Thursday, March 20, 2008

saat manusia punyai sayap

Cuba mengertikan hidup ini daripada kaca mata seekor burung, pasti sukar. Itu yang diberitahu oleh anak perempuan sepupu saya. Anak perempuan yang rambutnya menutup mata.

"Mengapa?" tanya saya perlahan. Mata saya merenung matanya yang bundar.

"Kerna burung tidak mampu melihat dari bawah, hanya mampu melihat dari atas," jawabnya lancar.

Saya menggaru lengan. Biasanya, jika melihat dari atas pasti hidup lebih menyeluruh dapat diperhati. Tanpa ada ruang kosong yang tersisa. Tetapi aneh untuk anak kecil ini, pandangannya nyata berbeza.

"Mengapa?" ulang saya lagi.

"Kerna, dengan hanya melihat dari atas, kita hanya melihat pucuk yang menjulang bunga yang indah. Tidak melihat akar yang disalut tanah hitam. Kita juga hanya bisa melihat jeliknya lompang-lompang tanah yang besar tetapi lompang tanah yang kecil tetap terlihat indah. Benar pandangan menyeluruh, tetapi tidak menceritakan hal sebenar," terangnya lagi.

"Harus bagaimana?" Saya tidak putus-putus bertanya.

"Jadi, usah berangan untuk memiliki sayap bagi terbang melihat kehidupan secara menyeluruh sekiranya jejak kaki belum membekas di seluruh muka tanah. Kerna apa yang diperhati dari atas itu bukan hakikat. Hanya yang indah-indah. Tetap sahaja kita di tanah. Biar hanya mampu melihat sebahagian peta kehidupan, sebahagian yang lain itu pula adalah rahsia. Rahsia yang membuat kita lebih bersemangat bagi menerokai peta hidup."

Saya lalu pening. Apa yang mahu dia beritahu? Anak perempun itu hanya tersenyum. Memperlihatkan lekuk di kedua-dua belah pipinya. Gigi putihnya yang tersusun juga terlihat rapi.

"Baiklah, apa yang sebenarnya kamu mahu beritahu?" tanya saya, langsung.

"Manusia yang bersayap dan mampu terbang ke langit adalah pemimpin. Pemimpin pula adalah mereka yang tahu di sebalik pucuk yang berbunga indah itu, ada akar yang terbenam di tanah hitam. Usah bangga sekiranya sudah punyai sayap untuk terbang, kerna seperti yang saya beritahu tadi, hidup akan sukar dimengertikan hanya daripada kaca mata burung. Sekali-sekala perlu juga berjalan-jalan ke tanah. Tetapi itu yang sukar, burung yang terbang tidak betah berjalan ke tanah. Paling tidak pun hanya hinggap di ranting buah," jawabnya lagi sambil menolak rambut yang menutup matanya ke sebelah kiri. Saya cepat-cepat klipkan rambutnya itu dengan klip rama-rama merah jambu. Klip yang memang saya belikan khas untuk dia. Biar rambutnya tidak lagi menutup mata.

Mungkin dia mahu berpesan sesuatu kepada pemimpin. Mungkin hanya pemimpin yang mengerti pesannya itu. Mungkin juga mahu berpesan kepada... err saya tidak tahu siapa. ;-P Untuk saya, saya masih malas ataupun sebenarnya saya langsung tidak bisa mengerti. Kerna saya hanya semut hitam yang langsung tidak mampu untuk bersayap. :-P

1 comment:

aiXat.MR said...

ya

saya suka entri ini..

tulus dan tenang..