Thursday, June 25, 2009

Lelaki jahat ini yang kau sayang

Pasti kita pernah menanggung rasa ini, menanggung perasaan tidak sampai hati. Sampaikan kita terperangkap dalam undangan paksa dari suatu sorot mata.

Hal itu yang sering saya rasa apabila seseorang datang kepada saya, menjual apa sahaja berkenaan sesuatu yang tidak saya perlu. Akhirnya, saya sendiri yang malu-malu mengatakan tidak.

Berbeza pula dengan teman saya, dia sering tidak mendapatkan rasa ini pada cara yang sama saya mendapatkannya. Dia sebagai lelaki yang kacak, mendapatkannya daripada para perempuan yang merayunya.

Dia juga malu-malu memberi kata tepisan, namun akhirnya untuk seorang perempuan, dia berjaya juga melepaskan tanggungan perasaan itu. Dia bahagia.

Cuma akhir-akhir ini dia bercerita berkenaan sesuatu. Suatu cerita yang membuat saya menahan nafas dan menahan pelupuk mata daripada berkedip selalu.

Katanya, “Perempuan itu sudah menjadi isteri saya, namun entah mana silapnya, dia menjadi cemburu yang tidak tahu hujung pangkalnya. Dia cemburu kerana ramainya perempuan yang melirik saya. Juga mula melemparkan kata-kata tidak puas hati kerana, saya ini lelaki yang bergaji rendah, tidak berpelajaran tinggi. Serba-serbi berkenaan dunia yang tidak manis.”

Saya mengangguk dan bertanya, lalu apa tindakannya?

Katanya, “Saya katakan kepadanya, walau saya ini suami yang serba kurang. Walau perempuan sering melirik saya. Tetapi saya ini suami yang tahu diri. Saya ini suami yang tahu maknanya setia, tahu maknanya tanggungjawab. Jika pun kamu mahu mengatakan saya jahat, ingat hal ini, lelaki jahat inilah yang kamu sayang dahulu.”

Saya tidak bertanya lagi. Tidak tahu hendak berkata apa, walau saya ini juga suami. Saya berdoa baik-baik, semoga saya tidak perlu berkata begitu, berkata, “lelaki jahat inilah yang kau sayang.”

3 comments:

precious_by_me said...

“lelaki jahat inilah yang kau sayang”

hmm....

Zamri Mohamad said...

Apabila orang perempuan sudah tidak percaya pada lelaki sedang lelaki itu tidak lakukan apa yang dituduhnya. Ketika itu tahap lelaki sudah makin hilang tolenransi kerana nilai dirinya dicabar.

Yalah lelaki jahat inilah yang kau sayang.

Antara toleran dan tidak peduli dia berdiri.

Water Lily said...

Masih sayang walaupun jahat..tentu ada beza antara kejahatan dan kekurangan dalam diri "lelaki jahat yang disayangi" :)