Monday, January 28, 2008

buat teman yang cantik

Katanya dia mahu sesuatu yang berbeda dalam hidup. Dia mahu menjadi seorang yang bisa membina garisan yang jelas antara masalah hidup dengan tekanan kerja. Lalu aku sebagai orang yang bukan orang ada-ada, mengerut dahi. Kerna selama ini aku sendiri menyangkakan tekanan kerja itu adalah masalah hidup. Dan masalah hidup itu adalah tekanan kerja. Jadi bagaimana pula, teman yang cantik ini berkata dia mahu membina garis yang jelas antara kedua-duanya. Oh. Sukar.


Lalu aku bertanya, mengapa dia mahu garisan itu? Jawabnya supaya kerjanya bisa lancar dan hidupnya lebih tenang. Aku bertambah bingung. Mujur dia cantik, jadi bingung aku itu bisa ditukarkan menjadi senyuman dalam bentuk icon di YM (Yahoo Massenger kalau ngak tahu :-P)


Lalu tanpa perancangan, aku lalu memikirkan diri aku. Aku kira aku juga perlu seperti dia, cuba membina garisan yang jelas antara masalah hidup dengan tekanan kerja. Cuma bagi membina garisan yang jelas itu, perlu dijelaskan dahulu secara terang, apa itu masalah hidup dan apa itu tekanan kerja.


Rasanya untuk hidup aku yang biasa-biasa ini, masalah hidup adalah ngak punyai uang. Jika dahulu ketika masih belum bernikah dengan isteri cantik yang lagi dicintai, aku kerap memikirkan cinta itu juga satu masalah. Memikir siapa yang mahukan diri ini yang serba serbi kurangnya. Mungkin juga hubungan dengan teman-teman itu bisa jadi masalah hidup. Ibu bapa juga bisa menjadi masalah hidup. Jika aku ini adalah adiwira, alien yang mahu menakluki dunia itu adalah masalah hidup. Perlu menentang alien-alien yang datang dari galaksi yang jauhnya jutaan tahun cahaya. Mujur, aku ini manusia biasa. Tidak perlu menentang alien kerna aku yang akan mati dulu ditembak leser alien, paling tidak pun, aku yang akan jadi orang yang berlari sambil menjerit-jerit meminta tolong.


Tekanan kerja pula bisa aku fikirkan adalah masalah yang timbul apabila kerja yang banyak. Datelinenya, Masya-Allah. Rapat-rapat. Tekanan kerna hasil kerja direject oleh bos-bos yang hebat. Tekanan kerna apa yang dimahukan dalam kerja tidak menjadi. Dan sekali lagi mujur, aku ini bukan adiwira dan hanya manusia biasa. Jika tidak pasti tekanan kerja aku aneh-aneh. Seperti tekanan bagaimana mahu menghapuskan alien yang ditembak-tembak, tidak lagi mahu mati. Bagaimana mahu menyelamatkan manusia yang berlari-lari sambil menjerit meminta tolong, sedangkan manusia itu sendiri yang sedang berlari ke arah alien. Argh, tekanan.


Jadi aku kira semua itu tekanan kerja dan masalah hidup. Kiranya ia cukup jelas. Masalah hidup hanya perlu difikirkan selepas pulang kerja dan perlu berhenti berfikir berkenaannya apabila masuk kerja. Ia perlu ditukar pula dengan tekanan kerja. Namun ia bukan semudah itu. Siapalah aku dan siapalah kita mahu membuat begitu. Bagaimana jika masalah hidup itu berlaku di tempat kerja dan seterusnya menjadi tekanan kerja. Gabungan. Misalnya jika bercinta dengan bos. Hurm, contoh yang klise. Mungkin contoh originalnya, misalnya mencium bau kaki rakan sepejabat yang baunya bisa membunuh kucing yang menghidunya sedangkan kita alah pada bau kaki. Ia jadi masalah hidup dan sekaligus tekanan kerja. Jika adiwira pula, masalah dan tekanan kerjanya, dia jatuh cinta dengan alien yang sedang mengejar manusia yang berlari sambil menjerit-jerit meminta tolong. Dan sekali lagi mujur, aku ini manusia biasa.


