Wednesday, September 24, 2008

Waktu itu - Eidulfitri

Untuk waktu yang berlalu itu, andai ada hati yang tersadung dengan kata yang tertulis, terguris dengan maksud yang berbahasa, terhenyak dengan olah yang terzahir... saya memohon maaf untuk semua hal itu.

Untuk waktu esok juga waktu yang mendatang itu, saya mula bercuti panjang. Pulang bertemu keluarga di kampung yang jauh dari bandar, hanya ada hijau pokok yang sepi. Lalu blog akan terbiar tanpa apa-apa.

Untuk waktu yang masih tersisa itu, apa lagi yang lebih perlu daripada keluarga. Lalu hargai mereka selagi masih ada waktu. Waktu itu walau mungkin tertahan dengan doa, namun akhirnya ia tetap akan berlalu.

Untuk waktu yang tertinggal itu tiada jaminan untuk saya berumur panjang. Lalu sekali lagi, maafkan atas semua kesilapan saya. Saya merayu, maafkan. Jangan ada apa-apa lagi yang tersisa di hati.

Selamat hari raya Eidulfitri.

Ikhlas
Bahruddin Bekri a.k.a dingin

:-)

Friday, September 19, 2008

anak-anak bermain cinta


Petang itu, cuaca bersembunyi daripada keburukan. Yang terlihat di mata, terasa di tubuh, semuanya bercerita tentang keindahan. Malah keindahan lebih bererti dengan adanya seorang anak perempuan bermata bening di depan saya. Mungkin umurnya enam ataupun lima. Dia memakai telekung putih dengan tali pengikat kepalanya masih terjurai-jurai. Dia tersenyum, tidak menghirau hilai tawa rakan-rakan yang sedang berlarian di belakangnya.


“Mengapa Allah anugerah kita sesuatu, sedangkan kita tidak akan mampu memilikinya,” tanya anak perempuan itu selepas saya membalas senyumannya.

“Maksudnya?” tanya saya pula sambil mengerut dahi.

“Allah berikan cinta kepada saya tetapi saya tidak mampu memilikinya,” jelas anak perempuan itu lagi, tidak lagi tersenyum.

Saya terus menatap ke dalam mata bening anak perempuan itu, yang sesekali membetulkan ikat telekung pada kepalanya. Jemari terpulas-pulas.

“Mengapa kamu kata begitu, sayang? Allah kan sudah memberi kamu mata yang bening, memberi kamu telinga, lidah dan sebagainya. Tentu kamu sangat sayangkan mata bening kamu, telinga kamu dan seluruh anggota tubuh kamu. Jadi tentu kamu punyai cinta ke atas diri kamu dan kamu sedang memilikinya, sayang,” terang saya dengan panjang lebar lalu tersenyum.

Anak perempuan bermata bening itu tunduk memerhati lantai. Dengan wajah yang tunduk dia berkata, “Saya punyai cinta kepada ayah, punyai cinta kepada umi. Tetapi saya tidak memiliki ayah dan umi. Lalu mengapa Allah anugerahkan saya rasa cinta pada ayah dan umi sedangkan saya tidak mampu memiliki insan yang bernama ayah dan umi?”

Saya diam. Ada rasa yang tersendat dalam dada, tersepit di kerongkong. Apa yang harus saya jawab? Apa lagi tamsilan yang perlu saya persembahkan pada anak perempuan bermata bening ini?

“Sayang, mengapa tanyakan perkara itu pada abang ini?” tegur suatu suara dari arah kanan saya, dan saya berpaling.


Seorang lelaki berkopiah putih dengan kulit yang tidak cerah tetapi berseri wajahnya tersenyum memandang saya.

“Abang ini kata, dia mahu saya bertanya apa sahaja,” jawab anak perempuan bermata bening itu.

Saya terus diam. Ya, bukankah tadi saya juga yang menawarkan sebuah ruang pertanyaan kepada anak perempuan itu dan sekarang, saya juga yang menutup ruang itu dengan diam. Diam kerana saya betul-betul tidak tahu.

“Bukankan dulu sudah saya terangkan jawapan berkenaan persoalan itu,” kata lelaki berkopiah putih itu dengan lembut lalu tersenyum.

“Lupa,” sahut anak perempuan itu pula sambil mendongak sedikit, dan alhamdulillah dia tersenyum nipis. Menampakkan giginya, putih.

Lelaki berkopiah putih memandang saya dan kemudian kembali memandang anak perempuan di depan saya lalu menggeleng kepala. Tetapi dia tetap tersenyum.

