Tuesday, July 16, 2013

Kakak.

Dahulu itu jugalah yang dipesan oleh ibu kepada kakak.

"Cinta itu terlalu sakit. Memang sakit sekiranya itu sahaja yang kamu kejar dalam hidup."

Lalu kakak saya akur, dan dia pun tidak lagi melayan mana-mana surat cinta lelaki. Kakak mengejar banyak perkara dalam hidupnya, dan akhirnya dia tetap juga terperangkap pada kata cinta. Tetapi bukan cinta kepada lelaki, tetapi cinta kepada perjuangan bagi melihat anak bangsanya maju, seperti majunya bangsa-bangsa di Timur Jauh dan Barat.

Dia tahu, hanya bercakap, hanya menulis, semua itu hanyalah secebis daripada perjuangan.

Kakak, mula memberi aksi. Walaupun dia yakin antara jalan tercepat adalah politik, tetapi untuk dia, politik negara ini terlalu ngeri. Kakak takut, banyak masanya habis hanya untuk membela diri daripada ular-ular politik, yang bersembunyi di mana-mana sahaja, dan sedia menyuntik bisa untuk dia mati.

Lalu, kakak saya, yang saya pandang tinggi itu mula membina pertubuhan dia sendiri. Pertubuhan percuma yang membantu bagi memperbaiki hidup masyarakat miskin.

Memang klise, tetapi kemiskinan itu juga klise, hidup sengsara itu juga klise. Semangat itu juga klise. Malah kegagalan itu juga klise. Yang tidak pernah klise, adalah kejayaan.

Tamparannya perit, lebih perit daripada ditampar lelaki biadab. Namun tetap sahaja, kakak sentiasa tersenyum, terlihat bahagia dan saya menjadi ragu-ragu. Senyumannya itu kerana memang bahagia atau hanya mahu melindung luka.

Lalu sayalah bukti hidup untuk melihat, kakak saya itu berkata kepada saya, "Benarlah kata ibu, cinta itu terlalu sakit sekiranya dikejar. Dan mungkin itulah sebenarnya yang ibu beritahu, cinta jangan dikejar tetapi kongsikan dan sebarkan. Di situlah kamu akan bahagia."

Akhirnya, mengertilah saya mengapa kakak saya sentiasa tersenyum semasa masih hidupnya, kerana hidupnya tidak hanya mengejar cinta, tetapi berbagi dan berkongsi cinta.

No comments: