Wednesday, August 19, 2009

direnung mata, disangka hati

Apa yang direnung.
Melalui mata yang merenung, daripada hati yang menyangka, saya sering mendahulukan resah saya atas sesuatu hakikat hidup yang jauh lebih indah daripada apa yang direnung oleh mata, dan disangka oleh hati.

Namun pada hari itu, dalam hening yang renggang, saya mengetahui, berkenaan hakikat hidup yang tidak boleh hanya direnung dengan mata dan disangka dengan hati.

Semuanya hanya melalui kata-kata, “Sekiranya sahaja kamu tahu perkara itu, pasti kamu juga seperti saya.”

Perempuan dan lelaki.
Dia adalah perempuan yang punyai sebuah wajah yang mampu memberikan senyuman yang memujuk. Melihat wajahnya yang mencetus senyum, membuat sesiapapun gugup menahan debar. Baik lelaki yang sudah bernikah dan apatah lagi yang masih bujang mencari. Dia juga adalah seorang perempuan yang saya tidak tahu namanya, asalnya dan apa kerjanya.

Dia pula adalah lelaki yang ucapannya tidak pernah meredamkan sedikit pun rasa takut kecewa. Dia lelaki paling yakin pernah saya tahu, dan saya sering mendapati dirinya berada pada puncak keyakinan yang melangit tidak kepalang. Lelaki itu, saya tahu namanya, asalnya dan kerjanya.

Untuk perempuan itu saya hanya mampu memandang. Untuk lelaki yang saya anggap teman itu pula sering saya berkata, “Usah terlalu tinggi meletak diri kamu. Semakin kamu tinggi, jatuhnya juga semakin sakit, malah kamu boleh mati.”

Untuk ucapan yang saya kirakan sebagai nasihat itu, lelaki itu masih mampu tersenyum dan berkata, “Sekiranya sahaja kamu tahu perkara itu, pasti kamu juga seperti saya.”

Cinta.
Berlari-lari di pelantaran tanda tanya adalah sesuatu yang saya paling tidak suka. Saya tidak mahu membebani fikiran saya yang sudah sedia terbeban dengan banyaknya soal hidup. Tetapi hari itu, saya tidak mampu mengelak hati saya, daripada berlari pontang-panting di pelantaran itu. Semuanya kerana teman saya, lelaki yang cukup yakin yang pernah saya tahu itu.

Dia, teman saya itu, berkicau-kicau berkenaan hasrat hatinya. Kicau yang berkecipak itu membuat hati saya disuapi resah yang bertapuk-tapuk. Resah yang tidak dapat diurai hanya dengan kata-kata itu terluah pada dahi saya yang bergaris-garis.

Dia, teman saya itu berkicau-kicau berkenaan cinta, katanya, “Rasanya, saya sudah jatuh hati kepada perempuan itu. Saya mahu memilikinya.”

Saya yang sudah mafhum akan keyakinan teman saya itu segera menghambur nasihat, dijejali hasrat mahu membantu. Kata saya, “Kamu, tidak tahu siapa perempuan itu. Lalu usah terlalu awal untuk jatuh hati.”

Dia tersenyum dan tidak termangu-mangu untuk menjawab, “Saya sudah tahu namanya, dan sudah tahu di mana rumah keluarganya. Itu sudah cukup buat saya. Esok, saya akan menghantar ayah bonda saya untuk merisik.”

Saya menelan liur. Saya cukup tahu tentang lelaki itu. Kata-katanya bukan sekadar kata, katanya adalah ikrar, dan ikrarnya itu diletak lebih tinggi daripada ikrar Rukun Negara. Ikrar yang tidak mampu dibengkokkan walaupun dengan api.

Melihat saya seperti sudah berwajah kalut yang kental, teman saya itu segera berkata, “Kamu mahu tahu, untuk saya, cinta itu adalah sesuatu yang lebih indah daripada mimpi. Pada saat kamu merasainya, kamu tidak akan mahu lagi melelapkan mata. Hanya dengan bernikah, kamu mampu melelapkan kerana cinta itu sudah sedia bermimpi bersamamu.”

“Lalu bagaimana sekiranya cinta kamu itu ditolak jauh? Pada saat itu, saya fikir kamu tidak akan mampu lagi untuk bermimpi dan tidak mampu lagi untuk berjaga,” tingkah saya, akibat resah saya yang melangit pada keyakinannya yang lebih menjulang berbanding keresahan saya.

Dia ketawa kecil, menampakkan gigi putihnya yang berbaris gagah. Dia membuang pandang keluar jendela lalu berkata, “Sekiranya sahaja kamu tahu perkara itu, pasti kamu juga seperti saya.”

Merisik.
Esoknya, semuanya berlaku tanpa saya tahu apa hasilnya. Namun, jauh-jauh ke dalam hati saya, saya berdoa semoga sahaja, cita-cita teman saya itu tidak terbelok. Semoga sahaja, cita-cita teman saya untuk memiliki perempuan yang saya tidak tahu namanya itu, tidak renta, dan semoga ia berakhir dengan sebuah bahagia dari langit ketujuh.

Esoknya juga, pada waktu malamnya, saya menemui lagi teman saya itu. Dia tetap tersenyum, meneduhkan hati. Tanpa mahu berbunga-bunga, saya terus menyoal tentang cintanya. Apakah akhirnya?

Dia tersenyum lalu menjawab tenang, “Perempuan itu, sudah dimiliki hatinya dan saya sudah terlewat.”

Saya yang mendengar itu, terasa seperti terhempas. Saya memandang wajahnya dengan kerut dahi yang paling dalam. Wajahnya, saya tatap, saya teliti. Mencari lompang-lompang duka yang ada pada wajahnya. Tidak, tidak ada satu pun lompang duka. Yakinnya dia tetap berada di puncak, tidak jatuh dan tidak pecah berkeping-keping.

“Kamu, mengapa tidak berduka?” soal saya, terhairan-hairan.

“Sekiranya sahaja kamu tahu, pasti kamu juga akan seperti saya.”

Pada saat itu, pada waktu itu, kata-kata biasanya itu membuat hati saya membengkak dengan soalan. Apa yang saya tidak tahu sehingga saya tidak mampu seperti dia? Apa? Bengkak hati saya itu akhirnya pecah, dan saya bertanya, “Apa yang saya perlu tahu untuk saya menjadi seperti kamu?”

Menakjubkan, untuk saya mendapat dia sebagai teman. Dia tetap memulakan jawapannya dengan senyuman sebelum katanya, “Pada setiap solat, aku berdoa, Ya, Allah sekiranya perkara itu akan menjauhi aku daripada MU, maka jauhkan aku daripada perkara itu. Sekiranya perkara itu membuatkan aku mendekati Mu, maka dekatkanlah aku pada perkara itu.”

Saya diam. Fikiran saya lambat untuk mencerna dan dia tanpa disuruh-suruh lalu menyambung, “Itu juga doa saya untuk perempuan itu. Ya, Allah sekiranya cintaku untuk perempuan itu, membuatkan aku jauh daripada Mu, maka jauhkan aku daripadanya. Sekiranya sahaja, cintaku ini untuk perempuan itu, membuatkan aku dekat kepada Mu, maka dekatkanlah aku kepadanya. Itu doa saya, dan kerana doa itu, saya tidak pernah takut untuk apa pun keputusan yang bakal saya peroleh. Tuhan berikan saya keyakinan yang kamu sangat risaukan.”

Saya diam, tunduk. Akhirnya daripada teman saya itu, saya tahu, daripada mana dia memperoleh keyakinan yang tidak mampu dibengkokkan itu. Keyakinannya, adalah kerana daripada doanya kepada Tuhan. Dia, memberikan saya hakikat hidup yang tidak akan mampu saya renung dengan mata, dan sangka dengan hati.

4 comments:

~AL-ANEESA'~ said...

Salam...

tulisan yang mantap!

(dah add link tok.)

Yanni said...

mm.. bila kita yakin dan bertawakal.. maka kita akan menerima apa pun keputusan dgn hati yg redha..

Aku Comel said...

salam..
siapakah teman anda ini?
kerana percaya atau tidak,
doa nya sama seperti doa saya juga..(^_^)

Arenis said...

Teman anda sungguh istimewa. Kerana dia melihat sesuatu benda yang terjadi dengan menggunakan mata hati. Kerna dia yakin, setiap perkara baik atau buruk.. semuanya adalah datang dari Allah. Ada hikmah yang tersembunyi dan harus kita sedari.