“Sayang, apakah kita tahu maknanya cerah jika kita tidak pernah merasa adanya mendung? Adakah kita tahu maknanya kenyang sekiranya tidak pernah merasa lapar? Adakah kita tahu maknanya sihat sekiranya kita tidak pernah sakit? Apakah kita tahu maknanya siang sekiranya tidak adanya malam? Bagaimana jika di dunia ini tidak ada malam, hanya siang sepanjang waktu? Adakah kita akan merasai nikmatnya siang dan menghargai kedatangannya? Lalu begitu juga kamu, sayang. Apakah kamu tahu maknanya memiliki sekiranya kamu tidak pernah merasa tiada? Adakah kamu tahu maknanya cinta sekiranya tidak tahu maknanya kehilangan? Allah mengurangkan sesuatu dalam hidup kita kerana Dia mahu kita tahu apa maknanya cukup. Allah tidak memberikan ayah dan umi kamu di dunia ini kerana nanti di syurga Dia mahu kamu mengetahui dan merasai nikmatnya erti cinta serta memiliki ayah dan umi. Tetapi itu di syurga, sayang. Kamu perlu kerja keras untuk itu,” terang lelaki berkopiah itu dengan panjang lebar.

“Tetapi mengapa saya?” soal anak perempuan bermata bening itu lagi.

“Ya, mengapa kamu? Mengapa tidak abang di hadapan kamu? Adakah abang di hadapan kamu tahu berkenaan berharganya kasih ayah dan umi sekiranya kamu juga punyai ayah dan umi? Kamu bertuah sayang, dipilih oleh Allah bagi membuatkan manusia lain berfikir, membuatkan manusia lain tahu ertinya cinta. Ia seperti sebuah tugas dan kamu dipilih bagi tugas ini kerana kamu mampu, sayang. Tidak semua manusia mampu seperti kamu, malah saya sendiri belum tentu mampu memikul tugas ini. Berbanggalah kerana Allah memberikan kamu tugas yang paling tinggi dan sukar ini,” terang lelaki berkopiah putih itu lagi.

Saya mengetap bibir memikir berkenaan jawapan lelak berkopiah putih itu. Saya tersenyum dan mengangguk-angguk sendiri.

Anak perempuan bermata bening itu pula tersenyum lebar. Mungkin merasa bangga dengan tugasnya, seperti anak kelas yang baru diberikan tugas sebagai ketua darjah, rasa berharga dan berguna. Saya ikut tersenyum memerhati anak perempuan itu yang mula berjalan jauh meninggalkan saya dan lelaki berkopiah, menuju ke arah kawan-kawannya.


“Saya mahu meminta sedikit pertolongan daripada kamu,” kata lelaki berkopiah putih itu selepas anak perempuan itu sudah hilang daripada pandangan. Dia memandang tepat ke arah wajah saya.

“Boleh.”

“Andai esok saya sudah dijemput menghadap Tuhan, saya harap kamu dan rakan-rakan kamu sudi mengambil anak-anak ini. Mungkin sebagai adik angkat ataupun apa-apa sahaja. Mereka anak-anak yang cerdas, anak-anak yang tahu apa ertinya cinta sebenar. Tetapi mereka malang, tidak punya sesiapa. Jangan biarkan mereka terbiar lagi. Hanya itu yang saya mohon andainya nanti saya sudah tiada,” kata lelaki berkopiah itu dengan mata yang sudah berkaca.

Saya tunduk dan diam. Kerongkong sudah semakin sesak, dada semakin sendat. Pelupuk mata sudah berkedip-kedip. Aduhai. Sesungguhnya besar sungguh cinta yang saya temui di sini. Cinta yang dimain-mainkan oleh anak-anak ini. Saya kemudian kembali mendongak dan memandang tepat wajah lelaki berkopiah itu dan mengangguk perlahan, di latari hilai tawa anak-anak yang bermain cinta.


*Kisah ini terinpirasi daripada lawatan Tim PTS ke rumah ABU di Setapak. Sekiranya mahu menghulurkan sumbangan, boleh terus menghubungi alamat dibawah. Ia kepunyaan lelaki yang berkopiah putih itu, dan amanatnya itu adalah benar.

