, materialnya dan segalanya berkenaan kotak itu, tetapi dia tidak pasti, harus diapakan kotak itu, dan lelaki itu adalah saya. Tidak tahu harus diapakan pada hal yang saya peroleh itu.

“Pada saat kamu bicara kepada diri kamu, kamu bicara apa? Saya yakin, kamu bicara dari seburuk-buruk hingga pada sebaik-baik perkara. Namun, antara perkara baik dan buruk, perkara apa yang kamu paling banyak bicarakan untuk diri kamu?”

Jawapan untuk soalan tadi juga adalah soalan. Bertimpa-timpa sepertinya hujan di bulan Disember. Saya terpempan pada soalan itu. Untuk selama hidup saya, saya banyak bicara perkara yang bagaimana pada diri saya?

Seolahnya, saya tahu ada matahari di balik awan, tetapi saya tidak mahu memandang ke langit. Lebih senang saya memujuk mata memandang tanah. Tidak mahu saya menjawab soalan itu kerana, saya tahu, bahagia saya akan berakhir dan akhirnya saya diam.

Lalu perkara yang bernama kenangan tahu apa yang perlu didatangkan dalam kepala saya. Pada suatu masa dahulu, pada saat saya mula tahu maknanya suka kepada wanita, sering sahaja saya bicara, apa wanita itu suka kepada saya? Seterusnya saya senang berbicara, tidak mungkin dia suka dan lebih baik saya diam daripada berbicara berkenaan hati dengan dia.

Ada satu saat, saya menghadiri temuduga, mudah juga saya bicara kepada diri saya, apa saya layak diterima? Melihat keliling, saya berkata kepada diri, tidak mungkin saya berjaya kerana keliling saya dipenuhi oleh manusia yang jauh lebih bergaya.

Pada waktu yang lebih dikenang, pada saat saya mengerti cinta wanita itu tidak abadi, mahu tidak mahu, saya bicara kepada diri, saya tidak mampu mendapatkan apa yang saya mahu. Kerap juga saya bicara, tidak mungkin saya mampu memeluk kata 'abadi' tidak juga kata 'sejati'.

Itulah kerja kenangan. Membawa segala apa yang sudah lepas kembali berguling-guling dalam kepala. Enak sampai saya ikut berguling lalu memejam mata diam, dan tetap juga saya tidak mahu memandang matahari di balik awan.

“Pada saat kamu melihat perempuan seksi, lalu apa yang kamu bicarakan pada diri kamu? Adakah kamu berkata yang baik dan suci? Pasti perkara nakal juga yang datang dalam kepala kamu. Pada saat kamu mendengar kata-kata yang menguru-gurui kamu, apa yang kamu bicarakan pada diri kamu? Pada saat kamu sendiri, pada saat kamu kecewa, perkara apa yang kamu bicarakan?”

Saya mahu tersenyum, namun senyum saya sudah melesat ke kaki, entah mungkin sudah meresap ke tanah. Saya diam. Arah soalan itu mengetuk-ngetuk pintu aib. Tidak mungkin saya membukanya, dan tidak mungkin pula saya terus melindungnya dengan tapak tangan.

“Biar kamu sendiri yang tahu jawapannya. Namun, bayangkan pada saat kamu bicara pada diri kamu sendiri, usahakan membawa suara-suara yang positif dan suci. Usahakan tidak membawa suara-suara yang kotor, tidak juga yang merendah-rendah. Sekiranya sahaja dahulu kamu biacara yang baik-baik kepada diri kamu, pasti kamu sekarang sudah bertingkat-tingkat di atas. Hanya kerana, apa sahaja yang kita bicarakan kepada diri kita, perkara itu juga yang tidak kita sedar, kita perbuat dan pamerkan dalam hidup sehari-hari kita. Suara-suara yang kamu bisikan pada diri kamu itu, yang kamu dengar, yang mempengaruhi kamu dan seterusnya ia menjadi niat.”

Saya menarik nafas panjang. Umpama lelaki yang menerima kotak dari Jepun, yang sudah tahu apa harus diapakan pada kotak itu lalu berusaha ke arah itu, dan lelaki itu adalah saya. Semoga sahaja, saya bicara yang baik-baik sahaja untuk diri saya. Semoga. :)

Sunday, January 03, 2010

sebelum menjadi rama-rama

Angka.
Menandai garis waktu dengan angka, ternyata membuat hati saya menjadi tegang dan hening. Berpegang pada angka membuat saya tidak tega melihat sejarah hidup saya yang terjajar ke belakang. Ia sesuatu yang pucat dan menyeramkan. Angka umur semakin tebal dan megah, namun amalan pula hanya seperti lingkaran-lingkaran hitam yang halus.

Belum sempat surut pucat dan seram saya, ia kemudian kembali merinding pada saat saya teringat kepada seorang lelaki yang mengaku, dia tidak pandai agama. Lelaki yang akhirnya saya mengerti dia adalah umpama ulat dalam kepompong yang sedia menjadi rama-rama.

Kota.
Hidup di kota adalah seperti menarik garis permusuhan dengan sesiapa sahaja yang tiba-tiba merapat mesra. Senyum jadi berlengah, hati mula canggung dan sekaligus tidak percaya. Semuanya berkat pesan, “Kota adalah tempat yang bahaya, dan jangan sesekali percaya dengan orang yang kamu baru jumpa.”

Itu yang saya rasa pada saat pertama kali duduk menunggu bas di hadapan kompleks membeli-belah Kotaraya (Berhampiran Petaling Street). Saya sendiri dengan wajah yang rentung dan hati yang berjingkat-jingkat khuatir, melihat dengan hati-hati manusia kota yang sepertinya memijak bara, tidak pernah berhenti melangkah.

Saya, lelaki kampung yang hanya mengenali pokok kelapa dan pisang berasa sunyi dalam lingkaran riuh kota. Mata saya hilir mudik, menoleh ke jalanan, menoleh ke bangunan, bergantian, sambil mempamerkan wajah seperti orang yang tidak berada pada tempatnya.

Di antara sunyi itu, saya menatap ke kiri dan seorang lelaki yang saya kira angka umurnya pertengahan 30-an datang merapat, duduk dan terus melontar senyuman. Lelaki itu berbahu rata, berkulit coklat pudar, berambut pendek dua lapis jari, dan bertubuh sangat sihat. Saya segera berusaha mengusir khuatir yang berdatangan bagaikan lebah yang pecah sarang.

“Pertama kali ke kota?” sapa lelaki dengan wajah yang tenang seperti mawar.

Saya canggung dan hati saya berterusan berharap semoga bas datang menyelamatkan saya daripada lelaki yang tiba-tiba merapat mesra itu. Lelaki itu terus menatap dalam-dalam, dan akhirnya saya dengan khuatir yang membumbung terus mengangguk kecil menjawab soal lelaki itu.

“Di kota kamu perlu dua perkara ini untuk hidup, kad pengenalan dan wang. Jadi hati-hati dengan dompet kamu,” pesan lelaki itu dan membuat tangan saya terus meraba dompet di belakang. Sempat juga fikiran saya bersimbah dengan rasa hairan kerana itu bukan pertama kalinya saya menerima nasihat yang sebegitu. Sebulan sebelum itu saya sudah menerima pesan yang bernada serupa.

Sarawak.
Dia anak lelaki tertua datuk saya. Dia antara manusia yang saya takuti. Dalam hati saya, sudah tersedia kerangka hormat yang paling tinggi untuk dia. Sebulan sebelum saya tahu apa itu Kompleks Kotaraya, saya dengan hati yang mahu runtuh, terlebih dahulu berjumpa dengan bapa saudara saya itu. Semuanya atas rasa peduli ayah saya, semoga abang dia itu dapat memberikan nasihat yang bagus-bagus untuk saya.

“Pakcik sudah tua, dan selama hidup ini, pakcik hanya sempat dan menekuni satu sahaja perkara berkenaan agama iaitu bersyukur. Hanya itu yang sepanjang hidup ini, pakcik cuba dan sentiasa amalkan, iaitu cuba bersyukur,” terang bapa saudara saya dengan nada yang membuang resah dalam hati saya.

Saya mengangguk takzim seperti lelaki yang terampil di hadapan bakal mertua. Dalam kerangka hormat saya yang tinggi, tetap juga saya terhairan-hairan dengan nasihatnya. Apa selama ini saya tidak pernah bersyukur?

