Wednesday, October 23, 2024

Sebuah catatan : Kembara Yogyakarta - Semarang bersama Jejak Tarbiah

Di salah satu pintu masuk keluar dari pemandian raja-raja dan keluarganya.

Saya sempat berkembara lima hari di tanah Jawa - tepatnya di Yogyakarta - daerah penuh budaya.

Ada 1000 cerita dan untuk catatan ini, saya hanya mahu bercerita hal yang satu ini. Hal yang diceritakan melalui tawanya yang renyah, polos, dan terkadang terdengar sinis. Namun pada akhirnya, saya mengerti ia tawa yang berat.

Ini bukan kembara saya sendiri, tetapi kembara berkumpulan seramai 21 orang yang datang daripada pelbagai latar, namun semuanya berkongsi hal yang satu, semuanya mahu menjadi orang baik-baik, dan sepanjang kembara, itulah yang saya rasakan. Sangat nyaman berada dalam lingkungan mereka ini. Walaupun tidak ada watak 'penghibur sejati' dalam kumpulan ini, namun kami tetap ketawa kecil-kecil, saling menyapa dan saling membantu.

Terima kasih kepada semuanya atas rasa yang mewah kebaikan ini, terima kasih kepada pihak Jejak Tarbiah, CEO-nya yang baik budi, staf yang manis senyum, serta kepada pembawa bicara sejarah yang melimpah ilmunya. Semuanya mendamaikan. Memang tidak semuanya berjalan lurus tetapi tidak ada satupun jalan yang membawa luka. Semua sulit-sulit yang terjadi dapat dimengerti dan menjadi kenangan untuk masa hadapan.

Lalu kisah ini terjadi semasa kami ke lokasi kedua kembara - Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat atau Keraton Yogyakarta, istana rasmi Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat. Yang didirikan oleh Sri Sultan Hamengkubuwana I pada tahun 1755.

Di luar keraton kelihatan rombongan pengunjung yang terdiri daripada anak-anak sekolah sudah berkumpul. Bilangan mencecah ratusan dan untuk saya, ia sesuatu yang mengharukan, sejarah dan budaya mereka masih menjadi antara hal-hal diperhatikan, dan pastinya akan dijaga oleh mereka.

Lalu di situlah rombongan kecil kami dipertemukan dengan seorang petugas istana, seorang perempuan yang sudah berumur lebih 70 tahun. Dia berbaju kebaya hijau pisang, pakaian khas untuk petugas di sana. Jalannya lambat-lambat tetapi tidak meresahkan. Nada suaranya mengandung wibawa yang jelas. Namun ada sesuatu pada tatapan matanya yang saya tidak tahu bagaimana mahu mentafsirnya. 

Daripadanya, kunjungan kami ke istana ini bertambah nilainya kerana setiap satu perkara akan dirincikan. Ada banyak bilik dan setiap satunya ada kisah yang tersendiri. Biasanya ceritanya akan disudahi dengan ketawa sinis yang khas.

Misalnya cerita tentang bilik wine, yang mana pintunya rendah-rendah bagi mengelak mereka yang sudah mabuk untuk keluar. Kemudian dia ketawa sinis. Kami semua mengerti maksudnya.

Sehinggalah salah seorang kami bertanya tentang hidup dia.

Santai dia menjawab, suaminya sudah meninggal dan dia ada anak lelaki semata wayang.

 “Tapi dia sudah dirampas oleh isterinya. Saya kini tinggal sendiri,” lalu diiringi dengan ketawa khasnya.

Saya tersentak sejenak. Ada sesuatu yang tiba-tiba wujud dalam hati. Iaitu kefahamanan pada tatapan matanya. Ia tatapan seorang yang cuba mencari riuh dalam kesunyian hidupnya. Seorang yang masih sanggup berjalan lambat-lambat mengelilingi keraton kerana mahu melupakan kesepian. Dan ketawanya, ketawa khasnya itu bukan sekadar sinis, tetapi ia adalah ketawa yang mahu menjemput kegembiraan kami untuk mengusir rasa kesendirian itu.