Asrama Baitul Ummah
No.33, Jalan 3D/6, Taman Setapak Indah
53300 Kuala Lumpur
Tel : 03-4024 3304
Fax : 03-4024 3305
Contact Person: Ustaz Abd Rahman Ramani Abdullah
Mobile : 019-225 4908 / 016-307 7926
Contact Person: Ustazah Siti
Mobile : 017-378 4794

Monday, September 15, 2008

doa untuk aku



Pernah menonton filem SEVEN? Berkenaan pembunuhan yang diungkap daripada tujuh dosa daripada bible?

Pernah membaca novel Rahsia Medee? Yang menyinggung berkenaan pembunuhan tujuh pelaku dosa sosial yang diungkapkan oleh Mahatma Gandhi.

Itu antara daripada puluhan lagi karya, baik filem, drama mahupun novel yang mengangkat golongan-golongan manusia daripada Bible dan seumpamanya.

Versi Islam?

Lalu dengan hati yang menunduk ke bumi, saya persembahkan 'Doa Untuk Aku'. Ia bukan berkisah berkenaan entri saya pada bulan Februari, 'Doa Untuk Aku. Entri ini sudah dikomikkan oleh Wanzu di dalam buku kompilasi Remaja@PTSOne.

Tetapi ia berkisah berkenaan seorang lelaki yang membesar sebagai Islam tetapi tidak pernah tahu apa itu 'Islam'. Namun dia lelaki yang percaya berkenaan sesuatu, iaitu doa. Lalu dengan kekaburannya berkenaan Islam, dia mencari doa, doa lapan golongan yang makbul.

Ini bukan thriller kerana novel ini mengambil semangat filem 'Kiamat Sudah Dekat' yang santai dan humor. Di samping plot utamanya berkenaan doa, terselit juga misteri berkenaan kehilangan ayahnya yang tidak pasti hidup ataupun mati. Juga berkenaan Chempaka, gadis misteri yang tahu satu lagi rahsia berkenaan lelaki ini, rahsia yang cukup besar.

Saya akui, gaya penulisannya berbeza daripada gaya penulisan di blog ini. Di mana gaya novel ini lebih terus dan ringkas. Tanpa bunga-bunga bahasa yang meliuk. Kata editor saya, genre begini seharusnya begitu dan untuk saya, ia adalah cabaran bagi mempelbagaikan gaya penulisan.

Novel ini sudah saya uliti kulitnya sudah saya cium segar baunya, dan insya-Allah ia akan berada di kedai-kedai dalam masa satu ataupun dua minggu lagi.

Saya mohon, bantu saya dengan membeli novel yang original :-P

Terima kasih.

Di bawah adalah kempen anti cetak rompak kerana pernah novel DISK dijadikan e-book, dan saya adalah lelaki yang berjeket hitam. :-P

Wednesday, September 10, 2008

karangan untuk Allah

Kisah anak sepupu 1
Kisah anak sepupu 2


Hujung minggu itu tetap damai walau tanpa kelopak sakura yang gugur, walau tanpa aroma kenanga yang mengharum. Hujung minggu itu saya sudah berada di rumah sepupu saya, duduk di sofa, dan manusia pertama yang menyambut saya adalah anak sepupu saya.

Dia perempuan, umurnya baru mencecah lima. Kulitnya putih, rambutnya lurus sehingga ke bahu, cuma rambut di depan wajahnya dipotong separas mata. Namun seperti biasa, mungkin kerana lama tidak dipotong, rambut lurus itu sudah melewati pelupuk mata.

Saat dia berlari, rambutnya ikut bergoyang, beralun. Senyumnya ikut merekah mempamer giginya yang masih terjaga walau sudah tidak bolah digelar putih. Pipinya yang gebu berlekuk sederhana indah dan matanya yang hitam pekat, buntang bersinar. Lalu, saat semuanya itu bergabung, ia menjadi pemandangan yang meneduhkan hati, dan degup jantung saya pun berhenti.

Dia berhenti di depan saya. Di tangan kirinya ada sekeping kertas putih yang kumal, dan tangan kanannya ada sebatang pensel. Pasti itu semua milik kakaknya. Semoga kakaknya tidak tahu, dan semoga tidak pernah akan tahu.

Dengan hujung jari-jarinya yang montel, dia menolak ke kiri rambut yang melindungi pelupuk matanya, namun hanya sesaat bertahan, rambutnya kembali luruh mengganggu mata. Senyumnya pula tiba-tiba padam. Bibir merahnya muncung, namun mata hitamnya tetap bersinar intan.

“Mengapa sayang?” tanya saya lalu memaut tubuhnya, membawanya ke pangkuan.

“Tidak ada sesiapa yang mahu baca tulisan saya,” jawabnya dengan suara yang penuh di hujung mulut.

“Apa yang kamu tulis?” tanya saya lagi sambil tersenyum. Perlahan-lahan saya menyibak rambut yang menutup matanya.

Dia diam lalu menghulurkan kertas kumal di tangan kirinya. Saya menyambut dan mula membaca kalimatnya. Senyum saya lalu merekah.

“Saya ada kucing, namanya Menem. Saya, ada kucing, namanya Menem. Saya ada kucing, namanya Menem,” ucap saya, membaca kalimat pada kertas kumal itu dan menyambung, “Sekarang kamu sudah boleh tersenyum, abang sudah baca tulisan kamu, sayang.”

Dia meronta, meminta lepas daripada pangkuan lalu dia berdiri menatap saya. Tangan kanannya pantas menggosok-gosok mata kirinya, kemudian kembali menolak ke kiri rambut yang menutup matanya.

“Tulisan saya bagus?” tanyanya.

“Bagus sekali. Terbaik yang saya baca untuk hari ini.”

Dia tersenyum. Mempamer giginya dan lekuk pada pipi. Dia pantas menarik kertas kumal di tangan saya lalu melabuh punggungnya ke lantai. Kertas kumal itu diletaknya ke lantai lalu tubuhnya condong, berada dalam posisi mahu menulis dengan tangan kanannya yang ada pensel sudah diletakkan pada permukaan kertas.

“Mahu menulis apa, sayang?” tanya saya lalu mengjungkit kening.

Dia diam. Terus takzim tunduk sehingga rambutnya membuai-buai jauh dari dahi dan syukur, rambutnya yang membuai-buai itu tidak lagi mengganggu pandangannya. Sesaat kemudian dia menggeleng-geleng. Rambutnya ikut bergoyang dan dia kemudian mendongak sambil tersenyum lalu berkata, “Saya tidak tahu apa yang mahu ditulis. Jadi apa yang bagus untuk ditulis?”

“Tulis apa yang ada di sekeliling kamu, sayang. Apa yang kamu sering dengar, apa yang kamu lihat,” jawab saya sambil memandang wajahnya yang meneduhkan hati.

“Saya sering dengar berkenaan Ramlang Porigi, ketuanan Melayu, rasis, tidur, altantuya. Lalu abang mahu saya tulis berkenaan itu?” soalnya kembali lalu mengetap bibirnya yang merah. Dahinya berkerut lalu hujung pensel yang tumpul digaru-garukan ke kulit kepala.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Bagaimana mahu menerangkan pada gadis kecil ini?

“Pasti bonda kamu pernah bercerita berkenaan akhirat, bukan? Berkenaan syurga dan neraka,” kata saya.

Dia mengangguk laju lalu kembali mempamer wajahnya yang teduh itu. Aduhai....

“Tulisan itu, umurnya lebih panjang berbanding kita kerana apa sahaja yang kita tulis di dunia ini akan kembali dibaca di akhirat. Lalu tulis perkara-perkara yang benar, perkara-perkara yang baik. Anggap tulisan kamu itu adalah karangan untuk Allah, kerana ia juga dibaca di hadapan-Nya nanti, juga di hadapan seluruh umat manusia. Jangan nanti kita malu sendiri apabila karangan kita dibaca,” kata saya menyambung dengan panjang lebar lalu mengusap-usap rambutnya.

Dia diam tidak bereaksi dan kemudian perlahan-lahan mengangguk dengan dahi berkerut. Sesaat itu juga dada saya merasa sesak, kerana berkata-kata itu sememangnya semudah menepis lalat di pipi tetapi pelaksananya ada sesukar mengolek bongkah di gurun.

Menuliskan perkara-perkara yang hitam itu pernah saya perbuat, malah tidak terhad itu, pernah juga saya menuliskan kata sehingga ada hati yang tersentak dan pasti nanti tulisan hitam saya itu akan dibacakan di akhirat. Aduhai. Malah sekarang, ada waktunya hati terleka sehingga terlepas perkataan-perkataan yang tidak membawa maksud kebaikan.

“Apa perkara-perkara yang baik?” soal dia dan serentak itu dada sesak saya kembali lapang. Saya tersenyum.

“Pasti bonda sering berpesan kepada kamu. Tuliskan pesan-pesan bonda kepada kamu. ”

Bibir merahnya kembali memuncung dan dia berkata, “Bonda, hari-hari mengulang pesan yang sama. Mandi pakai sabun, makan nasi jangan tumpah, tidur awal dan mengaji. Perkara itu baik?”