“Dalam bersyukur terkadang kita tertipu. Kita bersyukur pada perkara akhirat, tetapi tidak bersyukur pada perkara dunia. Kita tertipu kerana kita bersyukur yang kita masih solat sedangkan banyak lagi manusia yang tidak solat. Yang betulnya, dalam hal akhirat kita jangan melihat orang yang lebih bawah daripada kita, tetapi lihat pada orang yang lebih tinggi. Manakala dalam hal dunia kita jangan melihat orang di atas kita tetapi lihat orang di bawah kita, dan itu adalah cara kita bersyukur. Tidak mudah kerana rasa syukur itu datangnya bukan dengan mudah, dan kerana itu pakcik cuma menekuni perkara ini dalam hidup pakcik,” kata bapa saudara saya tegas lalu kembali menyambung, “Syukur itu datangnya hanya selepas kita sedar siapa kita di sisiNya. Kita adalah hamba, hambaNya yang sangat lemah. Jadi tanamkan rasa hamba itu kuat dalam hati dan selepas itu kamu tidak mungkin tertipu dengan rasa bersyukur.”

Saya mengangguk lagi dan pada saat saya berhenti mengangguk bapa saudara saya menyambung nasihatnya berkenaan kad pengenalan, duit dan dompet. Itu nasihat yang saya terkenang dan pada suatu saat saya mengerti mengapa nasihat itu terbentuk dan terus terbenam pada hati lelaki di perhentian bas Kompleks Kotaraya itu.

Bas.
Lelaki yang begitu nanar wajahnya itu sekali lagi melihat saya, tersenyum melambung dan seterusnya dengan wajah bersemangat dia berkata, “Saya dari kampung, datang ke sini kerana mahu bekerja. Mahu memberikan rezeki untuk keluarga tetapi saya baru sahaja kehilangan dompet, jadi saya mohon saudara dapat membantu saya. Saya cuma perlukan RM10.00 untuk pulang.”

Saya tetap diam dan saya sepatutnya sudah dapat menyeduh niat lelaki itu sedari awal. Namun kini saya sudah berada dalam posisi bertahan. Cuba saya menyudutkan fikiran saya pada rasional yang paling terang. Manusia di kota, yang saya tidak kenali dan tiba-tiba meminta wang, lalu rasional apa yang perlu saya anjurkan untuk hati saya? Apa agaknya Adam Smith akan lakukan sekiranya dia memikirkan daripada rasional ekonomi, apa pula yang Tun Abdullah Badawi lakukan sekiranya dia memikirkan daripada rasional Islam Hadhari?

“Tolonglah. Sekiranya saudara tidak memberikan saya wang itu, saya tidak pasti apa nasib saya hari ini,” pohon lelaki itu lagi, dan terus memohon, “Saya sedar saya tidak pandai agama tetapi bukankah saudara akan beroleh pahala dengan menolong saya dan bukankah cara saya ini lebih baik daripada mencuri?”

Rasional terang yang saya harapkan berlari mendekat hilang entah ke mana dan saya terus membenamkan wajah yang keras hati, teguh umpama karang dan tidak mungkin punyai simpati. Semoga sahaja lelaki itu beredar kerana hati saya sudah dirapikan supaya tidak percaya pada kata-katanya.

“Sekiranya saudara tidak mahu memberi RM10, terima kasih. Tetapi mungkin saudara boleh memberi RM5.00. Ia sudah cukup untuk saya, namun saya pasti pahala untuk saudara tidak akan berkurang,” kata lelaki itu dengan nada yang penuh nuansa menundukkan. Tersirat beban desakan pada suaranya.
Mendengarkan kata itu dengan nada yang penuh beban mendesak, saya mengesan satu perasaan yang aneh dalam hati saya. Sepertinya keberanian sudah mengkhianati diri saya, dan kini keberanian itu kembali mahu memecahkan takut yang sudah sibuk bersombong-sombong. Saya menatap tepat matanya dengan keberanian yang tumpah ruah.

“Cari saja orang lain untuk kamu tipu!” kata saya tegas, penuh emosi dan intonasi yang menghiris.
Lelaki itu kemudiannya tunduk dan wajah bersemangatnya tadi hilang menjadi wajah yang menumpahkan rasa kekesalan, seperti kesalnya ibu yang tertumpah gulai sebelanga.

“Maaf. Saya sepatutnya tidak mendesak, sedangkan hari ini adalah hari pertama kita berjumpa. Lalu wajar kamu begitu. Terima kasih kerana kamu mengingatkan saya pada sesuatu,” kata lelaki itu dengan titik suara yang saya dapat rasakan titik ngilu yang dalam. Namun tetap juga saya diam walaupun hati saya sudah menggegar mahu mengetahui apa perkara yang lelaki itu ingat daripada saya.

