Friday, August 28, 2009

Dunia Buku: Adi Gempa: Evolusi

*Sebenarnya, saya orang Samarahan. :)

Manusia uji kaji jadi rebutan Amerika, Russia

ADI Gempa: Evolusi karya Bahruddin Bekri membawa pembaca menelusuri kisah manusia uji kaji yang mempunyai kekuatan luar biasa hasil konspirasi pertubuhan sulit Amerika dalam percubaan mereka untuk menguasai dunia, tetapi terhalang apabila ada pihak yang membangkang niat jahat itu.

Novel pertama percubaan pengarang ini dalam genre aksi fiksyen sains atau Sai Fai dimulai dengan penemuan logam hitam dipercayai tahi bintang yang jatuh terhempas di kawasan terpencil di Russia, hampir 100 tahun lalu dan Amerika merancang menghasilkan sesuatu yang dahsyat bagi merealisasikan impian menguasai dunia.

Tidak mahu terbabit dengan rancangan jahat itu, Prof Ashraf bersama-sama 10 manusia uji kaji melarikan diri dan sempat membebaskan 100 sejenis dengannya, sebelum lari bertebaran di serata pelosok dunia manakala Prof Ashraf memilih menyembunyikan diri di Malaysia dengan membawa dua manusia uji kaji, Amin dan Hadi.

Bagaimanapun, Hadi yang masih bayi ditinggalkan di hadapan sebuah rumah dan pada usia 12 tahun menjalani kehidupan normal di samping Puan Maimun dan Pak Ali di sebuah kampung, tanpa disedari memiliki kekuatan luar biasa iaitu dapat mengesan gempa bumi serta menghasilkan gegaran.

Prof Ashraf kembali menjejaki Hadi dan memerhati perkembangan serta gerak gerinya sehingga dapat mengesan adanya kaitan antara Hadi dan kejadian gempa bumi di samping membongkar hubung kait di antara Hadi dengan perancangan sulit Amerika terungkai.

Tokoh itu turut membongkar eksperimen berlabel Boy I yang lahir daripada ‘Projek Manusia Uji kaji’ dan satu daripadanya ialah Hadi selain Prof Ashraf cuba membantu pemuda terbabit mengguna serta mengawal kuasanya yang sangat berguna untuk mengesan gempa bumi bagi menyelamatkan dunia serta beribu nyawa.

Penulis mengangkat Hadi sebagai hero yang menjadi rebutan Amerika dan Russia kerana kekuatan yang dimilikinya itu akan membawa keuntungan kepada mereka, meskipun hakikatnya Hadi masih tidak dapat menggunakan kuasa sepenuhnya.

Penulis bagaikan membawa pembaca menonton siri komik super hero apabila muncul lebih ramai manusia

uji kaji yang mempunyai kekuatan luar biasa dan setiap daripada mereka memiliki kehebatan tersendiri selain kebijaksanaannya menyusun plot dengan baik berjaya menambat tumpuan pembaca.

Selain Amin yang memiliki kuasa angin, Hadi turut bertemu dengan Man-7 atau dikenali sebagai Tokoh X, antara manusia uji kaji terkuat dan banyak kuasa hebat yang antaranya mampu mengeluarkan sinaran seolah-olah logam hitam, kuasa teleport dan kuasa ais.

Plot cerita menjadi semakin menarik serta menimbulkan debaran kepada pembaca apabila wakil Amerika yang diketuai Prof William, mula memburu Hadi dan Prof Ashraf manakala Prof Mashkadov mewakili Russia pula berusaha melindungi Hadi.

Keadaan menjadi lebih sulit apabila Prof Maskadov, Prof Ashraf dan Hadi diculik oleh Amerik, manakala Jeneral Kashparov pula berusaha mengatur rancangan dengan mengumpul barisan tenaga yang kuat untuk menyelamatkan kelompok yang diwakilinya.

Pergelutan demi pergelutan berlaku bagi memusnahkan pihak lawan masing-masing, tetapi kekuatan dan kelicikan kelompok Amerika dengan barisan tentera skuad pengawal gelap dan skuad pembunuh gelap, menyukarkan usaha menumpaskan mereka.

Baik kelompok Amerika mahupun Russia, masing-masing mengeluarkan senjata dan kekuatan bagi melawan serta mempertahankan diri, pelbagai makhluk yang mempunyai kuasa luar biasa turut muncul dalam memperkukuhkan serangan sehingga pembaca terdorong menyudahkan bacaan.

Bagaimanakah nasib Prof Ashraf dan Hadi serta apakah tujuan sebenar Prof Mashkadov yang juga orang kanan Prof William, tetapi akhirnya membelot serta berjayakah pihak Amerika ditumpaskan akan diketahui dengan membaca sendiri novel setebal 331 halaman berharga RM19.00 senaskhah ini.

INFO: Adi Gempa: Evolusi

  • Pengarang: Bahruddin Bekri
  • Tebal: 331 halaman
  • Penerbit: PTS Fortuna Sdn Bhd
  • Harga: RM 19.00 senaskhah
  • Bintang: ****


Lulusan ekonomi pilih penulisan kreatif

MOHAMAD Bahruddin Mohamad Bekri berasal dari Kuching, dilahirkan pada 11 Januari 1981 mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kebangsaan Iboi, sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Semera, Sarawak.

Pemegang Ijazah Muda Ekonomi ini menulis sejak di sekolah, kemudian menjadikan blog sebagai medan bereksperimen dan walaupun baru dua tahun menulis novel, enam sudah diterbitkan iaitu Doa Untuk Aku, Dunia Ini Sederhana Kecil, Detektif Bertudung Hitam, Puisi Untuk Nadina, Perang Kucing dan Adi Gempa.

Adi Gempa adalah percubaan pertamanya menulis novel berbentuk aksi fiksyen sains, Sai Fai kerana sebelum ini, Mohamad Bahruddin selesa dengan genre komedi kehidupan, tetapi tetap berazam untuk menulis sekual Adi Gempa selain pernah mencuba bakat dalam genre cerpen dan novel remaja

Beliau pernah berkhidmat sebagai eksekutif di syarikat logistik dan bekerja sementara di bawah Skim Kerajaan, kemudian bekerja secara bebas dalam menyusun reka letak buku, mengedit buku mahupun novel dan kini bekerja sebagai Editor di PTS Litera Utama Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.

Berbanding novel, beliau lebih selesa menulis di blog kerana tidak terikat dengan pelbagai peraturan selain boleh bersikap jujur di samping bereksperimen dengan pelbagai gaya penulisan

10 comments:

Azrie Idzmeer said...

saya rasa novel abang yang paling best dunia ini sederhana kecil. dah dua kali saya baca. tak bosan langsung. doa untuk aku pulak permulaannya agak membosankan. tak sama macam dunia ini sederhana kecil tu. harap harap abang bole buat novel yang jauh lebih kreatif dari dunia ini sederhana kecil ok. saya peminat buku buku abang.

Anonymous said...

azrie, terima kasih banyak2. :)
Insya-Allah saya akan berusaha lebih keras lagi.

zakri said...

Dingin,
Saya sudah membaca buku Adi Gempa
kamu sebanyak separuh buku.
Setakat ni memang fast paced dan menyeronokkan.
Macam baca komik yang begitu cool.
Kalau KRU nak buat filem pun bagus
jugak. tapi mungkin budget tak
cukup sebab banyak sangat special effect-nya.
Tetapi typo error agak banyak juga.
Tetapi tidak separah 'Tunnels'.

Salam maju jaya dari terengganu.

Anonymous said...

secara jujurnya plot crite adi gempa menarik. Tp ada yg mnjd krg dlm novel tu iaitu penyampaian bhs agak longgar. mungkin sy terlalu byk baca novel thriller, sains fic, seram inggeris dan melayu. jd ada prbezaan d sini. lg pula x keseimbangan melalui paragraph kecil dlm 1 chpter. Kejap pendek kejap pnjg. Kesalahan ejaan kerap ttp itu biasalah. maaflah sy bknlah editor sekadar menegur sj. hrp ambl dr pndangn positif.

Anonymous said...

buku novel Adi Gempa ni ada sambungan lagi ke?? Kalau ada , baguslah! saya memang suka baca novel ni!

xXx chaos xXx said...

nak sambungan >,<

cikgusofia said...

sikda sambungan ka novel tok? best eh. curious aku apa jadik next ya. hehe

Syahmi Zulkifli said...

mintak sambungan adi gempa please :'(

Syahmi Zulkifli said...

mintak sambungan adi gempa please :'(

RDD said...

Bila sequel nak keluar nih? ; )