Saya tersenyum lagi dan kemudian berkata, “Apabila kamu sudah sebaya abang, pasti kamu akan berkata sendiri yang perkara itu baik. Tetapi buat waktu ini terserah kamu bagi membuat anggapan. Cuma abang pasti, kamu ini anak yang pintar dan pasti boleh mengingat sesuatu berkenaan pesan atau kata-kata bonda yang kamu suka. Betulkan sayang, apa yang abang cakap?”

Dia terdiam beberapa detik dan kemudian tersenyum dan kembali tunduk, berada dalam posisi menulis. Penselnya mula menari di kertas kumal. Saya memanjangkan leher. Pantas tangan kanannya menutup tulisannya dan dia tersenyum.

“Abang, jangan lihat!”

Saya kembali mengundur dan dia kembali menyambung penulisannya. Sesekali dia mendongak mahu memastikan saya tidak memanjangkan leher, dan lakunya seperti anak kucing yang baru berjumpa manusia. Sesekali dia menggosok-gosok matanya, menyibak rambutnya yang berayun, mengaru-garu kepala umpama sang profesor yang sedang berfikir dan sesekali dia hanya tersenyum sahaja kepada saya.

“Saya tulis kata-kata bonda yang paling saya suka. Semasa saya sedang pura-pura tidur dan bonda datang menyelimutkan saya, mencium seluruh wajah saya dan membisikkan saya kata-katanya,” kata dia, akhirnya lalu menyerahkan kertas kumal itu kepada saya.

Saya tersenyum dan menyambut kertas kumal itu.

'Bonda kata, dia sayang saya. Ya, Allah, sayangi bonda saya.'

Dia menatap saya lalu tersenyum lirih. Aduhai... wajah itu lagi yang dia tunjukkan. Kemudian perlahan-lahan dia menolak hujung rambutnya dengan jarinya yang montel dan berkata, “Itu karangan untuk Allah.”

Monday, September 08, 2008

dia golongan syurga?

Punyai teman yang datang daripada pelbagai golongan membuat saya mengerti sesuatu, hidup ini bukan hanya sekadar hitam dan putih.

Lalu hari ini saya mahu bercerita berkenaan seorang teman saya. Seorang teman yang punyai warna yang cemerlang, umpama cemerlangnya bintang kejora di langit hitam.

Dia pemuda yang hanya memahami satu perkara berkenaan hidup, apa yang perlu dibuat untuk esok, fikirkan pada esoknya. Lalu hari ini, khusus untuk hari ini. Hidupnya semudah itu. Tidak ada perkara yang membuatnya rusuh. Semuanya masalah ditangani dengan senyuman. Malah ketika matahari membara di kepalanya pun dia masih mampu tersenyum. Walaupun dia hanya berpakaian yang seadanya. Seluar pendek dan berbaju tidak berlengan.

Katanya, “Matahari memang dicipta untuk memberi cahaya, untuk memberi kepanasan dan bukan untuk meneduhkan. Lalu untuk apa mengeluh dan memberitahu dunia betapa panasnya matahari? Tugas kita manusia ini adalah bersyukur sekiranya sesuatu diletakkan pada tempatnya dan Allah tidak pernah silap meletakkan sesuatu pada tempatnya. Baik panasnya matahari, redupnya awan dan malah rawannya hati, semua itu Allah sudah tetapkan tempatnya. Jika kita mengeluh, umpama kita ini cuba memberitahu Tuhan yang Dia salah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Lalu kamu mahu menyalahkan Tuhan?”

Pelupuk jiwa saya terbuntang mendengar kata-katanya. Sungguh, dia pemuda yang istimewa, dan sungguh, kata-katanya tidak pernah gagal membuat hati saya bergetar.

Namun pada suatu hari saya mengerti sesuatu mengapa dia menjadi pemuda yang sering tersenyum. Mengapa dia menjadi pemuda yang hidupnya hari ini untuk hari ini dan esok untuk esok dan mengapa dia adalah teman yang cemerlang warnanya.

“Mengapa kamu begini?” tanya saya sambil mengaru dahi.

“Mengapa kamu bertanya begitu?” tanyanya pula dan ia sesuatu yang cukup saya tidak gemar. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan. Jelas dia penggemar falsafah Yunani.

“Kerana saya melihat ia berbeza,” jawab saya.

