Friday, November 14, 2008

rinai di hati siapa yang tahu

Antara soalan sederhana yang membuat hati saya merinding adalah, “Apakah saya ini baik?”.

Untuk menjawabnya, saya biasanya menjawab dengan jawapan yang juga sederhana, “Biasa-biasa.”

Namun urusannya tidak pernah sesederhana itu. Ada hal lain yang menyeruak lalu menjadi rinai-rinai yang berat dihati.

Yang utama, adalah, mengapa saya menjawab begitu? Tidak memberi jawapan yang utuh. Sedangkan untuk soalan sesederhana itu, jawapan “Ya,” sudah memadai. Yang pasti bukan kerana tidak mahu membangga diri, cuma kerana memang, ada sesuatu yang tidak kena.

Baik itu sendiri sekiranya sekadar mahu mengguna akal, ia cukup subjektif kerana ia berdasarkan hukum nilai yang berbeza. Lalu pertimbangan baik tidak pernah sama sekiranya sekadar mengguna akal. Misalnya di Jepun, seandainya kita berada di kolam mandi umum di mana kebetulan ada wanita sedang bertelanjang di situ, adalah menjadi suatu yang tidak sopan sekiranya kita memalingkan wajah ataupun segera beredar. Bagi pertimbangan nilai masyarakat di sana, ia perbuatan yang tidak baik. Namun pasti hal itu sangat berbeza di Malaysia.

Mujur Islam itu memberikan definisi 'baik' untuk kita. Lalu untuk hati ini yang segan-segan mengaku dirinya baik, pasti kerana ada sesuatu berkenaan Islam yang sudah dilanggar dan untuk itu saya mengaku banyak perkara yang dilanggar. Apa sahaja yang membuat kita ragu-ragu untuk melakukannya atas nama Islam itu adalah suatu yang bukan bernilai 'Islam'. Misalnya, mana pernah artis Islam memakai pakaian menampakkan paha apabila bertemu dengan peguam syariah, kadi, ataupun ulama. Mengapa? Kerana mereka sedar ia bukan definisi 'baik' menurut Islam. Tetapi tanpa sedar di luar sana mereka tetap mengatakan, “Itu cara saya dan ia hak individu.” Ironi.

Lupakan dulu persoalan lambat mengerjakan solat, tertinggal solat Subuh, mata yang liar dan lidah yang celupar. Ambil dahulu contoh yang paling dekat dengan diri saya, saya suka menulis, dan kerana itu sekiranya mengikut Islam, tulisan saya perlu yang baik-baik. Sedangkan ada waktunya saya, tanpa sedar ataupun dengan sedar, sengaja menuliskan hal-hal yang tidak memberikan faedah untuk Islam itu sendiri. Malah terkadang, ia hingga jatuh kepada dosa.

Tidak perlu sebab sebetulnya untuk mempertahankan diri mengapa melakukan hal sebegitu, ia adalah persoalan asas berkenaan iman. Diri ini pada waktu itu, sudah lemah imannya, nafsu merasuk mudah dan iblis terus tertawa bahagia.

Jelas manusia itu lemah, pasti ada saat dan ruang, nafsu berjaya juga merasuk. Bezanya, kecil besar ruang bagi nafsu itu merasuk sahaja. Lalu untuk soalan yang sederhana tadi, “Adakah saya ini baik?” Saya jika boleh, tidak mahu menjawabnya, kerana jawapan yang sebetulnya adalah, “Tidak.”

Tetapi saya tetap manusia yang fitrah cuba belajar daripada kesilapan, dan menuju ke arah kebaikan, pada setiap saat yang saya teringat, saya tetap berdoa semoga pada suatu saat nanti, sekiranya bukan di dunia, saya berharap di akhirat saya mampu menjawab soalan yang sederhana itu dengan jawapan, “Ya.”

3 comments:

Amin Ahmad said...

aku suka entri ni sdrku Din. dah lama x dengar khabar kau. moga sihat2 dan bahagia hendaknya.

aku rindu saat2 tenang kita saling bercerita kisah suka duka hidup dulu. ia mungkin tak punya makna apa2 tapi nilai dalam diri manusia sentiasa memberitahu bahawa ia wajar dihargai.

Mat Jan said...

hah! ni mesti rasa bersalah tulis cerpen 18sx dalam Romlah tu, hahaha!

Anonymous said...

Yo Amin,
marilah kita bercerita lagi.
ekeke

yo Mat Jan,
rasa bersalahkan fitrah. Bersalah sebab termakan hasutan kau. Huh.
(harap2 dgn kenyataan ini, aku akan nampak baik dan lurus)
ekeke

-dingin-