Tuesday, February 05, 2008

maskara 6 - Tuhan jua yang lebih tahu

Malam itu dingin. Hujan. Itu yang pertamanya aku fikir. Keduanya, apa yang akan aku makan. Kerna untuk manusia seperti aku, apa sahaja majlis yang ada makan percuma, pasti makanan percuma itu yang bisa buat aku tersenyum-senyum. Ketiga, aku memikirkan nanti, apabila aku sudah pulang dan mahu lelap, apa yang akan aku rasa?


Ya, malam itu terus sahaja dingin. Lebih-lebih lagi kipas di dalam rumah kayu itu berfungsi baik. Rasanya, mahu juga tukar posisi duduk, namun seluruh tempat penuh terisi. Keduanya, makan. Mi gorengnya enak. Tauhunya banyak. Dagingnya juga banyak. Dan yang membuat aku tersenyum lebar, ada kicap. Wah. Untuk pertama-tamanya aku merasakan dunia ini rasional. Manusia meletakkan kicap di sebelah mi goreng. Bukan lagi meletakkan sos cili. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Ketiganya ketika aku mahu tidur, aku teringat yang aku lupa menelefon isteri aku. Owh. Terlupa menelefon isteri itu bukan silap yang kecil. Hanya akan terjadi dalam hal-hal tertentu dan malam itu ia terjadi lagi. Dan nyata malam itu termasuk dalam hal-hal yang tertentu. Hal yang membuat aku asyik.


Aku asyik biarpun lagu daripada group post punk itu sama aja pada telinga aku. Lagu pertama, kedua, ketiga, dan sampai yang keenam. Sama. Entah apa silapnya telinga ini. Aku rasakan mereka menyanyikan lagu yang sama, seni kata aja yang berbeda. Daripada 'Nadai' kepada 'bohjan'. Mungkin kerna ia akustik. Jika betul-betul ada alatan yang cukup, mungkin berbeda. Mungkin juga kerna aku ini cemburu, kerna mereka itu bisa bergitar dan menyanyi. Mungkin. Ataupun mungkin post punk memang begitu. Nadanya sama cuma liriknya aja berbeda. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Dan entah bagaimana, pada waktu rehatnya aku menyaksi peristiwa ini. Seorang lelaki berbaju hitam datang menghampiri sang penyanyi. Mulutnya masih penuh dengan mi goreng.


“Saya minat lagu 'badai' abang tadi. Best.”

Sang penyanyi mengerut dahi. Tunduk. Mi Goreng dikunyah perlahan-lahan. Kemudian dia mengangkat muka kembali, memandang lelaki berbaju hitam itu.

“Lagu yang mana? Pertama ataupun kedua?”

“Lagu pertama bang. Lagu 'badai'. Lagu 'badai' memang best.”

“Eh, itu 'Nadai'. Bukan 'Badai.”


Persembahan selebihnya bisa buat hati aku bertepuk tangan. Bertepuk tangan pada semangat dan berani mereka yang duduk ataupun berdiri di hadapan lilin yang banyak. Jika aku, pasti aku mati. Malam itu, terlalu banyak yang mahu diceritakan cuma aku hanya bisa memberikan kata kunci yang bisa membuatkan aku mengingat kembali pada malam itu.


-Jiwa-jiwa Hadhari. Kemudian bercerita berkenaan Mat Rock menunggu bas.

-Bunian. Ada cerita perang. Al Fatihah untuk teman baiknya. Panaharjuna (Ahmad Zafran). Sempat juga melawat ibu Panaharjuna. Nyata beliau ibu yang tabah. Aku pula yang sebak. Perginya Panaharjuna, betul-betul mengejutkan. Sehingga saat menulis hal ini, senyum Panaharjuna masih lagi terkenang-kenang. Dia beruntung, pergi di saat masih ada ibu yang mendoakannya. Mendoakan kesejahteraannya. Jika tidak kerna kekangan kos, difahamkan arwah akan berada di Maskara pada malam itu. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.

-Beer tanpa alkohol. Lalu bercerita berkenaan Samy Vellu yang berani.

-Kamal Hassan. Mereka tidak punyai nombor telefon V.K Linggam.

-Denyut-denyut pada hujung kemaluan. (Aku membayangkan waktu berkhatan. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu)

-Faizal Tahir. Jika ia buka baju lagi pasti hanya ketemu 'xl'.

-Politik, permainan sistematik.

-Hi jiran. Ini cikgu ke? (Rare)

-Abang botak.

-Parking atas pokok kemuncup.

-Spacecop gaban. Aku mengaku life ketika masih anak-anak itu memang suck. Lebih-lebih lagi jika tidak punyai TV lalu tidak punyai nostalgia berkenaan cerita-cerita pada lingkungan 4.00 sampai 6.00 petang. Pasti bertambah suck apabila ditampar Tok Imam kerna dengan sesuka hatinya menukar siaran TV di rumah Tok Imam sewaktu menumpang menonton TV di sana. Iya, masak Tok Imam mahu menonton gaban. Dan pasti, selepas itu tidak bisa berkongsi nostalgia di dalam forum dan blog. Suck. Aku faham (dalam nada yang hadirin dengar malam itu). Tidak perlu mencuka, dalam sut merah berjalur tegak. Tetapi itu mungkin tanda berani. Namun, hanya Tuhan jua yang lebih tahu.

-Subtext-subtext.

-Ketua turus.

-Perkataan-perkataan agama dan apa yang ibu ajar semasa tadika.

-Subaru Impreza.

-Sahabat itu perlu dalam silap mata. Mungkin dalam persembahan silap mata, perlu guna kalimantang. Cahaya suram itu menjejas sedikit aksi silap mata itu sendiri. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Keseluruhannya. Tiga hingga ke lima bintang. Tidak ada yang jatuh ke dua. Aku rasa berbaloi untuk melepaskan rancangan akhir, cornetto love perhap. Dengarnya, ada adegan peluk-peluk. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.


Cuma aku tidak bisa menjelaskan hal ini kepada isteri aku. Ia bukan semudah membaca dan mendengar. Perlu hadir di situ dan rasakan udaranya. Udaranya cukup berbeda. Seperti berada di tengah padang rumput yang baru aja dipotong dan pada tangan ada secawan kopi cair. Namun Tuhan jua yang lebih tahu.


Itu aja. Tahniah buat penganjur. Mungkin MASKARA bisa jadi woodstock, paling tidak pun jadi seperti di Sarawak. Rain Forest Festival. Cumanya lebih kerap. Sebulan sekali. Namun, Tuhan jua yang lebih tahu.









3 comments:

spyz said...

maaf kerana tidak mengenali saudara pd malam itu.
tapi,
saya suka laporan saudara.
izinkan saya letakkan link post ini di blog sindiket soljah.
terima kasih.
dan jgn lupa janji temu kia bulan depan, 1/3/08...

MDM FARAH FAIZURA said...

okeh. Setel. :-)

OP Zaharin said...

jumpa di maskara 7 insya Allah! bawaklah orang rumah sekali biar dia bisa memahami.