“Sekarang sudah masanya bulan Ramadan. Lalu apa salah saya berubah begini? Sedangkan artis-artis itu berubah. Rancangan televisyen dan radio berubah, menu makanan berubah, wajah-wajah masjid berubah, mengapa saya tidak boleh berubah?”

“Tetapi mengapa kamu berubah seperti langit dan bumi?”

Pemuda itu diam sebentar dan menggeleng-geleng kepala lalu berkata lirih, “Kawan, kamu betul-betul tidak mahu saya berubah? Kamu lebih suka saya berseluar pendek separas paha dan tidak berbaju? Kamu lebih suka jika saya tidak menutup aurat?”

“Aduh, jangan meletakkan kefahaman yang salah pada kata-kata saya. Saya senang kamu menutup aurat tetapi mengapa begini?”


http://www.animango.net/sampah/tudung.jpg




Sejak itu saya mengerti mengapa dia adalah teman yang cemerlang warnanya. Mengapa dia sering tersenyum untuk apa sahaja yang datang. Ternyata dia adalah golongan yang terlepas daripada segala jenis hukum ke atasnya. Mungkin dia adalah golongan syurga kerana dia begitu sejak umurnya sembilan tahun, namun Tuhan juga yang lebih tahu.

Kredit: Animango.com

Friday, September 05, 2008

ketawa untuk esok

Saya pernah melihat kalimat ini daripada teman saya. Tulisnya, 'Apabila kita melihat masa lalu yang membuat kita menangis, kita akan ketawa tetapi akan menangiskah kita apabila melihat masa lalu yang membuat kita bahagia?'

Tidak pasti bagaimana caranya mahu menanggapi kalimat itu lalu pada suatu pagi yang berlangit biru, pada hawa yang bersahabat dengan nipisnya kulit, saya jongok di sebelahnya yang sedang duduk bersila rapat.

Selepas berbasa-basi seketika dan bercerita berkenaan itu ini saya terus pada apa yang mahu saya tanya dan dia tersenyum.

“Kalimat itu bukan berkenaan apa-apa. Ia cuma berkenaan kebodohan saya semasa berada di dunia cinta,” kata teman saya dan saya mengangguk.

“Dunia cinta itu memang berbeza. Apa yang membahagiakan pada hari ini belum tentu membuatkan kita ketawa pada esoknya, dan apa yang membuatkan kita menangis hari ini belum tentu juga akan membuat kita terus hiba pada esoknya. Tetapi bukan itu yang utama daripada kalimat itu. Kamu tahu apa yang utama?” terang teman saya lagi dan terus menyambung bicara.

Saya hanya menggeleng lalu ikut bersila di sebelahnya selepas lutut sudah bergetar lantaran lamanya berjongok.

“Yang utama daripada kalimat itu adalah... harapan. Mungkin hari ini kita akan menangis tetapi esok pasti tetap ada harapan untuk kita ketawakan diri kita yang menangis pada hari ini. Jadi jangan berhenti berharap, jangan pula terlalu mengharap,” terang teman saya itu dan kemudian dengan takzim kembali tersenyum. Mungkin dia tersenyum pada saya ataupun sedang tersenyum pada masa silam.

“Lalu sekiranya ada yang masih terus menangis, terus berdendam pada hari semalam yang membuat dia kecewa, itu pula bagaimana? Adakah itu kebijakan kerana kamu kata kalimat itu adalah berkenaan kebodohan masa silam kamu berkenaan cinta,” tanya saya pula tanpa ada niat mahu meneladani Socrates.

Teman saya tidak terus menjawab. Hanya tunduk dan apabila mengangkat wajah dia berkata, “Sebetulnya kalimat ini bukan hanya terhad untuk cinta, malah meluas untuk kehidupan lainnya. Soal akademik, keluarga dan sebagainya. Namun apabila ia jatuh ke tangan saya, saya menyempitkannya menjadi soal diri saya sahaja. Lalu persoalan bodoh atau tidak itu bukan soalnya lagi kerana ia sudah berkait dengan diri orang lain bukan diri saya. Seperti yang saya kata tadi, yang utama adalah harapan lalu sekiranya ada manusia yang terus begitu dia adalah manusia yang memberi harapan yang tinggi pada perkara yang tidak mungkin. Tidak salah berharap tetapi berharaplah pada perkara yang pasti kerana di dunia ini, banyak lagi perkara yang boleh kita harapkan.”

Saya mengangguk dan kembali perlahan-lahan berjongok.