Monday, May 13, 2024

Semut-semut di lengan

Saya terlupa satu hal ini, saya suka menumpahkan resah hati pada penulisan. 

Lalu beberapa ketika, ada pelbagai resah yang masuk dalam kepala. Ia resah-resah yang kecil. Namun ibarat semut, kalau seekor yang merayap di lengan tidak apa-apa, namun sekiranya ada 20 ekor, boleh terbangun juga kita daripada duduk selesa di sofa.

Itulah saya. Lelaki yang terbangun daripada duduknya, bezanya, semut-semut masih ada di lengan tidak mahu jatuh-jatuh.

Bayangkan kau berjalan ke sana sini dengan 20 ekor semut yang masih di lengan.

Perkara yang saya pasti, saya rasakan setiap perkara itu boleh diselesaikan sendiri, kerana ia hal kecil. Dan sememangnya itulah sifat perkara-perkara kecil, ia boleh diselesaikan sendiri.

Cuma penyelesaian kepada perkara-perkara kecil, ada banyak cara. Ada yang sifatnya teknikal, dan yang perlu kepada kewangan, dan ada yang perlu kepada hati yang redha.

Lalu itulah yang terjadi, banyak perkara-perkara kecil ini saya rasakan hanya perlu kepada redha hati. 

Sebetulnya tidak semua. Ada yang boleh diselesaikan pada sudut teknikal, ada boleh disudahkan pada sudut kewangan namun oleh kerana, saya merasa leceh untuk hal-hal teknikal dan tidak ada upaya juga kepada kewangan, lalu kesudahannya, ia jatuh pada redha hati.

Kesalnya di situ, kenapa saya cepat-cepat mahu menghantar segala permasalahan itu kepada redha hati. 

Adakah saya terlalu memandang tinggi pada kekuatan hati sendiri? Ataupun adakah hati saya sendiri sudah merajuk kepada saya, kerana terlalu dibebankan hal-hal yang ia tidak perlu?

Saya tidak tahu lagi. Masih ada banyak usaha yang saya tidak perbuat. Salah satu, bangun di sepertiga malam menghadap Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Mengasihi. Berlama-lama di sejadah untuk mendapatkan kembali hati yang merasa ia tidak pernah tabah, hati yang merasa tidak kuat untuk semuanya, hati yang sedar segala kekuatannya itu datang daripada Dia. 

Mungkin begitulah, hati ini sudah merasa terlalu mandiri, sehingga lupa, upaya dan segala megahnya dia bukan daripada parut dan luka, tetapi daripada ihsan Yang Maha Esa. 

Menuliskan hal begini pun sebenarnya sudah membawa sedikit lega, akhirnya saya dapat berbicara kepada hati sendiri untuk kembali menjadi hati yang sentiasa merayu dan merintih meminta kekuatan kepada-Nya.

Kekuatan untuk memujuk jiwa dan fikiran untuk berani dan kuat bagi menyelesaikan hal-hal ini mengikut perlunya, tanpa terus kepada dia. Kerana hati ini juga tidak kuat seperti yang disangka walaupun ia penuh parut dan luka.

Semoga semut-semut di lengan ini akan jatuh satu per satu.




1 comment:

Anonymous said...

Indeed