Monday, March 17, 2008

seperti menjamah limau mandarin

Mengarang buku sepatutnya begini. Seperti menjamah limau mandarin. Bagi menjamah limau mandarin, kulit harus dikupas seluruhnya. Perlahan-lahan. Kerna sekiranya terlalu laju, khuatir ulasnya rusak. Mungkin juga gas daripada kulit emasnya merembes ke mata.


Idea penulisan itu ibarat limau mandarin yang cantik. Perlu dikupas perlahan-lahan biar jelasnya ulasnya. Kemudian apabila sudah nampak susunan ulasnya, ulas itu dicarik satu per satu, lalu dimasukkan ke dalam mulut. Ulas limau itu pula ibarat plot yang saling mengalir. Saat itu pasti, manisnya banjir di atas lidah. Kerna manis itu yang mahu dirasa.


Itu yang sepatutnya, namun buku selalunya umpama limau mandarin yang tidak dikupas kulitnya dengan baik. Masih ada kulit yang tersisa pada ulas limau. Lalu apabila dimasukkan ke mulut, ia jadi pahit. Ataupun kerap kulit dikupas rakus, sehingga ada gas yang merembes ke mata, sakit dan pedih.


Semuanya ini berkenaan kesabaran dan seni. Tidak ada istilah buru-buru dan kasar. Apa yang mahu dipersembahkan adalah proses yang berseni. Bukan sekadar menyumbat idea dan ulas-ulas plot secara buru-buru kepada pembaca. Kerna hanya dengan cara itu, manis buku tadi dapat dinikmati.


Saya perkirakan buku bukan satu-satunya hal yang mahu dirasai kemanisannya, cinta juga sepatutnya begitu. Mahu dirasakan manisnya. Seperti menjamah limau mandarin. :-P





No comments: