Thursday, September 03, 2009

jawapan untuk hati

Samar.
Melihat perkara yang menurut saya, tidak ada ertinya adalah umpama mengembangkan ribuan senyuman kepada patung cantik yang tidak punyai ruh.

Itu rasa yang berada di tengah-tengah sedar saya. Rasa yang saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Cuba-cuba juga saya cari jawapan untuk perkara yang memberikan rasa yang tidak kena itu. Namun, mencari jawapan untuk sesuatu yang berada di tengah-tengah adalah seumpama mencari bola putih di lantai yang juga putih. Ada tetapi samar.

Sehingga seseorang yang baik memberitahu saya, bukan untuk memberikan jawapan betul, tetapi untuk menanyakan soalan yang tepat. Hingga kini sekiranya saya tidak lupa, soalan itu tetap bolak-balik dalam hati saya.

Sakit.
Dia mungkin orang yang paling banyak cubaannya yang pernah saya nampak di hadapan mata, ataupun setidak-tidaknya orang yang saya tahu, pernah diberi cubaan sehebat itu.

Bermula sebagai seorang yang tahu maknanya hidup tanpa ibu juga ayah, kemudian tahu maknanya hidup tanpa anak. Tidak cukup itu, dia juga adalah manusia yang tahu apa maknanya hidup tanpa punyai ginjal. Harus, saban hari, setiap lima kali sehari duduk selama 30 minit, di suatu tempat yang bersih untuk memasukkan cecair ke dalam tubuh, membersihkan sistem penapisan tubuhnya secara manual. Yang selama ini, tugas itu dilaksanakan oleh ginjal.

Saya tidak mampu membayangkan diri saya dalam keadaan itu. Saya sangat takut dengan ujian yang saya khuatir tidak akan mampu untuk harungi itu.

Saya tidak merasainya, tetapi memikirkannya sahaja sudah cukup membuat resah dan kecewa itu bersandar perih dalam hati. Sehingga pada suatu hari, pada waktu saya mendatangi dia untuk bertanya khabar, dia menanyakan saya soalan yang saya ingat sampai mati.

Petang.
Petang itu, langit masih terlihat terang, dengan angin yang mengucur deras dari balik-balik awan yang putih. Saya mendatangi dia, yang pada waktu baru sahaja dilepaskan dari hospital untuk berehat di rumah.

Mendengarkan ceritanya daripada teman saya, saya dapat membayangkan kobaran pedih yang menyala-nyala dalam hatinya, dengan semua ujian yang didatangkan Tuhan itu. Belum saya menemuinya, hati saya sudah menggelepar di atas padang simpati.

Namun, pada saat saya bertemu dengannya, pada saat saya menatap cemas ke arahnya, dia pula tersenyum dengan jutaan rasa membesarkan hati. Senyumnya tidak lekang, tidak juga mahu pudar. Untuk melihat manusia memaparkan mimik wajah yang tabah dengan ujian, itu saya sudah biasa. Namun, untuk melihat manusia yang melontarkan wajah yang bahagia dengan segala ujian itu membuat hati menggelinding dengan pertanyaan, mengapa dia terlihat bahagia?

Tidak tahan menanggung rasa itu, saya terus bertanya, bagaimana dia boleh memasang wajah yang begitu bahagia sedangkan dia sudah renta dengan ujian yang datangnya seperti ribut. Menyambar apa sahaja, tidak ramah dan tidak menyisakan apa pun kebahagiaan untuk dikenang.

Pada perkiraan saya, memasang wajah bahagia itu tidak ada ertinya, sekiranya hati juga tubuh sudah digoyang-goyang oleh derita. Tidak perlu pura-pura untuk terlihat bahagia, hanya untuk menatang hati sahabat yang sudah mengerti. Cukup sekadar memasang wajah yang sederhana, wajah yang kita tahu adalah wajah yang tabah dengan ujian itu.

Dia masih tersenyum, dan usai senyum bahagianya dia tidak pula menjawab soalan saya, malah bertanya kembali, “Apakah hanya dengan tubuh yang sihat, dengan ibu bapa dan anak-anak di sisi baru kita boleh merasakan kasih sayang Allah?”

Saya rasakan hati saya terhambur dari tubuh. Pada kalimatnya itu, saya langsung tidak mencium apa-apa beban. Kalimatnya umpama diwarnakan dengan warna-warna yang sejuk, dan warna-warna bahagia. Saya diam dan sepanjang hari itu saya menanyakan soalan itu untuk diri saya, kerana pada soalan itu ada jawapan untuk hati.