“Saya teringatkan diri saya yang jarang mengingati Allah. Jarang mahu bersyukur dan dengan tiba-tiba pada saat saya susah, baru saya teringatkan Allah dan mahu memohon bantuan. Adakah saya ini seperti menipu Dia juga?” terang lelaki itu sehingga membuat saya menahan nafas. Tidak terjangkau saya fikiran lelaki itu sejauh itu. Lalu tetap juga saya diam kerana jelas lelaki itu seperti mahu menyambung bicara.

“Terima kasih kerana walaupun kamu tidak membantu saya, tetapi setidak-tidaknya kerana hanya dengan jalan itu saya masih teringatkan berkenaan syukur. Pasti ada orang lagi yang lebih susah daripada saya dan mungkin sahaja orang itu kamu, dan saya bersyukur kerana saya tidak menganggap diri saya lebih baik daripada pencuri, malah saya sepatutnya membandingkan diri saya pada manusia yang lebih baik dan mungkin sahaja manusia itu adalah kamu,” kata lelaki itu lalu berjalan dengan wajah yang menghiriskan. Entah keputusan apa yang ditasbihkan dalam hatinya.

Saya tidak mampu menjelaskan situasi hati saya waktu itu yang seperti terlalu kuat melindungi daripada berasa selesa dengan lelaki itu, masih penuh dengan curiga. Namun, tetap juga saya tewas dan tidak mampu melindungi perasaan saya, yang akhirnya saya menyesal tidak sudah kerana teragak-agak mahu membantu lelaki itu.

Pandangan saya terus pada lelaki itu yang sudah hilang, menjauh entah ke mana. Akhirnya saya mengerti sesuatu berkenaan syukur. Terkadang syukur itu datangnya pada saat kita sedang diuji sama seperti lelaki itu dan ia mengingatkan saya pada pesan bapa saudara saya, bahawa syukur datangnya bukan dengan cara yang mudah dan hanya datang pada saat wujudnya rasa hamba yang kuat dalam hati.
Diuji dengan hilang wangnya, diuji dengan bertemu orang penuh curiga seperti saya, dan akhirnya pada saat lelaki itu beredar dari perhentian bas itu, sebetulnya dia sudah menjadi rama-rama indah yang keluar dari kepompong. Pasti rama-rama itu sudah merasai betapa lemahnya dia sebagai hamba yang tidak berdaya di dalam kepompong dan pasti juga kata syukur sahaja yang terbit daripada rama-rama itu.

Seketika itu juga saya memandang diri saya, adakah saya sudah merasa hamba ataupun saya masih tertipu pada rasa syukur saya ataupun saya perlu dahulu masuk ke dalam kepompong?

Saturday, January 02, 2010

Dunia penulisan : Sindrom Jackie Chan

Saya tidak pasti kata rasmi untuk hal ini, namun untuk saya bagi memudahkan pemahamam, saya katakan ia 'Sindrom Jackie Chan'. Saya sudah terkena sindrom ini dan ia bukan sesuatu yang bagus untuk saya.

Seperti yang semua sudah tahu, Jackie Chan adalah pelakon yang cukup handal dalam aksi mempertahankan diri dalam gayanya yang tersendiri. Lalu dalam filem manapun kita akan terbiasa dengan aksi 'tangga', 'kerusi' 'hidung merah', dan lucunya Jackie Chan, dan kita mengenali itu sebagai 'Jackie Chan'. Berikan dia filem apa pun, imej 'Jackie Chan' tetap akan wujud. Ceritanya berbeza tetapi wataknya tetap 'Jackie Chan', klise.

Berkaitan dalam masalah penulisan, saya menghadapi masalah yang serupa. Saya menulis novel itu ini dengan jalan cerita yang sangat berbeza namun, tetap sahaja watak saya klise. Sama seperti 'Jackie Chan'.

Namun persamaan saya dengan Jackie Chan berakhir di situ. Mungkin kerana faktor 'Jackie Chan' membuatkan semua filemnya mendapat sambutan, namun berbeza untuk penulisan. Faktor 'Jackie Chan' dalam penulisan membuatkan sesuatu itu menjadi membosankan dan tidak menarik.

Kurang pasti sebabnya, dan kurang pasti penyelesaiannya. Jadi untuk 2010 ini saya mahu mengubati sindrom ini. Saya perlu lebih banyak belajar lagi dan perlu lebih banyak membaca. Moga-moga saya mampu menjadi 'Jet Li' pula. Doakan. :)