Saya fikir, mungkin dia tahu, hanya dengan membuatkan orang lain tersenyum, kesepian itu akan hilang. Senyuman-senyuman yang hadir pada wajah pelawat yang dilayani dengan baik, akan jadi penguat dia untuk terus menjadi petugas keraton.

Namun, ia tidak dapat juga menghalang saya daripada berasa hiba. Dia seorang perempuan, seorang ibu, seorang isteri yang sudah ditinggal oleh lelaki-lelaki kesayangannya. Kesedihan apalagi yang lebih besar daripada itu?

Kerana kalau ada upaya, saya yakin kita semua akan memilih untuk meninggalkan, berbanding ditinggalkan, kerana yang menanggung pedih rindu lebih dalam adalah yang ditinggalkan.

Semoga dia terus kuat, dan semoga apabila hari kita tiba, hari kita ditinggalkan, kita akan masih mampu seperti dia, masih mampu menjemput senyum-senyum pada wajah orang di sekeliling kita. Insya-Allah.








Tuesday, June 04, 2024

Cerita-cerita (yang tidak berapa aneh) di PBAKL 2024

Novel dengan FIXI. Boleh dapatkan di www.fixi.com.my

Saya hanya sempat turun 2 kali. Sekali sebab ikut rombongan pejabat, dan sekali sebab ada sesi meet and greet.

Tahun ni bersyukur sebab, komunikasi saya dengan rakan pembaca, rakan penulis dan penerbit semakin baik. Semakin kurang topik random yang menimbulkan suasana awkward.

Namun ada jugalah beberapa kali perbualan yang tidak-tidak. Taklah awkward tapi aneh kalau dikenang.

Pertamanya ketika berjumpa dengan penulis Muhd Farid Akram yang juga bertugas di booth Ilham.

Lepas berbasa basi, saya pun kata, "Kau ni tinggi betul. Berapa tinggi kau?"

Bermulalah perbualan pasal ketinggian dia, 189cm, di kaunter pembayaran.

Kemudian berjumpa dengan pengurus  penerbitan Karangkraf Cik Azzah Abdul Rahman  dan COO group Buku Karangkraf Tuan Izzat.

Kami ambil gambar selfie, oleh kerana Tuan Izzat tinggi dia terpaksa menunduk sikit.

Saya pun tiba-tiba cakap, "Rasanya orang paling tinggi kat PBAKL ni jatuh kat petugas di booth Ilham."

Mereka pun angguk2. Tak pasti mereka dengar atau terkejut.

Paling lama saya borak dengan founder Fixi, Tuan Amir Muhammad sebab ada sesi meet n greet novel saya Lelaki Berkasut Merah di booth Fixi.

Awal2 borak tu terus saya tanya, "Buat apa kat Sarawak hari tu?"

Dia nampak terkejut.

"Saya ke sana bulan enam tahun lepas."

Bayangkan saya tanya selepas nak dekat setahun, macam benda tu berlaku minggu lepas.

Lepas tu kami borak pasal AI dalam penerbitan.

Saya pun cakap, "Saya paling tak boleh terima kalau cover guna AI."

"Fixi ada empat novel kami guna AI. Buku lama.” (Waktu AI mula-mula boom)

Saya pula terkejut.

"Tapi banyak juga photoshop."

"Itulah." Saya sambung, angguk-angguk.

"Lepas ni kita akan guna ilustrator je semua cover."

Begitulah lebih kurang. Alhamdulillah selepas tu perbualan normal-normal sahaja.

Namun adakalanya suasana awkward ni bukan dimulakan oleh saya tetapi oleh orang lain.

Yang saya ingat, semasa sesi meet and greet di Pustaka Negeri Sarawak (poster), saya bertemu dengan kenalan yang dah lama tak jumpa. Orang industri buku juga.

Selepas basa-basi, dia ambil sebuah buku jualan di meja sebelah.

"Aku suka buku macam ni."

Ia buku tentang pembedahan. Tajuknya ada perkataan 'surgery...." Saya tak ingat tajuk lengkapnya.