Jadi aku mahu jawab bagaimana dengan teman cantik aku ini berkenaan garisan yang mahu dibinanya. Mungkin aku boleh beritahu, kamu orang yang beruntung kerna mampu memikirkan mewujudkan garisan pembahagi itu, sedangkan orang lain masih bergelut mahu menyelesaikan masalah hidup dan tekanan kerja pada waktu yang serentak. Hurm. Mungkin aku bisa memberitahu, hidup seadanya kamu. Usah terlalu mahu memikirkan garis yang mahu dibina, kerna dengan mahu membina garis itu, kamu sebenarnya sudah mencipta masalah baru. Erk.


Tetapi dalam kuliah ekonomi, ada disebut, jika kamu menghadapi masalah dengan pelanggan ataupun penjual, berterus terang dengan masalah itu. Jangan terlalu mahu menjaga hati hingga akhirnya diri sendiri rugi. Terus terang aja, yang harga yang mahu dibeli orang itu terlalu rendah ataupun harga yang cuba dijual itu terlalu tinggi.


Tetapi itu dalam bisnes. Bagaimana dalam hidup? Apa mungkin kita bisa berterus terang? Jadi jika segala-galanya terlihat sukar, jalan akhirnya, kembali kepada Tuhan. Eh! Mengapa pula aku selalu menyebut ini sebagai jalan akhir? Bukan sepatutnya awal-awal lagi menyebut berkenaan kembali kepada Tuhan. Hurm. Entah. Mungkin ia pengaruh ultraman yang hanya pada ketika dia hampir tewas, mentol pada dadanya berkelip-kelip dan berbunyi, baru dia menggunakan kekuatan ajaibnya. Mungkin.


Tetapi jika kita memohon kepada Dia dengan sungguh-sungguh, dengan linangan air mata, apa yang perlu kita pohon? Adakah supaya apa sahaja masalah itu bisa beres. Apa sahaja tekanan itu bisa reda. Rasanya, jika sekadar begitu, pasti tidak ke mana. Kerna masalah itu lambat ataupun cepat memang akan beres dan tekanan itu lambat ataupun cepat memang akan reda. Yang kita kurang adalah sabar bagi menghadapi semua itu. Memohon supaya kita bisa bersabar dengan segala masalah. Dengan segala tekanan. Sabar. Sabar. Arwah ibu pernah berpesan, tidak akan ada apa-apa pun di dunia ini yang bisa mengalahkan sabar. Ibu terima kasih atas pesanan itu. Satu lagi al-Fatihah untuk ibu.


Jadi buat teman cantik aku tadi. Maaf kerna aku menceritakan berkenaan alien, menceritakan berkenaan macam-macam. Jika ia tidak juga mampu membuat kamu tersenyum. Ketahuilah satu hal, aku sudah berusaha yang terbaik untuk kamu. Selebihnya terserah kamu sendiri dan jaga diri.



4 comments:

Aku Comel said...

is she in love?

love makes all things possible.
samada ada garis atau tidak,
dia tidak akan mengeluh dan berusaha mencari penyelesaiannya..

it feels so good to be in love isn't it.
i have forgotten how good it felt.

izwan said...

hebat! alien tu ada sesungut tak?

Anonymous said...

salam encik dingin.
nampaknya saya perlu berhati-hati setaip kali berbicara dengan awak. ada saja isu yg awak ketengahkan di blog. huhu. err... malangnya saya bukan teman yg cantik. awak tersalah orang, cuma masalah itu masalah saya. (atau mungkin sy perasan. hahaha.) hmm... terima kasih atas pandangan. saya sedang cuba untuk hidup apa adanya. mungkin juga akan 'lari'....

cik aku comel... sy in love ke? hmm... susah nak jawab soalan tu sebab saya pun tak ingat macam mana rasanya... hehehe...

Aku Comel said...

errrrrr...
saya cuma bertanya mana lah tau..
kalau "in love" tu ape2 pon akan di usahakan...
lautan api pon sanggup renangi..

tapi bila rasa kosong tu lah nak pi "lari" sana..."lari" sini..mencari ketenangan dan kepastian..

i think so lar..just my personal opinion :)

i've forgotten how being in love is like too ...