Dia pun belek dan tunjuk satu muka surat di dalam buku tu.

"Tengok ni."

Saya perhati, nampak seperti nanah. Saya tenung lagi dan baru perasan ia adalah :

*Gambar punggung yang kena bisul*

Saya tergamam. Dia belek lagi.

"Tengok ni."

*Gambar bisul yang dah besar dan nak pecah*

Mujur saya teringat satu fakta dan cakap, "Bisul ni kadang2 makin besar sebab pesakit tak habiskan ubat antibiotik yang dr bagi. Makan sikit2, jadi kuman bisul tu semakin kuat. Bisul semakin besar."

"Ya betul tu."

Dia selak lagi dan tunjuk kat saya - *gambar bisul dah pecah*

*Sekarang gambar-gambar bisul kat punggung tu masih melekat dalam kepala saya.


Monday, May 13, 2024

Semut-semut di lengan

Saya terlupa satu hal ini, saya suka menumpahkan resah hati pada penulisan. 

Lalu beberapa ketika, ada pelbagai resah yang masuk dalam kepala. Ia resah-resah yang kecil. Namun ibarat semut, kalau seekor yang merayap di lengan tidak apa-apa, namun sekiranya ada 20 ekor, boleh terbangun juga kita daripada duduk selesa di sofa.

Itulah saya. Lelaki yang terbangun daripada duduknya, bezanya, semut-semut masih ada di lengan tidak mahu jatuh-jatuh.

Bayangkan kau berjalan ke sana sini dengan 20 ekor semut yang masih di lengan.

Perkara yang saya pasti, saya rasakan setiap perkara itu boleh diselesaikan sendiri, kerana ia hal kecil. Dan sememangnya itulah sifat perkara-perkara kecil, ia boleh diselesaikan sendiri.

Cuma penyelesaian kepada perkara-perkara kecil, ada banyak cara. Ada yang sifatnya teknikal, dan yang perlu kepada kewangan, dan ada yang perlu kepada hati yang redha.

Lalu itulah yang terjadi, banyak perkara-perkara kecil ini saya rasakan hanya perlu kepada redha hati. 

Sebetulnya tidak semua. Ada yang boleh diselesaikan pada sudut teknikal, ada boleh disudahkan pada sudut kewangan namun oleh kerana, saya merasa leceh untuk hal-hal teknikal dan tidak ada upaya juga kepada kewangan, lalu kesudahannya, ia jatuh pada redha hati.

Kesalnya di situ, kenapa saya cepat-cepat mahu menghantar segala permasalahan itu kepada redha hati. 

Adakah saya terlalu memandang tinggi pada kekuatan hati sendiri? Ataupun adakah hati saya sendiri sudah merajuk kepada saya, kerana terlalu dibebankan hal-hal yang ia tidak perlu?

Saya tidak tahu lagi. Masih ada banyak usaha yang saya tidak perbuat. Salah satu, bangun di sepertiga malam menghadap Yang Maha Mengasihani, Yang Maha Mengasihi. Berlama-lama di sejadah untuk mendapatkan kembali hati yang merasa ia tidak pernah tabah, hati yang merasa tidak kuat untuk semuanya, hati yang sedar segala kekuatannya itu datang daripada Dia. 

Mungkin begitulah, hati ini sudah merasa terlalu mandiri, sehingga lupa, upaya dan segala megahnya dia bukan daripada parut dan luka, tetapi daripada ihsan Yang Maha Esa. 

Menuliskan hal begini pun sebenarnya sudah membawa sedikit lega, akhirnya saya dapat berbicara kepada hati sendiri untuk kembali menjadi hati yang sentiasa merayu dan merintih meminta kekuatan kepada-Nya.

Kekuatan untuk memujuk jiwa dan fikiran untuk berani dan kuat bagi menyelesaikan hal-hal ini mengikut perlunya, tanpa terus kepada dia. Kerana hati ini juga tidak kuat seperti yang disangka walaupun ia penuh parut dan luka.

Semoga semut-semut di lengan ini akan jatuh satu per satu.